Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
10,695
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 2

Isya melangkah perlahan-lahan menuju ke biliknya. Isya tahu ketika ini Tini masih belum tidur. Isya memulas tombol pintu dengan berhati-hati. Seperti sudah dijangkakan, memang Tini masih belum tidur.

Tini nampaknya sedang tekun menyiapkan assignment di meja belajar sehingga tidak perasan kepulangan Isya yang sudah pun terbaring di atas katil akibat kepenatan.

“Baru balik?” tegur Tini membuatkan hasrat Isya untuk melelapkan mata buat seketika terbantut.

‘Alamak, dia dah mula tanya dah.’ Getus hati Isya yang mula dapat menghidu pertanyaan demi pertanyaan yang bakal ditanya oleh Tini sebentar lagi.

“Awak pergi mana lewat-lewat malam baru balik? Bahaya tau tak. Risau pula saya yang awak ni tak balik-balik sejak tadi.” Tini menyatakan kerisauannya kepada tindakan Isya.

“Aku okey je lah. Tengok ni, tak ada apa-apa pun.” Isya menjawab dalam keadaan malas.

 Sebenarnya dia hanya mahu melelapkan mata pada ketika ini dan bukannya perlu menjawab soalan demi soalan yang begitu merimaskan ini.

“Isy, tak boleh berani sangat zaman sekarang ni lagi-lagi orang perempuan macam kita ni. Macam-macam boleh jadi tahu tak?” Tini masih lagi mempertahankan pendapatnya.

“Macam mak nenek la kau ni.” Isya menekup telinganya dengan bantal dan berharap Tini tidak lagi bertanya apa-apa  lagi.

Diam. Isya berasa sedikit lega. Akhirnya dia tidak perlu lagi mendengar bebelan Tini yang adakalanya mengalahkan mama dan abahnya sendiri.

“Awak nak tahu tak yang ada berita orang hilang kena culik tak jauh dari kawasan kita ni? Sebab tu lah saya risau apa-apa jadi pada awak.”

Nampaknya Tini masih lagi cuba untuk memanjangkan perbualan walaupun jelas sekali Isya sudah tidak berminat untuk terus mendengarnya.

“Kenapa kau ambil berat sangat pasal aku?” tanya Isya tiba-tiba. Kali ini dia membuka matanya luas-luas dan kantuknya sudah pun hilang.

“Sebab awak sahabat saya.” Ringkas sahaja jawapan Tini tetapi tidak semena-mena Isya pula ketawa.

“Kenapa ketawa pula?” Tini kelihatan terpinga-pinga dan serta-merta Isya juga berhenti ketawa tetapi kepalanya menggeleng-geleng.

Nothing. Sudahla, sebenarnya aku dah mengantuk tadi tapi kau pula membebel tak habis-habis mengalahkan mama abah aku pula. Terus mata aku segar balik.” Isya melempar bantal kepada Tini tetapi sempat dielak.

“Oh, awak jarang bercerita pasal mama abah awak. Tak pernah pula nampak mereka sebelum ni.”

Diam.

Wajah Isya mula berubah riak. Dia tidak suka Tini membangkitkan soal ini.

“Aku nak tidur.” Isya menekup mukanya ke bantal lalu mengalihpandangan menghadap dinding. Tanpa sedar air matanya menitis.


Diam-diam Isya memerhatikan  gelagat Tini yang sudah pun melelapkan mata setelah selesai menyiapkan assignment. Nampaknya Tini tidak menyedari bahawa dia masih belum tidur. Mata Isya masih terkebil-kebil dr sebalik bantal yang menutup wajahnya.  Setiap kali Tini bertanyakan soal mama dan abahnya, serta-merta perasaannya menjadi tidak menentu. Kalau boleh dia tidak mahu Tini  bertanyakan lagi tentang mama dan abahnya namun Tini seolah-olah tidak mengerti. Dalam diam Isya menghela nafas panjang.

 

*****


“Baru balik? Lama saya tunggu. Ke mana abang pergi sebenarnya? ” Puan Mastura menegur suaminya yang baru sahaja melangkah kaki masuk ke dalam rumah.

“Awak ni pun satu, saya baru je sampai rumah dah mula  terus nak membebel. Bagilah peluang saya rehat dulu.” Encik Azli nampaknya kurang senang dengan pertanyaan isterinya sebentar tadi.

Puan Mastura sudah pun tercongok di hadapan suaminya dengan wajah yang monyok. Dia tahu suaminya penat namun hatinya tetap juga mahu bertanya tentang aktiviti suaminya itu lebih-lebih lagi apabila suaminya balik ketika hari sudah lewat malam.

“Saya tanya je pun. Tak kan itu pun tak boleh? Lagipun cuba abang tengok sekarang dah pukul berapa? Abang pergi mana sebenarnya ni?” Puan Mastura terus sahaja menujah soalan kepada suaminya yang mula duduk di atas sofa.

“Kan saya dah cakap yang saya pergi minum-minum dengan kawan. Bukannya selalu,” jawab Encik Azli dengan agak malas.

“Sampai lewat malam macam ni? Kawan yang mana satu sebenarnya ni?” Puan Mastura masih tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya.

Puan Mastura masih lagi menunggu jawapan suaminya yang sedang menyandarkan kepala ke sofa. Nampak suaminya itu  kepenatan dan malas untuk menjawab pertanyaannya.

“Awak ni tak habis-habis tanya soalan yang sama. Rimas tahu tak!” Encik Azli mula meninggikan suara.

“Itulah, bila saya tanya mulalah rimas. Kalau terus cakap terus terang kan senang tak adalah saya risau abang pergi mana.” Puan Mastura mempertahankan tindakannya.

“Alah, macam-macamlah awak ni. Macamlah saya ni budak –budak lagi. Tahulah saya nak jaga diri. Rimas betul.” Encik Azli mula bangun dari sofa dan bersedia untuk  ke bilik air untuk membersihkan diri.

 “Abang jangan lupa pula esok hantarkan Isya ke kampus untuk hari pendaftaran.” Puan Mastura menguatkan sedikit suaranya supaya suaminya itu tidak terlepas mendengar pesanannya.

“Biar je lah dia pergi sendiri. Belajar berdikari,” balas Encik Azli sebelum menutup pintu bilik air.

Isya yang ketika itu masih belum tidur dapat mendengar dengan jelas perbualan mama abahnya yang bertukar-tukar  volume itu. Adakalanya Isya terpaksa menekup telinga apabila kedua-duanya mula bertengkar dengan suara yang kuat seolah-olah mereka tidak kisah dengan keberadaan Isya di dalam rumah itu.

Isya memandang beberapa helai pakaiannya yang masih belum dimasukkan ke dalam beg. Tiba-tiba air matanya menitis. Hampir kesemua pakaian di dalam almarinya dikeluarkan seolah-olah dia mahu terus tinggal di kampus pula. Beberapa buah beg pelbagai saiz juga ada yang sudah siap tersusun.

“Biarlah aku pergi.”

Previous: Bab1-ii
Next: Bab2-ii

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.