Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,837
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

LAMPU suluh yang diikat kemas pada dahinya tiba-tiba berkelip beberapa kali lalu terpadam. Tawin hampir tersungkur berhampiran pokok getah bila kakinya tersangkut pada akar yang menjalar di permukaan tanah. Andai lengannya tidak sempat berpaut pada sebatang pokok renek, sudah pasti dia jatuh telungkup.

Tawin terengah-engah, sungguh terkejut meskipun perkara seperti tadi sering berlaku. Dia terduduk dalam gelap, menenangkan diri seketika agar rasa terkejutnya surut. Lampu suluh yang terikat pada dahinya ditanggalkan. Terpadam dengan tiba-tiba, mentol itu pasti sudah rosak.

“Rosak lagi mentol ni!” Tawin mengomel.

Dia mendengus lantas menyeluk beg sandangnya. Sebiji mentol kecil dikeluarkan lalu dipasangkan pada lampu suluh yang sudah ditanggalkan mentolnya. Kerap kali mentol lampu suluhnya mati tiba-tiba. Mungkin kerana mentol yangdibelinya tidak berkualiti. Mentol yang murah!

Selepas mentol itu diketatkan, dihidupkan lampu suluhnya. Terang nyalanya. Dia mengeluh sekali lagi. Hatinya bersyukur lampu suluh itu masih elok lagi, masih boleh membantu. Dalam kepekatan Subuh yang dingin itu dia keseorangan di tengah-tengah kebun getah yang

kelihatan seperti hutan belantara.

Tanah kebun getah itu tidak rata. Dia terpaksa naik turun bukit. Meskipun tidak terlalu tinggi tetapi sudah cukup menguji ketahanan tubuhnya yang sudah berusia. Namun dia tidak pernah bosan dengan kerjanya. Rutin menoreh itu dilakukannya semenjak usia remaja lagi. Sudah lali menempuh pelbagai keadaan, saban Subuh dia terkedek-kedek dalam kebun getah yang luasnya lebih tiga hektar itu. Tidak pernah culas kecuali hujan menimpa bumi.

Tawin meneruskan kerjanya. Lampu suluh akan dipadamkan tatkala sang suria menyapa bumi. Walau kudratnya tidak setangkas dan cergas seperti sepuluh tahun yang lalu, namun Tawin tetap mampu menyiapkan kerja menoreh sebelum matahari tegak di atas kepala.

Setengah hari dia memanfaatkan kudrat, dan akhirnya dia berteduh di pondok usang di kebun getah itu. Berehat sebentar, melepaskan lelahnya dalam setengah jam. Dia mendongak. Dari celah-celah atap nipah dia dapat melihat pancaran matahari kian terik. Matanya memandang ke sisi, tertancap pada beg sandang yang sudah terlalu lusuh. Dikeluarkan botol air dari beg sandangnya itu.

Dia menarik nafas lebih panjang dan dilepaskan melalui mulut. Meski kerja itu sudah sebati dengan dirinya namun bohonglah jika dia katakan dia tidak letih setiap hari. Namun digagahkan dirinya, segala keperluan keluarga terpikul di bahunya. Hidup keluarganya bergantung pada kudratnya. Namun sudah tentu dia tidak mampu memenuhi segala keperluan dengan sempurna.

Dalam kelelahan, Tawin melontarkan fikirannya mencari wajah anak perempuan sulungnya. Terbayang betapa tenangnya wajah anak gadisnya itu ketika menyediakan sarapan Subuh tadi. Tawin tahu perasaan anaknya sedang mendung. Kasihan Mariah.

“Minum pa...” Nada suara itu tetap lembut seperti selalunya. Penuh sopan meletakkan secawan kopi dan sepinggan kecil nasi goreng di hadapannya.

Bermula hari ini, Mariah tidak lagi sibuk bergelut dengan masa untuk menyediakan sarapan. Tidak lagi tergesagesa menyeru nama adik-adiknya supaya bangun Subuh dan tidak lagi bergegas bersiap untuk ke sekolah. Bermula hari ini juga, Mariah hanya mengurus adik-adiknya yang masih perlu meneruskan perjuangan menuntut ilmu.

Tawin mengeluh keras sambil telapak tangan kanannya diurut-urutkan ke dadanya. Sesungguhnya, tidak sekelumit pun dia berasa senang hati dengan pengorbanan Mariah yang

sanggup beralah kerana memberi laluan kepada adik-adiknya. Tawin sedih kerana ketidakmampuannya hingga Mariah terpaksa melepaskan peluang mengejar cita-citanya. Akan berkecil hatikah Mariah terhadapnya?

Benaknya sarat ketika turun dari pondok usangnya. Dia perlu menyelesaikan kerjanya, memungut susu getah. Tugasnya selesai setelah matahari mulai condong ke arah barat.


MALAM itu, Tawin duduk bersila menghadap makan malam yang sangat ringkas. Ikan sungai rebus kunyit dan tumis pucuk ubi yang ditumis bersama ikan bilis. Namun anak-anaknya tidak pernah mengeluh dan merungut menghadap rezeki seperti itu setiap hari. Ada kalanya lauk mereka sekeluarga hanya telur dadar atau telur rebus bersama sejenis sayur pun sudah memadai. Mereka sekeluarga tetap menikmati rezeki itu penuh kesyukuran.

Namun suasana malam ini ada kelainan, sungguh terasa. Isteri dan anak-anak diam menyepi. Kebiasaannya anak bongsunya, Amizan sedikit kecoh sebelum mereka makan. Amizan tidak duduk diam jika belum mengusik kakaknya, Adila. Suara anak berdua itu pun sudah cukup memenuhi ruang makan. Malam ini mereka senyap sahaja.

“Milah, mana Mariah? Kenapa tak ajak makan sekali?” tanya Tawin. Sejak tadi dia tertunggu-tunggu anaknya itu tapi tidak juga muncul.

“Mariah ada di dalam bilik tu, bang,” sahut Milah.

Tawin memandang anak-anaknya yang lain. Hanya empat orang yang duduk mengelilingi hidangan. Jarang Mariah tidak makan malam bersama mereka. Tawin tahu sayur pucuk ubi bercampur ikan bilis itu kegemaran Maria.

“Dila, pergi panggil kakak,” arah Tawin.

Adila bingkas lalu melangkah panjang ke bilik tidur. Seminit kemudian Adila kembali dan terus duduk di atas tikar mengalas lantai di sebelah Tawin.

“Papa, Kak Mariah kata dia tak lapar.”

“Emm... tak mengapalah. Atina, simpan sikit lauk untuk kakak. Lapar nanti dia boleh makan,” pesan Tawin sambil memandang seorang lagi anak gadisnya.

“Alah... makanan ni bukannya kita makan habis pun, papa,” jawab Atina.

Pantas Tawin mengangkat mukanya, menatap wajah selamba anak gadisnya itu. Namun mulutnya terkatup rapat. Tatkala Adila berdiri lagi, Tawin menunduk melihat nasi di dalam pinggannya yang belum bersentuh. Setelah lauk dan sayur untuk Mariah diasingkan barulah Tawin menyuap nasi ke mulutnya. Ruang makan yang selalunya riuh kini senyap dan sepi sahaja.

Ketika malam kian larut, anak-anaknya sudah lama nyenyak dibuai mimpi, Tawin masih terkebil-kebil merenung atap rumah tanpa lapisan siling di bilik tidurnya. Perlahan-lahan

dia, mengiring memandang isterinya. Mata Milah juga masih terbuka luas seperti matanya.

“Abang tak boleh tidur, Milah.”

“Milah pun, bang,” jawab Milah.

Fikiran mereka berdua sebenarnya sehala lalu bercantum menjadi satu. Hanya memikirkan hal Mariah. Anak gadis mereka yang sedang bersedih hingga tidak lalu makan. Rasa bersalah menghimpit perasaan Tawin. Kekurangan dan kesempitan hidup mereka memaksa Mariah membuat keputusan berhenti belajar. Kasihan Mariah!

“Bang...”

“Ya?”

“Milah sedih, bang. Milah kasihankan Mariah tu. Anak kita tu masih nak belajar lagi tapi terpaksa berhenti pula. Milah tahu Mariah sedih.” Milah berbisik.

“Abang tahu,” jawab Tawin seakan mengeluh. Tawin bangun dan duduk bersila. Sebenarnya dia juga sedih kerana terpaksa menghampakan harapan anaknya.

Semenjak kecil Mariah begitu pintar. Tawin tahu kebolehan anaknya. Setiap kali menerima kad laporan kemajuan, guru kelas pasti memuji, Mariah sering mendapat keputusan yang cemerlang. Dia juga amat bangga dan bersyukur Mariah mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Meski dia tidak pernah bersekolah tinggi tetapi dia faham apa yang diberitahu oleh guru kepadanya.

“Milah, kalaulah abang tak miskin tentu anak-anak kita tidak susah, kan?” keluh Tawin.

Milah bangun lalu duduk menghadap suaminya. Tawin menghela nafas agak keras. Milah faham apa yang bersarang dalam fikiran suaminya tika itu. Sudah beberapa hari fikiran mereka buntu. Memikirkan Mariah. Sebak rasa dadanya. Tidak banyak dapat dia lakukan bagi meringankan bebanan suaminya jika berkaitan soal kewangan. Dia sudah berusaha

meminimumkan perbelanjaan harian. Sesungguhnya bebanan Tawin bebanannya jua.

Semenjak mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak seorang hinggalah lima orang, Milah berusaha meringankan suaminya. Memanglah dia tidak mampu melakukan kerja-kerja yang boleh menghasilkan pendapatan. Setakat bertanam sayur, pokok betik dan menternak ayam dan itik, Milah ringankan tulang apatah lagi anak-anak pandai membantu. Tanah di belakang rumah mereka subur belaka, beberapa jenis sayuran tumbuh subur dan segar. Jiran-jiran merekalah yang menjadi pelanggan sayur-sayuran dan buah betiknya. Hasil jualan itu dapatlah dibelanjakan serba sedikit keperluan dapur.

“Abang tahu Milah... walau reput pun tulang abang ni, abang tidak akan mampu beri kesenangan pada Milah dan anak-anak. ALLAH tidak beri abang peluang jadi senang, Milah.” Tawin mengeluh berat.

Milah segera beristighfar. “Bang, jangan cakap macam tu. ALLAH itu adil, bang. Ini sebahagian kecil saja dari dugaan-NYA. Kita masih boleh berusaha.” Milah tidak mahu

hati suaminya digelut kesal.

“Entahlah Milah, abang rasa macam tidak berdaya. Milah dan anak-anak terpaksa hidup susah sebab abang ni miskin. Abang tak mampu beri kesenangan kepada keluarga padahal

abang sudah sangat berusaha...”

“Abang...”

“Mariah mesti sakit hati pada kita, kan Milah?”

“Abang, Mariah tu anak yang baik, dia tidak akan macam tu. Abang janganlah risau. Mariah akan faham keadaan kita, bang.” Milah memujuk sekali gus memujuk hatinya sendiri. Milah sebak. Selama ini betapa susah pun mereka, Tawin tidak pernah berasa kesal seperti itu. Ah, bagaimana tidak kesal jika anak sebaik dan sepintar Mariah rela berhenti sekolah demi memberi laluan kepada adik-adiknya. Kecewa Mariah turut Milah rasai. Tanpa sedar air mata Milah mengalir jatuh ke pipi.

“Milah, abang memang tak mampu sekolahkan Mariah ke peringkat lebih tinggi seperti yang dia cita-citakan. Kita perlu sediakan duit. Apa pun Anding mesti dapatkan rawatan terapi di hospital besar. Belanja seminggu sekali ke bandar bukannya murah. Kita sangat kesempitan duit, Milah,” kata Tawin berbisik sayu.

Milah mengiakan kata-kata suaminya melalui anggukan yang lemah. Sebagai ibu, perasaannya turut sakit. Hati pedih bagai dihiris-hiris. Selama ini dia membayangkan Mariah

akan dapat belajar sehingga ke peringkat universiti kerana sering cemerlang dalam peperiksaan. Dia tahu anak gadisnya bercita-cita tinggi. Manusia hanya mampu merancang, tapi DIA juga yang menentukan segalanya.

“Tak mengapalah, bang. Kita utamakan rawatan Anding dahulu. Mariah tu tentu faham. Dia sayang sangat kat abang dia tu. Semoga dia sabar terima keadaan kita ini.”

Simpatinya bukan hanya melimpah buat Mariah tetapi juga pada suaminya. Doanya tidak putus-putus, semoga suaminya tetap bersemangat dan tetap tabah. Doanya panjang memohon kesejahteraan, kedamaian dan rezeki buat keluarganya yang tercinta.

Tawin perlahan-lahan melurut tubuh, berbaring terlentang tanpa bicara lagi. Milah menatap seketika suaminya. Setelah lebih 25 tahun menjadi isteri kepada lelaki itu, Milah terasa kasih dan sayangnya pada Tawin tidak pernah surut. Meski Tawin tidak mampu memberi kemewahan sepanjang usia perkahwinan mereka namun Milah sungguh bahagia di sisi lelaki itu.

Mereka berdua memiliki harta yang tidak ternilai yang sungguh sempurna. Anding, Mariah, Atina, Adila dan Amizan. Itulah harta dunia yang tidak ternilai harganya milik mereka berdua. Milah mengucap syukur sebelum matanya dipejamkan. Namun, tidurnya bertemankan air mata.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan