Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,465
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1
Sekarang…

“CEPAT! Cepat!!!”

Suara Manjoy meletus bersama tepukan bertalu-talu di bahunya. Jimmy langsung menekan pedal minyak. Tayar kereta berputar laju meninggalkan asap dan bunyi berderit yang memekakkan telinga. Entah kenapa hari itu, terasa segalanya seperti tidak kena. Bahkan tapak tangannya berpeluh sejuk dan menggeletar. Tidak seperti selalu.

“Gila! Macam angin!” Manjoy membentak marah dengan nafas yang menderu keluar masuk dadanya yang berombak-ombak.

Pakkai di sebelahnya hanya mengeluh berat. Wajahnya kusut. Langsung tidak mampu bersuara kerana terlalu terperanjat.

Jimmy juga tidak bersuara. Matanya tidak lekang dari memerhati jalan raya yang masih sibuk dengan kenderaan walaupun matahari sudah hampir tegak di langit. Apa pun yang telah berlaku, dia mesti pastikan mereka bertiga sempat sampai ke Tol Gombak secepat mungkin. Hal polis yang mengejar laju di belakang mereka, kemudian sahajalah difikirkan. Mereka tidak akan dapat menewaskan dia walau kehadiran mereka secepat itu memang di luar jangka. Dia tidak akan tunduk pada polis.

“Cepat! Mereka dah dekat!” Pakkai pula menggoncang bahu Jimmy. “Mereka dah dekat!”

Sikap Pakkai membuatkan dada Jimmy sesak. Rasa marahnya makin menggila. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dalam kekalutan itu dia memecut selaju yang boleh. Kereta BMW yang dipandunya itu bagaikan pelesit meluru pantas menakutkan kenderaan lain yang menyasar ke tepi. Dia tidak akan kalah.

“Tu! Tu!” jerit Manjoy bagaikan orang sasau apabila terpandang sebuah kereta Honda Accord sedang menunggu mereka di hadapan Tol Gombak. Bendera merah yang dipasang pada cermin hadapan adalah tandanya.

Jimmy tidak menunggu lagi. Brek ditekan. Kereta tersasar menghala ke tepi pagar. Belum sempat kereta itu betul-betul berhenti, dia sudah membuka pintu. Begitu juga Manjoy dan Pakkai. Serentak, mereka bertiga terjun dari kereta dan berlari menghala ke pintu tol.

Dalam masa yang singkat kehadiran mereka menjadikan kawasan tol itu gempar. Ramai yang terpinga-pinga.

Pang! Pang! Pang!

Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka dari kereta polis yang meluru dari sebelah kiri.

Jantung Jimmy seperti mahu luruh. Beberapa das tembakan tersasar hanya beberapa inci dari tubuhnya. Dia mengerah segala tenaga untuk memecut ke kereta yang menanti, begitu juga Manjoy yang tidak menoleh sedikit pun ke belakang. Namun semakin dekat dia ke kereta yang menanti, semakin dia rasa ada yang tidak kena.

“Pakkai!” Jimmy menjerit.

*****

SEDETIK terasa terlalu lama. Jimmy tidak sedar bila masanya dia berpatah balik ke arah Pakkai. Sedar-sedar sahaja, dia sudah terketar-ketar memangku kepala Pakkai yang berlumuran darah. Serta-merta bau hanyir darah dan masam peluh bercampur, memeritkan nafas. Tubuhnya menggeletar kuat. Pandangan matanya menjadi gelap.

“Tinggalkan!” Manjoy membentak sambil menarik tubuh Jimmy ke belakang. Rentapan yang kuat itu menyebabkan kepala Pakkai terlepas dan terhentak ke jalan raya.

Serentak dengan itu tembakan bertalu-talu dilepaskan semula.

Jimmy bagaikan tersedar namun semuanya berlaku terlalu cepat. Pegangan Manjoy yang kuat menyebabkan dia terheret ke belakang. Akhirnya dia berpaling dan menyaingi langkah Manjoy yang bagaikan pelari pecut menuju ke kereta yang sudah dibuka pintu-pintunya. Sebaik sahaja mereka berdua melompat masuk ke dalam, kereta itu terus memecut laju.

Dari dalam kereta yang bergerak pantas, dia hanya dapat melihat tubuh Pakkai terbaring kaku sambil dikerumuni beberapa orang anggota polis. Dia menyumpah-nyumpah lagi. Hari itu, hari yang sunguh malang baginya.

“Laju lagi!” Suara Manjoy terus membentak pemandu yang bernama Atok.

Atok tidak membalas, melainkan menekan pedal minyak dan kereta mereka semakin jauh meninggalkan Pakkai. Di belakang mereka pula kereta polis yang masih tidak berputus asa mengejar mereka.

*****

KIRA-KIRA dua jam selepas itu, sebuah van berwarna biru laut memasuki sebuah gudang lama di pinggir hutan Gombak. Kesunyian kawasan kilang yang terbiar itu dipecahkan oleh bunyi hentaman daun pintu gudang ke lantai. Dua orang pemuda bertubuh tegap segera menguncinya dari dalam. Dan dari dalam van tersebut melompat keluar empat orang lelaki termasuk Jimmy.

“Biar aku yang cakap.” Manjoy bersuara sebaik sahaja pintu van ditutup semula. Dia berdiri berhadapan dengan Jimmy.

Jimmy terus menggeleng. Sebagai ketua dalam rancangan itu, kematian Pakkai adalah tanggungjawabnya. Namun Pakkai bukan sekadar salah seorang ahli kumpulan tetapi juga sahabat baik yang pernah tidur sebantal dan makan sepinggan sejak dia merantau ke kota besar itu. Kehilangan Pakkai meninggalkan rasa kosong yang meluruhkan jiwa. Apatah lagi sekarang dia harus menghadap Lokkai, ketua mereka –abang kandung Pakkai.

“Biar aku yang cakap,” ulang Manjoy dengan nada yang lebih tegas. Tangannya sudah menjamah lengan Jimmy.

Sekali lagi Jimmy menggeleng. Ditepuknya lembut bahu Manjoy. Apa pun kata Manjoy, hatinya sudah nekad. Dia sendiri yang akan memberitahu Lokkai perihal Pakkai. Dia juga bersedia untuk menerima apa sahaja hukuman daripada Lokkai.

“Tanggungjawab aku,” katanya kemudian apabila Manjoy cuba membantah.

Dari sinar mata Manjoy yang tajam itu dia tahu Manjoy sedang risau memikirkan dirinya tetapi dia juga bukan bacul. Seperti ahli-ahli kumpulan yang lain, dia juga dididik dengan hati sekeras batu. Tidak gentar bertindak sekiranya perlu, tidak gentar menerima akibat walau taruhannya mungkin nyawanya sendiri. Cuma hari itu bukan hari dia dan dia bersedia untuk menanggung akibat.

Manjoy tidak membantah namun wajahnya jelas nampak kecewa. Akhirnya dia menunggu sahaja Jimmy mendahului langkah. Belum sempat mereka bergerak jauh dari van, Lokkai sudah tiba di situ.

Untuk sejenak, Jimmy kehilangan kata-kata. Dia hanya mampu merenung muka Lokkai tidak berkelip.

Lokkai mengangkat kening. Matanya meliar mencari sesuatu.

“Mana Pakkai?” Dia bertanya sambil bercekak pinggang.

Jimmy tertelan air liur. Terasa kotak suaranya menyempit. Bibirnya kering. Nafas pun tertahan.

Reaksi Jimmy membuatkan air muka Lokkai yang tadi tenang berubah keruh. Mulutnya separuh tertutup. Matanya tidak berkelip memandang muka Jimmy.

“Pakkai…” kata Jimmy. “Aku tak sempat…”

“Kami tak tau siapa kencing. Tau-tau itu biru sudah ngap kita.” Bagaikan peluru, kata-kata itu tersembur dari mulut Manjoy.

Serentak itu juga sepucuk pictol diacukan ke muka Manjoy tanpa sedetik pun Lokkai mengalihkan pandangan matanya dari wajah Jimmy.

Spontan, Manjoy terdiam kaku. Halkumnya turun naik.

“Lokkai, aku…”

Kini pistol dihalakan pula ke muka Jimmy. Jimmy dapat lihat dengan jelas, tangan Lokkai menggeletar. Urat-urat hijau muncul di kiri kanan dahi Lokkai. Lokkai mula berpeluh. Namun akhirnya renungan mata Lokkai yang tajam menusuk, membuat dia mengalah dan tertunduk. Gudang itu pun terasa sunyi dan dingin seperti bilik mayat.

Kemudian, detik-detik seterusnya bagaikan terhenti. Tidak ada siapa yang berani bersuara. Semuanya kaku dan menunggu. Jimmy juga begitu.

“Tang,” panggil Lokkai sambil menoleh ke arah seorang lelaki berkulit sawo matang. Rambutnya mengeriting dan agak kusut mencecah bahu. Matanya sentiasa tajam bak mata helang. Dia orang Thailand, pakar Muay Thai. Nama sebenarnya sudah lama dilupakan. “Balik,” katanya.

Mendengarkan arahan Lokkai, Tang terus mendahului langkah ke arah pintu gudang. Pintu gudang yang tadi ditutup, kini dibuka separas kepala. Tang melepasinya untuk mengawasi keadaan sebelum menunggu Lokkai keluar.

Jimmy hanya menghantar langkah Lokkai dengan lirikan mata. Dia tahu Lokkai sedang teramat marah kerana belum pernah walau sekalipun Lokkai menghalakan pistol ke mukanya sehinggalah ke hari ini. Sejujurnya, sebagai orang kanan Lokkai, dia berasa benar-benar telah mengecewakan Lokkai dan kumpulannya. Dan apa yang lebih teruk dia benar-benar kecewa dengan dirinya sendiri kerana tidak mampu melindungi Pakkai.

*****

SEJAM telah berlalu. Kini Jimmy dan Manjoy berada pula di dalam sebuah bilik berdinding kayu yang dibina di belakang sebuah kedai makan. Di bahagian hadapan kedai itu, pelanggan sedang sibuk menikmati makan tengah hari. Manakala di bahagian belakang pula, hanya orang tertentu sahaja yang dibenarkan masuk termasuklah mereka berdua.

Di ruang itu hanya terdapat tiga buah meja bulat di bahagian tengah. Dua daripadanya kosong. Selain itu ada sebuah pangkin panjang di tepi dinding. Di atasnya duduk tiga orang gadis muda yang sesekali tersenyum manis ke arah mereka berdua.

Ruang itu juga tidak sunyi. Irama dangdut nyanyian Ria Amelia kedengaran menggoda. Disulam gelak tawa gadis-gadis di atas pangkin. Sayangnya, Jimmy masih juga tidak terhibur. Jiwanya lara.

Walaupun dia sendiri yang memilih lauk-pauk, hidangan tengah harinya tidak banyak terluak. Seleranya hilang. Sesekali perutnya terasa sebu. Dia lebih banyak termenung dan menghembuskan asap rokok.

Sesekali dia tertunduk merenung butiran nasi yang bertabur di atas meja. Sepertimana dia merenung nasibnya pada hari-hari yang mendatang. Entah bagaimana rupanya setelah apa yang terjadi kepada Pakkai.

“Aku tak puas hati betul,” kata Manjoy sambil menghentak penumbuknya ke atas meja.

Meja yang bergoyang, membuatkan anak mata Jimmy melirik ke wajah Manjoy. Keningnya terangkat sebelah. Kurang jelas.

“Aku yang patut pergi. Tapi Lokkai hantar Tang.” Manjoy menggelengkan kepala sambil menghembuskan asap rokok. Tebal dan mengapung lama di atas kepala.

“Bila?” Kening Jimmy berkerut. Dia cuba memahamkan perkara yang menjadi beban di hati Manjoy, sayangnya dia sendiri tenggelam punca. Apatah lagi mahu menolong.

“Dua minggu lepas. Kau tak tahu?”

“Tang pergi mana?” Jimmy betul-betul tidak tahu hal itu. Mungkin kerana pada waktu itu dia benar-benar sibuk dengan satu tugas di Terengganu.

“Apa nama tempat tu…” Manjoy memicit kepalanya dengan tangan kiri. “Hah! Bandar Dagang.”

“Bandar Dagang?” Air muka Jimmy berubah. Kerutan di dahinya belum lepas.

Manjoy angguk. “Kau tahu tempat tu?”

Jimmy segera menggeleng laju. Cuba untuk tidak mengambil hati sangat dengan cerita itu. Dia percaya esok lusa pasti ada kerja lagi untuk mereka. Kalau tidak secara berkumpulan pun, mungkin secara bersendirian. Tembak-menembak orang bukan kerja asing bagi kumpulan mereka.

“Dengarnya banyak Tang dapat. Ada orang kaya upah dia.”

“Ikut Lokkailah dia mau kasi siapa,” balas Jimmy. Malas mahu melayani rasa cemburu Manjoy. Walhal Manjoy bukan tidak tahu, Tang orang kesayangan Lokkai. Apa-apa hal, Tang dahulu sapu.

Melihatkan Jimmy masih tidak mahu melayan ceritanya, Manjoy ubah topik.

“Agaknya apa Lokkai buat sekarang?” tanya Manjoy sebelum menghembuskan asap rokoknya ke sebelah kanan pula. Nasi berlauk yang baru dihabiskan tadi kini mengering di hadapannya.

Apa Lokkai buat? Mustahil Lokkai sedang makan besar, bodoh punya soalan! Jimmy mengutuk Manjoy dalam hati.

“Biru tentu datang ketuk,” sambung Manjoy. Tajam matanya merenung wajah Jimmy.

Kali ini Jimmy angkat muka, dia balas renungan mata Manjoy. Sedikit sebanyak kata-kata Manjoy membuat dia berfikir. Dia juga percaya polis tidak sukar langsung mengesan alamat Pakkai yang mempunyai rekod polis. Kemudian perasaannya dihujani rasa bersalah semula.

“Dia tentu mahu sempurnakan mayat Pakkai baik-baik.”

“Bukan salah kau.” Manjoy tersenyum kelat.

“Aku sepatutnya jaga Pakkai. Itu janji aku pada Lokkai,” balas Jimmy dengan seribu kekesalan yang memenuhi dada.

Kalaulah dia tidak memenuhi permintaan Pakkai lima tahun yang lalu, tentu semua itu tidak akan berlaku, fikirnya. Semua salah dia. Dia yang menyokong permintaan Pakkai untuk menyertai Kumpulan Wuntai walaupun pada awalnya Lokkai amat keberatan.

“Kerja macam kita, nyawa tak ada harga.” Manjoy menggeleng santai. “Pakkai tentu tahu.”

Jimmy terangguk-angguk. Dia akui kata-kata Manjoy itu ada kebenarannya tetapi kematian Pakkai di hadapan matanya masih sukar diterima. Kalau orang lain mungkin tidak sesusah itu tetapi ini, Pakkai –kawan baik dia.

“Bukan tak pernah ada orang kita yang mati sebelum ini. Bersepah… relakslah, brother.” Manjoy hempas nafas sebelum menggeliat manja. Dia menoleh ke arah pangkin. Digamitnya seorang gadis supaya mendekatinya.

Seorang gadis terus datang dengan senyuman manis dan lengguk manja, lantas memeluk tubuh Manjoy dari arah belakang. Tangannya kemudian merayap, memicit-micit bahu Manjoy dengan mesra.

Manjoy tersenyum senang menerima picitan tersebut. Raut wajahnya menunjukkan yang perasaannya amat lega.

Sikap Manjoy yang terlalu tenang, membuatkan Jimmy sedikit jengkel. Mungkin kerana Manjoy tidak rapat dengan Pakkai, Manjoy hanya menganggap Pakkai tidak lebih daripada satu nyawa yang tidak berharga. Akhirnya dia campak puntung rokok yang dihisapnya sejak tadi ke lantai. Dia ambil kunci kereta dan kotak rokok lalu bangun tetapi tangannya ditangkap cepat oleh Manjoy.

“Tunggu arr… bro. Tengah sedap ni.” Manjoy pandang Jimmy.

Jimmy pandang Manjoy. Dia tepuk meja hingga semua yang ada di atas meja melantun. Nasi bertaburan. Air tumpah.

Akibatnya, pegangan tangan Manjoy terlepas. Dia pandang sahaja muka Jimmy yang merah padam.

Jimmy merengus. Dia berpaling lalu meneruskan juga langkahnya menuju ke arah pintu belakang namun sebaik sahaja kakinya memijak tanah, dia ditegur oleh seorang perempuan yang tercengang melihatnya.

“Aazim?”

Bagaikan dipanah halilintar, nama yang dipanggil itu membuatkan sekujur tubuhnya terenjat. Spontan dia mencari dari mana arahnya suara itu datang. Akhirnya matanya lurus memandang ke arah seorang perempuan bertudung hitam yang sedang berdiri berdekatan tempat membasuh pinggan mangkuk.

Jimmy kelu.

******

“AAZIM, kan? Ni Kak Misahlah… tak ingat ke?” Perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Misah tergesa-gesa mengelap tangan lalu melangkah mendekati Jimmy.

Manjoy yang baru sampai ke muka pintu tersentak melihat adegan itu. Langkahnya mati. Dia hanya memandang apa yang sedang berlaku dengan penuh minat dan mulut yang separuh ternganga.

Jimmy pula terus kelu. Perempuan tadi kini sudah berada di hadapannya. Dia serba salah. Juga terasa ingin lari sahaja dari situ.

“Aazim,” panggil perempuan itu sekali lagi. Senyumannya segera merekah bagaikan teruja benar. “Tak kenal Kak Misah ke? Ni Kak Misah, yang tinggal di sebelah rumah Aazim dulu.”

“Awak salah orang,” katanya setelah mendapat sedikit kekuatan untuk tidak mempedulikan perempuan itu. Tidak kisahlah apa yang perempuan itu cakap. Dia bukan Aazim. Aazim sudah lama mati.

“Salah orang?” Perempuan itu berkerut dahi dan kemudian mula teragak-agak. Namun matanya tidak lepas dari menyeluruhi wajah Jimmy. “Akak rasa akak tak salah orang.”

Jimmy terus menggeleng dan menyambung langkahnya semula. Pada waktu itu dia sudah nekad untuk tidak datang lagi ke situ. Dia tidak bersedia untuk berdepan dengan satu lagi masalah.

“Abah Aazim dah meninggal dua minggu lepas. Aazim dah tahu ke?” Perempuan itu melaung apabila Jimmy pantas melangkah meninggalkan dirinya sambil diikuti oleh Manjoy.

Langkah Jimmy terhenti sekali lagi.

*****

JIMMY menutup bunyi radio yang terpasang di dalam keretanya. Keadaan pun kembali senyap sunyi namun fikirannya semakin terganggu. Soal Pakkai, soal Lokkai dan sekarang datang pula soal lain. Makin berserabut otaknya.

“Engkau kenal ke dengan perempuan tu?” tanya Manjoy sambil melirik ke arah Jimmy kemudian ke arah jalan raya yang kini suram dan basah. Di luar, hujan lebat mencurah-curah. Di dalam, ada sedikit hiba menakung diam-diam.

Jimmy menelan air liur. Dia tahu Manjoy akan bertanyakan hal itu namun dia belum bersedia untuk menjawabnya. Mungkin sampai bila-bila pun dia tidak akan bersedia.

“Dia macam betul-betul kenal engkau.”

Makin teruk. Jimmy buat tidak dengar. Dia cuba tumpukan perhatiannya ke arah jalan yang kian sesak. Dalam hati dia berharap agar tidak ada banjir kilat di sekitar jalan menuju ke tol. Kalau ada, memang teruklah dia saat itu. Terkurung dalam kereta dalam keadaan yang begitu tegang.

“Betul ke bapak engkau dah meninggal?”

Jimmy tarik nafas panjang. Nampaknya Manjoy betul-betul tidak kenal erti mengalah. Itu memang sikap Manjoy. Jimmy tahu itu.

“Entahlah,” balasnya perlahan. Akhirnya dia mengalah. Hendak lari ke mana pun tidak boleh, Manjoy sudah nampak apa yang berlaku tadi. Malah sudah dengar segala-galanya.

“Jadi… selama ni engkau masih ada bapak? Mak engkau?” Manjoy mengisar punggung sehingga duduknya sedikit senget lalu memandang lama ke wajah Jimmy. Seronok juga dapat tahu sesuatu yang tidak pernah dia tahu selama ini.

Semua pertanyaan itu membuatkan dada Jimmy semakin sesak. Itulah yang ditakutinya selama ini. Dia takut bertembung dengan apa-apa yang mengingatkan dia kepada keluarganya di kampung. Dia belum bersedia untuk bersua muka. Dia belum cukup berjaya untuk pulang bertemu mereka bersama kejayaan yang diharapkan ayahnya selama ini. Akan tetapi, sekiranya benar ayahnya telah meninggal dunia, apakah lagi yang menghalangnya untuk pulang?

“Kalau engkau masih ada keluarga, baliklah tengok sekejap. Manalah tahu kalau-kalau apa yang perempuan tadi cakap tu betul….” Kini Manjoy kembali duduk lurus menghadap ke hadapan pula.

“Hal kita belum selesai,” balas Jimmy.

Jalan raya yang sesak membuatkan pemanduannya pada petang itu kurang lancar. Hendak tiba di Genting Sempah pun terasa amat perit. Banyak kali kereta berhenti. Dia sudah mula menyumpah-nyumpah dalam hati. Marah kepada segala-galanya.

“Aku rasa Lokkai takkan jumpa kita dalam masa beberapa hari ni. Dia tentu sibuk dengan polis. Hal Pakkai lagi. Belum masuk tempoh berkabung lagi… aku fikir, paling cepat pun dia mahu tengok muka kita dua minggu lagi.”

Jimmy diam. Kata-kata Manjoy ada kebenarannya. Lagipun Lokkai perlukan masa untuk menerima kenyataan. Mungkin juga dia patut balik sekejap ke kampungnya untuk memastikan berita yang baru diterimanya tadi sahih ataupun tidak. Sekaligus menenangkan fikiran.

“Boleh engkau tutup mulut?” Dia bertanya lembut. Walaupun dia percaya Manjoy boleh dipercayai namun dia perlukan satu kepastian.

“Engkau balik sajalah dulu. Settlekan apa yang perlu. Kalau ada apa-apa hal, telefon aku.”

Jimmy tarik nafas panjang. Di matanya silih berganti antara wajah Pakkai dan wajah ayahnya. Dia harus memilih salah satu.

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.