Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,535
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3
Keesokan harinya…

Pinggir Bukit Tinggi

KABUS di perbukitan menghalang pandangan. Sambil membetulkan jaket yang dipakai, Jimmy menyambung menungannya yang panjang di beranda apartment. Semalaman tidak tidur menyebabkan tubuh badannya agak lesu. Ditambah kerisauan memikirkan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi, dia benar-benar rasa bagai dihempap batu besar. Angin sejuk yang menghilir dari arah perbukitan itu pun tidak mampu lagi menghadirkan rasa damai.

“Cepat bangun?” tegur Manjoy yang menggeliat ala-ala kucing jantan di muka pintu gelonsor. Tubuhnya yang tidak berbaju menampakkan tubuhnya yang kurus namun keras, hasil latihan Muay Thai yang berterusan.

Suara Manjoy membuatkan Jimmy menoleh seketika. Teringat jam tangan yang ditinggalkan di atas meja di sebelah katil.

“Dah pukul berapa ni?”

Manjoy menoleh ke arah dinding di dalam rumah, kemudian menoleh ke arah Jimmy semula.

“Pukul 7.”

“Cepat bangun?” Jimmy pula bertanya. Terdetik rasa hairan kerana selalunya kalau belum pukul dua belas tengah hari, Manjoy tidak akan buka mata.

“Nak terkencing.” Manjoy tersengih sebelum tergesa-gesa meninggalkan Jimmy sendirian semula di beranda itu.

Jimmy menarik nafas panjang, kemudian kembali termenung. Apa yang menganggu fikirannya jelas terbayang di ruang mata. Mampukah dia berdepan semula dengan semua yang telah ditinggalkan sejak 15 tahun yang lalu? Mahukah mereka menerima semula dirinya dengan baik? Bagaimanakah sambutan mereka? Dia rasa terhukum oleh pelbagai persoalan yang tidak ada jawapannya.

“Dah packingbaju?”

Spontan Jimmy menoleh. Nampaknya Manjoy sudah kembali ke situ. “Belum,” jawabnya sepatah.

“Aik? Kenapa tak packing lagi?” Manjoy tarik sebuah kerusi besi di tepi pintu. Lalu bunyi kerusi yang terseret begitu jelas kedengaran di dalam suasana persekitaran yang masih lagi sepi. Lantas dia duduk bersilang kaki bagaikan senang hati. “Bukan selalu balik pun… seingat aku… aku tak pernah ingat kau pernah balik kampung. Sebut pasal mereka pun tak pernah.”

“Pernah aku tanya pasal keluarga kau?”

Manjoy terdiam.

Jimmy mengeluh perlahan. Bukan niatnya mahu menyakiti hati Manjoy tetapi Manjoy bukan tidak tahu. Soal keluarga adalah satu soal yang tidak akan didedahkan oleh mana-mana ahli kumpulan mereka. Tidak terkecuali dia dan Manjoy sendiri.

Mereka hidup bagaikan anak-anak terbuang, jauh dari keluarga masing-masing. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu Manjoy berasal dari mana. Manjoy juga tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. Bercerita apatah lagi.

“Sorry, aku…” Setakat itu Manjoy bersuara. “Tak apalah. Kau baliklah dulu… kalau ada apa-apa masalah telefon ajelah.”

Sehabis berkata-kata Manjoy bangkit lalu melangkah perlahan masuk ke dalam rumah semula.

Jimmy tidak menoleh sedikit pun. Dia tahu Manjoy bukanlah lembik bagaikan budak hingusan. Setakat kena herdik, kena maki, kena sepak terajang sudah tidak jadi hal. Ini kan pula setakat berbalas kata. Tetapi kalau semua itu benar, kenapa hatinya sendiri terasa amat runsing. Ada perasaan malu yang teramat malu menguasai dirinya. Patutkah dia pulang?

*****

SEJAM sudah berlalu. Dia sudah mandi dan kini berdiri di hadapan cermin. Ditanggalkan rantai emas yang selama ini menghiasi lehernya. Begitu juga dengan subang di kedua belah cuping telinganya. Disimpan dalam sebuah bekas kaca. Kemudian matanya tertancap pada lukisan tatoo bercorak burung enggang di bahu kirinya.

Satu perasaan aneh menyelinap dalam hati. Perasaan yang tidak pernah datang sebelum ini. Perasaan kesal. Kesal kerana telah melakukan satu perbuatan yang dilaknat ALLAH. Cuma pada waktu itu dia terlalu mengikutkan kawan-kawan. Kononnya tatoo itu lambang keberanian dan kekuatan. Siapa yang tidak bertatoo bukan anak jantan.

Sekarang melihatnya semula, dia rasa malu. Ia bukan lagi satu kebanggaan tetapi sudah menjadi satu tanda hidupnya yang hitam. Yang terpaksa dibawa ke mana-mana. Yang terpaksa disorokkan daripada kebanyakan orang, apatah lagi ahli keluarganya.

Seraya membendung perasaan kesal itu, dia menyarung sehelai baju yang bersih. Kemudian ditarik keluar dari bawah katil, sebuah beg pakaian berjenama ADIDAS. Dia ambil tiga helai baju-T yang paling mahal dan sehelai seluar jeans berjenama dari almari lalu dimasukkan sahaja ke dalam beg. Sehelai tuala, sebotol bedak dan sebotol minyak wangi yang berharga hampir seribu ringgit sebotol dibawa sekali. Dia mesti pulang dengan bergaya.

Dia mesti menemui mereka semula dalam keadaan yang terbaik demi ego yang dijunjung. Demi membuktikan bahawa keputusannya 15 tahun yang lalu tidak salah. Dia juga mampu hidup senang dan mampu membeli apa sahaja. Mungkin lebih daripada mereka yang masih ada di kampung.

Selepas menutup bilik tidurnya dia meninggalkan apartment. Sebelum dia keluar, sempat juga dia menoleh ke arah bilik tidur Manjoy yang sunyi sepi. Dia percaya Manjoy sudah tidur semula. Dia tidak sampai hati untuk mengganggu Manjoy. Lagipun dia yakin, Manjoy akan faham ke mana dia menghilang apabila terjaga nanti.

Enjin kereta Honda Accord berwarna hitam miliknya, dihidupkan segera. Beg baju yang dibawa tadi dicampakkan sahaja di kerusi belakang. CD nyanyian kumpulan My Chemical Romance segera dipasang. Serentak dengan keluarnya suara Gerard Way, keretanya laju meninggalkan ruang parkir di bawah apartment. Bersama tarikan nafas yang sesak, dia menekan minyak. Perjalanan masih jauh, sejauh ingatannya pada waktu itu.

15 tahun yang lalu…

“Ini aje yang engkau dapat? Puas abah ajar engkau siang malam, puas abah hantar engkau ke kelas tusyen, puas abah cari duit bayar cikgu sana-sini, beli buku tambahan bertimbun-timbun… macam ni aje?”

Dinding rumah yang diperbuat daripada kayu terasa bergegar dek suara ayahnya. Ibunya dan dua orang adiknya yang masih kecil hanya menikus di tepi dinding. Langsung tidak berani berkutik.

Dia hanya membisu. Kepalanya tunduk merenung lantai yang tidak berlapik apa-apa. Sejak keputusan peperiksaan itu keluar di sekolah pun, dia tahu apa yang bakal menantinya di rumah. Namun dia juga sedar, tidak ada gunanya dia melarikan diri. Apa pun yang bakal terjadi, dia perlu juga hadapi. Ke mana dia harus pergi? Sejauh mana dia boleh lari?

“Engkau ingat, soal peperiksaan ni main-main ya?”

Serentak dengan itu, slip keputusan peperiksaan yang dipegang ayahnya hinggap di mukanya. Walaupun dadanya ingin meletup kerana terlalu sedih namun dia tetap tidak menjawab. Dia tetap tunduk sambil menahan air mata sekuat hati. Pada saat itu, terasa dirinya tidak ada harga langsung di mata ayahnya.

Melihatkan sikapnya yang tidak mahu membuka mulut, ayahnya mengeluh berat. Suasana di ruang tamu itu terus senyap sunyi. Sesungguhnya, pada waktu itu, jantungnya berdetak laju. Tetapi dia hanya boleh menunggu apa yang akan berlaku selepas itu.

“Tak payahlah belajar lagi kalau macam ni. Buat menghabiskan duit aje. Otak lembab macam lembu.”

Dia tertelan air liur jadinya. Dia akur, keputusan peperiksaannya hanya setakat itu. Tetapi bukan dia tidak berusaha. Dia sudah berusaha sehabis daya. Dia sendiri amat kecewa. Namun sekarang, dia lebih berasa kecewa apabila melihat sikap ayahnya yang seolah-olah melihatnya seperti seorang yang tidak berusaha. Ayahnya tidak nampak kekecewaan yang ditanggung. Dia rasa tidak ada arah untuk berkongsi perasaan apabila ayahnya sendiri tidak mempercayainya.

“Dalam zaman sekarang ni, kalau tak ada pelajaran jangan harap nak jadi orang. Anak orang lain berebut-rebut nak dapat keputusan yang bagus-bagus, berebut-rebut nak masuk asrama penuh. Engkau?”

Tiba satu ketika, air mata dia menitik juga. Terasa terbang segala semangat yang dahulunya ada. Dia mahu berjaya dalam pelajarannya, mahu masuk asrama penuh seperti yang selalu dicanang-canangkan oleh orang kampung dan guru-guru. Dia ingin juga menjadi anak yang dibanggakan oleh seorang ayah. Tetapi sekarang, semua impiannya itu ranap dek sergahan ayahnya yang bertubi-tubi. Benarkah hidupnya sudah pun berakhir?

Namun pertanyaan itu hanya tinggal pertanyaan. Tiada siapa yang mahu menjawabnya. Setelah puas melepaskan kemarahan dan kekecewaannya, ayahnya terus meninggalkan rumah dengan motorsikal buruknya.

Dia terus termenung di situ. Hanya setelah deruman enjin motorsikal ayahnya tidak kedengaran lagi, dia kutip slip peperiksaannya yang jatuh ke lantai. Air matanya menitik makin laju. Jiwanya lesu.

Pada sebelah malamnya pula, dia terdengar pergaduhan di bilik tidur ayah dan ibunya. Dia yang tidur sebilik bersama adiknya, terus terganggu.

“Dia budak lagi, bang,” terdengar suara ibunya menegur.

“Sebab budaklah, kita kena marah dia,” bantah ayahnya. “Besok kalau dah besar, kalau dah tak jadi orang… apa kita cakap pun dah tak guna.”

“Tapi cara abang tu keras sangat.”

“Nak berlembut macam mana lagi? Kalau berkeras pun tak boleh buka otak dia yang bodoh tu, kalau berlembut teruslah bangang sampai ke tua.”

Ibunya senyap.

“Kalau dia terus tak sedar-sedar lagi macam ni, tengoklah nanti. Dia akan jadi manusia yang tak berguna. Tak usahkan nak menolong kita nanti, menyusahkan kita adalah. Silap-silap jadi penagih dadah macam budak-budak di kampung ni. Habis aje sekolah terus masuk hutan cari dadah.”

“Abang… janganlah doakan macam tu. Dia anak kita. Bodoh atau pandai, dia tetap anak kita.” Ibunya bersuara semula.

“Huh! Kalau nak ada anak pun, biarlah boleh diharap. Kalau tak menyenangkan mak bapak sekalipun, taklah menyusahkan pula,” balas ayahnya. “Abang penat cari duit siang malam, untuk dia belajar. Tapi dia… pergi periksa main-main. Dia langsung tak hargai usaha kita, penat lelah kita. Itu yang buat abang kecewa sangat.”

“Dia dah berusaha. Kita pun dah habis ikhtiar, kalau itulah aje rezeki kita, kita terima ajelah.”

“Tak boleh macam tu,” bantah ayahnya lagi. “Tahun depan, abang nak hantar dia ke asrama di tempat lain. Biar dia hidup dengan orang lain. Mungkin dia boleh faham hidup ni macam mana. Selagi tinggal di sini, dia takkan jadi orang.”

“Tak payahlah, bang. Tinggal di asrama pun bukan sikit belanjanya.”

“Abang tak kira. Kalau dia ada di rumah pun, bukannya boleh buat apa. Buat hati abang panas aje tengok muka bodoh dia tu hari-hari!”

“Tak baik abang cakap macam tu. Nanti kecil hati dia. Macam mana pun dia, dia tetap anak kita.”

“Anak tak guna,” pantas ayahnya menyambung. “Nanti adik-adik dia pun terikut-ikut perangai dia. Sepatutnya dia sebagai abang mesti menjadi contoh tapi sekarang? Apa yang boleh dicontohkan? Kebodohan?”

Kali ini suara ibunya tidak kedengaran lagi dan hatinya menjadi sakit… teramat sakit. Kalau ayahnya tidak sanggup memandang wajahnya lagi, apa gunanya lagi dia tinggal di situ? Kalau apa yang berlaku pada dirinya itu akan mempengaruhi adik-adiknya, biarlah dia tidak ada di situ. Dia tidak mahu semua orang menjadi mangsa akibat kebodohan dirinya.

Lalu, pada malam itu juga, dia tinggalkan rumah tanpa hala tuju. Dan pada setiap langkah kaki yang diambil dia memasang janji kepada dirinya sendiri. Suatu hari nanti, dia akan pulang dengan kejayaan, dengan kekayaan yang mengkagumkan ayahnya dan orang kampung. Dia mahu buktikan yang dia boleh juga menjadi manusia yang berjaya walaupun dengan keputusan peperiksaan yang begitu. Dia mahu ayahnya gembira apabila menatap wajahnya semula. Sayangnya selepas 15 tahun, dia masih belum berani pulang.

Walaupun dia sudah memiliki beberapa harta yang dikumpulkan perlahan-lahan namun dalam hatinya tetap berasa tidak puas. Seperti ada sesuatu yang kurang. Rasa puas itu tidak sampai ke jiwa. Dia tidak tahu kenapa.

Pon!

Bunyi hon dari sebuah lori panjang mengejutkan dia yang memandu sambil mengelamun. Tergesa-gesa dia ke tepi bagi memberikan laluan kepada lori yang mahu memotong laluannya. Rupa-rupanya dia sedang memandu terlalu perlahan sehinggakan lori panjang pun mampu memotongnya dengan laju. Setelah berada di atas jalan raya selama tiga jam… dia tiba di Bandar Dagang yang terletak di pinggir sungai yang luas. Lututnya terasa sejuk.

Ya, dia semakin dekat.

*****

LIMA belas tahun… bukan satu jangka waktu yang singkat. Banyak perubahan yang dilihatnya di bandar itu. Deretan kedai yang dulunya hanya satu tingkat telah digantikan dengan bangunan-bangunan dua tingkat dan pusat membeli-belah yang moden. Sebuah jeti yang dahulunya sibuk dengan orang ramai yang menyeberang dari seberang sungai ke situ dengan menggunakan bot, kini sepi. Bahkan sudah dijadikan waterfront.Sejujurnya dia terasa seperti orang asing di tempat yang pernah menjadi tempatnya sendiri. Bandar Dagang.

“Nak ke mana, nak?” tegur tuan punya kedai makan yang menghadap tepian sungai. Diletakkan semangkuk cendul pulut yang dipesan sambil matanya merenung lama ke wajah Jimmy.

“Tak ke mana. Nak balik kampung sekejap. Jenguk mak,” balas Jimmy dengan tenang. Dia tahu, di situ dia bukan Jimmy. Dia… Aazim.

Lelaki berambut hampir putih itu terangguk-angguk. “Kampung kat mana?”

“Silak Tua.” Jimmy tersenyum tawar sebelum mencicipi cendul pulut yang menggoda seleranya. Mahu tidak mahu, dia harus akur yang dia akan berdepan dengan banyak persoalan dalam masa beberapa hari ini. Elok juga sekiranya dia berlatih sebelum berdepan dengan soalan-soalan yang lebih rumit.

“Oh! Kampung Silak Tua…”

“Duduklah,” pelawa Jimmy. Tidak selesa pula dia berbual sambil duduk, sedangkan lawan cakapnya pula berdiri. Tekaknya sendiri rasa sukar untuk menelan apabila asyik mendongak.

Sebaik sahaja dipelawa, tuan punya kedai itu terus menarik kerusi. Nampak jelas di wajahnya amat berminat untuk mengenali Jimmy.

“Kampung Silak Tua rupanya… balik bercuti ke? Seorang aje?”

“Sorang aje, pak cik. Pak cik pun orang sana ke?” Jimmy memandang wajah pak cik di hadapannya itu. Mungkinkah orang kampungnya? Mungkinkah pak cik itu mengenalinya? Rasa cuak mula datang bertimpa-timpa.

“Tak, tapi biasa juga ke situ. Ada tanah kebun yang pak cik beli di kawasan tu. Di situ dah tak ramai orang tinggal. Ramai dah pindah.”

Sudah ramai orang berpindah? Terdetik kerisauan di hati Jimmy. Mungkinkah ibunya sudah berpindah sama? Timbul rasa kesal dalam hatinya kerana tidak bertanya betul-betul kepada Kak Misah tempoh hari. Tetapi segalanya sudah terlambat, dia harus pulang ke sana secepatnya untuk mendapatkan kepastian.

“Ya ke? Tak perasan pula saya,” balasnya perlahan. Segan pula kalau pak cik itu tahu yang dia sudah 15 tahun tidak menjejakkan kaki ke kampung halamannya. Malu.

“Tapi setahu pak cik, tak lama lagi kampung tu akan dapat ketua baru.”

“Kenapa?” Mata Jimmy terkebil-kebil. Apa lagi yang dia tertinggal?

“Dr Rafar yang jadi ketua kampung tu dah meninggal jadi… tak lama mereka akan lantik ketua kampung barulah.”

Hati Jimmy terasa lega. Apa yang dikhabarkan itu tidaklah menjadi soal penting kepada dia. Dia pun sudah ingat-ingat lupa kepada ketua kampung yang bernama Dr Rafar itu tetapi dia ingat, ayahnya tidak pernah menghadiri apa-apa majlis yang diadakan oleh ketua kampung itu. Entah kenapa, dia tidak tahu. Cuma pernah juga dia curi-curi pergi ke kenduri mereka tanpa pengetahuan ayahnya. Dia lihat, tidak ada pula yang tidak kena di sana. Entahlah apa yang tidak kena di mata ayahnya.

“Dr Rafar dah meninggal rupanya,” katanya sebagai mengambil hati. Walhal dalam hati, dia tidak peduli langsung. Banyak soal lain yang perlu difikirkan lagi.

“Dah lama dah… dah lebih 40 hari.” Pak cik itu semakin bersemangat untuk bercerita. “Anak ni, dari keluarga belah mana? Keluarga Tok Siang Waki ke… atau Tok Liang Ubi?”

Jimmy menelan air liur. Ya, memang dia ada susur galur namun sejujurnya dia sudah terlupa nama keluarganya. Yang dia ingat, Kampung Silak Tua dibangunkan oleh tujuh ketua keluarga. Itu sahaja, entah dia dari keluarga yang mana, dia betul-betul sudah lupa. Akhirnya dia hanya tersenyum kelat.

“Minta diri dululah, pak cik.” Dia terus bangun dan mengeluarkan beg dompetnya. Dihulurkan wang lima ringgit.

Pak cik itu tergesa-gesa mengeluarkan duit kecil sebagai baki namun segera ditolak oleh Jimmy.

“Tak apalah, pak cik. Tak payah pulangkan baki.”

“Eh!” Pak cik itu benar-benar terkejut.

Jimmy hanya mengangkat tangan sebelum bergegas semula ke kereta. Dia benar-benar mahu pulang segera ke rumah ibunya. Sekiranya benar mereka sudah berpindah, dia mungkin sempat mencari keluarganya di tempat yang lain sebelum malam menjelang tiba. Tanpa berlengah dia tinggalkan Bandar Dagang setelah membelikan satu beg plastik buah-buahan yang mahal dari sebuah pasaraya di situ.

Dari bandar ke Kampung Silak Tua, mengambil masa lebih kurang lima puluh minit. Untuk sampai ke kampung itu, dia terpaksa memandu melalui sebatang jalan kecil yang menyusuri sepanjang Sungai Silak. Itulah pengalaman yang sangat terkesan di hatinya.

Dia cukup suka melalui jalan itu walaupun hanya dengan menaiki bas. Sungai yang luas, pokok-pokok yang berjuntai ke air dan perahu di tambatan. Semuanya menghidangkan pemandangan yang tiada gantinya. Menghadirkan rasa tenteram dan bahagia yang pernah dahulu ada.

Tetapi kali ini dia pulang dengan memandu kereta sendiri. Rasanya lebih seronok dan menggembirakan. Leka menikmati pemandangan yang dirindui sambil dibelai udara desa yang segar, tidak sedar dia sudah tiba ke tempat yang dicari-cari.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.