Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,836
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 21

"KAU nak apa lagi daripada aku?" soal Athar sebaik sahaja dia ditolak masuk ke dalam bilik bekas ketuanya. Wajah Felix yang bengis dipandang dengan pandangan yang penuh dengan kebencian. Kerana orang ini, dia kehilangan seorang ayah. Kerana orang ini juga dia hidup dalam keadaan yang penuh dengan rasa bersalah. Bukan itu sahaja, kerana manusia kejam ini juga kadangkala dia diburu oleh musuh-musuh Felix yang pernah dicelakainya dahulu.

           "Isteri kau cantik. Aku tak sangka kau akan pilih muslimah macam..."

           "Jangan sebut pasal isteri aku!" tegas Athar. Tak semena-mena, suaranya naik seoktaf memenuhi bilik itu. Tangannya digenggam erat tatkala kesabarannya dicabar. Athar benar-benar rasa dibakar saat Felix dan anak-anak buahnya tidak henti-henti bercakap tentang Haura. Athar tidak mahu Haura dilibatkan dalam dunia gelapnya ini.

             Felix ketawa dengan kemarahan Athar. Sengaja mengapi-apikan pemuda berkulit sawo matang itu. Dia menilik wajah Athar yang cengkung dan semakin kurus. Tubuh lelaki itu tidak lagi kelihatan gagah seperti dulu. Seolah-olah di hadapannya ini bukan lagi Athar yang sering menjadi kegemarannya untuk mencederakan orang yang tidak mahu membayar hutang. Orang yang sering diarahkan untuk mencelakai musuhnya.

            "Aku tak pernah cakap yang kau bebas daripada aku walaupun kau dah masuk dalam penjara. Kau yang pandai-pandai lari daripada aku dan cari tempat baru supaya kami tak jumpa kau. Maksudnya, kau tu masih orang bawahan aku. Jadi, aku tak ada sebab untuk jawab soalan kau. Ke kau dah lupa tugas kau dalam kumpulan ni?" kata Felix sambil memeluk tubuhnya.

           "Habis tu kau nak aku buat apa?" soal Athar. Tiba-tiba, nada suaranya tidak lagi tinggi seperti sebentar tadi. Namun, masih ada ketegangan di sebalik suaranya.

             "Bagus! Kau selalu bersedia dengan apa saja benda yang aku arahkan pada kau," ujar Felix. Dia mengusap dagunya. Seolah-olah memikirkan tugasan yang mahu diberikan kepada pemuda di hadapannya itu.

               Athar tersenyum sinis dengan omongan Felix. Kalau lelaki ini mahu bermain dengannya, dia juga boleh bermain dengan mereka. "Kau nak aku pukul siapa pula kali ni?"

              "Aku."

              Tak semena-mena, Athar ketawa sinis dengan jawapan yang diberikan. Pelipis yang tak gatal digaru. "Aku tak ada masa nak bermain dengan kau. Lepaskan adik aku dan biarkan aku hidup dengan cara aku. Kau ada banyak lagi anak-anak buah yang setia dengan kau. Aku minta maaf tapi aku dah cuci tangan. Aku tak nak libatkan diri aku dalam dunia gelap kau ni lagi," tegas Athar seraya melangkah keluar dari bilik itu. Namun, dua orang konco Felix menahannya. Athar hanya merempuh tubuh mereka dan mencapai tangan Amin yang sedang berdiri di luar bilik.

            "Jangan biarkan bajingan tu keluar dari bangunan ni!" jerkah Felix dari dalam bilik. Serta merta, Athar dan Amin dikepung oleh orang-orang suruhan Felix. Ketika itu, dua beradik itu bagaikan tikus yang berada di tengah dan sedia untuk dibaham oleh tujuh ekor helang yang seolah-olah sedang kelaparan.

            Melihatkan itu, Athar mengeluh berat. Nampaknya, dia tidak mempunyai jalan lain selain mengotorkan tangannya setelah sekian lama dia tidak bertarung. Apa pula ujiannya malam ini Athar sendiri tidak tahu.

PUAN SURIA buru-buru membasahkan wajah Haura dengan tangannya apabila anak tunggalnya itu meracau dalam tidur. Malahan, Haura turut kelihatan seperti orang yang dalam ketakutan. "Haura! Bangun. Kenapa ni?"

            "Athar!"

           Haura serta merta terjaga dari lenanya seraya terduduk. Nafasnya turun naik seperti orang yang sedang berlari marathon. Mimpi buruk itu benar-benar membuatkan dia lelah. Puan Suria benar-benar sebak melihat keadaan Haura. Lantas dia mengusap peluh yang merintik di dahi si anak sebelum ubun-ubun Haura diusap lembut. Doa penenang hati diberikan kepada Haura.

          "Haura mimpi apa ni?"

        "Athar. Haura kena tengok keadaan dia. Haura rasa tak sedap hatilah mak," ujar Haura. Sungguh, mimpi buruk Athar diserang oleh beberapa orang lelaki membuatkan dia takut. Athar sendiri tidak tahu siapa musuhnya. Bagaimana kalau musuh Athar mencarinya dan Athar cedera lagi? Siapa yang mahu merawat Athar? Sungguh, Haura mula dilanda resah setelah seminggu dia memujuk hatinya untuk tidak menghubungi Athar. Memberikan Athar peluang untuk menenangkan diri.

        "Mak dah pesan kan jangan fikirkan sangat pasal suami kamu tu. Cuba fikir sikit pasal anak kamu. Mak risau tahu bila Haura kata kandungan Haura lemah. Mak tak nak benda buruk jadi pada anak dan cucu mak. Jangan biarkan diri Haura berada dalam tekanan. Buat masa ni, tenangkan diri Haura kat sini. Biar mak yang jaga Haura. Pasal Athar tu, pandai-pandailah dia jaga diri dia sendiri," pesan Puan Suria sambil mengenggam erat tangan Haura. Apabila ketegasan sudah terpancar di sebalik wajah ibunya, Haura tidak mampu berkata apa. Ibunya itu memang tegas orangnya. Kalau itu yang dikatakan maka itulah yang harus Haura turuti. Namun, Haura memang tidak bisa membendung dari keresahan memikirkan tentang Athar. Semuanya benar-benar tergantung saat ini.

FELIX semakin mengah dengan ketangkasan Athar. Sesekali, dahinya berkerut menahan sakit dengan pukulan daripada pemuda itu. Entah tenaga apa yang dimiliki oleh Athar saat ini pun dia tidak tahu. Bahkan, Athar seolah-olah tidak merasakan kesakitan selepas lelaki itu bergelut bersama tujuh orang konco-konconya terlebih dahulu. Dengan wajah yang memar dan titisan darah yang mengalir dari dahinya juga seolah-olah tidak memberikan kesan buat Athar.

       "Kau makan dadah ke?"

       Athar tersenyum sinis sambil mengesat darah yang mengalir dari hidungnya dengan soalan Felix. Dia lelah. Tenaganya sudah tidak sekuat dahulu. Tetapi melihat Amin turut menjadi tawanan dia tidak bisa membiarkan adiknya terus ketakutan. Maka, seluruh tenaga dikerahkan untuk melawan orang-orang yang mahu mencelakainya.

       "Lepaskan aku dengan adik aku!" tegas Athar seraya berpusing dan menghayunkan tendangannya bertubi-tubi ke tubuh Felix yang sudah separuh tunduk itu. Tak semena-mena, Felix tersungkur di belakang kotak-kotak yang tersusun di gudang itu sebelum kotak-kotak tersebut jatuh berhampirannya. Dia terbatuk-batuk sehingga darah terpercik keluar dari mulutnya dengan serangan daripada Athar. Sakitnya bukan kepalang! Dia merasakan dadanya mahu pecah saja dengan tendangan cekap Athar itu.

        "Aku bunuh kau!" jerit Felix seraya bangun dari pembaringannya. Dia meluru ke arah Athar. Namun, Athar lebih tangkas mengelak dengan menghayunkan penumbuknya ke rusuk Felix. Tak semena-mena, Felix terduduk dan terbatuk-batuk menahan sengal. Dahinya berkerut menahan sakit. Dia merasakan seolah-olah tulang temulangnya sudah dipatahkan oleh bekas anak buahnya itu.

       "Kau lupa ke aku ni siapa? Aku orang paling kuat dalam kumpulan kau, bukan?" kata Athar dengan angkuh. Sengaja mengapi-apikan lelaki bertatu naga di leher itu. Lantas, dengan kemarahan yang semakin mengganas dia mencengkam kuat kolar baju Felix agar lelaki itu bangun. Nafasnya semakin turun naik melepaskan amarah yang dipendam setelah sekian lama. Athar menghempaskan tubuh Felix ke belakang dinding. Buat seketika, mereka saling beradu pandangan. Felix ketawa sinis sehingga menampakkan gusinya yang sudah berdarah tatkala wajah Athar kelihatan semakin tegang.

        "Isteri kau tu... kau kutip dari mana?"

        "Jahanam! Kau jangan sebut pasal isteri aku!"

          Tak semena-mena, soalan Felix membawa padah saat tumbukan Athar melayang ke wajahnya bertalu-talu. Sungguh, emosi Athar benar-benar terganggu tika ini. Seolah-olah Haura sedang diperlekehkan oleh lelaki durjana itu. Namun, tumbukannya terhenti saat Athar merasakan sakit kepalanya kembali menyerang. Serta merta tangannya terlepas dari mencengkam baju Felix. Felix tersandar dan mendesis kesakitan akibat penangan Athar.

        Malahan, pandangan Athar juga seolah-olah menjadi kabur. Dia menggelengkan kepalanya. Namun, keadaan masih sama. Dia merasakan tubuhnya seolah-olah hilang keseimbangan dan hampir saja dia terduduk jika dia tidak berpaut pada tiang di gudang itu.

        "Kau jangan nak angkuh sangat. Aku akan bunuh kau malam ni juga! Berani kau menentang aku dengan keluar dari kumpulan ini!" jerkah Felix lagi seraya meluru ke arah Athar yang kelihatan sedang kesakitan. Dia menggengam kedua belah tangannya saat melihat peluang di depan mata. Namun, serangannya berjaya dipatahkan lagi oleh Athar dengan hanya menggunakan tendangan kuat sahaja.

          Felix tersungkur lagi. Athar juga sudah separuh tertunduk apabila kepalanya semakin terasa sakit. Seolah-olah berjuta-juta jarum sedang ditusuk ke seluruh saraf kepalanya sahaja. Dahinya sudah berkerut menahan sakit yang luar biasa. Dadanya juga semakin sesak dengan kesakitan yang maha hebat itu. Dia berundur setapak demi setapak ke belakang sebelum dua orang konco Felix mara dan menyerangnya. Bersama dengan kesakitan, Athar hanya mampu mengelak pukulan dan tendangan yang ditujah ke tubuhnya. Dia sudah tidak mampu menyerang lagi.

         Namun, sekali lagi Athar merasakan kesakitan yang luar biasa pada belakangnya. Terasa seolah-olah belakangnya ditusuk dengan sesuatu yang tajam. Athar tersentak ke hadapan apabila tusukan itu ditarik dengan kuat. Serta merta dia rebah dalam keadaan kesakitan yang maha hebat. Titisan-titisan darah mula membasahi bajunya. Saat itu juga semua memori di antara dia dan Haura berlayar di fikiran. Senyuman Haura, ketenangan Haura dan semua tentang Haura seolah-olah pita rakaman yang sedang berlegar-legar.

        "Haura..." dan saat itu Athar redha jika itu pengakhirannya. Nama Haura terus menerus meniti di bibirnya sebelum setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Sungguh, dia rindu pada pemilik hatinya. Bagaimana kalau waktu ini merupakan waktu terakhir dia menghembuskan nafas? Bagaimana dengan nasib Haura dan anaknya? Sungguh, kesakitan yang ditujah ke tubuhnya meragut seluruh kekuatannya serta merta. Pandangan terakhir yang dia lihat adalah Felix yang sedang mengenggam sebilah pisau yang menitis dengan darahnya sebelum semuanya menjadi gelap.


nota penulis: terima kasih sudi membaca karya saya ^_^ kalau nak baca bab yang selanjutnya dengan lebih cepat jemputlah ke wattpad saya... https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa