BAB 23: KAMI DATANG,
KAMI DATANG SUNGGUH YA ALLAH

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan
Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada
menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul
serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala
kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di
tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang
menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar
fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila
kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati
kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga
masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia)
menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam),
maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari
lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh
(hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap
(di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap
orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah Al-Haj, Ayat 197)
Bumi
Madinah, Masjidil Nabawi dan Hotel Mawaddah Al-Safwah mula ditinggalkan apabila
semua jemaah menaiki bas “Muhammad Elah El-Maghribi”, yang berwarna merah. Dua
buah bas dengan dua kumpulan jemaah Tiram Travel, bas A dan bas B bergerak berturutan.
Perasaan
sayu dan rindu pada Masjidil Nabawi, Makam Nabi dan para sahabat, Raudhah dan
segala tempat bersejarah di Masjidil Nabawi, tidak siapa dapat menafikannya.
Indahnya saat sebelum waktu sebenar solat Subuh, ketika azan dilaungkan pada
jam 3.30 pagi, berbondong-bondong jemaah datang dari seluruh arah berkumpul di
Masjidil Nabawi, menyahut seruan azan. Masjid Quba’ indah tersergam, Jabal
Uhud, Kilang Al-Quran dan Kebun Tamar, tinggal kenangan. Berebut-rebut di
kawasan Raudhah, berebut-rebut menziarahi Makam Nabi.
“Marilah
menuju kejayaan!”
Kembangan
payung indah di dataran masjid, setiap kali terbitnya matahari kira-kira jam
6.15 pagi dikenang kini, hanya terakam di memori kamera dan telefon. Menjadi
kenangan yang tidak dapat dilupakan seumur hidup, menjadi teman sepanjang
perjalanan.
“Ya
Allah jangan jadikan ziarah ini ziarah yang terakhir bagi kami. Kurniakan
bagiku untuk sekian kalinya ziarah dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan
dan keselamatan”.
Perjalanan
dengan bas “Muhammad Elah El-Maghribi” berwarna merah diteruskan ke tanah haram
Makkah. Perjalanan dijangka mengambil masa selama kira-kira enam jam. Ketika
itu jam sudah hampir 2.00 petang waktu tempatan. Ini bermakna dalam lingkungan
jam 8.00 malam kami bakal menjejaki bumi Makkah. Makkatul Mukarramah, Masjidil
Haram dan Kaabah, Kiblat para Muslimin seluruh dunia.
Sepanjang
perjalanan Ustaz Zul menayangkan video berkaitan sejarah Makkah, sejarah
pembinaan Kaabah, dan sejarah Nabi di Makkah. Video tersebut disiarkan dalam
Bahasa Indonesia. Kata Ustaz Zul, belum ada video yang disediakan dalam Bahasa
Malaysia. Alangkah baiknya jika pihak Tabung Haji menyediakan video seumpamanya
dalam Bahasa Malaysia.
Tayangan
video diselang-selikan dengan soalan kuiz dan hadiah. Kali ini soalannya adalah
berkisar Makkah dan sejarahya. Ramai yang berebut untuk menjawab. Sungguh
pandai mutawif menghilangkan keletihan dan menambahkan keceriaan di dalam
perjalanan. Kadangkala diselang-seli dengan ta’aruf. Semua jemaah di dalam bas
memperkenalkan diri masing-masing seorang demi seorang.
Mutawif
juga menceritakan tentang suasana di Makkah, ibadat umrah dan mengingatkan para
jemaah tentang perjalanan umrah, tentang cabaran dan cubaan yang ada di Makkah.
Semua perlu bersabar atas segala dugaan.
Ustaz
Zul membuka satu kisah:
“Saya
ada jumpa seorang Jemaah dari Malaysia, Dia cukup ikhlas.”
“Dia
jaga ibu dia, makan pakai cukup baik.”
“Dia
hanya makan Qurma dan minum air zam-zam.”
“Dia
tak makan makanan Hotel, jarang sekali balik ke Hotel.”
“Dia
boleh mencium Hajarul Aswad tak tau berapa kali.”
“Inilah
orang ikhlas.”
“Kalau
Nampak Kaabah buat pertama kali minta doa banyak-banyak.”
“Minta
doa boleh datang lagi berkali-kali.”
“Berkat,
doa maqbul….saya dah pernah buat.”
“Kali
pertama dulu saya nampak Kaabah, saya minta dapat datang lagi berkali-kali.”
“Sekarang
ini, entah berapa kali saya dah ke Makkah, bawa jemaah dan datang sendiri.”
“Saya
mula ke Makkah dulu duit bukan ada pun. Duit ada sepuluh ringgit.”
“Kebetulan
adik saya bertuga di Jabatan Agama Islam Pahang, tak dapat pergi haji disaat
akhir.”
“Tempat
dia saya ganti, free Sultan bagi.”
“Kali
pertama saya nampak Kaabah berdoa supaya dapat datang berkali-kali. Maqbul,
Alhamdulillah…dah berbelas kali saya ke sini,” Ustaz Zul terus berpesan.
Perjalanan
diteruskan sehingga ke suatu tempat yang dinamakan Bir ‘Ali. Bir ‘Ali adalah
suatu tempat yang terletak di Zulhulaifah, hanya berjarak 30 minit, jika
memandu dengan kenderaan.
Di
Bir ‘Ali terdapat sebuah masjid yang cantik. Boleh dikatakan ia adalah masjid
kedua tercantik di Madiinah selepas Masjidil Nabawi. Istimewanya, di masjid ini
adalah salah satu miqat (tempat berniat) bagi ibadah umrah. Jadi masjid ini
menjadi tempat tumpuan jemaah umrah yang bergerak dari Madinah ke Makkah.
Sampai
di Masjid Bir ‘Ali kami berwuduk dan berniat mengerjakan umrah dan solat sunat
ihram. Bagi mereka yang belum memakai ihram, boleh memakainya di sini. Tetapi
keadaan amat sesak dengan para jemaah, tandas dan bilik air dipenuhi jemaah dan
perlu bersabar menunggu giliran.
“Sahaja
aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt."
“Orang
perempuan yang belum manapouse perlu berniat ihram secara bersyarat, “kata
Ustaz Zul.
“Saya
tidak pernah niat Umrah bersyarat,” kata Ustaz Zul secara berseloroh.
Niat
ihram bersyarat adalah diharuskan bagi seseorang yang bimbang berlaku perkara
yang menghalang dirinya daripada menyelesaikan ibadat umrahnya. Niat ini
hendaklah dilakukan secara muwalat (secara berturutan) antara niat ihramnya
dengan niat bersyarat.
“Sahaja
aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah swt, sekiranya
aku terhalang oleh sesuatu, ketika itu aku menjadi halal”.
Dengan
niat bersyarat ini, bagi jemaah wanita yang datang haid ketika berihram umrah,
maka dengan sendirinya ia menjadi halal iaitu terlepas dari pantang-larang
dalam ihram.
Kelihatan
di sana sini, jemaah yang telah berniat umrah, berihram dan menunaikan solat
sunat ihram, bertalbiah di dalam masjid dan di luar masjid.

Hamba-Mu
datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu.
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu.
Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat
serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.
Meremang
bulu roma ketika kali pertama talbiah dilaungkan di masjid dengan berpakaian
ihram. Di sana-sini jemaah bertalbiah, kita tetamu Allah.
Selepas
itu kami menyambung perjalanan ke Makkah. Segala pantang larang dalam ihram
perlu dipatuhi sepenuhnya.

Celoteh
dan nasihat Ustaz Zul tidak menjemukan. Perjalanan diteruskan sehinggalah kami
sampai di suatu tempat perhentian bagi para jemaah, di situ sebuah kawasan
lapang, ada tandas dan restoran.
“Kita
berhenti di RNR," kata Ustaz Zul.
“Siapa-siapa
yang nak makan nasi, ada Nasi Bukhari, original punya, ada ikan ada ayam”.
Kami
berhenti di tengah padang pasir, kawasan lapang. Tempat itu dinamakan Wadi
Qudaid, seperti sebuah R&R, tapi tidaklah seperti R&R di sepanjang
lebuhraya PLUS di tanahair. Di sini lebuhraya di atas padang pasir yang luas.
Di
‘R&R” tersebut berbagai jemaah Umrah dari berbagai tempat seluruh dunia
berhenti. Ada yang menjamu selera dengan Nasi Bukhari (origianal punya) seperti
yang dikatakan oleh Ustaz Zul. Yang lelaki kebanyakkan memakai ihram,
kebanyakannya adalah dalam perjalanan ke Makkah seperti kami.
Di
kawasan ‘R&R” tersebut disediakan petak-petak dari binaan simen dan dilapik
dengan permaidani. Di dalam ruangan di petak itu boleh menjamu selera bersama
keluarga dan juga menunaikan Solat. Beberapa petak disediakan. Ketika kami
berada di dalam petak tersebut,beberapa jemaah meminta ruang untuk menunaikan
solat kepada kami.
Selain
daripada itu seperti biasa terdapat kerusi dan meja untuk mereka yang memilih
untuk makan di meja bersama rakan atau keluarga.
Ramai
jemaah beratur untuk mendapatkan makan malam. Perlu membuat pesanan hidangan
nasi, roti, ayam atau ikan yang digoreng rangup, atau ayam ala tandoori.
Kemudiannya membayar dan mendapatkan kopon, sebelum beratur untuk mendapatkan
hidangan yang dipesan.
Kebetulan
nak jadi rezeki, Ustaz Zul membelikan satu set Nasi Bukhari dengan ikan grill
yang rangup, dihadiahkan kepada kami. Belum sempat kami memesan set hidangan
untuk kami sekeluarga. Rezeki anak-anak.
“Sila...sila
saya buat kenduri, “Ustaz Zul menghulurkan set Nasi Bukhari kepada kami
sekeluarga.
Ustaz
Zul turut berbelanja set hidangan Nasi Bukhari beserta ikan grill yang rangup kepada beberapa
keluarga Jemaah.
“Rezeki-rezeki
… makan makan," kata Ustaz Zul.
Sehingga
sekarang masih terkenangkan keenakan Nasi Bukhari itu, yang lembut dan wangi,
serta lazat. Pencarian nasi Arab di Alor Setar, Guar Chempedak serta Putrajaya
tidak menemukan nasi arab yang dimasak sepertimana nasi arab di Wadi Qudaid
itu.
Perjalanan
diteruskan lagi. Di sepanjang perjalanan Ustaz Zul mengetuai bacaan doa mohon
keampunan, zikir munajat dan zikir-zikir yang lain.
Talbiah
dilaungkan bersambung-sambung sehingga sampai ke Makkah.

Ya
Allah, kami datang...datang sungguh Ya Allah.