Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,911
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 26

SIAPA sangka keadaan Athar yang semakin kritikal merupakan hari yang sama Haura melahirkan anak mereka. Kelam kabut Puan Suria mendapatkan anaknya yang sudah masuk ke dalam dewan bersalin. Hazrul sedang menenangkan Amin yang menangis tanpa henti. Fina duduk di sisi Puan Suria dan sama-sama menunggu kelahiran anak sulung Athar dan Haura. Sungguh, keaadan itu benar-benar membuatkan mereka sebak. Keduanya sedang berjuang untuk hidup dalam waktu yang sama.

            Di dewan bersalin, tangisan bayi serta merta membuatkan Haura sedikit tenang. Kesakitan di saat melahirkan anaknya seolah-olah hilang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi saat bayinya yang sudah dibersihkan dan dibedung dengan kain diletak di sebelah. Segaris senyuman terkulum di bibir Haura yang pucat saat wajah anak lelakinya yang kemerahan kelihatan. Pipi mulus bayinya dikucup sebelum dibelai lembut. Namun, sebahagian dari hati Haura masih ada keresahan memikirkan keadaan Athar. Dia sangat memerlukan Athar kala ini. Di saat seorang suami seharusnya menemani isterinya yang melahirkan, dia hanya keseorangan. Hanya kekuatan dan semangat yang pernah Athar salurkan sahaja yang menemaninya. Tapi Haura mengerti, ini ujian yang Maha Esa. Dia kuat. Dia bisa mengharungi dugaan ini.

          "Mak, Haura nak jumpa Athar."

           Sudah empat hari berlalu, itulah permintaan Haura setiap kali dia bangun dari tidur. Bahkan, setiap detik dan waktu dia tak putus-putus memohon sebuah permintaan kepada Puan Suria untuk menghantarnya kepada Athar yang masih dalam keadaan kritikal. Haura jadi pendiam sejak dia melahirkan Athif. Apa yang keluar dari mulutnya hanyalah permintaannya untuk bertemu suaminya. Wajah ibunya yang sedang mendukung Athif dipandang dengan pandangan yang sayu.

        "Haura masih perlukan rehat. Haura tak boleh banyak bergerak selagi Haura masih dalam keadaan pantang," tegas Puan Suria sambil mengusap bahu anak tunggalnya. Kasihan melihat Haura yang kelihatan tidak bermaya.

        "Tolonglah mak. Haura nak tengok suami Haura. Haura rindukan dia. Dah empat hari mak tak bagi Haura tengok suami Haura. Haura kena jaga dia, mak. Kesianlah dekat kami. Haura perlukan dia dan dia perlukan Haura," rintih Haura. Dia mengenggam pergelangan tangan ibunya. Pandangannya mula kabur dengan air mata yang bertakung di tubir mata. Mengharapkan ibunya menunaikan permintaannya kali ini.

         Namun, Puan Suria hanya menggelengkan kepalanya. Menegah Haura dari bertemu dengan Athar. Bukannya Puan Suria tidak mahu membawa Haura kepada Athar, tapi emosi Haura perlu dijaga. Dia tidak mahu anaknya jadi kemurungan memandangkan Haura baru saja melahirkan cucunya.

        "Fina, suami aku... aku kena bagi dia sentuh anak kami. Tolonglah..."

         "Haura, Athar baik-baik saja. Cuma dia masih tak sedarkan diri lagi. Hazrul ada tolong jagakan dia. Kau jangan risau, okay?" pujuk Fina sambil mengenggam erat tangan Haura.

          Tak semena-mena, Athif menangis. Seolah-olah kesedihan ibunya dapat dirasakan saat itu. Saat itu juga Haura teresak-esak sebelum bangun dari pembaringannya. Sungguh, dia benar-benar sesak saat ini. Perlahan-lahan, dia menggendong Athif sebelum dikucup lembut. "Anak mama, kejap lagi mama bagi tengok abah okay. Sekarang ni mesti anak mama lapar, kan?"

         Sungguh, melihat keadaan Haura yang cuba menjadi kuat membuatkan Fina tak betah berada di wad itu. Setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi sebelum dia melangkah keluar dari wad tersebut. Tak semena-mena, dia terduduk di bangku berhampiran sebelum menekup mulutnya menahan tangis. Dia dan Haura itu merupakan sahabat dan sudah seperti sepasang kembar. Dari zaman kanak-kanak hingga menginjak ke usia dewasa mereka sering bersama-sama dan tidak pernah berjauhan. Bagaimana dia tidak luluh melihat sahabat yang dianggap seperti adik diuji dengan ujian yang Maha kuasa?

           Malam itu, Haura kembali tenang. Puan Suria akhirnya mengalah untuk menghantar Haura ke wad yang ditempatkan oleh Athar. Athif yang berada dalam dukungan Haura kelihatan tertidur nyenyak usai diberikan susu. Tergaris senyuman di bibir Haura melihat wajah anaknya yang menenangkan itu. Saat kerusi roda yang diduduknya masuk ke wad yang ditempatkan oleh Athar, saat itu juga senyuman Haura semakin lebar. Puan Suria meminta diri untuk keluar dan membiarkan tiga beranak itu bersama-sama.

           Namun, melihat drip yang disambungkan di kura tangan Athar bersama dengan alat bantuan pernafasan membuatkan Athar benar-benar kelihatan tak berdaya di pandangan mata Haura. Sebaik mungkin Haura menenangkan dirinya. Dia sahaja tunjang kekuatan keluarga yang dibina bersama Athar ini. Maka dia mahu menjadi seorang wanita yang kuat seperti ibunya. Lantas, Haura menarik dan menghembuskan nafasnya perlahan-lahan. Tangan Athar digenggem erat sebelum dilekapkan ke wajahnya.

          "Hey, saya datang ni dengan anak kita. Nampaknya doa awak dimakbulkan sebab awak nak anak lelaki. Awak nak tahu tak... mata dan hidung dia sebiji sama macam awak, sayang. Ni, awak sentuhlah dia."

           Perlahan-lahan, Haura meletakkan tangan Athar membelai pipi mulus anak mereka. Haura tersenyum nipis. Kemudian, dia meletakkan bayinya di sebelah Athar sebelum Haura bersandar di belakang kerusi. Wajah dua orang kesayangannya di pandang silih berganti. Lama. Sesak di dada mula terasa saat memorinya mengimbas setiap kenangan manis di antara dia dan Athar. Bibirnya mula menggeletar menahan sebak sebelum Haura menekup mulutnya dengan tangan untuk menahan tangisnya.

          "Athar tolonglah bangun. Azankan anak kita. Saya redha kalau ini yang terakhir untuk kita. Tapi saya nak awak yang azankan Athif. Saya tak nak orang lain. Awak dah janji kan yang awak akan kuat supaya awak boleh belai dan azankan anak kita. Sayang... tunaikanlah permintaan saya. Saya redha andai ini permintaan saya yang terakhir," rintih Haura sambil mengenggam erat tangan Athar. Perlahan-lahan, dia meletakkan tangan Athar di dahinya. Teringat akan kesukaan Athar menjentik dahinya membuatkan Haura tertawa dalam tangisannya.

            "Saya rindukan awak. Lepas ni saya takkan marah awak lagi kalau awak jentik dahi saya. Tapi awak... tolonglah bangun! Awak tak kesiankan ke dekat anak kita? Sekurang-kurangnya awak azankan dan dukunglah dia. Belai dia dan bagi dia rasa kasih sayang seorang ayah walaupun hanya untuk... beberapa detik waktu saja," rintih Haura lagi. Tak semena-mena, tangisannya pecah di sisi Athar. Dia tertunduk sambil mengenggam erat tangan Athar. Air matanya tak henti-henti mengalir ke pipi. Wajahnya serta merta membahang kemerahan menahan sebak di dada. Dia tidak mampu jadi kuat. Dia tidak mampu menipu dirinya lagi saat ini bahawa dia masih memerlukan Athar dalam hidupnya.

DUA MINGGU KEMUDIAN...

KEGELAPAN. Itulah pandangan pertama Athar saat dia bangun dari tidur panjangnya. Hanya bau ubat-ubatan yang menusuk rongga hidungnya dan hanya suara orang berbicara sahaja yang kedengaran. Namun, deria penglihatannya sudah berubah seratus peratus. Dunianya serta merta jadi gelap. Tiada lagi keindahan wajah Haura yang mampu dilihatnya.

          "Aku dah buta."

           "Athar..."

          "Aku tak dapat nak tengok muka anak kita. Aku tak dapat nak tengok kecantikan kau lagi," bidas Athar apabila suara Haura menusuk halwa telinga. Nada suaranya bergetar menahan sebak di dada. Sukar untuk dia terima bahawa tumor ini membuatkan dia kehilangan penglihatan serta merta.

          Haura bungkam. Semenjak Athar sedarkan diri kadangkala Athar bersikap dingin. Haura mengerti bahawa Athar cuba menerima kenyataan yang ada di depan mata. Haura yang masih dalam keadaan pantang juga degil untuk menjaga Athar di hospital. Sudah puas dilarang oleh Puan Suria tapi Haura tetap degil. Apa yang Haura tahu, dia hanya mahu menjaga Athar dan berada di sisi Athar setiap waktu.

         "Abang..." suara Amin tiba-tiba kedengaran. Dari tadi dia hanya berdiri kaku di sisi abangnya. Tidak mengerti apa yang sudah berlaku kepada abangnya sehingga abangnya menjadi buta.

         "Amin. Amin duduk sini dengan abang. Haura, kau boleh balik. Kau perlukan rehat yang secukupnya. Tak baik untuk kesihatan kalau kau datang sini. Lagipun anak kita perlukan kau. Jangan takut, aku akan balik dan azankan anak kita. Ya sayang," pujuk Athar. Dia tidak boleh terus-menerus berdingin dengan Haura. Tapi kadangkala dia lupa bahawa dia perlu redha dengan setiap ujian yang ALLAH berikan kepadanya. Dia menguntumkan senyuman nipis sambil meraba-raba mencari wajah Haura. Sungguh, dia sebak dengan keadaan ini. Tapi Athar merasakan waktunya sudah hampir tamat. Dia sudah menghidu bau-bau kematian. Dia dapat merasakannya.

        Segera Haura melekapkan tangan Athar ke wajahnya sebelum Athar mengucup lembut dahi Haura. Buat seketika, dahi mereka bersatu. Lama. Haura ligat mengusap lembut pipi Athar yang cengkung. Setitis demi setitis air matanya mengalir lagi. Dia merasakan aura ketika dia kehilangan ayahnya dahulu. Sungguh, aura itu terlalu kuat. "Jangan menangis. Aku janji aku akan azankan Athif. Apa yang penting, kau kena kuatkan semangat dan diri kau. Ingat, jiwa kita bersatu. Dalam diri aku ada kau dan dalam diri kau ada aku. Percayalah sayang, ALLAH akan kurniakan sesuatu yang terbaik untuk kau. Cuma kau perlu kuat dan terus menjadi orang yang positif dan menenangkan. Ingat pesanan aku ni baik-baik. Jaga anak kita dan didiklah dia dengan sebaiknya," bisik Athar sebelum melepaskan Haura.

           Sungguh, pesanan Athar membuatkan Haura tak betah berada di situ lama-lama. Dalam keadaan di masih berpantang emosi Haura jadi terganggu. Lantas, dia mengucup lembut tangan Athar sebelum pamit untuk pergi. Sebaik mungkin Haura cuba menjadi kuat semula walaupun menjadi orang yang kuat itu amatlah sukar untuk kembali disuntik di dalam dirinya.

            Sepeninggalan Haura, Amin terus menangis teresak-esak melihat keadaan abangnya. Namun, melihat senyuman di bibir Athar yang pucat membuatkan hatinya terpujuk. "Amin budak baik. Amin kena janji dengan abang yang Amin kena berdikari dan jangan susahkan Kak Haura. Dengar sini baik-baik, abang sakit dan sakit abang ni membuatkan abang jadi buta. Lepas ni, abang tak akan jaga Amin lagi. Lagi pun Amin dah besar kan? Amin kena jaga diri baik-baik. Jaga Kak Haura, jaga Athif. Ok adik abang? Abang sayangkan Amin."

           Segera Amin memeluk erat tubuh abangnya sebelum tangisannya semakin kuat. Kata-kata abangnya membuatkan dia teringat saat-saat kematian ayah mereka. "Abang nak ikut abi ke? Janganlah tinggalkan Amin. Nanti siapa nak jaga Amin dengan Kak Haura kalau ada orang jahat? Amin tak kuat nak lawan orang jahat tu macam abang. Kalau abang mati siapa nak besarkan baby dengan Kak Haura?"

          Tatkala soalan itu diajukan, tatkala itu juga tangisan Athar pecah. Dia mengeratkan pelukan Amin sebelum dua beradik itu teresak-esak di dalam wad. Melepaskan beban yang dipikul di bahu mereka. Berkali-kali Athar mengucup dahi Amin seolah-olah dia tidak akan memberikan kucupan buat adiknya lagi. Sungguh, semenjak dia sedar dari tidur yang panjang entah mengapa dia hanya mahu memberikan belaian kepada orang-orang kesayangannya.

TATKALA erangan Athar kedengaran, tatkala itu juga Haura terjaga dari lenanya. Haura bangun dari pembaringannya seraya mengikat rambutnya yang dibiarkan terurai. Suis lampu meja sisi dihidupkan. Begitulah Athar sejak kembali pulang ke rumah. Athar sudah tidak mampu menahan sakitnya lagi. Lelaki itu hanya mampu mengerang apabila dia mula diserang dengan sakit kepala.

         "Sakit... sakit sangat. Aku tak tahan, Haura," rintih Athar sebelum dia teresak-esak menahan kesakitan. Melihat Athar yang sedang kesakitan membuatkan Haura sebu. Lantas, dia menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Haura cuba bertenang. Dia membasahkan tuala kecil lalu kembali duduk bersandar di kepala katil bersebelahan Athar. Tubuh Athar lantas dipeluk erat sebelum dia membisikkan doa penenang hati. Lama. Apabila keadaan Athar kembali tenang, Haura meleraikan pelukan seraya mengucup lembut pipi suaminya. Rintik-rintik peluh yang mengalir di dahi Athar dilap dengan menggunakan tuala basah perlahan-lahan sambil memerhatikan wajah Athar. Sudah genap setahun lima bulan Athar disahkan menjadi pesakit barah otak tahap empat. Sudah banyak waktu yang ALLAH berikan kepada Athar. Doa mereka dimakbulkan. Namun, Haura tahu bahawa masa Athar benar-benar tidak banyak tika ini. Athar semakin tenat.

        Pagi itu, Athar kelihatan aktif apabila pemuda itu tak henti-henti bermain dengan anak lelakinya ditemani Amin. Athar turut meminta Haura merekodkan setiap aktivitinya bersama Athif seperti biasa. Kata Athar, dia mahu Athif melihat rakaman ini jika anak mereka sudah besar. Tipulah kalau Haura rasa tak sebak. Tapi, Haura Ilyana tetap Haura yang kuat orangnya. Puas sudah dia menangis meratapi nasib saat Athar terlantar koma. Kini, dia mahu kembali menjadi Haura yang lama. Haura yang teguh seperti seteguh karang di lautan.

       "Athif, kalau dah besar nanti jangan jadi nakal macam abah tahu. Athif kena jadi anak yang baik untuk mama. Abah minta maaf sebab abah tak mampu nak besarkan Athif. Tapi abah nak Athif tahu yang abah sayangkan Athif. Athiflah penguat kasih di antara mama dan abah. Athif kena jaga mama kalau abah dah pergi, ya sayang."

        Haura hanya mampu diam dan memerhatikan tingkah Athar yang sedang memberikan pesanan sambil mengacah-acah Athif yang baring di atas sofa dan sudah berusia dua bulan. Ya, ALLAH masih meminjamkan waktu buat Athar selama dua bulan. Berkat dari doa yang tak putus-putus dimohon kepada yang Maha Esa. Walaupun kesihatan Athar semakin merosot namun Haura bersyukur kerana Athif masih merasakan kasih sayang seorang ayah. Buktinya, Athar tak henti-henti menghabiskan waktunya bersama anak kecil itu. Setiap malam, Atharlah yang sering menidurkan anak mereka.

       "Amin, tolong ambilkan gambar abang dengan Kak Haura dengan Athif," arah Athar. Haura tersentak. Kenapa dengan Athar? Suaminya itu kelihatan begitu aktif walhal semalam penyakit Athar muncul semula.

       Maka, foto tiga beranak itu diambil oleh Amin setelah diajar oleh Haura cara mengambil gambar. Setelah meletakkan Athif di atas riba Athar, Haura memandang wajah Athar dengan tatapan yang begitu dalam. Dia tersenyum nipis melihat keceriaan yang terpancar di wajah Athar. "Saya cintakan awak, Athar. Terima kasih sebab jadi yang terindah dalam hidup saya. Tak ada siapa yang boleh gantikan awak dalam hidup saya. Suami saya hanya satu. Hanya awak seorang saja dan saya tak akan cari pengganti awak," bisik Haura seraya melentokkan kepalanya di bahu Athar.

         "Aku juga terlalu cintakan kau, Haura Ilyana. Kau jangan sedih-sedih kalau aku pergi. Aku dah sediakan semuanya untuk kau orang bertiga. Kau jangan risau. Kau hanya perlu kuatkan semangat macam pesanan aku sebelum ni. Sebab kau ketenangan aku dan aku tahu kau akan selalu kuat pada masa-masa yang akan datang. Athif perlukan kekuatan kau. Ini anugerah yang terindah untuk kita. Terima kasih juga sebab terima aku jadi suami kau walaupun kau tahu aku ni baran. Aku ni bekas samseng yang hanya tahu mencederakan orang sahaja," ucap Athar. Buat seketika, Haura ketawa dengan kata-kata Athar. Dia mencubit pipi Athar sebelum mengucup lembut dahi Athif yang sedang tersenyum. Seolah-olah mengerti bahawa mama dan abahnya sedang mengungkapkan kata-kata cinta.

nota penulis: terima kasih sudi memilih karya Syaf sebagai bahan bacaan korang ^_^ ketabahan dan keredhaan... dua benda ni sebenarnya yang Syaf nak tekankan dan kongsi kepada pembaca... 

ada satu bab lagi sebelum kisah mereka berakhir... ^_^

Nak baca tinggal satu bab tu lagi jemputlah baca dalam wattpad saya
https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu


Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa