Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,831
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 20

"KITA nak pergi mana?" soal Haura sebaik sahaja dia melihat Athar sedang berkemas dan memasukkan pakaian ke dalam beg pakaian Haura.

           "Bukan kita. Tapi kau! Aku nak hantar kau balik ke rumah mak. Aku tak boleh nak tipu diri aku lagi. Aku tak nak hidup dengan kau lagi," jawab Athar. Dia melipat pakaian-pakaian Haura lalu dimasukkan ke dalam beg pakaian.

           Haura kaget. Baru saja dia pulang dari melakukan pemeriksaan mengenai kandungannya dan mendapat khabar bahawa kandungannya lemah, kini dia diberikan kejutan tentang Athar lagi. Sungguh, Haura rasa sesak. Apa lagi kali ini?

            "Kau dengar tak? Aku tak nak kau lagi."

             "Awak merepek..."

              "Aku dah bosan dengan kau. Aku dah bosan nak hadap tangisan kau dan sikap manja kau itu. Aku rasa kita dah tak sehaluan lagi, Haura. Aku minta maaf. Tapi aku tak mampu nak layan kau macam dulu. Aku dah tawar hati," bidas Athar. Dia menzip bagasi Haura seraya mencengkam pergelangan tangan Haura keluar dari kamar. Namun, Haura mengeraskan tubuhnya. Dia menggelengkan kepalanya.

             "Awak nak lepaskan saya ke? Awak nak ceraikan saya?"

              Kata-kata Haura dibalas dengan tawa sinis Athar. Pelipis yang tak gatal digaru. "Pandai! Sebab tu aku pilih kau jadi isteri aku sebab kau pandai! Tapi nantilah aku uruskan. Apa yang penting sekarang ni aku nak hantar kau balik rumah mak," ujar Athar.

                "Athar. Kenapa dengan awak ni? Apa salah saya?!" tegas Haura. Dahinya sudah berkerut dengan keputusan Athar untuk melepaskannya.

               "Aku dah bosan. Faham tak? Aku sedar yang aku ni tak semewah kau dan lambat laun nanti kau akan tinggalkan aku juga. Sama macam mak aku dengan Aria! Jadi sebelum kau tinggalkan aku baik aku hantar kau balik rumah mak kau dulu. Jangan buang masa aku!" tegas Athar. Dia mencengkam pergelangan tangan Haura seraya menarik isterinya keluar dari rumah. Terkocoh-kocoh Haura membuntuti Athar dari belakang dengan kejutan yang seolah-olah menghempap hidupnya. Tidak! Bukan ini yang dia mahu.

                 "Athar! Saya dengan mak awak dan Aria orang yang berbeza. Awak tak boleh buat saya macam ni. Semua ni tak adik untuk saya!" tegas Haura tatkala Athar sedang memakaikan tali pinggang keledar buatnya. Namun, lelaki itu buat endah tak endah seraya meluru masuk ke dalam kereta. Athar tekad. Dia mahu berpisah dengan Haura dan membiarkan Haura belajar hidup tanpanya.

              "Okay! Kalau pun awak dah bosan dengan saya cuba awak fikirkan pasal anak kita! Awak dah lupa ke yang awak dah janji kita akan tetap bersama sampai hujung nyawa? Awak dah lupa ke yang kita akan bahagia dengan anak-anak kita? Athar! Doa awak dah dimakbulkan. Saya mengandungkan anak kita!" tegas Haura. Dia cuba mengawal kemarahan dan kesedihannya saat ini. Pandangannya tunak memandang wajah Athar yang sedang memandu. Segera dia mengeluarkan ultrasound lalu dihulurkan kepada Athar.

           Tak semena-mena, Athar terus menekan pedal brek mendengar berita itu. Mereka tersentak ke hadapan akibat kejutan itu. Athar tergamam. Haura mengandung. Dia akan menjadi seorang ayah. Bibirnya mengulum senyum nipis. Wajah Haura yang berkerut dipandanganya sebelum dia mencapai ultrasound yang dihulurkan oleh wanita itu. Sungguh, hati Athar tercuit melihat janin yang sedang tumbuh dalam rahim isterinya.

          Melihat riak wajah Athar membuatkan Haura tersenyum simpul. Dia mengenggam erat tangan Athar. Mengharapkan Athar ubah fikiran. Mengharapkan anak ini akan menjadikan Athar yang menyayanginya seperti dulu. "Dah berapa bulan?"

          "Dah sebulan. Kita dah janji kan... kita akan bahagiakan keluarga kita dengan anak-anak kita. Awak, saya takkan tinggalkan awak seperti mana Aria dan mak awak tinggalkan awak. Saya sayangkan awak dan saya cuma mahukan awak jadi pelindung saya. Saya minta maaf kalau saya ada terkasar atau buat awak bosan dengan saya. Tapi saya tak sanggup hidup tanpa awak. Saya betul-betul cintakan awak, Athar," ujar Haura. Nada suaranya kedengaran lembut di halwa telinga Athar.

          Athar mengangkat wajahnya memandang wajah Haura. Raut wajah Haura ditatap dengan penuh kasih. Dia juga tidak mampu hidup tanpa Haura. Tapi, masanya hampir tamat. Dia tiada jalan lain selain menjauhkan diri dengan isterinya. Lantas, dia mengelus lembut pipi mulus Haura sebelum kandungan Haura diusapnya lembut. Haura tersenyum lebar. Dia mengenggam erat pergelangan tangan Athar. Namun, hanya seketika cuma apabila Athar menepis tangannya.

          "Maafkan aku. Tapi aku dah tawar hati dengan kau. Aku akan ceraikan kau lepas anak kita lahir. Aku minta maaf, sayang. Hubungan kita memang dah tak mampu diselamatkan lagi. Tapi aku hargai masa-masa kita bersama. Aku harap kau boleh jaga anak kita dengan baik. Semua ni tak ada kena mengena dengan sesiapa. Semuanya sebab aku dah bosan dan tawar hati dengan perkahwinan kita," ujar Athar seraya meneruskan pemanduannya. Bibirnya diketap menahan sebak di dada. Sungguh, penipuan itu benar-benar membuatkan hatinya disiat-siat. Dia terpaksa menipu tentang hal perasaannya.

           Kata-kata itu benar-benar membuatkan Haura luluh. Sungguh, dia benar-benar bungkam dengan omongan Athar. Bibirnya diketap menahan sebak. Ada apa sebenarnya dengan Athar sehingga suaminya nekad untuk berubah? Tidakkah Athar merasakan bahawa dia benar-benar tulus mencintai suaminya itu? Sungguh, tika ini Haura benar-benar kematian kata. Sekali lagi, setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi sebelum dia mengalihkan pandangan dari menatap wajah suaminya. Kalau begitu keputusan Athar, Haura tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

SEBAIK sahaja Athar melabuhkan duduk di atas bangku taman permainan berhampiran rumahnya, gambar ultrasound yang berada di pegangannya ditatap dalam-dalam. Athar memerlukan udara segar malam itu. Segaris senyuman di bibirnya tak lekang. Sungguh, Athar benar-benar gembira setelah mengetahui bahawa dia akan menjadi seorang ayah. Namun, mengingatkan bahawa dia telah membuang Haura dan anak yang berada dalam kandungan isterinya membuatkan Athar jadi sebak. Bukan ini yang dia mahu. Tapi keputusan ini sahaja yang mampu dia lakukan di samping menyembunyikan rahsianya daripada Haura.

             Sudah seminggu berlalu sejak dia menghantar Haura ke rumah ibu mertuanya. Haura seolah-olah menerima dengan keputusannya ini. Tiada panggilan mahupun mesej daripada isterinya. Barangkali Haura sedang belajar menerima bahawa mereka akan berpisah. Bukan lafaz cerai yang akan memisahkan mereka namun berita kematiannya yang akan memisahkan mereka. Teringat akan hal itu, pandangan Athar mula kabur dengan air mata. Dia tidak sanggup! Dia masih mahu diberikan masa untuk membelai anaknya dan menjaga Haura dan Amin. Itu sahajalah harta berharganya di dunia ini.

            "Bagi balik mainan Amin!" jeritan Amin mematikan lamunan Athar. Dia terus tersedar dari lamunannya. Air mata yang mengalir ke pipi dikesat lembut. Kelihatan tiga orang lelaki sedang mengganggu adiknya yang bermain di buaian sebentar tadi. Segera Athar bangun dari duduknya lalu menghampiri lelaki asing itu. Gambar ultrasound diletak di dalam poket seluarnya.

           "Kau buat apa dekat adik aku?! Dia tak kacau hidup kau orang pun kan!" jerkah Athar seraya menolak kasar tubuh seorang lelaki berkepala botak dan merampas semula kereta mainan Amin. Buru-buru Amin mencapai mainannya dan berdiri di belakang Athar.

           "Saja nak bermain dengan adik kau yang terencat akal tu. Apa khabar kawan lama?" ujar si lelaki berkepala botak sambil merenung anak mata Athar yang kelihatan galak. Jelas ketegangan di sebalik wajah Athar tatkala adiknya diperlekehkan seperti itu. Namun, Athar cuba menyabarkan hatinya seperti yang dinasihatkan oleh Haura. Dia tidak boleh terus menyerang orang yang sedang memperlekehkan adiknya saat ini.

          "Sejak bila kau jadi kawan aku?"

          Tak semena-mena, soalannya disambut dengan tawa daripada tiga orang lelaki itu. Salah seorang dari mereka yang bertindik di kedua belah telinga menepuk bahu Athar. Pandangannya mula bersatu dengan Athar. "Kau lupa ke kita orang ni siapa? Kita sama-sama buat kerja kotor untuk dapatkan duit kut dulu. Lupa?"

            Serta merta, Athar mula mengamati wajah-wajah yang berada di hadapannya. Ini benar-benar sebuah kejutan yang maha hebat! Tangan Amin segera digenggam sebelum mereka melangkah pergi dari kawasan itu. Athar tidak mahu masuk dalam kegelapan itu lagi. Dia tahu kedatangan mereka sudah semestinya berkaitan dengan masa silamnya dahulu.  

           "Bos kirim salam dekat isteri kau!" laung si lelaki berhoodie hitam. Sengaja mengapi-apikan Athar.

             Namun, Athar buat-buat tidak dengar saja dan meneruskan langkahnya. Dia tahu, dalam diam pasti majikan lamanya itu masih memerhatikannya dari jauh kerana itu mereka tahu bahawa dia sudah menikah.

             "Abang, Amin takut," adu Amin apabila dia merasakan ketegangan di sebalik wajah abangnya.

              "Okay. Kita balik. Abang minta maaf buat Amin takut. Tak sepatut..."

              Athar kematian kata tatkala tiga orang lelaki tiba-tiba keluar dari sebuah kereta yang diparkir di kawasan perumahan itu. Athar kenal mereka bertiga. Orang-orang suruhan Felix, majikannya merangkap seorang ah long. Tapi, Athar meneruskan saja langkahnya tanpa mempedulikan kehadiran mereka.

             "Bos nak jumpa kau!"

             "Aku bukan kuli Felix lagi!"

             "Kita orang dah dapat kau. Jadi persembunyian kau dah tamat!" tegas seorang lelaki yang sedang menghisap rokok seraya menahan langkah Athar. Lelaki itu memandang wajah Amin sebelum dia tersenyum sinis. Asap rokok dihembuskan ke wajah remaja lelaki yang sedang ketakutan itu.

            "Amin nak main dengan abang?" soal lelaki itu lalu menarik kasar tangan Amin dari genggaman Athar. Akibat tindakan cekap itu, Athar terlepas tangan Amin dan kini adiknya itu berada di dalam genggaman si lelaki bermata sepet.

           "Kau tahu kan nasib adik kau ni nanti macam mana kalau kau tak nak dengar arahan orang kanan Felix ni?" soal si lelaki sambil tersenyum sinis. Rengekan Amin membuatkan dia terhibur sebelum dia menolak Amin masuk ke dalam kereta.

           "Bunuh aku! Jangan libatkan keluarga aku dalam masalah dengan ketua kau!" Tak semena-mena, kesabaran Athar hilang sekelip mata. Dia mengetap giginya sambil mengenggam erat kedua belah tangannya. Urat-urat hijau mula kelihatan timbul di dahinya. Wajah orang kanan Felix dipandang dengan pandangan yang penuh dengan kebencian. Tidak dapat tidak, dia harus menuruti kemahuan mereka jika dia tidak mahu Amin menjadi mangsa kekejaman kegelapannya itu.


nota penulis: terima kasih sudi memilih karya ini sebagai bahan bacaan kalian ^_^ berminat nak baca laju boleh baca dalam wattpad saya ye... ada 3 bab je lagi dalam wattpad saya... https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa