Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,828
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

BUNTANGmata dan melopong Mariah menatapwajah Ramli berlalu dengan berang. Merahpadam kulitnya. Mariah tidak pasti bagaimanaperasaannya ketika itu. Terkejut, sedih dan sakit hati, bercampur aduk. Memang tidak terkata.

Sungguh kasar bahasa yang Ramli lemparkan kepadanya sebentar tadi. Mariah tunduk, fail yang dihempas oleh lelakiitu ke atas mejanya ditatap dengan perasaan berbaur. Dadanya masih berdebar-debar kerana terkejut.

Perlahan-lahan fail itu dicapai lalu diselak. Di dalam fail itu terselit beberapa helai kertas dan draf dokumen perjanjian yang dia sediakan tengah hari tadi. Sedaya upaya dia menyiapkan kerjanya sebelum keluar tengah hari. Dia sanggup melengahkan masa rehatnya hanya kerana dokumen itu. Dia ikhlas walaupun kerja itu sudah mencuri waktu rehatnya. Ditatap dan dibaca draf itu dengan teliti, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Kenapa draf ni begini jadinya? Bukan ini yang aku buat tengah hari tadi...” desis Mariah. Terbelalak matanya melihat ‘kecacatan’ draf itu.

Dia terpegun, menatap bingung. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Dokumen yang ditaipnya dengan sempurna dan rapi tengah hari tadi kelihatan ‘hodoh’. Terlalu ‘hodoh’! ‘Seburuk’ mana pun kerjanya tapi kerja sebegitu tidak pernah-pernah dilakukannya.

“Gila! Macam mana boleh jadi macam ni? Aku tak akan buat kerja seteruk ini. Tak pernah! Ini bukan kerja aku,” bisik Mariah lagi. Dia sangat resah di tempat duduknya seolah-olah kerusinya diletakkan bara api.

Jari-jemarinya agak bergetar ketika memasukkan anak kunci membuka laci mejanya. Pendrive miliknya dikeluarkan. Setelah disambungkan ke USB, Mariah membuka dokumen di dalam pendrive. Sah! Dia tidak mungkin akan melakukan kerja seteruk itu. Dia tahu dokumen itu terlalu penting malah dia sangat tahu semua dokumen di syarikat itu berstatus sangat penting. Selama ini tidak pernah dia mengabaikan dokumen yang Ramli serahkan padanya. Itu satu amanah yang harus dia jaga.

Kini, Mariah faham mengapa Ramli terlalu marah apabila melihat hasil ‘kerjanya’. Selama ini Ramli amat mempercayainya meskipun sering bersikap kasar. Lelaki itu terlalu tegas sebenarnya. Namun lelaki itu tidak pernah ‘mengamuk’. Lelaki tegas itu tidak pernah melenting walaupun dia kadangkala melakukan kesilapan kecil dalam menaip. Ramli hanya akan menegur kesilapannya.

Ketika melangkah masuk ke bilik lelaki itu, Mariah berusaha menahan gelodak perasaannya. Dadanya berdebar, jantungnya mengepam lebih cepat walaupun sudah berdoa berkali-kali. Wajah tegang Ramli masih terlihat melalui rahangnya yang keras jelas menunjukkan kemarahan lelaki

itu belum surut. Mariah tidak berani menatap wajah lelaki berusia hampir 30 tahun itu. Memang kecut perutnya.

“Duduk dulu, Mariah!” arah Ramli. Tajam tatapannya.

Mariah patuh. Fail dalam dakapannya diletakkan di atasmeja Ramli. Renungan tajam lelaki itu membuatkan dia gusar dan kecut. Tidak betah dia duduk di hadapan mejalelaki itu.

‘Hendak melenting lagikah lelaki ini?’ Bisik hati Mariah lantas membaca apa saja doa yang terlintas di benaknya saat itu. Sesungguhnya dia terasa amat kerdil tika itu. Dia malu, sedih dan pelbagai lagi perasaan menempel dalam dirinya.

“Mariah, sebenarnya saya tidak berniat nak marah awaktadi tapi kerja awak tu teruk sangat. Ejaan salah merata-rata, format entah awak kutip dari mana. Memang teruk sangat! Apa masalah awak sebenarnya?” Ramli menyandarkan tubuhnya. Wajahnya masam.

Buat beberapa detik Mariah bungkam. Lidah terasabeku. Dia berusaha menyusun ayat dalam benak sebelum diluahkan. Alangkah payah fikirannya menjana kata-kata sesuai dalam keadaan begitu.

“Encik Ramli, sebenarnya... saya tak tahu mengapa jadi macam tu. Bukan itu yang saya taip tengah hari tadi,” jelas Mariah perlahan.

“Bukan awak yang taip? Habis tu siapa pulak yang baik hati sangat tolong awak taipkan?” Sinis sungguh Ramli menekan dalam kata-katanya. Tidak menyangka pekerja bawahannya itu masih berani menyangkal.

“Mungkin ada yang nak bergurau. Saya minta maaf...” Mariah berusaha mengawal nada. Debaran dadanya kian membadai. Telapak tangan yang dingin berpeluh.

Dahi Ramli berkerut-kerut. “Bergurau? Hilang akal ke apa? Awak tahu tak dokumen tu sangat penting? Awakfaham?” kata Ramli. Suhu panas dalam hatinya meningkat lagi secara mendadak.

Mariah tersentak. Terasa menggelodak isi perutnya.Terasa sekujur tubuhnya berpeluh dingin. Lantas digenggam jari-jemarinya yang semakin dingin.

“Saya paling tak suka orang buat kerja sambil lewa. Tak bertanggungjawab! Takkan awak tak tahu... apa akan terjadi jika dokumen penting macam ni jatuh ke tangan orang lain?Apa akan terjadi jika pelanggan kita dapat tahu bagaimana proses dokumen mereka disediakan? Apa nak jadi, saya pun tak tahu!”

Mariah tanpa rela menadahkan telinganya mendengar kata-kata pedas yang disemburkan oleh lelaki itu kepadanya. Mariah menahan rasa, menelan air liur yang pahit dan berketul-ketul rasanya. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia dimarahi. Jika papanya marah, tidak sekali pun meninggikan suara. Mamanya apatah lagi, jika marah pun dipendam sahaja dalam diam. Panas berbahang segenap wajahnya. Ya ALLAH, begini rasanya dimarahi orang. Perit sungguh rasanya!

“Apa penjelasan awak dalam perkara ini, Mariah?” tanya lelaki itu tanpa simpati.

“Saya sendiri tak faham tapi percayalah, Encik Ramli...bukan saya yang sediakan dokumen itu. Saya tak akan buat kerja seteruk itu. Semua dokumen yang saya taip akan saya simpan di dalam pendrive saya sendiri. Lagi pun, sa.. saya belum hantar pun pada Encik Ramli dokumen yang saya buat. Siapa yang hantar pada Encik Ramli?” Mariah berusaha mengawal nada namun tetap kedengaran bergetar.

Kening lelaki itu terangkat. “Apa maksud awak? Dokumen tu ada atas meja saya ni semasa saya balik dari makan tadi. Kalau bukan awak yang hantar ke sini takkan dokumen ni ada kaki datang sendiri?” sindir Ramli. Berasa seolah-olah gadis di hadapannya itu sengaja mengelirukan dia lagi kerana

ingin menegakkan benang yang basah pula. Hati Ramlimengumpat, berasa sebal.

“Encik Ramli, maafkan saya. Saya tak bermaksud...”

“Mariah, saya tak faham kenapa awak nak menafikan lagi kesilapan awak! Semenjak awak mula bekerja di sini, saya tidak pernah menyuruh sesiapa lagi menyediakan dokumen penting seperti ini,” kata Ramli lantas mengeluh keras.

Mariah tunduk, tidak berkutik beberapa ketika. Berdoa dalam hati, dia tidak mahu berputus asa. Sesungguhnya dia tidak bersalah. Lelaki itu seharusnya tahu perkara yang sebenarnya.

“Encik Ramli maafkan saya. Sebenarnya... ini dokumen yang saya taip. Semua dokumen asal ada di dalam pendrive saya ini. Harap Encik Ramli dapat semak terlebih dahulu,” kata Mariah perlahan. Jari-jemarinya yang dingin menghulurkan pendrive miliknya kepada lelaki itu.

Mulanya Ramli ragu-ragu namun dicapai juga alat itu lalu disambungkan ke USB komputer ribanya. Dia mendengus sebelum fail dibuka. Kasar sahaja tindakannya ketika membuka fail di dalam pendrive tersebut, masih tidak puas hati. Namun sejurus dokumen itu terpapar matanya tidak berkelip. Dokumen itu begitu sempurna sejurus fail dari pendrive itu terpapar di skrin komputernya. Terbayang di matanya dokumen yang hampir dilumatkannya tadi kerana terlalu marah. Terlalu jauh berbeza. Dahinya berkerut,keningnya hampir bertaut.

“Apa yang berlaku sebenarnya, Mariah? Siapa yang menaip dokumen yang ini dan siapa pula menaip dokumen yang saya sudah terima tu?” tanya Ramli sambil membandingkan dua format dokumen yang berbeza rupa di hadapannya. Ketegangan nadanya mula surut.

Dokumen itu memang ditaip sangat sempurna. Tidak mungkin Mariah mampu menyiapkan dalam tempoh beberapa minit. Terbukti Mariah memang melaksanakan tugasnya dengan sempurna tetapi siapa pula yang beria-ia ingin melihat ketidaksempurnaan kerja gadis itu? Ramli bingung seketika.

“Encik Ramli, maafkan saya. Sebenarnya memang saya tersilap kerana letakkan draf dokumen penting itu di atas meja saya semasa keluar makan tengah hari tadi tapi saya tak sangka perkara macam ni boleh berlaku,” jelas Mariah.

“Sekarang saya faham. Lain kali berhati-hatilah, jangan cuai. Saya pun bukan suka nak marahkan awak tapi saya tidak suka ada kesilapan dalam kerja-kerja penting seperti ni. Awakpun tahu... kita boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian dalam menguruskan dokumen penting seperti ini, kan?” Suara tegang Ramli mula mengendur.

“Saya faham, Encik Ramli. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini.” Mariah menarik nafas lega.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu, Encik Ramli,” sambung Mariah lagi, bersedia hendak berdiri.

Ramli mengangguk. “Ini pendrive awak. Cetak semua dokumen itu dan serahkan pada saya sebelum waktu balik nanti,” pinta Ramli. Berbaur perasaannya melihat gadis itu mengangguk akur.

Ramli menatap langkah Mariah hingga hilang disebalikpintu. Sesungguhnya ada rasa kesal di hatinya.


MARIAHmenghela nafas lebih dalam sejurus duduk dikerusinya. Perasaan agak lapang. Namun, jauh di sudut hatinya masih tersisa rasa sedih dan pedih. Terbayang wajah lembut penuh kasih ibu bapanya. Tanpa dipinta air matanya bergenang namun pantas dia mencapai tisulalu ditekapkan ke wajahnya. Tidak mahu hatinya terus dibalut sayu, beberapa keping dokumen di atas mejanya yang perlu difailkan segera dicapai. Sambil menyemak dokumen, fikirannya berusaha menyingkirkan kejadian sebentar tadi. Suara Ramli menempelak bagaikan terngiang-ngiang dilohong telinganya. Mariah menghela nafas beberapa kali.

Sesungguhnya beberapa kejadian sebelum ini tidak sempat sampai ke pengetahuan Ramli. Sudah beberapa kali dia sempat selamatkan sebelum kerja-kerjanya sampai kepada Ramli. Mariah tahu ada ‘seseorang’ cuba mempersendakannya.Tidakkah ‘orang itu’ tahu akibat perbuatannya itu akan menyusahkan Mariah? Atau mungkin memang dia berniat hendak menyusahkan dia. Mariah mengeluh. Dia tidak mampu mencari jawapan.

Semua dokumen sudah difailkan. Fail-fail itu perlu diserahkan semula pada kerani fail. Mariah berdiri dan melangkah dengan empat buah fail di tangannya.

“Kak Dayang,” sapa Mariah.

“Eh, Mariah! Kak tak sedar pula Mariah masuk,” kata Dayang sambil tersenyum.

“Maaf kak, saya nak serah balik fail ni.” Mariah tersenyum manis.

“Okey... letak saja dulu, Mariah. Nanti akak simpan dalam kabinet.” Dayang memerhati wajah lembut Mariah.

“Mariah...”“Ya, kak?” Mariah mengangkat wajah, membalas tatapan wanita itu.

“Encik Ramli melenting tadi itu pasal apa? Tak profesional pula cara dia tadi. Marah sampai tak terkawal perasaan!”Dayang mencemuh Geram hatinya tika itu.

“Ada dokumen yang tersilap taip, akak. Tak mengapalah.Mungkin dia tak sengaja masa melenting tadi,” balas Mariah sambil tersenyum tipis.

Dayang menatap tepat wajah gadis itu. Terdetik dihatinya, bagaimana gadis muda seperti Mariah begitusabar mendepani karenah rakan kerja yang berniat buruk terhadapnya?

“Mariah, kenapa Mariah diamkan perkara ini? Adukan saja kepada Encik Ramli.” kata Dayang. Simpati hatinya pada gadis sebaik Mariah.

“Kak, saya...”

“Patutnya dia selidik dulu bukan melenting, mengherdik tanpa usul periksa. Marah bagaikan hilang harta berjuta-juta!”Dayang merungut, membebel.

“Dokumen penting, kak...” Kata-kata Mariah terbantut tatkala matanya melihat kelibat Fauziah masuk ke ruang itu.

“Baru balik, Fauziah? Kenapa lambat?” tanya Dayang.

“Saya lambat keluar tadi” jawab gadis itu acuh tak acuh. Fauziah terus melangkah ke mejanya. Belum setengah minit duduk, Fauziah sudah sibuk menempek bedak pada seluruh wajahnya. Bibirnya dioles gincu berwarna terang.

“Lain kali keluarlah waktu rehat. Kerap sangat masuk lambat tak elok, Fauziah.” Dayang mengingatkan lagi. Dia bukanlah sibuk hendak menjaga tepi kain gadis itu namun sebagai ketua kerani dia diberi tanggungjawab memantau kakitangan di unit itu.

Fauziah menegakkan tubuh lantas mendengus kasar sebagai tanda protes, tidak suka diberi peringatan.

Mariah bergegas minta diri. Terhidu bahang panas mulai menyelubungi ruang itu. Dia seakan-akan fobia menghadapi suasana panas!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan