Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,612
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

DEBURAN air dari saluran paip mengalir deras seiring esakan Mariah. Air matanya laju mengalir.  Perasaannya begitu terhiris. Dia rasa malu tidak terhingga. Hatinya benar-benar terluka. Puas dia berfikir, mengapa perkara itu terjadi kepada dirinya? Dia tidak pernah menyakiti hati orang apatah lagi untuk menganiaya orang lain. Namun mengapa dirinya tetap menjadi mangsa? Bukan sekali dua tapi sudah berkali-kali!

Kejadian sebentar tadi sungguh keterlaluan. Harga dirinya seperti diperkotak-katikkan. Helen memijak-mijak harga dirinya. Selama ini dia telan sahaja keangkuhan dan kesombongan gadis itu yang memandang rendah kepadanya.

Mariah hanya mendiamkan diri walaupun Helen menghinanya sebagai budak kampung. Kata-kata itu tidak menjadi kudis baginya. Hakikatnya dia berasal dari kampung yang sudah lali berulit pelbagai rencah hidup. Telinganya sudah puas menadah kata-kata sindiran, olokan dan hinaan Helen dan Fauziah. Walau Mariah cuba berbaik-baik, mereka tetap mengendahkannya. Jika terpaksa pun mereka hanya menjawab acuh tak acuh sahaja. Kedua-dua gadis itu tidak puas menyakiti hatinya dan bersungguh untuk ‘menghitamkan’ namanya di dalam syarikat itu. Apa silapnya? Puas Mariah berfikir namun dia tidak mampu mencungkil kesilapan yang pernah dilakukannya sehingga mereka sanggup memusuhinya.

Terbayang wajah geram dan bengis Helen semasa di dalam bilik mesyuarat. Ingin rasanya Mariah meninggalkan bilik itu dengan segera. Wajahnya terasa panas berbahang.  Dia sungguh malu. Dan, Helen berjaya memalukannya.  Sampai hati Helen memperlakukan dirinya sebegitu. Mengapa perempuan itu sangat benci padanya?

Ketukan bertalu-talu pada pintu bilik tandas membuatkan Mariah tersentak kerana terlalu digayuti perasaan sedih. Baru dia menyedari sudah lama dia berada dalam bilik tandas. Menggeletar jari-jemarinya yang dingin kerana terlalu kerap membasuh muka. Dia hanyut oleh badai kesedihan. 

“Mariah... Mariah... keluarlah.” Suara Dayang kedengaran.

Mariah tidak berkutik. Dia belum bersedia bersemuka dengan rakan-rakannya.

“Mariah...” Suara Mary pula memanggil lembut namanya.

Mariah tetap membatukan diri. Dia malu untuk keluar.  Dia tahu wajahnya pasti kelihatan comot dan penampilannya tidak terurus ketika itu.

“Mariah, sudahlah tu… jangan sedih sangat. Lama sangat kau kat dalam tu,” pujuk Dayang.

Pintu diketuk beberapa kali lagi. Mariah serba salah. Dia tahu rakan-rakannya mengambil berat pada dirinya. Setiap kali dia bersedih dan hatinya disakiti, Dayang dan Mary akan memujuk dan menenangkan hatinya.

“Mariah!” Mary dan Dayang serentak bersuara sebaik sahaja daun pintu terkuak. Dayang segera menggamit lengan gadis itu lalu menarik rapat padanya.

Dayang mendakapnya, Mariah menahan sebak. Dia risau dan kesal dengan apa yang terjadi. Di dalam bilik mesyuarat, puas Dayang bertekak bagi pihak dirinya. Menjelaskan perkara sebenar tetapi Helen memang manusia yang tidak ada perasaan. Langsung tidak mahu beralah malah menuduh Dayang bersekongkol dengan Mariah mahu memburukkan namanya.

“Mariah, akak minta maaf.”

“Akak tak salah tapi saya yang selalu menyusahkan kakak. Maafkan saya kak.”

“Sudahlah Mariah, jangan bersedih. Biarlah perempuan tu. Satu masa nanti dia akan menyesal dengan perbuatannya yang selalu menyusahkan orang,” pujuk Mary sambil tangannya mengusap lembut bahu Mariah.

Mariah merenung wajah Dayang dan Mary. Dia tahu mereka ingin menyenangkan hatinya tetapi dia benar-benar terluka dan berputus asa. Sia-sia dia menabur tenaga dan waktu meskipun dia dibayar gaji. Apakah benar hanya di sini sahaja dia mampu mencari rezeki? Bukankah kata orang rezeki ada di mana-mana, yang penting ada usaha. Mariah redha, jika memang rezekinya di syarikat itu setakat ini. Mariah tidak ingin mengemis lagi, mempertaruhkan harga diri dan perasaannya untuk dipijak orang yang tidak menyenangi kehadirannya di syarikat itu.

Mariah sudah fikirkan sejak tadi. Dia nekad tidak mahu dibelenggu oleh perasaan takut seandainya tiada lagi rezeki apabila kakinya melangkah keluar dari syarikat megah ini.

“Janganlah bersedih lagi, Mariah. Kami risau keadaan Mariah,” ujar Dayang perlahan.

“Betul tu, Mariah. Kami faham perasaan Mariah. Bersabarlah, ya.” Lembut nada Mary memujuk.

Mariah mengangguk perlahan. Dia berusaha menahan agar air matanya tidak gugur lagi. 

“Maafkan saya, Kak Dayang, Mary. Saya tak sengaja buat kamu risau. Janganlah risau. Saya tak apa-apa...” kata Mariah perlahan.

“Kita ni kawan dan kami sudah anggap Mariah seperti adik kami.” Mary sekali lagi mengusap lembut bahu Mariah.

“Terima kasih Mary, Kak Dayang. Mungkin rezeki setakat ini saja. Saya nekad nak berhenti kerja.” Mariah menatap wajah terkejut kedua-dua rakannya.

“Mariah!”


RAMLI memejamkan celik matanya, ingin memastikan tatapannya pada sekeping surat yang ada dalam pegangannya.  Dia tahu, perkara yang sudah berlaku tidak mungkin dapat diundurkan lagi. Hakikatnya dia ingin mencari jalan penyelesaian namun dia tidak menyangka Mariah mengambil jalan keluar sepantas itu. 

Sebagai Pengarah Urusan, dia rasa tercabar. Banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku sejak kebelakangan itu. Ramli teruji sebagai seorang ketua apatah lagi dia tidak dapat menangani masalah Mariah. Dia tidak suka perkara kecil seperti itu boleh menyebabkan kewibawaannya tercalar. Hal-hal kakitangan bukan tidak diambil berat tapi sangkanya masalah yang timbul hanya seketika. Dia faham, memang sudah menjadi lumrah apabila ada di kalangan kakitangan saling bertingkah, saling iri dan saling bersaing ingin mendapat perhatian.

“Encik Ramli, tolonglah pertimbangkan permohonan saya.” Suara sayu gadis muda belia di hadapannya membuatkan lamunan Ramli bubar. Lama anak matanya terpaku pada raut wajah itu. Betapa moleknya wajah gadis di hadapannya itu meski wajahnya sayu namun tidak sedikit pun mencacatkannya kesempurnaan tampangnya.

Menyedari tatapan tidak berkedip itu, Mariah diasak gelisah. “Encik Ramli, saya...”

“Mariah, kita masih boleh bincangkan lagi perkara ini.

Jangan buat keputusan terburu-buru.” Ramli ingin memujuk.

“Tapi saya sudah nekad. Saya nak berhenti. Maafkan saya, Encik Ramli.” 

Suara Mariah yang lembut gemeresik menyapa lohong telinga Ramli. Tidak dialihkan tatapannya, diterokai setiap inci raut wajah gadis itu. Wajahnya bersih tanpa bercalit sebarang alat solek. Rasa kagum mengusik hati. Ramli menghela nafas.

“Mariah, perselisihan tu sudah selesai dalam mesyuarat.  Awak tak perlulah letak jawatan.” pujuk Ramli.

“Encik Ramli, cukuplah apa yang saya alami selama ini. Saya yakin perkara ini akan berulang lagi. Saya bimbang saya tidak kuat menghadapinya lagi.”

Akhirnya air mata Mariah bergenang lalu luruh menuruni pipi halusnya. Bukan meminta simpati tapi hatinya masih digayuti pilu. Dia sedih, sesungguhnya berat hati membuat keputusan seperti itu. Dia masih perlukan wang gaji bagi meringankan beban keluarganya tetapi dia seolah-olah tidak diberi peluang untuk bertahan di dalam syarikat itu. Ada yang ‘meroyan’ mahu dia keluar dari syarikat itu!

Ramli terkaku seketika. Melihat air mata gadis itu mengalir, dia menjadi serba salah. Jiwa lelakinya sungguh tersentuh. Dia tidak sanggup melihat kesedihan gadis itu.

Mengapa? Hatinya selama ini begitu kukuh, tidak mudah tunduk pada keadaan. Tidak mudah ‘akur’ pada manamana wanita melainkan ibunya. Baginya wanita hanya akan menyekat kebebasan dirinya, akan melambatkan dia mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam kariernya.

Namun mengapa semenjak mengenali Mariah hatinya berubah hampir seratus-peratus. Kelembutan dan kesabaran gadis itu menghadapi karenahnya benar-benar mengubah pandangannya dan pendirian yang selama ini dia pertahankan. 

“Encik Ramli, saya benar-benar nak berhenti.”

“Mariah, saya faham perasaan awak. Begini sajalah, saya beri awak tempoh seminggu fikirkan keputusan awak ini.  Jangan buat keputusan terburu-buru.” Lembut nada Ramli memujuk. Sungguh berat hatinya melepaskan Mariah pergi.

“Tak... Encik Ramli... saya...”

“Syarikat masih perlukan perkhidmatan awak. Lagipun bukan mudah mendapat kerja sekarang ini. Awak bercutilah sehari dua tenangkan fikiran, okey?”  

Ramli menatap wajah Mariah yang agak pucat. Hatinya sungguh bersimpati. Sememangnya dia tidak menyangka pertelingkahan kakitangan seperti itu akan berlaku. Dia menghargai perkhidmatan Mariah tetapi Helen juga pegawai kanan kepercayaannya sementelah Helen begitu rapat dengannya. Ramli tahu ada kekeliruan dan perselisihan di antara mereka dan dia ingin meleraikan kekusutan itu.

“Saya tidak dapat meluluskan permohonan perletakan jawatan ini, Mariah. Saya masih perlukan awak di sini.”

Namun kelembutan suara lembut Ramli tidak berjaya melembutkan perasaan halus Mariah.

“Mariah, saya harap keputusan awak akan berubah. Awak berehatlah sehari dua. Saya izinkan awak bercuti.”

Mariah termangu, bungkam. Tidak ada lagi yang mampu dia katakan. Ramli tidak akan faham bagaimana perasaannya ketika itu. Ramli tidak mampu melihat bagaimana terluka perasaannya. Setelah mengucapkan terima kasih, dia melangkah longlai keluar dari bilik itu tanpa menoleh.

Sejurus pintu bilik lelaki itu terkatup, Mariah terbelalak kerana terkejut.

“Dah puas membodek? Awak ni memang muka tembok...tak tahu malu!” Helen menatap tajam, benci sungguh hatinya melihat Mariah yang baru keluar dari bilik Ramli.

Dadanya sendat, terasa sesak. Cemuhan Helen itu sangat menggores hatinya. Kian parah luka hatinya. Mariah membuka langkah panjang. Air matanya yang bergenang luruh saat dia duduk kembali di tempatnya, pantas dia menekapkan sehelai tisu ke pipinya. Ditelan tanpa rela segala cacian yang dilemparkan kepadanya.

“Lama sangat Mariah kat bilik Encik Ramli tu. Bincang tentang apa?” tanya Dayang tidak sabar sebaik sahaja gadis itu duduk. Mary terangguk-angguk sebagai tanda ingin tahu.

“Saya hantar surat letak jawatan.”

“Astaghfirullah... Mariah teruskan juga niat nak berhenti?” keluh Dayang.

“Ya, saya akan undur diri. Saya letih menghadap segala macam hal. Sakit jantung dibuatnya,” ujar Mariah sayu.

“Mariah, kenapa buat keputusan mendadak macam ni?” tanya Mary sayu. 

“Sepatutnya perempuan tu yang berhenti kerja!” sambung Mary lagi lalu menyentuh lengan Mariah.

“Tak mengapalah, rezeki saya takat ni aje.”

“Kami faham perasaan Mariah tapi janganlah patah semangat. Jangan pedulikan orang busuk hati tu, kami ada…kami sayang Mariah,” pujuk Dayang.

“Saya tahu kak tapi, keputusan saya dah bulat. Saya akan sentiasa ingat budi baik akak dan Mary,” luah Mariah penuh perasaan.

“Tak bolehkah Mariah bertolak ansur kali ini? Kami tahu hati Mariah terluka tapi bukan mudah nak cari pekerjaan buat masa terdekat ni.” Mary yang sebak masih mencuba melembutkan hati gadis itu.

Mariah menggeleng perlahan. “Biarlah saya beralah, Mary.

Saya percaya pada takdir. Ada rezeki saya pasti dapat kerja di tempat lain. Doakan saya agar segalanya dipermudahkan.”

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan