Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,895
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 2

SETAHUN YANG LALU...

SAMPUL berwarna coklat yang berada di genggamannya dipandang dengan pandangan yang kosong. Suasana yang hiruk pikuk seolah-olah memekakkan telinganya. Athar meneruskan langkah dengan pandangan yang tertunduk memandang sampul surat coklat yang isinya merupakan sebuah berita yang seolah-olah menghempap hidupnya. Kenapa harus dia? Dugaan apa lagi yang cuba Tuhan berikan kepadanya?Apakah sebanyak itu dosanya sehingga dia diberikan sebuah dugaan yang maha hebat? Tatkala itu, benak fikiran Athar tak lekang dari mempersoalkan tentang berita yang baharu sahaja menerjah hidupnya.

            BUK!

           Tiba-tiba, persoalan yang bermain di benak fikirannya terhenti tatkala tubuhnya dirempuh kasar oleh seseorang. Sampul surat berwarna coklat terlepas dari tangan. Perlahan-lahan, Athar menunduk untuk mencapai semula sampul surat itu. Namun, sepasang kasut yang berada di hadapan matanya membantutkan pergerakannya. Athar mendongak dan memandang si empunya diri. Jelas, wajah seorang gadis yang kelihatan resah berada di hadapannya. Gadis itu juga seolah-olah dihurung dengan ketakutan. Ada titisan air mata yang mengalir ke pipi mulusnya. Sesekali, gadis itu menarik-narik lengan baju kemeja Athar. Namun, dek kerana sepasang anak mata si gadis yang kelihatan redup seolah-olah membuatkan Athar dengan duniannya sendiri. Indah. Ya, sepasang mata milik gadis bertudung selendang hitam itu kelihatan indah di pandangan Athar.

            “Encik! Tolonglah saya. Saya perlukan beg saya! Saya merayu tolonglah kejar peragut tu!!” jeritan yang kuat dari si gadis terus menyedarkan Athar dari khayalannya. Dia berpaling memandang dua orang peragut yang semakin hilang dari pandangan. Senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu. Sampul surat berwarna coklat dicapai sebelum Athar kembali meneruskan perjalanannya. Namun, langkahnya terbejat apabila hujung kemejanya dicengkam kuat oleh si gadis. Buat seketika, mereka saling beradu pandangan.

            “Encik! Tolonglah saya. Dalam tu ada duit yang saya nak bagi pada abah saya! Abah saya perlukan rawatan!” jerkah si gadis lagi. Nada suaranya kedengaran semakin bergetar di pelupuk telinga Athar.

            “Kau ada kaki. Apa kata kau kejar peragut tu. Aku ada hal yang lagi mustahak daripada  tolong orang yang tak ada kaitan dalam hidup aku!” tegas Athar seraya merengkuh lengannya daripada cengkaman si gadis. Dia mencebik geram apabila moodnya diganggu oleh gadis itu.

            Haura tergamam dengan ketegasan Athar. Liur yang ditelan terasa kelat dengan keenganan lelaki itu untuk membantunya. Tidak menyangka nasibnya sungguh malang malam ini. Tiada lagi yang boleh membantunya untuk mendapatkan semula beg yang berisi wang untuk rawatan jantung abahnya selain dirinya sendiri. Keadaan malam itu sudah sepi. Dia kesal kerana tidak mendengar pesanan rakannya untuk tidak terlalu terdesak untuk ke bank pada malam hari. Dia tambah kesal dengan sikap lelaki yang ego itu. Tanpa berlengah, Haura segera mengejar peragut itu dengan kudrat yang masih tersisa. Seluruh tenaga dikerahkan semula. Dalam keadaan yang terdesak dia lagi rela untuk membiarkan dirinya terjunam dalam marabahaya.

            Mendengar tapak kaki si gadis kembali berlari serta merta membantutkan pergerakan Athar semula. Dahinya berkerut tatkala raut wajah si gadis tiba-tiba bermain di benak fikirannya. Kejadian bulan lalu singgah di memorinya. Gadis berbaju kurung dengan selendang berwarna krim berlegar-legar di ruang fikirannya. Kalau bukan kerana gadis itu pasti dia sudah mati angkara orang yang berdendam dengannya. Gadis itu penyelamatnya! Ya, dia masih ingat ketika dia diserang oleh sekumpulan lelaki yang diarahkan untuk membunuhnya, gadis itu yang datang menyelamatkan keadaan. Keluhan berat dilepaskan. Fikiran Athar yang jauh melayang memikirkan nasib yang seterusnya serta merta terhapus begitu sahaja. Lantas, dia mengerahkan tenaga untuk membantu gadis itu.

            “Kau tunggu sini dan hubungi polis. Kalau aku tak datang pada kau dalam masa lima keenam minit… kau redhakan sajalah duit yang ada dalam beg kau itu,” tegas Athar apabila dia semakin menghampiri Haura. Sampul surat yang berada di genggamannya semakin renyuk. Bahkan, serta merta larian Haura terhenti dengan ketegasan daripada Athar. Dia kaku. Hanya pandangannya sahaja menghantar Athar yang sedang membantunya. Tanpa berlengah, Haura segera menghubungi pihak polis.Sesekali, dia terbatuk-batuk akibat kelelahan. Lututnya juga terasa semakin longgar. Lantas, Haura bersandar di belakang dinding berhampiran sebuah kedai makan yang sudah ditutup.        

            Seminit, dua minit, tiga minit dan minit-minit seterusnya membuatkan Haura mula kecut perut. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa lama Athar mengejar peragut itu. Jam tangannya dikerling sekilas. Kegusaran semakin menghuni tangkai hatinya. Suasana yang dingin malam itu semakin mencengkam hingga ke tulang hitam. Kata-kata Athar sebentar tadi mula bermain di benak fikirannya. Redha? Bagaimana dia mahu redha kalau wang di dalam beg itu mahu dikirimkan kepada kedua orang tuanya? Lebih-lebih lagi abahnya yang sedang sakit tenat? Sungguh,Haura mula sebak mengenangkan nasib yang sedang membelenggu hidupnya. Ujian apa lagi kali ini? Semakin akalnya berfikir, Haura semakin longlai.

            Tiba-tiba, telefonnya berdering. Lantas Haura menjawab panggilan yang tidak mempunyai nama itu. Jelas, suasana bingit kedengaran di dalam talian. Tubuh Haura lantas menegak mendengar makian dan ketegangan yang sedang berlaku di dalam talian tersebut.

            “Cik Haura yang hubungi pihak polis tadi bukan?”

            “Ya saya.”

            “Macamni cik… saya rasa cik kena ikut kami ke balai yang berhampiran. Sekarang juga!” tegas suara seorang lelaki yakni anggota polis yang menerima laporan mengenai kes ragut daripada Haura.

            Haura bungkam buat seketika. Apa lagi yang harus dia lalui pada hari ini?

P:S/: Hai pembaca. Terima kasih kerana sudi memilih karya saya sebagai bahan bacaan kalian. Siapa yang ada wattpad jemputlah datang ke wattpad saya ^_^
https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham