Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,842
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 6

"BOLEH tak saya nak tanya awak sesuatu?"

                Athar berpaling memandang wajah manis Haura yang sedang memerhatikan Aiman yang sedang bermain di atas buaian. Raut wajah Haura mula menjadi tatapannya. Senyuman yang tak lekang dari bibir itu benar-benar menyenangkan hati seorang Athar. Lekuk di kedua belah pipi menambahkan lagi kecantikan Haura. Inilah pemandangan terindah yang pernah dilihat tatkala itu. Saat matanya semakin fokus memerhatikan raut wajah Haura, hatinya mula berdebar kencang tanpa sebab. Perasaan apakah ini?

               "Kau nak tanya apa?"

                "Tapi janji dulu yang awak takkan marah saya," kata Haura. Dia berpaling memandang wajah Athar sekilas lalu sebelum kembali memerhatikan Amin.

               "Aku tak boleh janji," ujar Athar acuh tak acuh seraya meneguk tin soya yang berada dalam genggamannya.

                Haura kembali memandang wajah Athar. Dia mencebik geram. Apa ertinya pertemuan mereka jika Athar tidak mahu memberikan dia peluang untuk mengenali lelaki itu? Buat seketika, mereka saling beradu pandangan. Senyuman sinis yang terukir di bibir Athar membuatkan Haura merasakan lelaki itu sedang mengejeknya. Dia mencebik sekali lagi.

               "Setahu sayalah kan, awak yang hulurkan salam perkenalan pada saya dulu. Sekarang ni saya nak tahu pasal awak jadi saya berhak tanya soalan yang berkaitan dengan awak. Awak dah tahu pasal saya dan semua ni tak adil kalau awak je yang tahu pasal saya. Jadi, tak salah kan kalau saya nak tanya awak beberapa soalan," omel Haura. Ada reaksi tak puas hati di sebalik wajahnya yang manis.

             Melihat air muka Haura berubah tegang membuatkan hati Athar tercuit lucu. Dia mengulum senyum sebelum menaikkan kening kirinya. Memberikan isyarat kepada Haura untuk bertanyakan soalan. "Aku bergurau sajalah. Kau janganlah serius sangat petang-petang ni," ujar Athar.

           "Sebab saya tak tahu pula orang baran macam awak ni pandai bergurau," sindir Haura seraya mengalihkan pandangannya dari memandang wajah Athar. Tak semena-mena, kata-katanya itu disambut dengan tawa Athar. Athar benar-benar terhibur dengan kata-kata Haura. Tambahan pula mimik muka gadis yang kelihatan tidak berpuas hati itu.

          "Nampaknya kau kena kenal aku dengan lebih mendalam supaya kau tahu yang aku ni tak seperti apa yang kau rasakan. Silakan Cik Haura. Ajukan soalan pertama anda," kata Athar. Tatkala renungan tajam Haura kembali menyapa anak matanya, dia tergelak kecil sekali lagi. Sungguh, setiap mimik muka Haura benar-benar membuatkan dia terhibur.

        "Macam mana awak boleh keluar dari kongsi gelap tu dan apa yang berlaku pada awak malam saya jumpa awak dalam keadaan cedera? Semuanya saling berkait ke?"

         Soalan pertama daripada Haura serta merta mematikan tawa Athar. Gadis ini cuba mengorek kisah silam yang sudah hampir enam tahun dia tinggalkan. Kotak memorinya mula mengimbas detik-detik dia keluar dari kongsi gelap itu. Setiap pekerjaan yang dia lakukan ketika menjadi orang suruhan ceti haram berlegar-legar di ruang fikiran. Sungguh, terlalu banyak dosa yang tak terhitung tatkala dia teringat akan kisah silamnya. Sukar untuk dia maafkan dirinya di atas dosa yang telah dia lakukan selama ini.

        "Dahulu aku kerja sebagai kuli kepada ceti haram. Ugut orang yang tak nak bayar hutang. Pukul orang sampai hampir mati. Itu sajalah yang aku tahu sejak umur aku 22 tahun. Tapi semuanya berubah sejak aku ditangkap oleh pihak polis lima tahun yang lalu semasa aku pukul orang sebab tak nak bayar hutang. Lepas kejadian tu aku keluar dari terus menjadi kuli. Terlalu banyak dosa yang aku buat selama ni. Malam kau jumpa aku tu, orang yang pernah aku cederakan dulu arahkan orang untuk cederakan aku semula. Kau tak patut selamatkan aku malam tu. Sebab aku sengaja biarkan dia orang cederakan aku sebagai balasan di atas dosa yang pernah aku lakukan dulu," kata Athar. Dia tertunduk memandang tin soya yang sudah habis diteguk. Segaris senyuman sinis terukir di bibirnya yang pucat.

         Haura tergamam mendengar cerita daripada Athar. Ada rasa gerun duduk di sebelah lelaki yang pernah membuat cubaan membunuh orang itu. Tapi, cepat-cepat Haura tersedar apabila semua itu hanyalah kisah silam Athar. "Saya masih ada kewarasan untuk tolong orang yang kesusahan. Kalau awak mati kat situ, siapa nak jaga Amin?"

       Soalan Haura terus saja merentap tangkai hati Athar. Dia memandang si adik yang masih bermain di taman permainan. Benar. Siapa yang akan menjaga Amin jika dia mati? Namun, kini masanya juga hampir tamat. Memikirkan hal itu, Athar kembali sebak. Dia masih tidak menemui jalan untuk memberikan kehidupan yang selesa buat Amin jika dia meninggal dunia nanti. Dia tidak mahu menyusahkan Hazrul. Semenjak dia keluar dari penjara, Hazrul yang sering membantunya. Dia bersalah.

        "Soalan seterusnya?" soal Athar. Dia kembali memandang wajah Haura yang sedang mengamati wajahnya.

        "Mak ayah awak?"

        "Mak aku hilang dan abi aku dah meninggal dunia. Mak aku tinggalkan kami dan lari dengan orang kaya. Dia dah penat hidup miskin. Abi aku meninggal tiga tahun selepas aku keluar dari penjara. Dia meninggal akibat strok. Semuanya salah aku. Dia lumpuh lepas dia tahu aku diberkas oleh pihak berkuasa. Barangkali dia penat menghadap anak lelaki yang kejam macam aku," ujar Athar sambil ketawa sinis. Mengejek hidupnya yang penuh dengan noda.

           "Awak tak cuba cari jejak mak awak?"

           "Dia dah buang kami bertiga. Kau tahu kata-kata terakhir dia apa? Dia kata dia menyesal lahirkan aku dengan adik aku. Amin jadi macam tu lepas berkali-kali dia cuba gugurkan kandungan dia. Buat apa aku nak cari perempuan yang dah buang aku dari hidup dia, kan? Eh soalan seterusnya kat tempat lain sajalah. Aku lapar!" tegas Athar. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Amin. Reaksi wajahnya yang berubah tegang membuatkan Haura serba salah untuk bertanyakan soalan seterusnya. Haura semakin tertarik untuk mengenali pemuda itu. Ada sesuatu yang menarik perhatian Haura untuk mengenali Athar dengan lebih mendalam.

          Hari dan minggu berlalu begitu pantas. Athar dan Haura tak putus-putus bertanyakan soalan tentang kehidupan mereka masing-masing. Peluang diberikan di antara satu sama lain. Athar sedar bahawa inilah masanya untuk dia mencari seseorang yang mampu menjaga adiknya suatu hari nanti. Melihat Amin yang mudah menyelesakan diri dengan Haura membuatkan Athar sedar bahawa dia perlu memberikan peluang kepada gadis itu. Begitu juga dengan Haura. Dia ingin memberikan peluang ke atas dirinya hanya untuk menyenangkan ayahnya sahaja. Bukti Athar seorang yang bertanggungjawab sudah ada di depan mata. Ke mana sahaja Athar pergi, pasti Amin dijaga dengan baik oleh pemuda itu.

           "Kau tahu tak tempat yang aku boleh hantar budak istimewa macam Amin? Aku berniat nak hantar Amin ke tempat yang boleh jadikan dia sebagai orang yang berdikari. Yalah. Kita tak akan tahu apa yang akan jadi pada masa-masa yang akan datang," kata Athar sebaik sahaja Haura melabuhkan duduk bertentangan dengannya dan Amin yang sedang menjamah makan tengah hari.

            Haura terkebil-kebil dengan kata-kata Athar. Wajah Amin yang berselera dipandang sebelum pandangannya berakhir ke laman wajah Athar. Aneh sekali soalan yang diajukan lelaki di hadapannya saat ini.

          "Kenapa kau pandang aku macam tu?"

         "Saya pelik. Cara awak cakap macam awak nak pergi jauh saja. Kenapa tiba-tiba awak cakap macam ni? Ada sesuatu..."

          "Amin dah nak 20 tahun. Takkan aku nak biarkan dia bergantung dengan aku setiap masa. Aku pun rasa bersalah bila kau asyik ajar Amin perkara yang baru setiap hari. Padahal kau pun sibuk uruskan kafe kau. Kenapa? Salah ke apa yang aku tanya ni?" bidas Athar. Dia bersandar di belakang kerusi sambil berpeluk tubuh. Pandangannya semakin tunak memerhatikan raut wajah Haura yang kelihatan bingung.

           "Kakak! Hari ni kita nak belajar apa? Melukis lagi ke atau belajar mengira? Semalam Amin ada lukiskan sesuatu untuk kakak," kata Amin. Dia tersengih pada Haura yang mula mengalihkan pandangan ke arahnya. Dia berpaling ke belakang dan mengagau beg galasnya untuk mencapai kertas lukisan yang diletak di dalam buku lukisan. Namun, lukisan tersebut terlepas dari tangan. Amin bangun seraya mencapai lukisan yang jatuh. Malangnya, kertas tersebut dipijak oleh seorang lelaki berkemeja biru.

          Tak semena-mena, Amin meraung apabila lukisannya berubah kotor dengan tapak kasut. Malahan, lelaki itu hanya buat-buat tidak tahu sahaja sambil melangkah ke sebuah kerusi yang berada di dalam restoran itu. Amukan Amin yang tidak berpuas hati melihat lelaki itu hanya berlalu pergi mengundang padah apabila beberapa orang pelanggan mula mengalihkan perhatian ke arah meja mereka. Haura dan Athar juga sama-sama kaget dengan amukan Amin itu. Belum sempat Athar mendapatkan adiknya, Amin meluru ke arah lelaki yang sedang memberikan pesanan kepada pelayan.

       "Bersihkan lukisan untuk Kakak Haura ni sekarang!" tempelak Amin lalu menghulurkan lukisan kepada lelaki berkemeja biru itu.

        Si lelaki hanya mengendahkan sahaja karenah Amin yang sedang diserang amuk. Dia mula bermain dengan telefon pintarnya. Melihat keadaan lelaki itu menambahkan amukan Amin. Lantas, tangannya dihayunkan memukul dirinya. Sesekali dia memukul si lelaki dengan kuat. Amukan Amin yang semakin menjadi-jadi itu membuatkan beberapa orang pelanggan berasa gerun.

          "Amin! Jangan..."

           Belum sempat Athar mendapatkan adiknya, Amin sudah ditolak kuat sehingga remaja lelaki itu terduduk. Athar tergamam dengan kekasaran lelaki itu. Bahkan, lelaki itu terus menyimbah Amin dengan segelas air yang sedang dibawakan oleh seorang pelayan. Melihatkan itu, Athar mula diserang amarah. Lantas, dia menggenggam buku limanya sebelum dihayunkan ke wajah si lelaki. Namun, Haura tangkas menghalang dengan menggenggam pergelangan tangan Athar. Dahinya berkerut dengan sikap baran Athar yang mula muncul.

       "Kau ke tepi Haura! Ini urusan aku dengan bedebah ni!" tengking Athar. Matanya mencerlung tajam memandang si lelaki berkemeja biru yang berwajah tegang itu.

       "Athar! Bukan macam ni caranya..."

       "Kau diam!" tempelak Athar. Dia menolak kasar tubuh Haura yang berdiri bertentangan dengannya. Menghadangnya dari memberikan pelajaran kepada lelaki sombong itu. Namun, Haura sengaja mengeraskan tubuhnya. Dia tidak mahu kekecohan bertambah lagi di dalam restoran itu.

        "Budak terencat macam tu patut kena kurung dalam sangkar! Buas sangat. Sekarang kau nak salahkan aku sebab aku tolak dia?"

          "Sial!"

          Tak semena-mena, Haura terduduk apabila tubuhnya ditolak kasar. Sakit ditolak oleh Athar bukan kepalang! Dahinya berkerut menahan perit. Tangannya merayap mengusap pinggangnya. Sungguh, terasa mahu patah pinggangnya dengan kekasaran pemuda baran itu. Saat itu juga, suasana semakin tegang. Tempikan pergaduhan di antara Athar dan lelaki berkemeja biru itu memenuhi restoran itu. Haura jadi pusing. Di sebelahnya, Amin masih mengamuk. Di hadapannya Athar dan lelaki itu tak henti-henti berbalas tumbukan.

          Saat ini juga, dia tahu bahawa dia tidak akan pernah membuatkan baran Athar hilang. Bagaimana dia mahu menceritakan perihal Athar kepada ayah dan ibunya di saat Athar masih tidak mampu membuang sikap barannya itu? Sikap tanggungjawab Athar ke atas Amin sedikit sebanyak membuka hatinya. Namun, lelaki itu seorang yang baran. Haura jadi keliru.


PS://: hai korang ^_^ terima kasih kerana sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan korang. Nak baca bab selanjutnya jemputlah datang ke wattpad saya. Saya upload bab lebih pantas kat wattpad

  https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa...



Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa