Rabu
adalah hari terakhir berada di bumi Madinah, sebelum bermiqat dan berniat ihram
di Masjid Bir ‘Ali dalam perjalanan ke tanah Haram, Makkah.
Pagi
itu aku ke Masjidil Nabawi seperti biasa sebelum solat Subuh. Suasana di
dataran masjid kelihatan agak sibuk dengan kebanjiran jemaah dari segenap
sudut. Sesungguhnya banyak kenangan ketika berada di Masjidil Nabawi. Cubaan
dan dugaan menguji kesabaran. Apa yang telah dicita-citakan menjadi kenyataan,
menziarahi makam Nabi Muhammad
, makam sahabat dan
Raudhah.
Pagi
itu aku dapat solat Subuh di ruangan bersebelahan Raudhah. Di hadapannya
terletak Mimbar Nabi. Selesai Solat kelihatan seorang Syeikh berdiri di atas
Mimbar Nabi, yang terletak di sebelah kiri dari kedudukan kami. Syeikh itu
kelihatan sedang menyampaikan tazkirah berhubung kelebihan mengunjungi Masjidil
Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah serta para sahabat, termasuk perkuburan
Baqi’. Ianya disampaikan dalam Bahasa Arab. Juga termasuk larangan perbuatan
yang dianggap khurafat ketika menziarahi tempat-tempat bersejarah itu.
Pada
mulanya aku berada bersama seorang jemaah dari Arab Saudi, orang tempatan yang
membawa anak kecil lelakinya solat Subuh. Jemaah itu boleh berbahasa Inggeris,
jadi tidak ada masalah komunikasi antara kami. Dia turut menterjemahkan
perlahan-lahan apa yang disampaikan oleh syeikh tersebut. Sedikit sebanyak
membantuku memahami isi kandungan tazkirah. Aku bergerak ke arah sekumpulan jemaah
yang mengelilingi syeikh tersebut untuk mendengar tazkirah.
Selesai
tazkirah, masing-masing bersurai untuk urusan ibadat masing-masing. Tiba-tiba
Polis pengawal membuka dinding kepungan yang dipasang bagi mengawal kemasukan jemaah
di kawasan Raudhah lebih luas. Kepungan tersebut biasa di pasang sejajar dengan
Mihrab Nabi. Aku ditolak masuk ke dalam.
Apabila
telah masuk ke dalam dan terlihat karpet berwarna hijau yang aku pijak, rupanya
aku telah berada di dalam kawasan Raudhah. Kali ini aku tidak perlu bersusah
payah dan berebut-rebut untuk ke Raudah.
Tanpa
berusaha, aku telah berada di dalamnya kerana ditolak masuk oleh Polis beserta
lain-lain jemaah yang yang mendengar tazkirah dari syeikh di mimbar.
Subhanallah, tanpa berebut-rebut seperti biasa, aku dapat masuk.
Seperti
biasa apabila berada di dalam Raudah adalah ‘Fasallu Rak’atain”, solat sunat dua rakaat dan berdoa. Kali ini
pihak polis mengawal dengan ketat kerana terdapat kebanjiran jemaah masuk ke
dalam Raudhah.
Setelah
selesai solat sunat dua rakaat, berdoa seperti biasa ke hadrat Allah, agar diberi
kejayaan dunia dan akhirat. Anak-anak diberikan ilmu yang manafaat, sihat tubuh
badan, hidup diberkati, dan tak lupa doa-doa khusus anak syurga kami, Iris.
Setelah selesai berdoa, polis pengawal menepuk bahuku sambil mengarahkan aku
beredar keluar di laluan keluar, melalui makam Nabi dan sahabat. Mengucapkan Salam
dan sejahtera kemudian terus keluar dari Masjid. Tidak boleh bertahan di
hadapan makam kerana ramai Jemaah bersesak-sesak. Perjalanan diteruskan ke
suatu tempat bersejarah yang belum dikunjungi, di bahagian dalamnya.
Kereta
jenazah kelihatan masuk dan berhenti di tempat jenazah yang telah disediakan.
Aku teringat kata-kata Ustaz Zul ketika kami semua baru sampai dan melakukan
ziarah, di luar kawasan perkuburan terbesar dan bersejarah
“Kalau
siapa yang hendak lihat, bagaimana jenazah disempurnakan di Madinah, boleh
terus masuk bersama jenazah selepas solat jenazah, “ kata Ustaz Zul.
“Nanti
kita buat pakej umrah untuk mati di Makkah atau Madinah, kita lihat berapa
ramai yang sanggup”, kata Ustaz Zul dengan nada berseloroh tapi penuh makna.
Aku
melalui tempat itu, mungkin ada jenazah yang baru meninggal dan perlu
disembahyangkan. Tempat penerimaan jenazah itu seperti kawasan pejabat,
terletak di bahagian yang bersambungan dengan tembok. Berbagai tanda peringatan
diletakkan di sana.
Di
sebelah kanan adalah tembok yang panjang mengelilingi satu kawasan perkuburan
yang luas. Perkuburan di mana sahabat, anak-anak Nabi Muhammad disemadikan. Di
sini juga dimakamkan, Khalifah Ar-Rasyidin yang ke -tiga, anak Nabi yang
bernama Ibrahim bin Muhammad. Perkuburan itu dinamakan Perkuburan Baqi’.
Dari
arah luar pagar kelihatan ramai jemaah mengunjungi perkuburan itu selepas waktu
Subuh. Pintu pagar dibuka untuk jemaah berziarah. Dari arah dataran, untuk
pergi ke arah pintu pagar perkuburan itu terdapat binaan berbukit yang dibuat
dari konkrit.
Jadi
apabila menghala ke pintu pagar tersebut, mudah dilihat kebanjiran jemaah dalam
dalam kawasan perkuburan itu kerana kedudukannya di sebalik tembok lebih rendah
daripada laluan masuk yang lebih tinggi. Kelihatan di sana sini batu-batu nisan
bertaburan, di bina laluan khas untuk pengunjung melalui kawasan yang luas itu.
Burung-burung merpati terbang bebas ke sana ke mari, di kawasan perkuburan
Baqi’
Di
sebelah tembok yang menghadap Masjidil Nabawi terdapat polis pengawal yang
sedang menghalang seorang jemaah wanita berjubah dan bercadur hitam yang
seolah-olah sedang solat mengadap ke dinding, tetapi sebenarnya sedang menangis
dan meraung. Entah apa yang dibuat sebenarnya? Mungkin ianya dari Iran. Kerana
kebanyakkan jemaah dari Iran melalakukan perkara yang pelik di Masjidil Nabawi
serta sekitarnya, menyebabkan polis pengawal terpaksa menghalang perbuatan
mereka.
Aku
masuk melalui perkuburan Baqi’, berhenti dibeberapa makam. Tiada tanda yang ada
untuk mengenalinailpakah yang dimakamkan di sesuatu makam, yang ada petugas
berbangsa Arab, yang memakai jubah berkasut kulit, memakai Igal di atas kepala.
Mereka ditempatkan di makam yang tertentu dan penting. Mereka akan duduk di atas
kerusi, dan akan menerangkan makam yang ada.
Doa
yang dianjurkan dibaca ketika ziarah Perkuburan Baqi’ adalah seperti yang
bermaksud:
“Assalamualaikum
wahai tempat tinggal orang-orang beriman. Sesungguhnya kami akan mengikuti
kamu. Kamu adalah orang-orang terdahulu daripada kami. Kami adalah pengikut
kamu…”
Di
sana-sini ratusan bahkan ribuan batu nisan yang terdiri daripada batu yang
kecil untuk kelihatan sebagai sebuah makam, tersusun dalam barisan sepanjang
kawasan perkuburan baqi. Batu-batu itu menandakan jumlah mereka yang dimakamkan
di situ. Burung-burung merpati terbang bebas ke sana-ke mari dengan bebas
mencari rezeki pagi di kawasan perkuburan yang luas itu.
“Ibrahim
….Ibrahim ibnu Rasulullah, “kata petugas di atas kerusi yang ada di sebuah makam
yang agak besar, Terdapat kepungan batu membentuk bentuk segiempat panjang,
sepertimana yang ada di Malaysia, mempunyai satu batu tanda. Petugas itu hanya
berbahasa Arab. Jika ada Jemaah yang tidak faham Bahasa Arab, dia akan
memberitahu nama makam berkenaaan.
“Ibrahim….Ibrahim
ibnu Rasulullah, “kata petugas itu apabila ditanya oleh seorang jemaah dari
Turki, yang bertanya dalam Bahasa Inggeris. Makam yang sedang aku ziarah ketika
itu adalah Makam anak Rasulullah yang bernama Ibrahim, meninggal ketika masih kecil.
Aku
berjalan lagi sehingga sampai di sebuah makam yang agak besar. Terdapat papan
notis besar yang ditulis dalam Bahasa Arab. Batu-batu yang mengelilingi makam
tersebut agak besar. Terdapat dua orang petugas yang berada di atas kerusi,
melayan pertanyaan orang ramai
“Uthman
ibnu Affan Radiallahuanhu, “kata salah seorang petugas yang berada di situ.
Terdapat
doa khusus untuk Saidina Uthman yang berbunyi seperti berikut:
Assalamu’alaika
Ya Zannuraini Usmanibni Affan…..
“Malayzia?” katanya kepadaku
“Na’am
(Ya’) kataku. Selepas itu dia berbahasa Arab, aku hanya mengangguk walaupun
sebenarnya tidak faham sepenuhnya. Sebenarnya petugas itu menerangkan tentang Makam
Saidina Uthman ibn Affan. Papan notis tersebut menerangkan tentang usaha
Saidina Uthman mengumpulkan naskah Al-Quran, di mana akhirnya naskah yang
diusahakan dikenali sebagai Naskah Uthmani.
Mengikut Ustaz Don Daniyal Don
Biyajid melalui rancangan “30 minit bersama Ustaz Don”, Resam Uthmani adalah
bentuk tulisan Al-Quran yang diakui oleh ulama’ yang disepakati oleh para
sahabat Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam yang hidup dari zaman Nabi
sehinggalah ke zaman Khalifa’ Ar-Rasyidin sehingga Zaman Uthman Ibn Affan, di
mana bentuk ini adalah seperti yang ada pada diri Nabi sendiri. Pada zaman Uthman
memerintah beberapa sahabat Nabi masih hidup. Di antaranya ialah Ali Ibn Abi
Talib, Zaid Ibnu Harisah dan Abdullah Ibnu Umar.
Di
Malaysia, mashhaf Al-Quran yang banyak digunakan adalah naskah Resam Uthmani,
yang mengandungi tanda-tanda yang memudahkan pembacaan Al-Quran. Di Antara
Khalifa Ar-Rasyidin hanya Khalifah Uthman dimakamkan di Baqi’, sementara dua
orang Khalifah lagi iatu Abu Bakar dan Umar dimakamkan bersebelahan dengan Makam
Rasulullah.
Rugi
tidak tahu berbahasa Arab. Hanya mendengar apa sahaja yang dikatakan oleh
petugas di makam itu, tanpa dapat membalas dan berbual dengan petugas tersebut.
Perjalanan
seterusnya adalah berjalan mengelilingi Masjidil Nabawi. Ini kerana masih
banyak bahagian di Masjidil Nabawi yang belum dapat dicapai. Jadi, pagi itu
diteruskan dengan berjalan mengelilingi Masjidil Nabawi dari arah sebelah kiri
mengadap perkuburan Baqi’.
Dari
satu pintu ke satu pintu aku berjalan untuk mendapatkan gambaran sebenar
berapakah jumlah pintu yang ada di Masjidil Nabawi. Setiap pintu mempunyai nama
dan sejarahnya
Pekerja-pekerja
yang sedang membersih kawasan dataran sibuk membersihkan kawasan dataran dengan
jentera pembersih, dan ada yang melakukannya dengan secara manual.
Perjalanan
diteruskan lagi dari satu pintu ke satu pintu. Apabila terasa letih, aku
berhenti mendapatkan air zam-zam yang tersedia di mana-mana. Di sepanjang
perjalanan aku bertemu dengan berbagai ragam jemaah.
Di
antaranya jemaah dari dari Tabung Haji Malaysia dan lain-lain penyedia
perkhidmatan Umrah. Mereka amat mudah dikenali kerana dipasangkan bendera
Malaysia pada beg sandang masing-masing.
Akhirnya
aku sampai di kawasan sekitar pintu pagar Masjid No.15, tempat atau pintu masuk
dan keluar ke hotel Mawaddah Al-Safwa serta kawasan dataran di mana wanita
berjubah dan bercadur hitam sibuk berjualan apabila selesai setiap waktu solat
fardhu.
Aku
kembali ke hotel Mawaddah Al-Safwa kerana perlu bersiap segera sebelum
tengahari. Pada jam 10.30 pagi semua bagasi perlu diletakkan di ruang lobi hotel.
Pekerja hotel akan mengangkut ke dalam bas merah “Muhammad Ellah El-Maghribi”, bagi perjalanan ke tanah suci Makkah
selepas solat Zohor dan makan tengahari.
Pada
waktu Zohor, aku dan keluarga ke Masjidil Nabawi. Kami melakukan ziarah wida’.
Ziarah wida’ adalah ziarah selamat tinggal, berdoa seboleh-bolehnya di bahagian
terletaknya makam Nabi
dan
sahabat.

Tempat
yang paling mudah dilakukan ziarah ini adalah di kawasan dataran Masjid
bertepatan dengan Kubah Hijau, yang menandakan kedudukan makam Nabi dan
sahabat. Seboleh-bolehnya masuk ke dalam kawasan laluan di hadapan makam, tapi
ianya sukar diakukan kerana ketika waktu zohor, ribuan Jammah menziarahi makam
Nabi, masuk melalui Babussalam.
Tambahan
pula aku bersama beberapa orang anak dan mempunyai anak kecil iaitu anak
istimewa, Iris. Jadi pilihan yang mudah adalah membaca doa dan selawat wida’ di
kawasan dataran berhadapan Kubah Hijau, tempat kami mula-mula melakukan ziarah
pada malam tiba di Madinah, bersama-sama jemaah dalam kumpulan Tiram Travel.
“Baca
doa ziarah selamat tinggal, buat di kawasan depan Kubah Hijau.”
“Minta
doa supaya ziarah ini bukan ziarah yang terakhir untuk kita semua,” pesan Ustaz
Zakaria.
“Minta
supaya boleh menziarahi Madinah, makam Nabi berulang-ulang kali, Insya’-Allah”.
Doa ziarah Wida’:
“Ya
Allah, janganlah dijadikan ziarah hamba ini di tempat yang mulia ini sebagai
ziarah yang penghabisan, kurniakanlah kepada hamba peluang untuk menziarahi
kembali ke tempat ini dalam keadaan sihat, jika panjang umur hamba insya Allah
hamba akan datang lagi. Jika sampai ajal hamba, maka hamba akan meletakkan
kepada nya syahadat dan perjanjian hamba dari hari ini sehingga hari kiamat
iaitu hamba bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang satu yang
tidak ada sekutu bagi-Nya, hamba naik saksi bahawa Nabi Muhammad hamba-Nya dan
pesuruh-NyaMaha Suci Engkau, Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, dan
kesejahteraan atas rasul-rasul dan segala puji bagi Tuhan sekalian `alam”.

Apabila
tamat ziarah selamat tinggal, kami bergegas ke hotel untuk makan tengahari.
Selepas makan tengahari kami perlu mandi sunat ihram, berniat ihram dan memakai
ihram, solat sunat ihram serta menjaga pantang-larang ketika berada di dalam
ihram. Kemudian kami beramai-ramai menaiki bas dan bergerak menuju ke Makkah,
bagi mengerjakan Umrah.
“Ingat
yang lelaki pakai kain ihram … kita akan singgah di Masjid Bir ‘Ali, niat
Umrah,” pesan Ustaz Zul.
“Kalau
tak mau pakai lagi, boleh pakai di Masjid Bir ‘Ali”, tapi takut memakan masa
yang lama. Jemaah terlalu ramai, tandas tak boleh tampung. Elok pakai ihram
dari hotel,” tambah Ustaz Roslan.
Dalam
perjalanan terkenangkan bait-bait Nasyid
Laukana Bainana (Andainya KekasihMu (Muhammad) Masih Berada Bersama Kami)
Andainya Kekasih-Mu (Muhammad)
masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan
semakin hampirlah,
Dengan haruman baginda sebelum
hilangnya
Rasa yang meronta-ronta untuk
berada hampir dengan kekasih-Mu.
Berada berhampirannya jiwa turut
menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan
kepada Allah akan diperkenankan.
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan
pernah sirna.
Sempatkanlah kami bertemu dengan
Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha
Merperkenankan doa hamba.
Hidayahmu kepada alam merata luas
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan
Pemberi Hidayah.
Hadis-hadismu ibarat sungai
mengalir jernih.
Berada disisimu bagaikan dahan yang
tumbuh segar dan basa.
Kutebus diriku dengan dirimu wahai
Kekasihku.
Nabi Muhammad yang mulia lagi asing
Berada berhampiranmu jiwa menjadi
harum
Wahai yang diutuskan sebagai tanda
kasih sayang,
Tuhan kepada seluruh Alam
Wahai Kekasihku Wahai Muhammad
Wahai pengubat hatiku Wahai yang
terpuji
Dirimu memiliki kelebihan yang
diakui
Oleh
Tuhan yang turut berselawat kepadamu.