Suatu
petang selepas Solat Zohor kami berpeluang lagi untuk melakukan tawaf sunat yang
entah ke berapa kalinya sejak berada di Kota Makkah. Aku bersama dengan anakku
Syafiqah mengambil kesempatan untuk melakukannya. Ini kerana dua orang daripada
anak-anaku yang lain perlu mengawasi adik mereka iaitu Iris.
Cuaca agak panas ketika itu namun
tidak melemahkan semangat kami untuk melakukan tawaf sunat. Tawaf sunat boleh
dilakukan tanpa mengenakan pakain ihram, jadi untuk memudahkan pergerakan aku
hanya memakai ‘track suit’ dan baju kemeja T sahaja. Berbeza dengan tawaf
umrah, jemaah lelaki wajib mengenakan pakain ihram ketika melakukan tawaf,
manakala jemaah wanita mengenakan pakaian menutup aurat seperti di dalam solat.
Selain daripada itu jemaah perlu
mematuhi beberapa syarat tawaf seperti berikut:
1. Suci
daripada hadas besar dan kecil. Jemaah disyarakan berwudu’ sebelum melakukan
tawaf. Jika berlaku sentuhan kulit dengan perempuan yang ajnabi (asing), jemaah
boleh berpegang dengan satu pendapat (qaul) dalam Mazhab Syafie yang mengatakan
tidak batal wudu’ jika bersentuh tanpa sengaja dan tanpa syahwat.
“Kalau nak ambil wudu’ supaya tidak
batal kena ambil wudu’ dengan sempurna kena ambil wudu’ dengan sembilan
peringkat, termasuk baca Bismillah dan tertib,” Ustaz Zul pernah berpesan
ketika kursus dan di dalam perjalanan ke Makkah.
Untuk itu, sebelum melakukan tawaf,
perlulah mengambil wudu’ dengan sempurna. Ini bagi mengurangkan kesulitan
mengambil wudu’. Jika perlu untuk mengambil wudu’ boleh menggunakan air dari
botol semburan yang dibawa.
2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan
tempat tawaf.
3. Menutup
aurat sebagaimana dalam solat.
4. Tawaf
hendaklah dimulakan pada Rukun (Sudut) Hajarul Aswad.
5. Sewaktu
berjalan ketika tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri
bahu. Jika bahu lari sedikit dari menghala ke Baitullah akibat kesesakan atau
ditolak oleh jemaah yang lain, perlulah cepat-cepat membetulkan kedudukan bahu.
6. Berjalan
itu adalah dengan tujuan tawaf. Jika terdapat jemaah yang telah terpisah dari
pasangan atau kawannya, jika dia berjalan dengan tujuan mencari kawan tawafnya
pada pusingan itu terbatal.
7. Cukup
tujuh keliling dengan yakin. Jka merasa ragu-ragu, perlu mengambil jumlah
pusingan yang terkecil dan melengkapkan pusingan kepada tujuh pusingan.
8. Tawaf
hendaklah dilakukan di luar bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazrawan.
Semasa melakukan tawaf tidka boleh menyentuh bangunan Kaabah, kelambunya, Hijir
Ismail dan Syazarawan. Rajah di bawah menunjukkan satu pusingan
Perbuatan seperti mengucup Hajarul
Aswad, menyentuh Hijir Ismail atau masuk ke dalamnya, menyentuh Kaabah boleh
dilakukan setelah tamat tawaf.
Sebagai rujukan, pusingan lengkap
tawaf yang bermula pada Rukun Hajarul Aswad, adalah seperti yang tertera padaGambarajah
4
berikut:


Gambarajah4:
Pusingan Tawaf
Sumber
: Dilukiskan semula dari Buku Panduan Haji, Lembaga Tabung Haji
Setelah tamat tawaf aku dan Syafiqah
sempat solat di hadapan Syazarawan
dan berdoa di hadapan Multazam. Selain daripada itu dapat menyentuh Kaabah,
serta masuk ke dalam Hijir Ismail, menunaikan solat sunat dua rakaat dan berdoa
di bawah pancuran emas, untuk kesekian kalinya. Ini kerana setiap kali
menghampiri Kaabah kami dapat masuk ke kawasan atau tempat-tempat yang mustajab
doa. Hanya hajarul Aswad sahaja yang hanya mampu dipandang dari arah yang amat
hampir tetapi tidak dapat mengucupnya, kerana kesesakan di hadapan Hajarul
Aswad pada hampir setiap masa.
Bila berada di hadapan Kaabah dan
menyentuhnya, hati masih terfikir adakah ianya suatu mimpi. Air mata mengalir
tanpa disedari ketika khusyuk berdoa. Cuaca yang panas di waktu tengahari sudah
tidak terasa lagi. Tambahan pula, jenis mar-mar yang digunakan di dataran
Kaabah adalah jenis yang tidak menyimpan haba. Insya-Allah langsung tidak
terasa kepanasan lantai dataran yang dipijak oleh kaki kita. Hanya kepanasan
matahari di atas kepala yang akhirnya tenggelam dengan khusyuk bertawaf dan
peluh yang mengalir.
Syafiqah amat teruja kerana dapat
menghampiri Kaabah dan menyentuh kelambu Kaabah dengan tangan. Dalam kesibukan
dan kesesakan Kaabah, terdapat jemaah yang meratap tanpa henti dan menguriskan
kelambu Kaabah dengan jari seolah-olah menulis sesuatu.
Selepas daripada tawaf sunat ini,
pada hari-hari yang berikutnya, dengan kesempatan yang ada aku bersama Syauqi,
Iman, isteriku dan Iris melakukan tawaf sunat. Kesempatan berada di bumi suci
perlu diraih sebaik mungkin.
Melakukan tawaf sunat pada waktu
malam lebih mudah. Ini kerana suasana waktu malam lebih tenang dan damai serta
cuaca juga amat menyamankan. Aku juga membawa anak istimewa kami, Iris untuk
melakukan tawaf sunat, dengan kesempatan yang ada.
Iris amat ceria kerana dibawa berjalan
mengelilingi Kaabah ketika bertawaf. Kadang-kadang aku mendokong Iris di
belakangku. Bagaimanapun, Iris lebih suka berjalan-jalan yang merupakan perkara
yang amat digemarinya.