Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,831
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

AZIZAN menyambut sampul yang Syamsul hulurkan kepadanya. Sampul sederhana besar

itu ditatapnya seketika. Azizan tahu kandungan sampul itu, benda yang amat dia perlukan. Sampul itu bukan yang pertama diterimanya tetapi sudah berpuluh-puluh jumlahnya dalam tempoh hampir setahun. Dia tidak pernah berputus asa. Biar beratus-ratus sampul berisi dengan benda yang sama, dia tidak kisah. Dia perlu melakukannya dan yakin usahanya itu pasti mendatangkan hasil.

“Kau tengoklah dulu gambar tu.”

Dengan bibir yang tersenyum nipis, Azizan mengeluarkan kesemua isi sampul itu dengan sabar. Matanya galak merenung pada kepingan-kepingan gambar di tangannya. Hampir tidak berkedip matanya. Ada sesuatu yang terbuku dalam dadanya. Adakalanya dia ingin menamatkan saja segalanya, tidak sanggup meneruskan rancangannya. Namun setiap kali wajah pucat Azrina yang amat disayangi sentiasa terbayang di pelupuk mata. Dadanya bagaikan menggelodak lalu terasa amat sakit.

Syamsul hanya memerhati gelagat Azizan. Sudah lama dia diminta melakukan kerja yang dia sendiri tidak pasti tujuannya. Bukan tidak pernah bertanya tetapi Azizan hanya tersenyum dan memintanya bersabar. Semuanya akan berakhir tidak lama lagi, itu kata Azizan.

“Agaknya semakin kuat tarikan gambar itu Izan,” usik Syamsul.

Azizan mendongak, pandangan matanya beralih ke wajah Syamsul.

“Kau cakap apa tadi, Syam?” tanyanya.

“Itulah... asyik sangat. Aku kata, tataplah gambar itu sehingga kau yakin yang kau dah jatuh cinta kat gadis tu 100 peratus, dengar?” kata Syamsul sambil ketawa mengusik.

“Apalah kau ni Syam!” balas Azizan sambil tersengih.

Azizan memasukkan semula kesemua gambar itu ke dalam sampul. Wajah Syamsul dipandang. Lelaki itu tersenyum-senyum.

“Aku ni lelaki, aku faham perasaan kau. Mana ada lelakinormal tak terjatuh hati pada gadis secantik tu. Lagipun...takkan kau simpan koleksi tanpa tujuan? Kau minta akujadi pengintip... aku tak percaya kau berniat jahat pada dia. Betul tak?” tanya Syamsul sambil menegakkan tubuhnya. Jari telunjuknya dihalakan pada sampul dalam pegangan Azizan.

“Tak adalah Syam. Err... maksud aku, bukan seperti yang kau fikirkan. Aku hanya...”

“Hah, kalau kau tak terpikat biar aku saja yang pikat dia,” sakat Syamsul sambil tersengih pada Azizan yang ternganga dengan kata-katanya.

“Syam, kau...” Azizan terkebil-kebil menatap Syamsul yang masih tersengih.

“Apa? Aku dah lama jadi pengintip gadis tu. Semakin lama kau suruh aku buat kerja ni, aku tak berani janji... tak akan jatuh hati pada gadis tu. Dia tu cantik menawan, Izan. Kau faham maksud aku?” Wajah Syamsul serius.

“Mata keranjang benar kau ni. Tak sedar diri! Mana kau nak simpan Mira tu?” Azizan tertawa.

“Ini bukan soal benar tak benar! Kau jangan cabar aku, Izan. Kau lupa... kelayakan aku masih ada tiga lagi?” kata Syamsul lalu bingkas dan ingin beredar.

“Eh, Syam... kau nak ke mana pulak ni?” Azizan menjadi tidak keruan.

“Aku nak balik. Setengah hari aku intip gadis cantik tu. Aku dah penat. Aku nak balik berehat sambil tu bolehlah aku fikir apa tindakan yang patut aku ambil terhadap gadis tu. Kau fahamlah sendiri,” kata Syamsul selamba.

“Syam, aku minta maaf. Sebenarnya...”

“Sudahlah, Izan. Kau pun baliklah. Berfikirlah dengan tenang. Aku beransur dulu...” Syamsul mengangkat lengan, segera menyanggah kata-kata Azizan.

Syamsul melangkah panjang ke pintu, meninggalkan Azizan yang terkebil-kebil. Sejurus pintu terkatup, Syamsul ketawa mengekek di sebalik pintu.

“Padan muka kau Izan!” Bisik Syamsul lalu mengorak langkah.

Azizan mencapai sampul surat di atas meja lalu mengeluarkan beberapa keping gambar. Matanya hampir tidak berkelip. Hebat sungguh kerja Syamsul. Gambar yang ditangkap cukup jelas. Posisi yang ditangkap sungguh sempurna seperti sempurnanya empunya diri dalam gambar itu. Kesemua gambar dimasukkan semula ke dalam sampul. Kata-kata Syamsul memang berasas. Hati Azizan mengakui. Sesungguhnya bukan dia tidak menyedari kesempurnaan wajah cantik itu. Malah hati lelakinya semakin kerap memuji. Dia tidak pernah menafikan, gadis itu memiliki kecantikan dan keayuan asli. Namun bukan itu tujuan asalnya. Tujuannya sudah lama dirancang dengan teliti, tidak akan berubah hanya kerana gadis itu berwajah cantik memikat kalbu. Dia harus teguhkan pendiriannya dalam soal ini. Azizan berdiri lalu merenggangkan ototnya. Ditatapnya jam di pergelangannya, sudah hampir pukul 5.20 petang. Sudah tamat waktu pejabat namun dia belum berniat untuk balik. Dia keluar dari bilik kerjanya. Tekaknya teringin pula hendak minum Milo panas.

“Encik Azizan...”

Mendengar sapaan itu, Azizan pantas mengangkat kepala. Terhenti langkahnya.

“Chong? Awak belum balik lagi?” tanya Azizan.

“Sekejap lagi, Encik Azizan. Saya perlu siapkan laporan kewangan bulan lepas. Tak boleh nak tangguh lagi.” Lelaki itu tersenyum.

“Okeylah, saya ke pantri dulu.”

“Okey, Encik Azizan.”

Azizan tersenyum ramah kepada akauntan syarikatnya itu. Chong memang rajin dan bertanggungjawab. Ramai lagi pegawainya yang sanggup bekerja keras demi syarikat itu. Azizan tidak bimbang meletak kepercayaan kepada semua pegawainya kerana dia tidak sepenuhnya di dalam syarikat itu. Masanya perlu dibahagi-bahagikan, tanggungjawabnya terlalu besar. Atas kerjasama dan komitmen semua pegawainya, syarikat-syarikat milik keluarganya berjalan lancar dan maju.

Sejurus kembali ke biliknya, Azizan mencapai sebuah fail. Tanpa sedar sudah beberapa buah fail dan dokumen siap sudah pun disemak. Azizan terasa tengkuknya berat, mungkin terlalu lama tertunduk. Dia bersandar, terasa lega tulang belakangnya. Azizan cuba merehatkan minda namun dia teringatkan sesuatu. Ditariknya laci meja, di dalam laci mejanya dicapai salah sekeping sampul lalu semua gambar dikeluarkan. Sekeping demi sekeping gambar

diletakkan tersusun, 20 helai semuanya. Azizan menarik lagi laci mejanya, beberapa keping sampul diambil lantas isi kandungan dikeluarkan semuanya. Koleksinya banyak itu membuatkan di terpegun beberapa detik.

KEESOKAN harinya, Azizan yang sedang berada di tapak pembinaan menerima panggilan daripada Syamsul. Sahabatnya itu memang tidak ‘hidup’ jika tidak mencarinya walau hari. Ada sahaja bahan berita yang hendak disampaikan.

“Assalamualaikum. Ada apa Syam?” tanya Azizan.

“Izan, aku kat Habour City, Restoran Kak Nong ni.” Suara Syamsul kedengaran tenggelam timbul.

“Okey...” balas Azizan.

“Aku nak kau datang kat sini. Sekarang!”

Dahi Azizan berkerut. “Sekarang? Kenapa, Syam?”

“Nanti kau tahulah. Aku tunggu. Kau datang sekarang juga, okey?”

Azizan mengalah, tidak sampai hati menolak meskipun ada fail penting yang belum disemak lagi. Dia bergegas keluar. Keadaan jalan raya di pusat bandar sudah mulai sibuk.

JAM menunjukkan pukul 5.35 petang. Sebenarnya Mariah ingin keluar lebih awal menemui Sue, namun Ramli menimbunkan lagi beberapa buah fail di atas mejanya pada waktu pejabat hampir tamat. Akibatnya dia terpaksa menyelesaikan terlebih dahulu kerjanya sebelum balik.

Terbayang Sue yang sedang menunggunya di Habour City. Kelewatan itu membuat hatinya resah dan cemas. Melantun jantungnya kerana terkejut tatkala terdengar suara berdeham dari arah belakang. Mariah terhenti berkemas. Dia berpaling memandang ke arah suara itu.

“Awak belum balik, Mariah?”

“Nak baliklah ni, Encik Ramli,” jawab Mariah tergagap sedikit.

Ramli tercegat. Serba salah seketika. Setiap kali memandang wajah gadis itu, hatinya bagaikan dijentik. Dipukul rasa bersalah.

“Err... ada yang perlu saya bantu, Encik Ramli?” tanya Mariah apabila menyedari lelaki itu belum berganjak.

Ramli mengangguk. “Mariah, tentang hal dokumen tempoh hari, saya minta maaf,” kata Ramli.

Buat seketika Mariah terkaku, tergamam. Sungguh tidak menyangka Ramli meminta maaf padanya.

“Maafkan saya, Mariah. Saya tahu... saya bersikap terlalu kasar pada awak masa tu,” kata Ramli lagi.

“Encik Ramli, saya...” Mariah jadi tidak keruan bila ditatap sedemikian rupa apatah lagi lelaki itu tiba-tiba bersikap terlalu ramah.

“Tak mengapalah, Mariah. Sudah lewat ni, awak baliklah dulu,” kata Ramli lantas berlalu ingin masuk ke biliknya.

“Encik Ramli...” panggil Mariah.

Ramli segera berpaling. Menatap wajah lembut Mariah. Serta merta bibirnya menyungging senyuman. “Ya?”

“Sebenarnya, saya tak marah pun pada Encik Ramli.”

Senyuman Ramli kian lebar. “Terima kasih, Mariah,” ucapnya bersungguh.

Mariah pandang ketuanya itu sehingga hilang masuk ke biliknya. Sesungguhnya dia terkejut. Sikap Ramli amat berbeza. Memang tidak dinafikan, dia terasa hati. Namun dia tidak pernah menyimpan dendam. Dia sudah memaafkan lelaki itu dan dia tetap menghormati lelaki itu sebagai ketuanya.

Mariah berjalan laju dari KK Times Square menyeberangi jalan utama ke Habour City. Tiba di Habour City, Mariah berhenti di perkarangan Restoran Kak Nong sebelum mencari sahabatnya. Dia melepaskan lelah. Peluh di dahi dan pinggir pipinya mengalir lantas tangannya sibuk mengorek beg sandang mencari tisu.

“Cik, boleh tak berhati-hati?”

Mariah tersentak lantas berpaling. Namun tindakannya yang mendadak itu menyebabkan tubuhnya berlaga dengan tubuh seseorang.

“Cik!”

Terbelalak mata Mariah menatap wajah lelaki di hadapannya. Tajam mata lelaki itu merenung tepat ke matanya. Mariah segera berundur ke belakang. Dia bungkam.

“Tadi cik pijak kaki saya, nasib baik kasut saya ni tebal. Selepas tu cik langgar saya. Cik ni memang suka jalan tak pandang kiri kanan ke?”

Walaupun nada lelaki itu perlahan namun amat sinis. Terasa panas cuping telinganya. Diteliti sedetik raut wajah itu. Seorang lelaki berwajah tampan. Wajahnya bersih tanpa

misai dan janggut. Kulitnya kurang cerah tetapi tidaklah terlalu gelap.

“Ya, cik?” Lelaki itu menjongketkan keningnya.

“Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja,” Mariah gugup. Malu kerana sempat ralit seketika merenung wajah seorang lelaki yang langsung tidak dikenalinya.

“Tak mengapalah. Lain kali cik perlu hati-hati.”

“Ya... Terima kasih, encik,” ucap Mariah. Dipandang wajah itu beberapa detik. Terasa hangat kulit wajahnya.

“Hmm, cik ni...”

“Err... maafkan saya.” Mariah segera meninggalkan lelaki yang masih tegak terpacak itu tatkala terpandang Sue yang melambaikan tangan padanya. Mariah menghampiri Sue dengan senyuman.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan