Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,857
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 3

“SALAH ke kalau aku cuba tolong perempuan tu? Aku tak ada cara lain selain berkasar dengan peragut-peragut tu semua! Itu saja caranya untuk aku melawan!”

            “Tak salah. Tapi encik dah mengakibatkan peragut-peragut tu terlantar kat hospital. Encik menggunakan objek tumpul untuk melumpuhkan peragut-peragut itu. Saya…”

            BUK!

            Athar menghentakkan kedua belah tangannya di atas kaunter balai polis itu. Kerusi sudah terpelanting ke belakang. Mata-mata yang sedang memerhatikannya dia abaikan. Buat seketika, dia beradu pandangan dengan seorang pegawai polis yang juga berwajah tegang. Athar memerlukan rehat sahaja malam ini. Bukan dimasukkan ke dalam lokap setelah membelasah peragut yang cuba mencederakannya sebentar tadi. Kalau bukan kerana Haura pernah membantunya, dia tidak akan sesekali membantu gadis itu.

            “Saya bayar jaminan dia. Boleh kan encik?” suara Haura tiba-tiba kedengaran. Sesekali, dia memandang wajah Athar yang berdiri di sebelahnya. Bagi Haura, pemuda itu memang seorang yang baran dan bengis. Dia sendiri kecut perut apabila pemuda itu berani menentang pegawai polis.

            “Aku tak perlukan duit kau! Dan kau… kalau kau nak sumbat aku dalam lokap…”

            Athar mati kata apabila Haura menghulurkan wang kepada pihak polis. Dahinya berkerut tatkala gadis itu berdegil untuk memberikan jaminan ke atas dirinya. Dia tidak mahu terhutang budi dengan Haura lagi. Sekali sudah cukup walaupun pengakhirannya dia terpaksa tidur di dalam lokap. “Aku kata tak payah… tak payahlah! Kau faham…”

            “Semuani salah saya. Jadi saya ada hak untuk menebus kesalahan saya. Kalau bukan sebab encik… tak mungkin saya dapat duit saya semula. Sebab saya juga encik terpaksa hadap balai polis! Encik nak terima ke tak… saya tak kesah. Apa yang penting ini cara saya berterima kasih pada encik!” bidas Haura dengan nada yang penuh dengan ketegasan. Lantas, urusan ikat jamin pun dilakukan. Athar hanya mampu menggelengkan kepalanya dengan kedegilan Haura sebelum melangkah keluar dari balai polis. Tak betah berada di tempat itu lama-lama. Lantas, telefon yang berada di dalam saku seluar dikeluarkan. Nombor Hazrul lantas dicari untuk mengambilnya di balai polis itu.

            “Encik! Tunggu kejap!” laungan suara Haura mematikan langkah Athar. Dia berpaling memandang gadis yang sedang melangkah ke arahnya. Sebuah senyuman yang terukir di bibir gadis itu membuatkan Athar jadi kaku. Suara Hazrul yang sudah berada di dalam talian sayup-sayup kedengaran. Tumpuannya hanya pada wajah Haura saja saat ini. Aneh. Perasaan ini sungguh aneh bagi Athar.

            “Saya nak ucapkan terima kasih pada encik sebab encik dah tolong saya. Nama encik siapa? Mungkin lepas ni kita boleh jumpa untuk saya balas jasa encik?” suara Haura kedengaran lagi. Senyuman di bibirnya semakin mekar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Tatkala itu, debaran di jantung Athar semakin kencang. Wajah gadis ini begitu tenang bagi Athar. Entah mengapa dia merasakan wajah Haura begitu menenangkan pun dia tidak tahu. Adakah kerana kejadian malam itu?

            “Encik…nama encik siapa?” soal Haura lagi.

            “Kau dah lupa ke pasal aku?” soal Athar tiba-tiba.

            “Lupa? Kita pernah bertemu ke sebelum ni?” soalan dibalas dengan soalan. Dahi Haura berkerut tatkala wajah Athar yang tegang tiba-tiba berubah redup.

            Athar terus mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Haura tatkala jawapan yang diterimanya tidak memuaskan hati. Nampaknya, Haura lupa kejadian malang itu. Lantas, Athar mengatur langkah meninggalkan perkarangan balai polis sambil menjawab suara Hazrul yang sedang menantinya dalam talian. Ada rasa kecewa apabila Haura lupa akan dirinya.

            Haura hanya memandang langkah pemuda aneh itu. Soalan Athar berlegar-legar di ruang fikiran. Siapa lelaki itu? Mengapa lelaki itu seolah-olah mengenali dirinya? Bahkan, semakin dia cuba mengamati wajah Athar dia merasakan dia pernah bertemu lelaki berparut di dahi kiri itu. Bagaikan sebuah dejavu sahaja apabila Haura merasakan dia seolah-olah pernah melihat wajah pemuda yang sudah membantunya malam ini.

MUG berisi teh panas dihulurkan kepada Haura. Fina melabuhkan duduk bersebelahan dengan Haura yang sedang menonton televisyen. Melihat wajah Haura berkerut-kerut, tahulah Fina bahawa Haura sedang memikirkan sesuatu. Matanya saja tertancap pada siaran berita di kaca televisyen. Tapi, fikirannya pasti melayang memikirkan perkara lain. Lantas, Fina memukul bahu Haura dengan kusyen. Haura lantas tersentak seraya memandang wajah Fina yang sedang tersengih.

            “Kau fikir apa? Pasal abah kau?”

            “Kau selalu tahu apa yang aku fikir. Kau ni macam dah jadi pak nujum aku pula,” ujar Haura seraya meneguk teh panas yang dihulurkan oleh Fina.

            “Dahtu je yang selalu buat kau tertekan. Mengelamun jauh. Kan? Kenapa? Sebab dia suruh kau cari pasangan hidup cepat-cepat lagi ke?”

            Haura ketawa dengan soalan Fina. Perlahan-lahan, dia mengangguk. Abah semakin mendesaknya untuk mencari seorang suami. Masalahnya, dia tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki selepas kejadian dia putus tunang.Bagaimana dia mahu mencari pasangan hidup? Kadang-kadang permintaan abah benar-benar membuatkan Haura terhibur sendiri.

            “Okay. Apa kata aku kenalkan kau dengan kawan kepada tunang aku. Aku dengar tunang aku sedang mencari isteri untuk sahabat dia yang baran tu. Hah! Aku rasa sesuai kot untuk kau. Kau ni jenis tenang saja kan. Pasti sesuai dengan mamat baran macam dia tu.”

            “Kau merepek apa? Baran? Kalau dia kaki pukul macam mana? Tak ada orang lain ke?”

            “Ya dia memang baran. Tunang aku kata lelaki tu dulu samseng yang selalu diupah untuk kutip hutang. Tapi tu dululah. Sekarang dia dah keluar dari kongsi gelap tu. Sekarang dia kerja kat bengkel. Tunang aku cakap kawan dia tu sedang menuju ke arah perubahan. Aku pernah jumpa mamat tu sekali. Boleh tahan jugalah. Walaupun dia nampak garang tapi dia segak. Bertanggungjawab. Adik dia autisme tapi aku tengok dia smooth je dengan adik dia. Hah! Apa lagi… cuba bagi peluang kat diri kau untuk kenal dia. Nak? Terimalah okay?”

            Penjelasan daripada Fina menarik perhatian Haura. Bertanggungjawab. Ya, dia perlukan seorang lelaki yang bertanggungjawab untuk dikenalkan kepada abahnya yang sentiasa khuatir akan dirinya. Itulah nasibnya sebagai anak tunggal. Abah yang semakin sakit tenat masih saja sempat mahu memikirkan dirinya. Demi abah, Haura cuba memberikan peluang kepada dirinya. Lebih-lebih lagi usianya yang hampir mencecah 30 tahun. Barangkali, inilah masanya untuk dia mula belajar bagaimana untuk mencintai dan dicintai. Tatkala itu, senyuman terukir di bibir Haura.Tercuit hatinya memikirkan dua perkara itu.


P:S:// Hai pembaca ^_^ Terima kasih kerana sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian. Kalau sudi, saya perlukan komen untuk saya baiki mutu penulisan saya. ^_^ Oh ya selain itu, saya nak tanya jika ada para pembaca yang menanti bab seterusnya. Memandangkan saya mempunyai masalah teknikal setiap kali menghantar bab seterusnya, kalau saya post bab seterusnya dalam wattpad sahaja adakah para pembaca boleh menerimanya atau para pembaca masih nak saya hantar bab seterusnya dalam portal ilham? Boleh komen dalam ruangan yang disediakan ye. Terima kasih sekali lagi ^_^

https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa