Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,568
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

“Abang!” Anding tersentak. Dia mendongak, panar sejenak. Adik bongsunya terpacak dihadapan, tersengih-sengih. Mariah, Atina dan Adila berdiri di belakang Amizan, ralitmerenung dirinya.

“Assalamualaikum, bang...”

Entah siapa di antara adik-adik perempuannya yang memberi salam, Anding kurang jelas namun cepat saja mulutnya menjawab salam.

Mariah dan Atina berlalu masuk ke rumah. Tinggal Adila dan Amizan masih tegak berdiri di hadapan Anding.

“Abang sedang bermimpi eh?” tanya Amizan sambil ketawa.

Terjongket kening Anding. “Adik ni... mimpi apa pula? Abang bukannya tidur!” balas Anding lantas tangannya mengusap kepala adiknya yang nakal itu.

“Tak tidur? Habis tu kita orang bagi salam abang tak jawab?” tanya Adila turut ketawa.

“Ya? Tapi abang tak tidurlah.” Anding mengusap wajahnya.

Sungguh dia tidak mendengar adik-adiknya memberi salam. Anding termangu-mangu. Bingung seketika. Tidak mungkin dia terlelap sedangkan fikirannya tadi tidak putus memikirkan Mariah. Apa yang terjadi pada dirinya?

“Abang...” Amizan melambai-lambaikan tangannya ke wajah abangnya.

“Mizan, betul tadi Mizan panggil abang tak dengar?” tanya Anding. Berkerut-kerut dahinya.

“Acah sajalah bang. Mizan baru panggil abang sekali." Amizan ketawa mengekek.

“Ha’ah, bang. Dila pun baru bagi salam sekali,” sambung Adila turut ketawa.

“Adik-adik abang ni! Buat abang bingung.”

Suara tawa Adila dan Amizan berpadu. Seronok dapat mengenakan abang sulung mereka. Anding menggelenggeleng. Tersenyum dia dengan telatah adik-adik yang nakal.

“Abang marah?” tanya Amizan perlahan.

Anding segera menggeleng. Dia tahu adik-adiknya hanya mengusik, bergurau. Dia tersenyum lebar. Kepala adiknya diusap lembut. Dia amat menyayangi adik-adiknya.

“Dila, Mizan, sudahlah tu. Jangan usik abang. Pergi mandi. Badan tu penuh habuk padi.” Teguran Milah menghentikan suara tawa Amizan dan Adila.

Milah berlalu hendak ke perigi di belakang rumah namun langkahnya terhenti lalu menoleh semula ke belakang.

“Mizan, mari ikut mama ke perigi. Dila pergi ambilkan kain sarung mama sekali dengan tuala Mizan,” arah Milah sambil merenung anak gadisnya.

“Ya, ma.” Adila terus masuk ke dalam rumah.

Tidak lama kemudian suara Amizan kedengaran melaung-laung memanggil Adila dari arah perigi. Anding tersenyum, faham sangat dengan telatah adik bongsunya itu.

“Abang!”

Hilang senyuman Anding apabila terdengar jeritan Atina dari dalam rumah. Kedengaran berisik sungguh hentakan kakinya ke lantai. Bagi Anding, adiknya yang seorang itu kurang kelembutannya. Sifatnya agak kasar. Atina memang cepat naik angin.

“Entah apalah yang kurang dalam rumah ni sampai terjerit-jerit macam tu sekali!” bisik Anding.

“Bang…”

“Ada apa, Tina? Kalau tak terjerit-jerit pun abang masih boleh dengar,” sahut Anding sambil berdiri perlahan mengimbangi tubuhnya.

Tegak Atina di ambang pintu, masam mencuka wajahnya. Muncung panjang sedepa! Anding menghela nafas.

“Apa yang tak kena, Tina?” tanya Anding lagi. Masak sangat dengan sikap Atina. Anak dara yang cepat melenting!

“Bang, kenapa tak tanak nasi? Dah pukul berapa ni?”

“Ya ALLAH! Abang terlupa, Tina,” sahut Anding.

“Lupa, lupa... kalau makan tak lupa, kan?” bebel Atina sambil merengus kasar.

“Atina! Kenapa cakap macam tu pada abang?” tegur Mariah yang kebetulan berada di belakang adiknya itu.

“Abang tu...”

“Hmm... abang lupa tanak nasi, Mariah. Abang pergi tanak sekarang,” beritahu Anding.

“Tak apalah, bang. Sekejap lagi Mariah masak,” kata Mariah. Menatap lembut wajah abangnya.

Atina terus berlalu. Bunyi hentakan kakinya di atas lantai papan sudah jelas menunjukkan yang dia sedang marah. Anding dan Mariah berpandangan.


TAWIN menyandarkan kepala ke dinding dengan mata separa pejam. Dadanya yang kurus naik turun, bernafas tenang. Wajahnya keletihan dan kepayahan. Namun dia tetap gagahkan diri ke surau bersolat Maghrib. Usai makan malam, Tawin duduk di atas lantai, bersandar tenang pada dinding papan yang kasar. Tidak lama kemudian Milah duduk menemaninya.

Milah meletakkan sebuah bakul kecil berisi pinang, kacip pinang, sirih dan kapur. Sebiji pinang Milah kopek kulitnya, setelah bersih dari kulitnya dibelah-belah menjadi ulas kecil. Tawin ralit memerhati. Melihat isterinya sudah selesai, tangannya mencapai seulas pinang lalu dimasukkan ke mulutnya.

Tawin diam tidak berkutik. Menikmati rasa kelat pinang yang dikunyahnya. Fikirannya berkira-kira, jika cuaca elok dia hendak menoreh. Semenjak tiba musim menuai, Tawin terpaksa membahagikan masanya. Awal pagi dia menoreh, sebelah petang pula di ke sawah membanting padi.

“Bang, tahun ini rezeki kita bertambah.”

Serta-merta mata Tawin terbelalak. Hilang kantuknya.

“Hah? Rezeki kita bertambah? Milah mengandung lagi?”

Milah pantas beristighfar. “Abang ni... nak mengandung apa pulak? Abang ingat kita ini muda lagi ke?” tanya Milah.

“Dah tu... Milah kata rezeki kita bertambah.”

“Abang ni! Rezeki kita bertambah... padi tahun ini subur, buah lebat sangat.” Milah tersenyum.

Akhirnya Tawin ketawa mengekek. Tidak mampu membayangkan jika isterinya ‘mengandung’ lagi pada ketika usianya sudah lebih separuh abad.

“Bang...” panggil Milah bila suaminya diam tidak bersuara.

“Ya?” Tawin membuka mata, memandang wajah isterinya,

“Abang dah mengantuk?” tanya Milah.

Tawin meluruskan belakang dan menjulurkan kakinya. Memang lenguh-lenguh badannya.

“Pergilah masuk tidur, bang.” Milah tahu suaminya lebih penat berbanding dirinya meskipun pinggangnya terasa sengal-sengal. Sebelum tidur nanti perlu juga disapu minyak urut.

“Abang masuk tidurlah, Milah. Rasa ngilu pula belakang abang ni,” kata Tawin perlahan.

“Milah tolong sapukan minyak panas, ya?” Ditatapnya wajah Tawin.

“Tak payahlah. Abang nak tidur.”

Tawin berdiri perlahan. Tulang belakangnya terasa lenguh, jika berbaring dapatlah dia meluruskan tubuhnya. Seharian dia membanting padi dan entah berapa karung padi yang dipikulnya petang tadi. Eloklah juga dapat tidur lebih awal bagi pulihkan tenaganya. Milah hanya memerhati langkah longlai Tawin. Sungguh simpati pada suaminya.

Mariah sempat melihat tubuh kurus papanya masuk ke dalam bilik. Dia tahu, papa terlalu letih membanting padi dan mengangkut berpuluh-puluh karung padi dari bendang ke pondok. Andainya dia bertenaga, pasti dia dapat membantu. Mengangkat satu dua bakul padi pun dia sudah kehabisan tenaga apatah lagi papanya mengangkat berpuluh-puluh karung.

Mariah menghampiri mamanya. Diturunkan bakul berisi pakaian bersih lalu dia duduk bersimpuh di hadapan mamanya.

“Kesian papa, kan ma? Penat sangat,” kata Mariah sambil tangannya mulai melipat pakaian.

“Biasalah tu, Mariah. Mana ada kerja tak penat. Papa tu sudah lali buat kerja-kerja berat macam tu.”

Mariah mencapai lagi beberapa helai pakaian diletakkan di atas pangkuannya lalu dilipat satu per satu. Pakaian itu dia dan Adila basuh Subuh tadi sebelum ke sawah.

“Mama...”

Milah mengangkat wajah, merenung anak gadisnya. Kulit wajah Mariah yang kemerah-merahan kerana seharian di tengah bendang.

“Mariah kena balik ke bandar. Mariah akan mulai bekerja dua hari lagi,” beritahu Mariah dengan perasaan berat. Sesungguhnya dia belum puas bersama keluarganya.

“Sekejap saja Mariah bercuti. Mama ingat Mariah tinggal sini lama lagi.” Belum pun anak gadisnya berangkat hatinya sudah dibungkus sayu.

“Syarikat suruh Mariah datang bekerja lusa. Sue telefon Shim siang tadi suruh sampaikan pesan pada Mariah.”

Milah menghela nafas. Rasanya tidak mahu melepaskan anak gadisnya itu pergi lagi.

“Kalau Mariah tak kerja pun tak mengapa, nak. Abang Anding tu pun dah semakin pulih. Rawatan pun tak sekerap dulu. Mama berat hati...” Milah meluahkan rasa hatinya.

“Mama... adik-adik masih belajar. Tahun ini Atina SPM, Dila pula PMR. Mariah nak bantu adik-adik. Mereka mesti dapat keputusan cemerlang supaya boleh lanjutkan pelajaran. Mama jangan terlalu risau. Mariah janji akan jaga diri,” pujuk Mariah, faham perasaan mamanya.

Milah mengangguk tanda terpaksa merelakan. Jika diberi pilihan, dia tidak sanggup membiarkan anaknya pergi jauh. Susah senang biarlah mereka berkumpul sekeluarga.

“Bila Mariah balik ke bandar?” tanyanya.

“Esok petang. Mama jangan risau ya. Mariah janji akan jaga diri sebaik-baiknya.” Mariah sekali lagi berjanji. Tangan mamanya dicapai lalu dicium penuh kasih.

Melihat mama mereka sudah beredar ke bilik, Anding menghampiri Mariah. Seluruh percakapan mamanya dengan adiknya tadi didengari dengan jelas. Anding duduk perlahan-lahan meluruskan kakinya.

“Kenapa tak beritahu kami Mariah berhenti kerja?” Mariah pantas meletakkan jari telunjuk di bibirnya.

“Bang, cakap perlahan sikit nanti mama dengar.”

“Bang, Mariah bukan tak mahu beritahu tapi Mariah bimbang papa dan mama susah hati.”

“Habis tu, kalau papa dan mama tahu juga macam mana?Mariah tak bolehlah buat macam tu. Nasib baiklah Mariah cepat dapat kerja.”

“Maaflah, bang. Mariah pun bimbang sebenarnya tapi...alhamdulillah, Mariah dapat kerja lebih cepat daripada yang dijangka.” Mariah tersenyum lebar.

Anding mengeluh. “Kalaulah abang tak kemalangan, mungkin hidup kita sudah berubah sedikit. Sepatutnya abang sudah bekerja... ada ijazah kejuruteraan tapi apa gunanya lagi kalau abang cacat macam ni...” luah Anding.

Perasaannya dibungkus emosi. Pedih hatinya kerana tidak mampu berbuat apa-apa bagi meringankan beban papa dan adiknya. Sayu hati Maria mendengar luahan abangnya itu. Anding masih duduk dengan kaki terjulur lurus meskipun sudah lama Mariah masuk ke bilik tidur. Dia merenung nasib dirinya.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan