Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,835
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 25

AMIN berlari-lari anak menurut kata abangnya dengan membuka pintu rumah. Sesekali dia ketawa riang dengan kejutan yang ingin diberikan buat Haura. Perlahan-lahan, Athar memimpin tangan Haura memasuki rumah baharu mereka. Senyuman tak lekang dari bibirnya apabila Haura mengomel apabila matanya ditutup dengan kain berwarna hitam. Semerbak bau mawar merah menusuk hidung Haura tatkala dia memasuki rumah. Kedengaran bunyi kerusi ditarik sebelum Athar mendudukkan Haura di kerusi tersebut.

          "Aku buka. Jangan lupa baca Bismillah," bisik Athar seraya membuka penutup mata.

           Saat Haura mencelikkan matanya, saat itu juga matanya membuntang melihat sekelilingnya. Senyuman tak lekang dari bibir dengan kejutan itu. Ruangan rumah itu kelihatan cantik dan lebih luas dari rumah sebelumnya. Terdapat sebuah taman landskap yang terletak di luar rumah dan dipancarkan dengan lampu. Haura dapat melihat melalui pintu gelongsor lut sinar di ruangan makan itu. Bahkan, hiasan rumah itu kelihatan cantik dengan berkonsepkan moden kontemporari. Terdapat foto pernikahan Haura dan Athar yang tergantung di dinding. Saat ini pula, di atas meja dipenuhi dengan makanan kegemarannya dan beberapa kuntum bunga mawar merah yang ditabur di atas meja. Cantik!

          "Kak Haura, cantik tak rumah baru kita?" soal Amin yang sedang duduk di sofa sambil bermain dengan kereta mainannya.

           "Rumah baru? Ni rumah baru kita? Tapi sejak bila..."

           "Ya sayang. Rumah baru kita. Aku nak anak kita hidup selesa sebab tu aku buat keputusan untuk pindah rumah. Sebenarnya dah lama aku buat keputusan ni sejak aku lafazkan akad untuk kau. Lepas aku bangun dari koma dulu, aku cuba nak berbaik dengan kau tapi aku tak sampai hati nak berdepan dengan kau lepas aku lukakan kau. Mulai hari ni, kita tinggal kat rumah ni. Kan aku dah pernah janji aku akan sediakan sebuah rumah yang lebih besar dari rumah kita yang dulu tu," ujar Athar seraya melabuhkan duduk di sebelah Haura.

          Haura tergamam. Sungguh, dia kehilangan kata dengan kejutan yang diberikan oleh Athar. Dia jadi sebak dengan pengorbanan yang dilakukan oleh suaminya hanya untuk membuatkan dia dan anak mereka hidup selesa. Buat seketika, pandanganya bersatu dengan Athar sebelum dia mencubit lengan suaminya. "Saya tak nak menangis tahu tak! Awak ni saja kan buat saya sebak," adu Haura sebelum dia mengesat setitis air mata yang mengalir ke pipinya.

         Tak semena-mena, Athar ketawa dengan tingkah Haura. Segera dia mengesat lembut air mata isterinya sebelum meletakkan tangannya di kandungan Haura yang sudah membesar. Usapan lembut itu membuatkan Haura tersenyum sendiri. "Anak abah. Tengoklah mama ni. Sejak dua menjak ni dia asyik cengeng saja. Anak abah nanti jangan kuat menangis macam mama tahu," kata Athar dengan sisa tawanya.

        "Kak Haura janganlah menangis! Nanti baby tu kuat menangis macam kakak. Kalau dia kuat menangis Amin nak main dengan siapa?" kata Amin pula seraya berdiri di sisi abangnya. Buat seketika, Haura ketawa kecil sambil mengenggam tangan Athar yang sedang mengusap kandungannya. Sungguh, dia bahagia.

       Tiba-tiba, nyanyian lagu hari jadi kedengaran di luar rumah. Mereka mendongak memandang tiga figura yang melangkah masuk ke dalam rumah dengan membawa sepotong kek. Athar bangun dari duduknya dan menyambut kek yang dibawa oleh Fina. Mereka sama-sama menyanyikan lagu ulang tahun buat Haura. Sekali lagi, setitis air mata mengalir ke pipi Haura. Wajah orang-orang kesayangannya dipandang satu per satu sebelum dia memandang kek yang diletak di hadapannya.

          "Selamat ulang tahun Kak Haura!" ucap Amin seraya meniup lilin. Tak semena-mena, Haura ketawa dengan telatah Amin.

         "Happy birthday mummy to be! Senangnya aku tengok kau orang dah berbaik. Dahlah sejak kau mengandung ni Athar makin sweet. Semua tips dia minta daripada aku dengan Hazrul," ucap Fina pula.

         "Selamat hari jadi anak mak. Maaflah buat anak mak menangis. Mak terpaksa berkomplot dengan dia orang sebab mak pun nak tengok anak mak gembira. Hah kamu Athar! Sekali lagi kamu buat anak mak susah hati, mak tak teragak-agak cilikan mulut kamu tu," kata Puan Suria siap dengan amaran yang diberikan kepada Athar.

            Haura tersenyum lebar apabila ibunya mengucup lembut ubun-ubunnya. Lantas, Haura berdiri dan memeluk erat tubuh ibunya dengan erat. "Terima kasih mak. Sebab lahirkan Haura. Haura senang dan bahagia jadi anak mak. Sebab mak jugalah Haura belajar jadi seorang isteri dan ibu yang kuat untuk keluarga," ujar Haura seraya mengucup lembut pipi ibunya.

           "Ya mak. Athar minta maaf sebab Athar dah lukakan hati anak mak yang paling indah dalam hidup Athar ni. Athar sedar Athar khilaf selama ni dan untuk pujaan hati Encik Athar, selamat ulang tahun sayang," kata Athar. Dia tersengih kelat apabila Puan Suria memandangnya dengan pandangan yang tajam. Seolah-olah memberikan amaran agar dia tidak menyakiti Haura lagi.

            Usai makan malam, Athar melabuhkan duduk di halaman rumah. Taman yang dihias cantik diperhatikan. Itulah taman yang akan diceriakan oleh anaknya bersama Haura nanti. Sungguh, inilah rezeki yang dianugerahkan oleh ALLAH kepadanya di atas kesabarannya selama ini. Walaupun dia bermula dengan menjadi mekanik di bengkel Hazrul namun kerana kesungguhannya mengumpul wang untuk memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarganya, Athar berjaya membeli sebuah rumah teres dua tingkat yang menyediakan sebuah ruangan riadah.

           Buat seketika, dia memerhatikan Haura yang sedang berbual bersama Fina di meja makan. Tatkala mereka saling berpandangan, Athar tersenyum nipis membalas senyuman manis Haura. Inilah pandangan yang ingin dia lihat sebelum waktunya berakhir.

          "Athar tu romantik orangnya," bisik Fina tatkala sahabatnya mula berbalas renungan dengan Athar yang sedang berbual bersama Hazrul.

           "Mesti kau yang cakap pasal rumah idaman aku pada dia, kan?"

           "Of courselah! Dia nak hadiahkan sesuatu yang berharga untuk isteri tercinta dia yang sedang mengandungkan anak dia ni hah. Aku apa lagi, berkomplotlah dengan dia kongsi jenis-jenis konsep rumah kesukaan kau. Athar tu sayang sangat dengan kau. Dia tak pinjam duit Hazrul pun nak beli rumah ni. Dia cuma kerja lebih masa saja sampai tak pedulikan diri dia yang sakit tu. Aku bersyukur tengok kau bahagia dengan dia," kata Fina.

           "Aku tahu. Sebab tu dia sembunyikan rahsia dia yang dia sakit selama perkahwinan kami. Dia tahu aku tak boleh hidup tanpa dia. Tapi apapun yang akan berlaku aku kena bersedia. Memang sukar untuk aku terima yang keadaan dia makin teruk. Bila-bila masa saja dia akan pergi. Tapi aku hanya mampu berdoa dan terus kuat untuk dia dan anak kami," kata Haura. Dia tersenyum tenang sebelum berpandangan dengan Fina.

           "Kau kuat," ujar Fina sambil mengenggam erat tangan Haura. Sungguh, dia sebak melihat ketenangan di sebalik wajah sahabatnya.

           "Aku kena jadi kuat untuk kami. Kalau aku tak kuat, siapa yang nak kuatkan kami hadapi dugaan ni, betul tak?" kata Haura. Dia ketawa kecil sebelum kembali memandang wajah Athar yang masih khusyuk memandangnya. Sungguh, jauh di sudut hatinya dia takut. Dia takut kalau pandangan ini merupakan pandangan terkahir yang dia lihat. Tapi seperti pendirian kukuhnya, dia harus sentiasa kuat untuk mereka.

          "Hah! Gosip apa korang berdua ni? Haura, minum jamu ni. Mak dah buatkan untuk kamu Mak tengok kamu tak habiskan ye jamu yang mak hantarkan pada kamu tu," omel Puan Suria seraya meletakkan segelas jamu di hadapan anak tunggalnya.

          Tak semena-mena, Fina ketawa melihat wajah cemberut Haura. "Kamu pun minum. Kandungan kamu dah nak masuk sebulan kan? Hah kongsi minuman tu," omel Puan Suria lagi. Haura tersenyum sinis seraya mendekatkan gelas tersebut ke hidung Fina. Tak semena-mena, dahi Fina berkerut tatkala bau ubat menusuk rongga hidungnya.

BENARLAH, kekuatan doa itu dapat menguatkan seseorang untuk terus menjadi positif dan menjadikan seseorang itu sentiasa berserah kepada yang Maha Esa. Lima bulan sudah berlalu semenjak Athar mendapati bahawa masanya hampir tamat. Namun, doa agar waktunya dipanjangkan telah dimakbulkan. Waktu demi waktu berlalu, hubungan Athar dan Haura semakin manis. Hubungan mereka seolah-olah orang yang baru bercinta padahal sudah hampir setengah tahun pernikahan mereka.

           Hari-hari mereka juga sering dihiasi dengan ucapan cinta yang tulus dari hati. Tiada lagi rahsia di antara mereka. Kalau penyakit Athar kembali muncul, dia tidak mampu menegah Haura dari menenangkannya kerana Haura sendiri yang ingin sentiasa berada di sisinya. Athar juga sering kali membacakan doa-doa amalan untuk ibu mengandung bersama Haura. Dia mahu anaknya dididik dengan nilai-nilai agama. Sebuah bilik juga sudah dipersiapkan untuk anak mereka.

        "Mana abang Amin? Dari tadi akak tak nampak pun abang turun bawah," kata Haura di suatu pagi sambil menyediakan sarapan pagi buat mereka bertiga.

       "Kejap Amin panggil! Satu, dua, tiga... abang!" jeritan Amin mula berkumandang di dalam rumah. Dia tersengih apabila Haura hanya menggelengkan kepalanya. Namun, kelibat Athar masih tidak kelihatan. Bahkan, berkali-kali Amin memanggil dari tingkat bawah sambil membuat kerja rumahnya. Namun kelibat Athar masih belum kelihatan.

       "Tak apalah! Amin sarapan dulu, kakak pergi panggilkan abang Athar," ujar Haura. Perlahan-lahan dia menaiki anak-anak tangga. Dalam keadaan perut yang memboyot kadang-kadang membuatkan Haura cepat mengah. Pinggangnya juga kadangkala terasa lenguh. Sesekali, tangannya mengusap kandungannya tatkala tendangan bayinya terasa. Sekuntum senyuman terukir di bibir Haura sambil dia mencari kelibat Athar.

            Namun, di bilik mereka kosong. Tak lain dan tak bukan pasti Athar berada di bilik yang disediakan untuk anak mereka. Maka, Haura melangkah memasuki bilik yang terletak bersebelahan dengan bilik mereka. Saat dia membuka tombol pintu, saat itu juga senyuman di bibir Haura mati. Terasa kelat liur yang ditelan saat dia melihat sekujur tubuh Athar yang sudah kaku di atas lantai. Jantung Haura sudah berdegup kencang melihat keadaan Athar yang pucat. Buru-buru dia mendapatkan Athar dan memeriksa nadi suaminya.

       "Athar... tak... tak... belum masanya. Awak nak tengok anak kita kan? Sebulan saja lagi, sayang. Tolong jangan macam ni. Awak kena kuat untuk kita. Athar... Ya ALLAH. Athar bukalah mata awak. Jangan macam ni please," rintih Haura saat nadi Athar terasa begitu lemah. Haura jadik sesak. Air matanya terus menerus mengalir ke pipi. Wajah Athar yang kelihatan pucat tak berdarah membuatkan dia takut.

      "Tak. Aku tak boleh panik. Aku tak boleh panik."

      Lantas, Haura cuba menenangkan dirinya seraya menghubungi ambulans. Sesekali dia mengucup dahi Athar yang sejuk. Sesekali dia teresak-esak apabila rasa takut itu semakin menyerangnya. Haura benar-benar sesak ketika itu. Dia mengusap lembut wajah Athar. Andai ini usapan yang terakhir dia akan abadikannya hingga hujung nyawa. 

nota penulis: terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian. Maaf kalau ada kesalahan tatabahasa, penggunaan struktur ayat dan ada ayat canggung dalam bab ni sebab saya tak baca banyak kali :) saya sibuk sangat hehehe tapi cerita ni dah siap dah... tinggal dua bab saja lagi gais untuk saya upload... stay tuned...

nak baca laju-laju boleh baca dalam wattpad juga ye... https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa