Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,665
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

PUKUL 7.15 petang, pelanggan The Coffee Bean & Tea Leaf, di Waterfront semakin ramai. Syamsul meninjau-ninjau tempat duduk yang sesuai. Meja untuk dua orang. Sementara menanti kedatangan Azizan, Syamsul menatap menu untuk memesan makanan dan minuman.

Lima minit kemudian Azizan tiba. Dia melihat Syamsul melambai-lambai. Langkah Azizan pantas mendekatiSyamsul. Tangan mereka bertaut erat.

“Apa khabar, Izan? Rasanya macam dah berbulan-bulan tak jumpa kau”

Azizan ketawa. Kata-kata Syamsul ada benarnya. Dia sendiri rasa seperti itu kerana hampir setiap hari dia menghubungi Syamsul. Segala khabar keluarganya disampaikan kepada Syamsul meskipun Syamsul bukan siapa-siapa padanya. Berhubung dan berjumpa atas dasar sahabat. Syamsul terlalu baik dan selalu mengambil berat tentang dirinya. Syamsul ditugaskan di Kota Kinabalu. Sebab itulah Azizan sanggup berada di sini sampai sekarang.

Sesungguhnya Azizan bersyukur, dia tidak mempunyai saudara-mara di Kota Kinabalu tetapi Syamsul ada. Meskipun ramai kenalan yang berurus niaga dengan syarikatnya namun Syamsul jugalah yang dicarinya setiap waktu.

Seorang pelayan menghampiri meja mereka lalu meletakkan menu dengan sopan di hadapan Azizan.

“Bob dan Mira sihat? Lama tak jumpa Bob, rindu pulak rasanya,” ujar Azizan sejurus pelayan itu beredar.

“Mira dengan Bob sihat. Kau dah lama tak datang ke rumah. Bob tu dah pandai ketawa. Badan dia semakin montel.”

Syamsul ketawa senang hati. Jelas sekali dia amat bahagia. Semakin gembira dan indah hidupnya setelah dikurniakan cahaya mata. Dia tumpang gembira atas kebahagiaan sahabatnya itu.

“Izan, bila kau nak kahwin?” Tiba-tiba Syamsul mengalih bicara.

“Nak kahwin dengan siapa? Kau ni kalau nak tanya pun, agak-agaklah sikit!” Azizan ketawa, berasa lucu dengan pertanyaan Syamsul.

“Hmm, kau yang jual mahal sebenarnya. Ramai gadis minat kat kau tapi kau tu yang buat tak nampak. Mata kau sudah kabur asyik semak penyata kewangan syarikat.”

Azizan mencebik. Syamsul memang selalu lancang berbicara dengannya. Kata-kata Syamsul adakalanya tidak bertapis tetapi dia tahu hati Syamsul baik.

“Dah ada gadis idaman pun kau lambat-lambatkan. Jangan sampai putih mata! Jangan kata aku tak ingatkan.”

Riak wajah Azizan tetap begitu, tenang dan selamba. Syamsul faham sangat perangai Azizan. Sampai berbuih pun mulutnya, Azizan tidak akan terkesan dengan kata-katanya.  Dia tahu Azizan sudah terlalu dewasa memikirkan masa depannya sendiri. Biarlah!

“Bagaimana keadaan Rina sekarang?” tanya Syamsul. Dia sentiasa bertanya perkembangan kesihatan Azrina.

“Ingatan Rina beransur pulih. Syukur alhamdulillah...ALLAH dengar doa kami.”

“Syukur alhamdulillah. ALLAH itu Maha Adil dan penyayang. Semoga Rina lebih tabah selepas ini,” kata Syamsul. Hatinya memanjat kesyukuran.

“Terima kasih, Syam. Syukurlah ingatan Rina dah pulih. Cuma yang menyedihkan, ayah dan ibu dah tak ada.”

“Rina dah tahu hal sebenarnya, Izan?” tanya Syamsul penuh simpati.

Azizan mengangguk. “Dia pengsan dua kali. Beberapa hari dia meraung-raung tak kira waktu. Seminggu dia berkeadaan begitu. Hampir hilang akal aku dibuatnya.” Sayu nada Azizan seakan-akan beban berat masih tertimbun di pundaknya.

“Aku faham, Izan. Kekuatan kau penting bagi Rina. Jangan sekali-kali kau tunjukkan kesedihan kau pada dia.”

“Betul tu, Syam. Sepenuh masa Dr. Rahman merawat Rina. Rasanya aku turut hilang akal ketika tu sebab Rina seperti hilang ingatan semula. Dua hari dia tak tahu apa-apa. Aku hanya berserah kepada-NYA.” Azizan menarik nafasnya dan dilepaskan beban menghimpit dadanya.

“Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita sebagai makhluk ALLAH yang diberi kewarasan fikiran harus tabah dan bersyukur dengan apa yang ada pada kita, Izan.”

“Betul, Syam. Dugaan yang menimpa keluarga aku selama ini benar-benar mencabar. Mujurlah kami masih ada papa dan mama yang mengambil berat hal kami.”

“Jangan dikenang lagi perkara yang sudah. Apa-apa pun kita bersyukur kerana sekarang semuanya sudah kembali pulih.”

Benar kata-kata Syamsul. Sesungguhnya dia sangat bersyukur apabila ingatan Azrina pulih dan kini mulai menerima hakikat ayah dan ibu mereka sudah pergi buat selama-lamanya. Kepahitan itu bukan mudah ditelan, walaupun mengambil masa untuk pulih tetapi ALLAH tetap memberi mereka peluang untuk meneruskan hidup.

“Esok aku perlu balik KL lagi, Syam. Aku nak berbincang dengan papa berkenaan sebuah anak syarikat kami. Aku nak pujuk papa jualkan separuh saham syarikat kat Selangor tu.”

“Nak jual saham?” Berita itu di luar dugaannya. Setahunya syarikat itu bergerak maju. Azizan tidak mungkin mengambil tindakan yang merugikan itu. Selama ini tidak ada pula tanda-tanda syarikat sahabatnya itu mengalami masalah kewangan. Syamsul keliru.

“Syam, papa sudah semakin berusia. Aku tidak sampai hati biarkan dia sendirian uruskan syarikat di sana. Lagipun aku bukan nak jual syarikat tu. Hanya separuh daripada sahamnya saja. Imman berminat nak beli jadi sekurangkurangnya Imman dengan Tasya boleh kendalikan bagi pihak aku.”

“Kalau macam tu... mengapa tidak kau saja yang balik ke sana? Saham syarikat di sini yang kau jual. Yang penting kau dapat bersama papa uruskan syarikat-syarikat kat KL tu,” cadang Syamsul.

“Tak bolehlah macam tu. Saham syarikat kat sini tak boleh dijual sebab aku perlukan syarikat tu sepenuhnya. Aku perlu berada di Sabah sehingga kerja selesai. Hajat aku belum tertunai.” Kali ini Azizan tersenyum penuh makna.

“Hajat apa pulak? Kau ni buat aku semakin keliru. Cakap berbelit-belit!” Syamsul meneguk minumannya. Dia tahu Azizan bukan sembarangan orang dalam urusan perniagaan. Kepintaran Azizan tidak dapat Syamsul nafikan. Dia menegakkan tubuhnya lalu didorong ke hadapan kerana tidak sabar menunggu penjelasan Azizan. Adakalanya dia perlu mendesak.

Sikap tarik tali Azizan sering membuatkan dia menjadi seorang yang kurang sabar hingga suka mendesak.

“Hajat aku nak kahwin dengan orang sini!” Azizan tersengih. Dia tahu Syamsul akan terkejut dengan kenyataannya itu.

“Kau ni betul ke?” Terbelalak mata Syamsul menatap wajah Azizan. Seperti tidak boleh diterima pakai. Apatah lagi bercakap tentang rumah tangga.

“Aku berguraulah...”

Syamsul menarik tubuh sambil mengerutkan dahi. TawaAzizan agak keras seperti menyakitkan telinganya. Syamsul hanya mampu menggeleng geram.

“Maaflah, Syam...” ucap Azizan setelah Syamsul berdiam diri.

“Izan, aku rasa kau ni sebenarnya dah jatuh cinta!”

Giliran Azizan mengerutkan dahi. “Belum tercatat dalam kamus hidup aku, Syam.”

“Jangan cakap besar, bro! Oh ya, sebelum aku terlupa...”

Tanpa berlengah, Syamsul mengeluarkan sesuatu dari kocek jaketnya. Sampul surat berwarna coklat itu diletakkan di atas meja.

“Aku rasa... nak bersara daripada tugas ni. Aku dah tak tahan jadi pengintip. Perempuan tu cantik sangat, tahu tak? Kau ni tak patutlah.” Syamsul mendengus.

“Apa yang tak patut, Syam?” tanya Azizan.

“Aku kata perempuan tu cantik menawan.”

“Okey... cantik menarik. Jadi?”

“Lembap betul otak lelaki ni. Hati batu!” Syamsul mengomel. Dia meramas rambutnya. Memuncak rasa geramnya terhadap Azizan. Jenuh menguji tetapi sahabatnya itu tetap berlagak seperti tidak ada perasaan.

Ketawa Azizan membuatkan Syamsul bertambah geram.

“Izan, tak eloklah kita buat macam ni, kan? Kalau kau suka dia eloklah terang-terangan, tak perlu nak intip-intip lagi!” Syamsul berharap Azizan akan faham.

Azizan diam. Dia faham keinginan sahabatnya namun belum tiba saatnya lagi Syamsul tahu apa kehendaknya yang sebenar. Apa pun yang dirancangnya hanya dia saja yang tahu, biarlah tersimpan di lubuk hatinya.

“Izan, aku takde hal nak bantu kau, tapi logiklah sikit. Silap haribulan aku pula yang masuk lokap!” luah Syamsul lagi, mengharapkan pengertian Azizan.

“Aik... pegawai PDRM pun tak biasa lagi dengan lokap?” usik Azizan sambil ketawa.

“Izan... kenapalah aku ditakdirkan dapat kawan macam kau ni?” keluh Syamsul, mengusap wajah dengan kedua-dua belah telapak tangannya.

“Syam, janganlah serius sangat. Okey, aku akan pertimbangkan nasihat kau tu. Aku serius!”

“Memang patut pun kau pertimbangkan demi masa depan kau sendiri.”

“Okey! Jadi sekarang, kita pegi makan dulu lepas tu kita pergi karaoke.”

“Yang penting kau keluar duit!”

“Itu tak jadi masalah. Kau pilih tempat, aku belanja. Esok kau cuti, kan? Kita nyanyi sampai pagi, okey tak?”

“Janganlah sampai pagi, kesianlah isteri kat rumah.”

Azizan menjongket bahunya sambil ketawa. Wajah Syamsul yang tersengih ditatap. Syamsul memang lelaki yang bertanggungjawab. Sesungguhnya dia bangga terhadap Syamsul. Sahabatnya itulah yang terlalu banyak membantu sejak hari pertama dia menjejakkan kaki di negeri Sabah itu.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan