SUARA Azizan begitu mengharap. Mariah serba salah. Hendak berkata
‘ya’ dia tidak sepenuh hati tapi dia tidak sampai hati untuk berkata ‘tidak’.
“Mariah, saya tak dapat balik KL.
Sekarang ada projek baharu yang saya kena urus. Awak balik dulu. Awak ada cuti
dua minggu. Takkan awak tak nak jumpa keluarga awak?”
Pujukan Azizan semakin
menggoyahkan perasaan Mariah. Pulang ke Sabah memang keinginannya setiap kali
bercuti. Rindu terhadap keluarga sentiasa membuak.
“Tapi saya cadang nak balik cuti
semester yang panjang nanti,” kata Mariah. Dia sudah merancang balik pada cuti
semester selama tiga bulan nanti.
“Cuti tu nanti awak baliklah
juga, okey? Saya akan tanggung semuanya, jangan risau.”
“Bukan macam tu, saya
sebenarnya...”
“Saya nak jumpa awak, Mariah.
Awak tak pernah ingat kat saya agaknya!”
Mariah terkedu dengan kata-kata
Azizan itu. Terasa ucapan itu begitu ikhlas daripada Azizan. Bukan dia tidak
ingat pada Azizan tetapi dia langsung tidak merancang balik pada cuti semester
pendek itu. Dia perlu berjimat. Banyak duit yang dapat dia jimatkan jika dia
tidak ke mana-mana sehingga cuti panjang semester akan datang.
“Kenapa awak diam?” tanya Azizan.
“Hmm, takdelah. Okeylah... saya
akan balik,” kata Mariah perlahan. Dia perlu beralah.
“Balik ikut masa tiket tu, okey?
Saya akan tunggu awak kat KKIA. Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...”
Suara Azizan sudah lama senyap
dari corong telefon. Namun Mariah masih termangu-mangu. Dikeluarkannya tiket
penerbangan ke Kota Kinabalu yang diselitkan dalam buku undang-undangnya yang
tebal. Ah, sepatutnya dia sangat bersyukur. Dia dapat balik. Sungguh dia
teringin hendak balik, dia terlalu rindu pada papa, mama, abang dan
adik-adiknya. Jika tidak balik ke Sabah, dia akan tinggal keseorangan di rumah
sewa kerana Sofina sudah tentu akan balik ke rumah orang tuanya.
Sebelum ini dia berangan-angan akan balik bila
cuti semester yang panjang nanti, supaya duit yang terkumpul bertambah lagi.
Ada beberapa barang yang ingin dibelinya buat keluarganya, terutama papa dan
mamanya. Bukan selalu berpeluang seperti itu. Jika bukan kerana Natasya
lebihkan kiriman wang untuknya, pasti dia tidak mampu mengumpul duit.
Mariah bergegas ke bilik air
untuk membersihkan diri bagi menunaikan solat Maghrib. Malam ini, dia dan
Sofina ada perbincangan kumpulan belajar di dewan kuliah.
Usai menunaikan solat, dia
bergegas pula mencari Sofina. Diketuknya pintu bilik gadis itu.
“Dah siap? Jom pergi...” kata
Mariah sejurus pintu bilik Sofina terkuak.
“Jom, tapi kejap! Aku nak minum
air dulu.”
“Sofi, esok pagi saya nak balik
Sabah.” Mariah memberitahu ketika mereka sudah di dalam kereta.
“Awak jadi balik jugak? Eloklah,
saya bimbang tinggalkan awak seorang kat rumah. Ajak awak ikut saya balik, awak
tak nak!”
Mariah tersengih. Bukan dia tidak
sudi tetapi dia segan pada orang tua Sofina. Sudah dua kali dia memenuhi
permintaan Sofina, setakat semalam dua bermalam dia tidaklah keberatan.
“Sebenarnya... Azizan beria-ia
suruh saya balik. Dia yang beli tiket penerbangan ni. Tak sampai hati saya
menolak lagipun saya rindu sangat kat mama, papa dengan adik- adik...”
“Bertuah badan! Azizan tu
sayangkan awak, Mariah.” Sofina ketawa. Dipandangnya Mariah seketika namun
sempat menjongket-jongketkan keningnya.
“Eh, mana awak tahu? Saya tak
tahu pun.” Mariah tersenyum segan. Hatinya tidak menafikan. Meski dia tidak
pasti perasaan sebenar Azizan terhadapnya, dia yakin dengan perasaannya sendiri
terhadap Azizan. Namun dia tidak berani terlalu berharap.
“Saya tahulah... tengok dari cara
dia pun dah tahu. Takkan awak tak tahu pulak? Dia boyfriend awak!”
Mariah hanya menjongketkan bahu.
Mempamerkan senyuman.
SELESAI saja perbincangan, Sofina dan Mariah terus balik ke rumah.
Mereka tiba di rumah hampir pukul 11.00 malam.
“Awak dah berkemas, Mariah? Esok
awal pagi saya hantar awak ke KLIA. Lepas hantar, saya terus balik kuantan,”
kata Sofina.
“Belum Sofi, saya tak sempat
tadi. Sehari kita kuliah, penat sangatlah. Saya mengantuk.” Mariah mulai
menguap. Memang sungguh letih.
Sofina tahu sejak pengajian tahun
ke-3 itu, tugas mereka kian berat. Mariah pula pantang melakukan kerja separuh
jalan. Semuanya perlu sempurna. Mariah juga pantang melihat kerjanya ada
kecacatan, biar hanya sedikit pun. Walaupun waktu sudah Subuh, Mariah akan
selesaikan tugasnya juga terlebih dahulu. Sofina akui, dia tidak mampu
melakukan tugasan sebaik Mariah.
Sofina berasa simpati memandang
Mariah yang letih dan sudah terduduk lemas di sofa. Ketika Sofina datang dengan
secawan Nescafe, Mariah sudah hampir terlelap. Tubuhnya sudah terkulai rebah.
“Terima kasih, Sofi. Saya letih
sangat hari ini,” kata Mariah perlahan dengan mata redup.
“Sama-sama. Saya ada bawakan roti
bakar dan minuman panas ni. Minumlah dulu... lepas tu awak masuk tidur. Esok Subuh sajalah awak kemas
baju.”
Sofina menepuk perlahan bahu
Mariah. Dia bimbang Mariah akan tertidur dalam keadaan lapar. Melihat Mariah
membuka mata dan berusaha bangun, Sofina tersenyum. Minumannya segera diteguk
sehingga habis.
Niat Mariah hendak tidur selepas
mencuci muka dan menggosok gigi terbantut. Telefonnya berdering.
“Azizan lagi... apa lagi dia nak
tengah malam buta ni?” bisik Mariah.
Namun, tetap disambutnya
panggilan itu dengan sopan. Tatkala Azizan membuat humor, lesap kantuknya
serta- merta. Mariah terhibur lantas ketawa halus.
“Ada perkara saya nak bincang
dengan awak tapi tunggulah awak sampai esok,” kata Azizan sebelum menamatkan
perbualannya.
“Apa dia? Cakap sajalah,” desak
Mariah.
“Awak sabarlah, esok saja okey.”
“Esok lama lagi. Awak cakaplah
sekarang,” desak Mariah lagi, tidak berpuas hati selagi tidak tahu apa yang
ingin Azizan katakan.
“Kelakarlah awak ni, Mariah.
Sebelum tengah hari esok kita jumpa, okey?” Azizan ketawa perlahan.
“Okeylah!” Mariah menghela nafas.
“Saya rindu sangat kat awak, Mariah.
Tak sabar nak jumpa awak esok!”
Mariah tergamam. Kelu lidahnya.
Hampir tidak sempat membalas salam Azizan.
Usai memasukkan beberapa pasang
baju, Mariah duduk di pinggir katil. Beg sederhana besar di tepi almari pakaian
ditatap dengan mata redup. Dia hanya membawa pakaian, buku rujukan dan beberapa
buku nota ringkas yang penting. Melihat jam tangannya sudah pukul 12.45 tengah
malam, Mariah merebahkan tubuhnya.
Tatkala Mariah meluruskan posisi
tubuhnya, telefon bimbitnya tiba-tiba berdering lagi. Butang hijau segera
ditekan tanpa melihat nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Azizan... kenapa call lagi? Awak
tak nak tidur ke?”
“Assalamualaikum, Mariah!”
Suara lelaki itu sungguh jelas
menyusuri lohong telinganya. Mariah terkesima. Ternyata itu bukan suara Azizan!
SUE terpaku. Seakan-akan tidak yakin dengan penglihatannya.
Maklumlah dia baru terjaga. Tenaganya belum pulih sepenuhnya. Namun kemunculan
sahabatnya yang dirindukan itu seperti memberi tenaga. Tidak terkata
kegembiraannya. Matanya berkaca, air mata sudah bergenang.
“Ya ALLAH... Mariah, aku macam
bermimpi. Kau tiba- tiba muncul depan mata aku...”
Sue menggenggam erat tangan
Mariah selepas meleraikan pelukan. Sungguh, dia terlalu gembira. Mariah ketawa
perlahan, air matanya sudah bertakung lalu luruh perlahan menyusuri pipinya
yang mulus.
“Eh, kenapa Abang Shim tak cakap
pada aku yang kau ada balik, Mariah? Ya ALLAH... aku tak sangka!”
“Aku baru saja tiba, Sue. Dari
lapangan terbang terus ke sini. Kau sihat, Sue?”
Teringat bagaimana kalutnya dia
tengah malam semalam gara-gara mendapat panggilan daripada Shimrul.
“Astaghfirullah!
Waalaikumussalam... kau rupanya, Shim?”
“Maaf, aku mengganggu kau
tengah-tengah malam, Mariah.”
“Tak apalah, Shim. Jarang kau
telefon waktu begini. Ada apa-apa berlaku kat sana?” Serta-merta Mariah berasa
tidak sedap hati. Bimbang sesuatu tidak baik berlaku di Kampung.
Kedengaran suara tawa Shimrul.
“Tak ada apa-apa yang berlaku, Mariah. Jangan risau. Cuma aku nak beritahu kau,
Sue dah selamat bersalin. Aku dah jadi ayah... ”
Masih terngiang-ngiang suara
Shimrul yang girang. Mariah tersenyum-senyum mengingati betapa terujanya
Shimrul memberitahu kegembiraannya. Dan kerana itu, dirinya kini bersama Sue.
Gembira dapat bersua dengan Sue lebih-lebih lagi pada ketika Sue sedang
dilambung kebahagiaan yang tiada taranya. Bermula semalam, Sue sudah sah
bergelar seorang ibu dalam usia yang sangat muda. Sudah pasti perjuangan
memberi nafas buat bayinya agar dapat menghirup udara semester alam merupakan
satu pengalaman paling indah bagi Sue.
“Aku sihat, Mariah.
Alhamdulillah, syukur segala dipermudahkan-NYA. Aku gembira sangat kau datang,
Mariah. Lama sungguh tak jumpa kau...”
Sejak Mariah melanjutkan
pelajaran, mereka sangat jarang bertemu. Dia faham, keadaan Mariah tidak lagi
seperti dulu. Sebelum Mariah melanjutkan pelajaran, senang dan susah ditanggung
bersama-sama ketika mereka mencari rezeki di bandar raya Kota Kinabalu. Banyak
pengalaman yang dikongsikan bersama.
Sue menatap wajah Mariah yang
semakin jelita di matanya. Semuanya sudah berubah mengikut peredaran masa. Dia
sendiri sudah bergelar isteri kepada Shimrul lebih setahun yang lalu dan kini
sudah menjadi ibu pula. Mariah pula masih meneruskan perjuangannya,
bertungkus-lumus mengejar cita-citanya. Dia turut berbangga dan kagum dengan
semangat kental Mariah.
“Baby kau comel sangat, sue.”
Mariah menatap kagum pada bayi yang nyenyak tidurnya di dalam katil bayi.
Sempurna sungguh ciptaan ALLAH itu.
Sue tersenyum bangga. “Bila
tengok baby aku tu, aku lupa segala kepayahan dan kesakitan yang aku tanggung
sebelum baby aku lahir, Mariah.”
Mariah menganggukkan kepalanya,
ditatapnya wajah ceria Sue. Beruntung sahabatnya, dan beruntung juga Shimrul.
Kedua-duanya sahabat baiknya sejak dari kecil lagi. Jodoh Shimrul dan Sue
memang sudah ditakdirkan, bersahabat dari kecil tapi akhirnya membibitkan benih
kasih apabila meningkat dewasa.
“Ya, hidung dia mancung macam
hidung kau, Mariah. Bulu mata dia panjang. Mungkin lentik macam bulu mata kau
jugak...” kata Sue lagi, sambil ketawa perlahan.
“Alah, masih baby lagi. Tak
nampak lagi rupa dia mirip siapa,”
Mariah ketawa.
“Hmm, ya... tapi aku nak anak aku
solehah, baik, bijak dan jujur macam kau, Mariah.”
“Alhamdulillah... tinggi sangat
kau puji aku, Sue. Semoga ALLAH kabulkan doa kau, Sue.” Mariah tersenyum,
hatinya sungguh terharu.
“Amin...” Sue meraup wajahnya.
“Terima kasih kerana sudi datang jenguk aku, Mariah.” Sue menggenggam erat
tangan sahabatnya itu.
“Bukan selalu dapat lawat orang
bersalin ni, Sue. Selepas ni, kena tunggu
tahun depan atau dua tahun lagi baru dapat lawat kau bersalin lagi!” Mariah
berlawak.
“Semoga ada rezeki, Mariah.
Mungkin juga aku pula yang melawat kau bersalin tahun depan. Siapa tahu
ketentuan- NYA, kan?” Sue ketawa sambil menggamit lengan Mariah.
Mariah mengusap perlahan lengan
Sue. Kata-kata Sue memberi sedikit kesan di jiwanya. Hatinya disapa bahagia
meskipun itu hanya kata-kata kosong dari sahabatnya itu.