Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,490
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
PROLOG

PROLOG 1

400 tahun yang lalu…

Sewaktu Kampung Silak Tua belum diwujudkan.

“DI SINI ke Abang Waki?” tanya Alang.

Setelah merentas hutan tebal separuh hari perjalanan, rombongan mereka yang terdiri daripada tujuh buah keluarga seramai hampir dua puluh orang, tiba di sebuah tanah yang agak rata.

Waki terangguk-angguk. Jauh renungan matanya, sejauh akalnya menilik dan memikir antara alam nyata dan tidak. Berat hati dan akalnya mengatakan bahawa itu tanah yang bertuah.

“Inilah tempatnya.” Akhirnya dia memberikan kata putus sebagai orang yang paling tua dalam kumpulan itu. Juga dianggap orang yang paling banyak ilmu dan tahunya antara sekalian yang ada di situ.

“Kalau begitu, bolehlah kita bersihkan tempat ni.” Alang yang paling rapat dengan Waki bersuara.

Hatinya benar-benar lega kerana sekarang mereka semua sudah ada tempat tinggal yang baharu. Jika tidak ada aral melintang, suatu hari kelak, akan dicari juga jalan kembali ke Pagar Ruyong. Akan dibawanya isteri serta anak-anak yang masih tinggal di sana ke situ, fikirnya.

Mendengarkan kata-kata Waki dan Alang, maka yang lain-lainnya mula menebas dan menebang. Yang pandai menukang, menukang. Yang pandai menjalin, menjalin. Mana yang tidak pandai apa-apa sekadar mengalih kayu dan dahan. Tidak lama kemudian, kawasan itu pun teranglah sedikit rupanya.

“Elok juga tempat ini, Abang Waki. Di hadapan kita sungai, senang untuk mencari ikan dan udang. Di belakang pula paya, boleh kita bertanam padi.” Alang semakin gembira apabila menyedari betapa eloknya tapak yang dipilih oleh Waki. Dalam hati, dia makin mengkagumi kebolehan dan ketinggian ilmu lelaki itu.

Pujian Alang disambut oleh Waki dengan senyum tenang.

“Kita ada tujuh keluarga, pakat-pakatlah nak pilih kawasan yang mana. Yang pandai membuat rumah, besarlah rumahnya. Yang pandai menebas, besarlah tanahnya,” katanya.

Alang bersetuju. Begitu juga dengan yang lain-lainnya, Sia, Abi, Hitam, Garang, dan Ubi.

“Alang-alang sudah merantau biarlah berhasil. Alang-alang sudah jauh biarlah bersungguh,” tambah Alang sambil menarik nafas dalam-dalam.

Lelah mula terasa. Rasa rindu pada kampung halaman mengungkap hiba bagai malam berselimut embun, bagai siang bertudung awan. Manakan sama teduh kampung di pinggiran Danau Singkarak dengan teduh air sungai yang berarus deras. Namun sekali melangkah, tidaklah betah berpatah arah.

“Lagipun masing-masing ada kepandaian. Sia dengan pandai menanamnya, Garang dengan pandai melukahnya. Sama-samalah kita tolong-menolong. Sama-samalah kita muafakat. Benang yang berlembar tidak suang-suang putus, biarpun kita sama-sama tahu hidup kita kini bagai ayam tidak berinduk,” katanya lagi. Menyedari sudah begitu adat perantau.

Maka terangguk-angguklah mereka bertujuh merenung tempat mereka duduk melepas lelah. Masing-masing memacak keazaman dalam hati. Kalau terjun, sama basahnya, kalau melompat sama patahnya, kalau cicir sama ruginya dan kalau dapat sama labanya. Cuma mereka tidak menyangka sama sekali kedatangan mereka ke situ, ada yang tidak suka.

******

“ABANG!” jerit Alang.

Sejak senja tiba lagi, tempat itu dilanda ribut dan taufan yang kencang. Segala yang dibina runtuh. Segala yang dipegang, tumbang. Pokok-pokok besar bergoyang, pokok-pokok kecil runduk menyapu bumi. Api terpadam. Yang kering terus basah. Yang sedikit terus hilang.

Lantas mereka semua terpinga-pinga. Tidak ada siapa yang tahu dari mana puncanya kepala angin yang datang bagaikan ingin berseteru dengan mereka.

“Apa kita hendak buat ni, abang? Ribut ini seperti tak akan berhenti,” kata Alang. Risau hatinya bukan kepalang. Kalau begitu keadaan di situ, bagaimana mereka dapat membina kehidupan, fikirnya diam-diam.

“Semua berlindung di sana,” kata Waki seraya menunjukkan sebatang pokok tualang sebesar tiga pemeluk lelaki dewasa.

Tanpa berlengah, mereka mula berkumpul dan duduk rapat-rapat dalam keadaan basah kuyup di belakang pokok tualang. Hendak lari ke mana pun tidak boleh dalam keadaan seperti itu. Masing-masing termangu-mangu dan hanya menunggu keputusan Waki dan Alang.

Waki terus berdiam diri. Sugul wajahnya bagaikan baru sahaja kematian isteri.

“Abang,” tegur Alang. Dia ingin berbuat sesuatu tetapi tidak mahu mendahului Waki sebagai ketua mereka. Lagipun diam Waki, selalunya diam bagaikan ubi.

“Tunggu di sini, Biar abang pergi tengok.” Sehabis berkata-kata Waki pun meninggalkan mereka. Langkahnya hala ke paya. Yang tinggal tertanya-tanya.

Namun Alang terasa tidak senang hati. Selepas meninggalkan pesan, dia pun ikut melangkah ke mana hala dituju Waki. Setibanya di suatu tempat, dia berhenti. Tidak jauh di hadapannya Waki berdiri menghadap sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Dengan bantuan cahaya dari petir yang sambung-menyambung di dada langit, dia dapat melihat sebuah bongkahan batu tiba-tiba berdiri.

Mulut Alang lantas ternganga.

Waki yang perasan kehadiran Alang di sisi terus terkejut. “Kenapa ke sini? Bukankah abang sudah menyuruh Alang menunggu di sana?”

Alang ingin menjawab tetapi sudah kehilangan suara.

Melihatkan Alang begitu, Waki terdiam. Sudah terlambat untuk dia menyembunyikan hal itu.

“Abang nak pergi tengok,” katanya. Hal itu perlu diselesaikan juga.

“Jangan, bang!” Alang pegang tangan Waki. Kuat hatinya merasa apa yang di hadapan mereka itu bukan sebarang batu. Selain mereka berdua ada sesuatu di situ.

“Selagi abang tak pergi, selagi itu hal ini tidak selesai,” balas Waki sambil mengharapkan Alang faham. “Kalaulah kita tersalah masuk, tersalah adab, minta diizinkan.”

Kali ini Alang tidak bersuara lagi. Dia serba-salah untuk melepaskan Waki pergi. Namun apabila Waki bergerak, Alang ikut bergerak.

Makin lama mereka makin dekat dengan bongkahan batu yang dikelilingi beberapa perdu buluh dan dilingkari beberapa batang pokok besar. Sejujurnya, dia tidak pernah perasan tempat itu wujud sebelum ini. Namun apabila Waki mula mengelilingi bongkahan batu itu secara mengundur, Alang tidak mengikut. Dia lihat sahaja dengan kerutan di dahi.

“Kalau cucu termasuk tempat, maafkan cucu,” kata Waki di hadapan bongkahan batu tersebut. Di kaki bongkahan itu ada sebuah lubang yang tidak berapa besar. Agak-agak muat untuk seorang melaluinya.

Alang toleh ke kiri dan ke kanan, dia tidak nampak dengan siapa Waki bercakap. Tetapi sejak tadi, dia mendengar Waki berbincang dengan seseorang atau dengan lebih tepatnya dengan ‘sesuatu’.

“Baik, tok.” Setelah habis berbincang, Waki meninggalkan tempat itu. Semasa berselisih dengan Alang, Waki tidak berkata apa-apa.

Sebaik sahaja mereka berdua sampai semula ke pokok tualang, ribut pun berhenti. Malam itu keadaan kembali aman namun tidak ada siapa yang berani bertanya. Alang sahaja yang tidak dapat melelapkan mata.

*****

SEHARI telah berlalu, mereka sedaya upaya meneruskan kehidupan di tempat baharu dengan sesabar yang mungkin. Paya sudah mula diterangkan, sungai sudah direntang jala dan kail. Rumah-rumah pula sudah mula dipacakkan tiang. Masih tidak ada siapa yang berani bertanya kepada Waki apa yang telah berlaku pada malam semalam.

“Ke mana Abang Waki? Tak nampak pun batang hidungnya,” tanya Hitam yang baru balik dari menebang pokok bersama Sia.

“Denai pun tak tahu,” balas Alang.

Sesungguhnya dia sendiri berasa risau kerana sejak pagi tadi, Waki belum pulang-pulang setelah keluar memburu ayam hutan. Dia sungguh bimbang jika Waki terus tidak pulang, dia tidak sanggup menjadi ketua di situ. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang penuh tanda tanya itu.

Mujurlah menjelang senja, Waki pulang dengan sepuluh ekor ayam hutan. Kepulangan Waki disambut dengan rasa gembira oleh mereka semua. Ayam hutan yang dibawa balik segera disimpan di dalam sangkar buluh.

“Sembelih tiga ekor sahaja untuk kita. Yang lain biarkan hidup,” pesan Waki, sebelum meminta diri untuk mandi di paya.

Arahan Waki segera dituruti. Tiga ekor ayam menjadi hidangan mereka malam itu. Namun menjelang tengah malam, Waki kembali ke bongkahan batu itu sekali lagi. Kali ini dia datang dengan membawa tiga ekor ayam hutan yang ditangkapnya siang tadi.

“Nah! Ayam hutan dulu, tok,” katanya.

Ayam hutan itu dipatahkan leher seekor demi seekor lalu dicampak ke dalam bongkahan batu hitam itu menerusi lubang yang ada di situ. Selepas semua selesai, Waki balik semula ke tempat mereka. Semua perbuatan Waki, dilihat oleh Alang.

*****

KEESOKAN harinya, Alang tidak dapat menghalang lagi rasa ingin tahunya, maka dia mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Waki di pinggiran sungai.

“Berterus-teranglah abang kepada denai. Apa yang abang buat? Dengan siapa abang bercakap malam semalam? Apakah benda yang hidup di dalam batu hitam itu?”

Pada mulanya Waki buat tidak peduli. Direnungnya sungai yang luas tidak terperi.

“Cakaplah, abang.” Alang terus mendesak. Pada dia, dia harus tahu apa yang Waki tahu.

“Kita telah menceroboh tempat dia.” Akhirnya Waki bercerita juga. “Salah abang yang tak habis baca.”

Alang terdiam. Laju otaknya berfikir dan mentafsir apa yang cuba disampaikan oleh Waki kepada dia. “Tempat siapa?”

“Penjaga tempat ini,” jawab Waki dengan tenang. “Panggil Sia, Hitam, Ubi. Garang dan Abi ke mari dulu. Abang ceritakan segalanya.”

Mendengarkan permintaan Waki, Alang tidak bertangguh lagi. Dengan segala daya, dia mencari kelima-lima nama yang disebut oleh Waki. Dia benar-benar ingin tahu apa yang sebenarnya telah berlaku sejak dua malam yang lalu. Setelah kesemuanya berkumpul di hadapan Waki, Waki mula bercerita.

“Abang minta maaf, abang dah buat salah,” kata Waki. “Abang salah duga, tempat ini rupanya bertuan.”

Kesemuanya yang ada di situ terpandang-pandang.

“Sebab itulah kita dilanda ribut. Rumah kita diruntuhkan, pokok-pokok ditumbangkan,” tambah Waki.

“Jadi? Kita kena berpindah lagi?” tanya Abi. Terpancar kerisauan di wajahnya.

“Tak perlu,” bantah Waki. “Kalau kita nak juga tinggal di sini, ada syaratnya.”

“Syarat?” tanya Garang pula. “Kalau setakat mahukan ayam hutan tiga ekor, boleh denai usahakan. Tak jadi masalah.”

Alang mendengar dengan rasa bimbang di hati. Dia sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yang lain pula terangguk-angguk bersetuju sahaja. Namun, Waki menggeleng pula.

“Benda itu mahu dijaga. Kalau kita sanggup menjaganya.”

“Jaga? Bagaimana?” tanya Garang. Yang lain hanya menunggu.

Sayangnya Waki tidak bercerita dengan lebih lanjut. Dia sekadar menjawab sambil lewa. “Ada upahnya nanti.”

Waki kembali termenung. Dia terlihat sesuatu yang amat menarik di dalam batu itu cuma tidak diceritakan kepada sesiapa. Dia tidak mahu mereka terlalu terkejut. Biarlah perlahan-lahan diceritakan.

“Asal kita tidak diganggu sudahlah, abang,” kata Alang pula. Itu yang penting bagi dia. Setelah menjadi orang buruan di Pagar Ruyong, dia hanya mahu hidup aman di situ.

Waki tersenyum. Kalau Alang sudah menyokong, dia yakin yang lain juga tidak akan membantah.

“Jadi kita semua bersepakat untuk menjaga tempat ini. Begitu juga kesemua waris-waris kita nanti,” katanya sambil memandang wajah mereka seorang demi seorang. Mereka harus tahu, sekali mengambil, selamanya bertuan.

Kesemuanya mengangguk. Alang diam sahaja.

Waki tersenyum nipis. Dia yakin kehidupan mereka di tempat baru itu akan bertambah baik, begitu juga waris-waris mereka selepas itu.

Genap tiga hari selepas itu, Garang dan dua orang anak lelakinya hilang.


PROLOG 2

Sembilan belas tahun selepas kejadian itu..

GUA itu hanya diterangi oleh tiga batang jamung. Di sesetengah sudut, gua itu masih ditelan kegelapan yang mencengkam. Hanya di hujung gua sahaja yang terang Seorang lelaki berdiri berdekatan sebuah batu yang mendatar. Di atas batu itu terlentang sekujur jasad yang sudah tidak sedarkan diri. Manakala di atas lantai pula, dua tubuh yang tidak berkepala terbujur kaku. Di mana-mana, tempat itu dibasahi dengan darah.

Guruh menumpukan sepenuh perhatian. Ruduih piarit di tangan terasa semakin berat namun digagah juga menetak leher manusia di hadapannya sehingga putus. Sebaik terkena urat mari dan urat darah di leher, menyemburlah darah ke mukanya. Lalu dijilat bagai menjilat air susu lagaknya.

Tergesa-gesa juga dia mengambil mangkuk ketiga lalu menadah darah yang masih mencucur keluar dari leher yang sudah terpelahang. Setelah hampir penuh diletak mangkuk itu di atas lantai gua bersama dua mangkuk lain yang sudah berisi darah dari dua orang yang sudah dibunuh sebelum itu.

Tanpa menunggu, ditetak tulang leher berkali-kali sehingga putus. Kepala manusia itu pun bercerailah daripada badan lalu diangkat ke tepi dinding. Disula di hujung mata lembing, ditekan sekuat hati sehingga masuk lebih ke dalam, membuakkan cebisan daging hingga keluar ke lubang mata.

Setelah selesai, duduklah dia bersila di atas batu tadi semula. Merenung tiga batang lembing yang kini sudah berganti kepala. Dibacakan mentera demi mentera. Dipuja puaka gua itu untuk mengambil apa yang dipersembahkan mengikut apa yang telah diajar ayahnya dahulu.

Setelah selesai membaca sekalian mentera dan menyeru, dia meneguk tiga mangkuk darah yang ditadah tadi sehingga habis. Maka selesailah tugasnya di situ.

Dia pun beredar menuju ke sebuah lubang di belakang gua itu. Dia ada satu tugas lagi.

******

WAKTU itu bulan sedang mengambang penuh. Malam mula tua. Tanah yang dipijak dilihat remang-remang sahaja tetapi Guruh sudah biasa. Sehingga sampai di kaki sebatang pokok cengal di belakang gua itu, dia berhenti.

Dia alihkan pelepah daun nipah ke tepi. Terlihatlah sebuah lubang berbentuk empat segi yang sudah digalinya sejak seminggu yang lalu. Kata ayahnya dahulu, di situlah tempat sebuah kubur lama yang tidak bernisan. Mesti digali sebelum upacara pemujaan itu dilakukan. Sekarang, semuanya sudah tersedia. Dia lega.

Tanpa berlengah, dia berpatah balik ke dalam gua. Dia angkat mayat yang tidak berkepala yang pertama. Diheret ke lubang tadi. Setibanya di situ, dia tolak mayat itu ke dalam. Dia berpatah semula ke arah gua untuk mengambil mayat yang kedua. Belum sempat jauh, dia terdengar bunyi seperti orang sedang melahap sesuatu.

Bunyinya kuat. Sesekali menderam. Sesekali seperti berebut-rebut. Kaki Guruh terpaku. Lama dia mendiamkan diri. Berfikir apa yang hendak dibuat. Namun rasa ingin tahunya membuak-buak. Dia menyapu peluh.

Akhirnya dia memberanikan diri pergi semula ke lubang tadi. Dan apabila dia menjenguk ke dalam, dia terus berundur dua langkah ke belakang. Tanpa dapat ditahan, dia terjatuh ke tanah apabila kakinya tersampuk akar pokok. Kini dia terduduk dengan mulutnya yang ternganga.

Di hadapannya berdiri seorang lelaki tua. Mukanya dihurung ulat yang berjerembik. Ulat-ulat itu saling menyeronot keluar masuk rongga mata, hidung dan kerongkong yang ternganga lebar. Kulit lelaki itu juga koyak-koyak dan tertanggal. Sebahagiannya mula gugur. Darah dan nanah memancut dan meleleh. Menghadirkan bau bangkai

Dan apa yang membuatkan Guruh tidak berupaya bersuara ialah apabila melihatkan lelaki itu melahap cebisan mayat yang dibuang tadi tidak ubah seperti harimau sedang melahap mangsa. Persis seperti orang yang kelaparan. Cuma apa yang lebih memeritkan jiwa ialah dia mengenali lelaki itu.

“Bapak…,” rintihnya separuh sedar. Kerana separuh akal warasnya tetap mengatakan yang ayahnya sudah 40 hari dikebumikan.


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.