Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
118,840
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 23

SEBAIK sahaja figura Haura kelihatan, Amin berlari ke arah wanita itu. Dia tersenyum ceria tatkala wanita itu datang kepadanya setelah genap sebulan dia tidak menemui Haura. Rindunya sudah tidak mampu dibendung lagi. Melihat wajah ceria Amin membuatkan Haura tersenyum. Mereka berjalan beriringan sebelum duduk di sebuah gazebo.

                 "Cikgu kata Amin dah tunggu abang lama sangat ye?" soal Haura. Ikutkan hatinya, dia tidak mahu bertemu Amin walaupun dia merindui adik iparnya itu. Tetapi, hari ini merupakan hari pelajar pulang ke rumah masing-masing. Apabila guru berkata sudah tiga jam Amin menunggu Athar jadi Haura tiada pilihan lain selain mengambil adik iparnya itu.

                "Abang lupa lagilah tu," cebik Amin.

                "Abang tak sengajalah tu," jawab Haura. Mengajuk Amin sambil tersenyum lebar. Tingkah Amin benar-benar membuatkan hatinya tercuit lucu.

                Amin ketawa geli hati apabila Haura mengajuknya. "Kakak pergi mana? Dah lama Amin tak jumpa kakak. Amin rindu sangat dengan Kak Haura. Kak Haura dah tak nak tinggal kat rumah kita lagi ke?"

                Soalan Amin benar-benar merangkap emosi Haura. Dia tersengih kelat. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Bau rumput selepas hujan sangat menyenangkan. Awan yang kelabu seolah-olah mengerti perasaan Haura yang hiba saat ini.

               "Kak Haura balik rumah mak akak. Mak akak duduk seorang saja. Tak ada yang temankan dia. Sebab tulah Kak Haura tak ada kat rumah. Kak Haura pun rindu sangat dengan Amin sebab tu Kak Haura jumpa Amin," kata Haura. Helah yang sama diberikan kepada Fina sebelumnya.

              "Hari ni Kak Haura balik rumah kita..."

              "Tak! Kak Haura takkan balik rumah kita lagi," bidas suara garau yang datang dari belakang. Serta merta Haura tegakkan duduknya. Suara itu benar-benar membuatkan jantungnya berdegup kencang. Sungguh, dia rindu. Rindu yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Tatkala figura itu berdiri di hadapannya, tatkala itu juga Haura kaget melihat wajah Athar yang cengkung dan lebam. Snowcap menutup kepala suaminya. Wajah lelaki itu benar-benar kelihatan pucat di pandangan mata Haura seolah-olah orang yang tak bermaya.

              "Kenapa pula?! Kak Haura ni kakak Amin. Dia kena balik dengan kita," tegas Amin.

                Athar mengeluh berat. Wajah Haura yang kelihatan kaget dipandang sebelum dahi isterinya dijentik kasar. Serta merta Haura tersedar dari kejutannya sambil mengesat dahinya yang perit. Jentikan itu, benar-benar meluluhkan Haura. Oh Tuhan, Haura rasa dia sedang bermimpi apabila wajah Athar terpampang di depan mata. Mahu sahaja dia memeluk lelaki itu namun Haura sedar semuanya tak seperti dulu.

              "Anak aku macam mana?"

              "Err... haah anak... anak kita sihat," jawab Haura tergugup gagap. Sesekali dia tertunduk apabila Athar memandangnya dengan pandangan yang tajam. Seolah-olah pandangan itu menusuk ke relung hatinya yang paling dalam.

              "Baguslah! Aku balik dulu dengan Amin. Jaga diri baik-baik dan jaga anak aku tu baik-baik," kata Athar seraya memimpin tangan Amin dan membimbit beg pakaian adiknya. Rengekan Amin, Athar buat tak endah sahaja. Sesekali, tubuhnya terasa sakit-sakitan apabila dia terpaksa menarik Amin masuk ke dalam kereta. Kejadian tiga minggu yang lalu benar-benar menambahkan kesakitan buat Athar. Kerana kejadian itu saja dia menerima dua tusukan yang hampir terkena pada jantung. Dia juga terpaksa menjalani kemoterapi yang semakin melemahkannya.

               "Athar!"

              Serta merta Athar kematian langkah apabila suara Haura menusuk halwa telinga. Dia berpaling memandang Haura yang meluru ke arahnya dengan wajah yang tegang. Seolah-olah ingin melepaskan marahnya. Namun, apa yang difikirkan semuanya salah. Tubuhnya sudah berada dalam pelukan Haura. Athar kejang. Pelukan itu benar-benar meluluhkan jiwanya.

            "Saya tahu... apa jadi pada awak. Awak jangan rahsiakannya daripada saya lagi. Saya merayu," bisik Haura sebelum melepaskan Athar dari pelukannya. Buat seketika, bawah mata Athar yang masih kelihatan lebam diusap lembut sebelum berakhir ke hujung bibir yang masih lebam. Sungguh, luluh hati Haura melihat wajah Athar bengkak-bengkak.

            "Apa maksud kau?"

            "Awak... saya tahu awak menghidap barah otak tahap empat. Saya..."

             Athar terus menolak lembut tubuh Haura dari terus mengusap wajahnya. Dia kaget. Keadaan itu serta merta membuatkan Athar buntu. Dia kembali memimpin tangan Amin menghampiri kereta yang sudah diparkir di perkarangan institusi itu.

             "Athar! Sampai bila..."

             Haura kematian kata tatkala perutnya terasa senak. Dia turut tertunduk menahan sakit yang luar biasa. Terasa mahu patah pinggangnya dengan kesakitan itu. Pandangannya juga semakin kabur akibat kesakitan yang maha hebat. Haura cuba menenangkan dirinya namun kesakitan itu semakin menjadi-jadi. Lantas, dia akhirnya rebah. Perkataan terakhir yang dia dengar adalah keresahan Athar menyeru namanya. Sungguh, Haura rindu dengan keadaan ini. Situasi apabila Athar merisaukan keaadannya.

"SUAMI puan menghidap barah otak tahap empat sejak hujung tahun lepas lagi. Barah dia semakin membesar dan ia membuatkan kemerosotan pada tubuhnya. Puan tahu kan dia selalu muntah-muntah, pening kepala, emosi tak stabil, kadang-kadang penglihatan dia terganggu? Kalau puan nak tahu semua tu disebabkan kesan yang ada pada pesakit barah otak."

          Kebenaran yang disampaikan oleh Doktor Ilham serta merta membuatkan Haura rasa membahang. Dia terus memikirkan keadaan Athar selama mereka hidup bersama. Fizikal Athar yang semakin berubah juga difikirkannya semula. Ya, Athar banyak berubah dari Athar yang dia kenal awal perkenalan mereka dahulu. Sungguh, Haura rasa sesak. Adakah kebenaran ini yang menyebabkan Athar membuatkan hubungan mereka tergantung?

           "Ada jalan lain untuk selamatkan suami saya tak doktor?" soal Haura. Nada suaranya bergetar menahan sebak di dada.

           "Pembedahan untuk buang tumor. Tapi pembedahan ini memberikan risiko terhadap pesakit. Pertama dia akan buta dan kedua dia akan kehilangan nyawa. Namun, disebabkan tumor Encik Athar ni terdiri dari tumor jenis malignan maka pembedahan ini tidak akan menjamin yang tumor Encik Athar tak akan muncul semula. Sebab tulah, Encik Athar nak biarkan saja tumor tu. Dia kata dia tak sanggup jadi buta sebab dia tahu dia akan mati juga. Dia nak tatap muka puan untuk kali yang terakhir. Dia hanya buat kemoterapi sebagai anti kanser. Sebab kemoterapi tu jugalah rambut dia gugur, muka dia makin pucat," jelas Doktor Ilham. Sungguh, dia sedikit terkejut apabila Haura tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap Athar.

           Haura bungkam. Tiada kata yang mampu dilafazkan saat suaminya sudah redha dengan takdir. Patutlah Athar sengaja menyakitinya supaya dia membenci Athar. Tapi Athar silap. Perasaan Haura yang terlalu kuat buat Athar tidak dapat melawan rasa sakit yang diberikan oleh suaminya.

            Itu kejadian dua minggu selepas Haura pulang dari rumah emaknya. Baru dia ingat dia pernah menulis nama hospital dan nama doktor usai melihat MRI yang diletak di dalam stor dulu. Lantas, dia ke hospital dan di situlah dia menerima kebenaran. Haura terus menghubungi Athar. Namun, Athar sudah menukar nombor telefon. Mana mungkin Haura bertanya mengenai Athar pada Hazrul. Dia tidak mahu Hazrul memandang serong terhadap hubungannya dan Athar.

            "Haura..."

             Haura yang baru mencelikkan matanya hanya tersenyum memandang wajah pucat Athar yang sedang mengenggam tangannya. "Jangan lari lagi," ujar Haura dengan nada yang lemah.

            "Kenapa kau tak cakap kandungan kau lemah?"

             Haura tertawa dengan soalan polos Athar. Perlahan-lahan, dia bangun dari pembaringan. Segera Athar membantu dan meletakkan bantal di belakang tubuh Haura. Saat dia ingin melabuhkan duduk, Haura tangkas memeluk tubuhnya erat dari sisi. Athar terus memeluk erat tubuh Haura. Saat itu juga mereka saling melepaskan rindu masing-masing. Lama. Saat itu juga Haura tidak dapat mengalirkan air matanya walaupun dia rasa sebak yang luar biasa.

            "Awak pun tak cakap yang awak sakit. Awak yang lari daripada saya. Saya rindukan awak, tahu tak? Saya cari awak tapi awak tukar nombor telefon! Saya pergi rumah kita, awak sembunyikan diri awak. Saya nak jaga awak Athar! Tolonglah jangan lari dari masalah lagi," tegas Haura seraya melepaskan Athar dari pelukannya.

             Athar melabuhkan duduk di sisi Haura. Dia tersenyum nipis sambil mencuit hidung Haura.  Mereka saling berbalas senyuman. Melihat lebam di wajah Athar memberikan persoalan dalam diri Haura. "Awak bergaduh lagi ke?"

          "Aku hampir mati."

         "Awak janganlah main-main!"

          Athar tertawa dengan ketegasan Haura. Dia menyelak bajunya menunjukkan kesan lebam dan tampalan jahitan yang masih melekat pada lukanya. Haura tergamam seraya menyentuh kesan lebam tersebut. Dia sendiri terasa ngilu melihat kesan itu. Haura jadi sesak melihat keadaan Athar. Wajah Athar menjadi tatapannya sebelum diusap lembut. Seolah-olah ingin menghilangkan kesan lebam tersebut.

           "Siapa belasah awak sampai macam ni? Awak nampak teruk!"

            "Felix, bekas ketua aku dulu dengan anak-anak buah dia. Tapi jangan risau, suami kau ni dapat kalahkan dia orang tahu! Felix tu main tipu sebab tikam aku dari belakang. Dalam keadaan dah lunyai..."

          "Dahtu kenapa awak jadi macam ni?"

          "Sepuluh lawan satu. Tak adil, kan? Lagipun sakit aku tiba-tiba datang jadi dia orang pun ambil kesempatan belasah aku sampai macam ni. Tapi dia orang dah kena tangkap sebab Hazrul kebetulan nampak aku dengan Amin kena ugut dengan dia orang kat kawasan perumahan kita. Hazrul ekori kami dan dia call polis. Polis pun datang tepat pada waktunya," jelas Athar. Dia mengucup lembut tangan Haura yang ligat menyentuh wajahnya.

            Buat seketika, suasana sepi. Hanya pandangan mereka sahaja yang saling bersatu. Melalui pandangan sahaja mereka saling mengungkapkan rasa cinta. Apabila setitis air mata mengalir ke pipi Athar, cepat-cepat Haura mengusap air mata suaminya. "Aku cintakan kau Haura Ilyana. Aku minta maaf sebab lukakan kau. Parutkan hati kau yang ikhlas menerima pesakit kanser macam aku. Aku buat semua ni sebab aku takut tinggalkan kau. Aku nak kau belajar hidup tanpa aku. Tapi rasanya aku yang tak boleh hidup tanpa kau," kata Athar sambil mengenggam erat tangan Haura.

             "Saya tahu. Barang-barang tu semua pun awak yang hantar. Tak apa Athar. Ini ujian kita. Awak takut? Awak pernah cakap pada saya, kalau takut ingatlah pada pelangi yang memancarkan keindahan. Setiap ujian yang terjadi dalam hidup kita ni pasti akan berakhir dengan sebuah keindahan. Kita hanya perlukan bersabar. Saya pulangkan kata-kata awak ni kalau awak lupa," ujar Haura. Tipulah kalau dia tidak takut dengan penyakit yang dihidapi oleh Athar. Bila-bila masa sahaja dia akan kehilagan Athar seperti dia kehilangan ayahnya. Tapi sebagai pendamping hidup, Haura harus bersedia dan terus memberikan semangat buat suaminya.

               Tak semena-mena, Athar tertunduk. Dia tidak mampu menatap wajah Haura di saat kata-kata itu menusuk relung hatinya. Athar akhirnya mengongoi. Sungguh, kata-kata Haura benar-benar meluluhkan hatinya. Jiwanya benar-benar rapuh. Bukan Haura yang akan menangis meratapi nasib tetapi dia yang selama ini memendam yang akhirnya tewas di hadapan isterinya sendiri. Lantas, dia merasakan sebuah ketenangan dan kehangatan di saat dia ditarik ke dalam pelukan Haura. Tangisannya semakin kuat saat Haura terus menerus membacakan doa penenang hati di halwa telinganya. Sungguh, khilafnya dia selama ini. Haura sememangnya seorang isteri yang kuat! Athar tidak pernah salah memilih Haura menjadi pendamping hidupnya dan dia sendiri tidak akan sesekali menyakiti isterinya lagi. 

nota penulis: terima kasih sudi memilih karya saya sebagai bahan bacaan kalian ^_^ untuk pengetahuan, karya ini boleh dibaca dalam wattpad dan saya dah post kat wattpad sampai bab akhir. Jadi, korang boleh baca karya ni sampai tamat disebabkan saya dah tamatkan cerita ni dalam wattpad ^_^ https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: Bab 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa