Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,782
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 27
LAPAN TAHUN KEMUDIAN...

"ITULAH ucapan saya sempena hari ayah semalam. Saya sayang sangat dengan ayah saya. Saya tahu ayah saya seorang yang hebat dan pejuang untuk membahagiakan saya, mama dan pak su Amin. Saya nak pesan dekat kawan-kawan, hargailah ayah kawan-kawan dan jangan sesekali melawan cakap ayah. Ayah kita dah banyak berkorban untuk besarkan kita dan berikan perlindungan untuk kita. Athif harap, ucapan Athif dapat memberikan pengajaran kepada kawan-kawan yang lain. Terima kasih."

           Tepukan gemuruh kedengaran usai budak lelaki berpakaian seragam sekolah turun dari pentas setelah memberikan ucapannya sempena pertandingan ucapan terbaik di sekolah itu. Pujian demi pujian dibalas dengan ucapan terima kasih. Itu pesanan daripada ayahnya yang sering diikuti. Tatkala dia melihat seorang wanita berbaju blouse berwarna krim dipadankan dengan palazzo dan selendang merah jambu tersenyum ke arahnya, Athif meluru ke arah ibunya. Usapan lembut yang singgah di ubun-ubunnya membuatkan dia tersengih.

         "Athif ingatkan mama tak nak datang! Kecewa Athif kalau mama tak datang," kata Athif.

         "Mestilah mama datang. Athif bagi ucapan pasal abah kut. Baguslah anak mama ni. Pandai! Ni yang mama bangga dengan Athif ni. Matang siap bagi pesanan dekat kawan-kawan pula tu," ujar Haura. Dia menepuk kerusi kosong di sebelahnya dan mengarahkan anak tunggalnya itu untuk duduk. Athif menurut.

          "Hebatlah Athif ni. Nah, pak su ada belikan minuman untuk Athif. Mesti Athif dahaga," ujar Amin pula. Dia tersengih-sengih sambil menghulurkan satu kotak susu soya kepada budak berumur lapan tahun itu. Athif menyambut dan membasahkan tekaknya seraya dihulurkan semula kepada Amin.

         "Pak su ada buat robot kereta. Nanti kita main sama-sama nak tak? Kita ajak Hamizan dengan Amanda main sekali. Besar tau kereta robot pak su buat tu," tambah Amin lagi. Dia mendepakan tangannya dengan wajah yang kelihatan teruja bercerita mengenai rekaan terbarunya. Berkat dimasukkan di institusi khas itu kini Amin menjadi seorang yang berbakat dalam menghasilkan robot yang menggunakan barang-barang terpakai. Beberapa hasilnya juga sudah dibawa ke luar negara bagi pertunjukan inovasi .

        "Pak su ni bisinglah. Tak malu ke orang tengok? Pak su tu dah besar jadi pak su tak boleh bermain dengan kita orang bertiga. Lagi pun pak su selalu menang kalau bermain dengan kita orang. Mana aci!"

         "Ish! Suka hati pak su..."

        "Haip! Kau orang berdua ni kan boleh tak senyap sikit? Kita dalam majlis ni kan. Tu, pengacara majlis nak umumkan pemenang bagi ucapan terbaik dah tu. Baik kau orang senyap sebelum mama selotep mulut kau orang satu-satu," tegas Haura sambil membeliakkan matanya. Jari telunjuknya di letak di depan bibir. Memberikan amaran kepada Amin yang sememangnya berperwatakan kanak-kanak namun bijak dan Athif yang sudah tersengih menampakkan gusinya.

        "Maaf mama. Athif tak sengaja."

         "Maaf Kak Haura. Amin tak sengaja juga. Okay, Athif... baik kita diam-diam sebelum Kak Haura selotep mulut kita," kata Amin. Dia membuat isyarat menzip mulut dan diikuti dengan Athif. Melihat telatah mereka membuatkan Haura tertawa kecil. Sungguh, dia terhibur dengan karenah mereka berdua.

       "Baiklah. Tempat ketiga dan naib juara telah pun diumumkan. Sekarang, siapa ya juara kita pada hari ini?" si pengacara majlis mula memainkan peranannya memberikan gemuruh kepada peserta-peserta yang mengikuti pertandingan itu.

          "Peserta ni. Apa yang cikgu tahu pasal peserta ni dia seorang budak yang bijak! Selalu aktif dalam kelas dan dalam sukan. Dia kata dia nak jadi orang yang aktif sukan macam abah dia. Ucapan dia pun tadi tak nampak macam budak lapan tahun. Matang. Siap selitkan pesanan ringkas agar kita menghargai ayah kita. Jadi, tempat pertama jatuh kepada..."

           "Muhammad Athif bin Athar dari kelas 2 Cerdik!"

           Ketika keputusan itu diumumkan, ketika itu juga Amin berdiri dan memberikan tepukan kepada anak buahnya. "Tengoklah Athif hebat kan!"

          "Pak su, Athif malulah pak su buat macam tu!" adu Athif seraya menarik Amin untuk kembali duduk. Amin terkekek sambil melambaikan tangannya kepada Athif yang sedang melangkah naik ke atas pentas. Tepukan gemuruh yang kedengaran membuatkan Athif senang hati. Tak sia-sia dia suka menonton rakaman mengenai abahnya. Dia mendapat idea untuk memberikan ucapan melalui setiap cerita yang disampaikan melalui video tersebut.

         Melihat kemenangan berpihak kepada Athif, Haura tersenyum bangga. Wajah Athif ditatap dalam-dalam seolah-olah ada wajah Athar di sebalik wajah anaknya itu. Memang, mata dan hidung Athar ada pada Athif. Wajah Athif memang saling tak tumpah seperti lelaki yang sudah memegang kunci hatinya. Ketika itu juga, ada kerinduan yang terselit di dinding hati Haura. Dia jadi sebu tatkala suara Athar seolah-olah terngiang-ngiang di halwa telinga. Namun, seperti yang dia pegang selama hidupnya, kekuatan itu harus sentiasa teguh di sanubarinya.

HAURA melangkah masuk ke dalam kamar Athif setelah dia membersihkan diri dan selesai menguruskan kafe yang sudah dibuka di cawangan bahagian selatan. Rezekinya Haura tak putus-putus mengalir bagaikan sungai. Dalam masa tiga tahun sahaja dia berjaya membuka kafe di cawangan lain. Menjadi seorang ahli perniagaan memang memenatkan. Namun disebabkan semangat yang Haura salurkan ke dalam dirinya, dia bisa menghapuskan kepenatannya itu. Benar kata Athar, di sebalik ujian pasti akan berakhir dengan sebuah keindahan. Sebab itu rezekinya Haura tak putus-putus mengalir.

            Melihat Athif sudah tertidur di bawah katil membuatkan Haura tersenyum sendiri. Anaknya itu kelihatan penat setelah seharian bermain bersama Amanda dan Hamizan. Sepasang kembar kepunyaan Hazrul dan Fina. Sesekali, pandangannya tertancap pada televisyen yang sedang memaparkan video yang dirakam lapan tahun yang lalu. Seolah-olah ada Athar di depannya saat hanya suara Athar yang bermain dengan Athif yang masih bayi kedengaran. Ada juga rakaman video yang memaparkan Haura yang sedang mengomel apabila Athar tidak mahu berehat dan asyik mengusiknya. Mereka benar-benar kelihatan bahagia.

          "Athif, bangun sayang. Kenapa tidur kat bawah ni?" ujar Haura sambil mengucup lembut pipi Athif. Buat seketika, Athif terjaga dan terpisat-pisat. Budak lelaki itu bangun dari pembaringannya.

           "Mama dah balik?"

          "Ya mama dah balik. Mama minta maaf sebab balik lambat hari ni. Athif dah makan?" soal Haura sambil mengusap lembut ubun-ubun Athif.

          "Dah! Aunty Fina bawa kita orang makan KFC. Mama nak Athif picitkan bahu mama ke? Athif boleh buat," kata Athif. Dia bangun dari duduknya seraya memicitkan bahu Haura. Wanita itu tersenyum dengan pelawaan Athif. Begitulah Athif, sering menjaganya dengan baik walaupun anak itu masih berusia lapan tahun. Matang.

          Buat seketika, Athif memicit bahu Haura sambil mereka sama-sama menonton video yang terpampang di kaca televisyen. Selama lapan tahun, video itu sering dipasang tanpa henti. Setiap malam Athif rajin menonton televisyen itu sehingga tertidur. Haura tahu, Athif merindukan kasih sayang seorang ayah. Terserlah cintanya Athar pada Athif saat melihat video tersebut. Seolah-olah ada Athar di hadapan mereka dan sama-sama mewarnai hidup mereka tika ini. Namun, ALLAH lebih menyayangi suaminya. Athar sudah banyak berjuang untuk terus bertahan melawan kesakitan itu.

          "Mama jangan menangis. Nanti abah marah Athif tahu kalau buat mama menangis," kata Athif sambil mengusap air mata yang mengalir ke pipi ibunya. Dia berdiri di hadapan Haura yang sedang duduk bersila. Buat seketika, dua beranak itu saling berpandangan sebelum Haura mengenggam tangan kecil Athif yang sedang mengusap air matanya.

       "Mata mama masuk habuklah sayang! Dah, terima kasih sebab picitkan bahu mama. Sekarang ni, mama nak tidurkan Athif. Nak mama cerita pasal apa malam ni?" helah Haura seraya bangun dari duduknya. Malam itu, dia jadi sensitif tiba-tiba. Dia memimpin tangan Athif seraya budak lelaki itu baring di atas katil. Haura duduk di sisi anak lelakinya sambil bersandar di belakang kepala katil.

       "Athif nak dengar pasal abah, boleh? Ni album ni mama ceritalah pasal abah dari gambar-gambar dalam album tu," pinta Athif. Dia mencapai album gambar yang diletak di atas meja sisi  seraya dihulurkan kepada Haura.

       "Anak mama ni rindu dekat abah ye?"

       Athif tersengih dan mengangguk. Dia memandang wajah ibunya yang sedang mengusap ubun-ubunnya. "Athif rindu sangat dengan abah walaupun Athif tak pernah jumpa abah. Tapi macam mama selalu cakap, ALLAH tarik abah daripada kita sebab ALLAH lebih sayangkan abah. Athif masih ada mama, pak su, nenek dan kawan-kawan. Aunty Fina dengan pak cik Hazrul pun selalu baik dengan Athif. Mesti abah tu orang yang baik-baik sebab tu ramai orang buat baik dengan kita, kan?"

        Raut wajah Athif yang polos ditatap dalam-dalam. Haura mengucup lembut pipi anak lelakinya sambil menahan sebak di dada. Entah mengapa hari ini dia jadi sebak. Barangkali kerana hari ini merupakan hari ulang tahun pernikahan di antara dia dan Athar. "Baiklah. Malam ni mama cerita pasal abah," ujar Haura. Walaupun berkali-kali dia bercerita namun dia tidak pernah jemu. Athif juga suka mendengar dia bercerita mengenai Athar.

        Setelah Athif lena. Haura menarik gebar dan menutup tubuh kecil anaknya. Album gambar ditutup namun melihat foto pernikahan di antara dia dan Athar membuatkan pergerakannya terbejat. Senyuman yang menghiasi wajah Athar sememangnya kelihatan manis walaupun lelaki itu seorang yang berwajah bengis. Siapa sangka Athar sedang menanggung sebuah penyakit yang mematikan saat ini. Serta merta Haura mula mengimbas setiap perkenalan mereka sehingga dibawa ke jinjang pelamin. Haura tersenyum mengingati memori di antara dia dan pujaan hatinya. Foto Athar diusap lembut bersama dengan sebak yang mula menghurung  dinding hatinya. 

        "Haura sayang..."

         Haura tersentak saat suara Athar menyapa halwa telinga. Dia mendongak memandang kaca televisyen yang sedang memaparkan wajah Athar yang sedang duduk di atas sofa bersendirian sambil berhadapan dengan kamera. Bahagian dalam video ini, sungguh selama lapan tahun Haura tidak pernah sedar bahawa wujudnya video yang hanya memaparkan Athar seorang sahaja. Selama ini, Haura sendiri tidak pernah menonton rakaman ini sehingga tamat. Hanya Athif sahaja yang sering menonton bersama Amin. Semuanya hanya disebabkan dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan Athif.

        "Aku patut ucap terima kasih pada Hazrul sebab dia yang tolong edit video ni semua. Apa pun, masa kau tengok rakaman ni mesti aku dah tak ada kat sisi kau lagi. Jadi pelindung kau. Sama-sama besarkan anak kita. Mula-mula aku nak minta maaf untuk itu. Oh ya, aku sengaja letak video ni lepas skrin gelap sebab aku pun rasa apa patut kau tengok rakaman ni atau tidak. Ini pun aku minta bantuan daripada Hazrul. Aku tak nak kau menangis bila tengok rakaman ni. Tapi aku rasa aku perlu buat untuk temankan kesepian kau barangkali?" kata Athar. Dia ketawa kecil seolah-olah menutup kesedihan. Belakang tengkuk diusap seolah-olah orang yang serba salah mahu menuturkan kata-katanya.

         Perlahan-lahan, Haura bangun seraya menghampiri kaca televisyen bersaiz LCD itu. Senyuman terukir di bibirnya tatkala wajah Athar memenuhi skrin tersebut. Bagaikan dia bercakap dengan Athar sahaja saat ini.

         "Selama ni, aku selalu larang kau menangis. Tapi kalau kau tengok rakaman ni, kau nak menangis kau lepaskan saja semuanya. Kau dah terlalu kuat, sayang. Aku tahu kau kuat untuk kita sekeluarga. Tapi kali ni aku tak kesah kalau kau menangis. Tapi ingat satu benda, ada aku dalam diri kau dan Athif. Jadi, kalau kau rindukan aku jangan lupa sedekahkan al fatihah. Aku hanya perlukan itu sebagai bekalan aku kat sana nanti. Haura sayang, aku tahu aku tak sempurna untuk jadi suami kau. Sebelum kita menikah lagi aku tahu aku ni pesakit kanser. Aku tak pernah terfikir impak yang akan terjadi kalau kita menikah. Tapi aku terlalu cintakan kau dan aku perlukan kau dalam hidup aku sebab tu aku nekad lamar kau dan jadikan kau sebagai suri dalam hidup aku. Terima kasih sebab terima aku walaupun aku ni baran, tak mampu nak mewahkan kau. Tapi kau setia dengan aku. Walaupun aku pernah sakitkan kau, kau masih cuba betulkan hubungan kita."

           Buat seketika, Athar berjeda. Haura dapat melihat riak wajah Athar yang manis dengan senyuman semakin menghilang. Ada kesedihan yang terpancar di sebalik wajah suaminya itu. Haura tahu, Athar sedang meluahkan perkara yang dipendam setelah sekian lama. Saat itu juga, Haura semakin sebak. Terasa seolah-olah dia tewas lagi dengan kesedihan. Wajah Athar yang terpampang di skrin direnung dengan tatapan yang penuh dengan rasa cinta.

         "Kau tahu masa aku hampir mati di tangan Felix, aku hanya mahu diberikan waktu untuk aku tebus kesalahan aku. Aku sedar aku tak matang. Aku lari dari masalah sampai sakitkan hati kita. Tapi Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa aku supaya aku diberikan waktu. Bahkan DIA lebihkan waktu untuk aku azankan dan belai anak kita. Dengar sini Haura, kalau kau rasa kau tak mampu nak hadap ujian ni kau ingatlah kau ada ALLAH yang tak akan sesekali tinggalkan hambaNYA. Kita dah ada bukti kan, berkat doa, ALLAH bagi kita banyak waktu untuk bersama. Tapi, penyakit ni makin hari makin mematikan aku. Aku minta maaf sebab aku hanya mampu bertahan sampai detik terakhir aku bernafas. Sayang, aku terlalu cintakan kau. Detik pertama kau bagi aku kata-kata semangat untuk bertahan saat itu juga aku sedar yang aku jatuh cinta dengan kau. Ketenangan kau membuatkan aku rasa selamat. Kau terlalu indah dalam hidup aku, Haura Ilyana," tambah Athar. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut. Dia tertunduk buat seketika seolah-olah menyembunyikan riak wajahnya yang sedih. Barangkali tidak mahu Haura melihat kesakitan saat dia menuturkan kata-kata itu.

         Tak semena-mena, wajah Haura serta merta membahang kemerahan tatkala kata-kata Athar menusuk ke relung hatinya yang paling dalam. Tangannya digenggam erat sebelum dibawa melekap ke skrin televisyen. Seolah-olah sedang mengusap wajah Athar. Sungguh, dia rindu. Sangat merindui suaminya dan rindu itu hanya mampu dilepaskan dengan memberikan al fatihah sahaja. Setitis demi setitis air mata yang mengalir ke pipinya hanya dibiarkan.

          "Sayang, kalau hari ni hari jadi kau... aku ucapkan selamat ulang tahun. Kalau hari ni hari ulang tahun perkahwinan kita... aku ucapkan terima kasih sebab lahirkan anak kita dengan sihat walaupun banyak dugaan yang kita lalui bersama. Terima kasih sebab jadi isteri yang teguh seperti seteguh karang di lautan. Terima kasih kerana mencintai aku seikhlas hati kau, sayang. Aku minta maaf sebab aku tak mampu nak jadi pelindung kau. Temankan hari-hari tua kau. Tapi satu hal yang aku nak kau tahu, selama hayat aku... aku tak pernah rasa kasih sayang seorang wanita. Tapi sejak kau wujud dalam hidup aku... aku bukan saja rasa kasih sayang seorang isteri bahkan aku rasa kasih sayang seorang ibu tatkala kau berjuang untuk lahirkan anak kita. Pesanan terakhir aku yang aku selalu ulang-ulang... didiklah anak kita dengan sebaiknya. Jangan biarkan dia jadi macam abah dia ni. Aku percayakan kau dan aku amanahkan dia pada kau. Sampai di sini saja rakaman aku... aku cintakan kau... Haura Ilyana. Sangat mencintai kau hingga nafas aku yang terakhir," ucap Athar seraya mendekatkan wajahnya ke kamera. Dia menjentik kamera tersebut sebelum Haura ketawa kecil. Dia tahu Athar mahu menjentik dahinya seperti biasa. Remote lantas dicapai sebelum dia menekan butang pause. Terpampang wajah Athar yang hanya sejengkal dari wajahnya.

             "Awak... Athif sedang tumbuh menjadi anak yang baik. Banyak pesanan yang awak bagi pada dia sambil belai dia waktu dia bayi dulu. Walaupun hanya sekadar rakaman, tapi dia dapat rasakan kasih sayang awak. Dia serap semua pesanan awak tu baik-baik. Awak jangan risau. Awak berehatlah. Saya dah janji kan saya akan jaga anak kita dengan setulus rasa sayang saya. Saya cintakan awak Athar. Lapan tahun dah berlalu sejak awak tinggalkan saya. Sejak kali terakhir awak hembuskan nafas terakhir awak dalam lena di sebelah saya. Awak dah berjaya bina sebuah keluarga yang bahagia. Saya sayangkan awak dan sampai hujung nyawa saya hanya awak yang layak menjadi suami saya," tutur Haura sambil mengusap lembut air mata yang mengalir ke pipinya. Dia menarik nafas panjang dan dihembuskan perlahan-lahan. Segaris senyuman terukir di bibirnya seolah-olah dia baru sahaja melepaskan sebak di dada. Ya, Haura senang. Haura lega setelah mendengar kata-kata semangat daripada Athar. Memberikan kata-kata seolah-olah Athar berada di sisinya.

       Athar sudah pergi buat selamanya. Namun, Haura sebagai pengembara di dunia yang fana ini akan terus menjalankan amanahnya sebagai seorang hamba kepada ALLAH, seorang anak kepada Puan Suria dan seorang ibu kepada Athif. Dengan semangat dan cinta yang dihulurkan oleh Athar dan disematkan di dalam hati, Haura akan terus menjadi seorang wanita yang kuat. Kekuatan itulah yang membuatkan dia tumbuh menjadi seorang wanita yang tenang menghadapi ujian kehidupan.

         Setiap pertemuan di antara dua hati sudah diatur oleh yang Maha Esa. Cinta yang terzahir di dalam hati setiap manusia juga dianugerahkan oleh Tuhan. Namun, cinta antara dua insan itu tidak seharusnya melebihi cinta kepada yang Maha Esa. Cinta itu bisa wujud dalam waktu yang tidak disangkakan dan cinta juga boleh hilang pada waktu yang tidak dapat ditebak. 

Tamat...

Nota terakhir penulis:

Buat kali terakhir, Syaf nak ucapkan terima kasih dengan korang sebab sudi jadikan karya Syaf ni sebagai bahan bacaan korang. Maaf kalau ada yang kurang, kalau ada yang silap sepanjang penulisan Syaf, Syaf minta maaf sekali lagi... yang buruk itu datangnya dari Syaf dan yang baik itu datangnya daripada ALLAH ^_^ 

Syaf harap korang dapat pengajaran sepanjang pembacaan korang...

Sekian, dari Syaf Asriqa. Sampai bertemu lagi di cerita yang akan datang ><

Oh ya, sebelum tu sekali lagi siapa yang ada wattpad bolehlah follow syaf ^_^
https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham