Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
38,882
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
“KAK LYNN, kotak-kotak ni nak letak kat mana?”

    Suara lantang Halim mematikan lamunan Harlina. Dia hanya menggelengkan kepala melihat bosnya yang masih terpinga-pinga di kaunter. Dia mengepit kotak-kotak yang sudah dilipat ke celah ketiak. Budak lelaki berusia 18 tahun itu melambai-lambaikan tangan kepada Harlina.

    “Hello! Kak Lynn... berangan ke?” usik Halim lagi sambil menggawangkan tangannya di hadapan muka bosnya.

    “Halim cakap apa tadi?” tanya Harlina balik, mamai.

    “Saya tanya... kotak-kotak ni nak letak kat mana?” ulang Halim lagi.

    “Ohhh... Halim letak kotak-kotak tu kat tepi kedai. Kalau ada orang cari kotak kosong, Halim bagi aje kat diorang,” ujar Harlina.

    “Kak Lynn ni berangan ajelah. Teringat kat pakwe, ke?” usik Halim lagi sebelum meneruskan kerjanya.

    “Banyaklah kau pakwe. Akak mana ada pakwe!” omel Harlina sendirian. Dia menyelak buku lejer keluar masuk modal dengan ganas.

    Harlina merupakan seorang usahawanita yang mengusahakan kedai runcit. Di dalam kampungnya itu hanya dia seorang sahaja wanita Melayu yang membuka kedai runcit. Sudah lima tahun dia membuka kedai runcit di kampung itu. Dia membuka kedai runcit itu kerana tidak dapat kerja di ibu kota selepas tamat belajar. Daripada dia duduk tanah anggur di rumah lebih baik dia berniaga. Kebetulan arwah ayah angkatnya bersetuju memberikan dia modal untuk berniaga. Harlina tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Walaupun di kampung mereka sudah ada kedai runcit Ah Seng, Harlina tetap juga ingin membuka kedai runcit bersebelahan dengan kedai runcit lelaki Cina berperut buncit itu. Bukan niatnya hendak bersaing dengan uncle Ah Seng yang jauh lebih berpengalaman dalam dunia peruncitan. Harlina hanya ingin memudahkan pembeli yang beragama Islam di kampungnya berasa yakin dengan barangan yang mereka beli. Di kedai Harlina bukan sahaja menjual barang kering sahaja, dia turut menjual barang basah seperti ikan, ayam dan juga sayur-sayuran di sebelah pagi. Sebab itulah dia ingin membuka kedai runcit di situ. Memudahkan mereka yang susah ke pasar untuk membeli barang basah.

Wanita berusia penghujung 20-an itu bercita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu. Dia berhasrat untuk menambah lagi cawangan kedai runcitnya di pekan dalam masa yang terdekat. Dia berasa sangat bersyukur kerana dilimpahkan rezeki yang sentiasa mencurah-curah tanpa henti seperti air yang mengalir semenjak membuka kedai runcit di kampungnya. Setiap hari ada sahaja permintaan dari pelanggan yang datang membeli barang di kedainya. Harlina tidak berkira dalam berniaga. Dia menawarkan harga yang sama seperti di dalam pasaran. Tidak pernah sekalipun dia menaikkan harga barangan walaupun harga barang sentiasa turun naik di pasaran. Bahkan, ada ketikanya dia memberi lebih barang di kedai kepada pelanggannya. Halim pernah bertanyakan kepada Harlina mengapa memberi lebih kepada pelanggan dan jawapan Harlina,

“Biar lebih jangan kurang. Supaya orang lagi suka datang ke kedai kita,” jawab Harlina.

“Habis tu kak Lynn tak takut rugi ke?” tanya remaja itu lagi.  

“Rezeki tu milik Allah. Selagi kita berniaga dengan amanah dan mengikut garis panduan yang betul... akak percaya, Allah akan sentiasa bantu akak,” balas Harlina lagi.

Itulah Harlina, seorang yang ceria dan sentiasa berfikir positif. Dia bukanlah jenis yang mudah mengalah. Dia akan mencari jalan keluar jika berada di dalam kebuntuan. Dia perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dia miliki. Walaupun hanya mempunyai kedai runcit yang kecil sebagai sumber pencarian rezeki, dia tetap bersyukur. Harlina juga sangat bersyukur kerana ditemukan dengan keluarga angkat yang sangat baik.

Sewaktu remaja Harlina pernah ditimpa kecelakaan sehingga menyebabkan dia tidak ingat siapa dirinya dan asal-usulnya. Sepasang suami isteri menemui Harlina terdampar tidak sedarkan diri di celah-celah batu berdekatan dengan air terjun tempat mereka berkhemah. Harlina di hantar ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Apabila dia tersedar, Harlina tidak ingat siapa dirinya. Dia juga tidak tahu bagaimana dia boleh berada di tempat air terjun itu.
Oleh kerana berasa kasihan melihat keadaan Harlina ketika itu, pasangan suami isteri yang menjumpai Harlina berpakat untuk mengambil Harlina menjadi anak angkat mereka. Harlina dijaga seperti anak mereka sendiri. Pasangan suami isteri itu juga mempunyai seorang anak perempuan yang muda darinya. Keluarga angkat Harlina merupakan keluarga yang berkhidmat dengan bangsa dan negara. Sarjan Hussien merupakan seorang askar manakala isterinya, Cikgu Latifah merupakan seorang guru sekolah rendah.

Sebaik sahaja proses pengambilan Harlina sebagai anak angkat diluluskan, Sarjan Hussien membawa seluruh ahli keluarganya ke utara tanah air kerana ditugaskan di sana. Bermulalah kisah kehidupan Harlina yang baru. Walaupun sudah 15 tahun semenjak dari hari pertama Sarjan Hussien dan isteri menjumpainya, Harlina masih lagi tidak dapat mengingati asal-usulnya. Harlina tidak kisah jika dia tidak langsung tentang asal-usulnya kerana dia sudah mempunyai sebuah keluarga yang sangat menyayanginya.

Apabila Sarjan Hussien dan isterinya bersara dari perkhidmatan, mereka pulang ke kampung halaman untuk menghabiskan sisa hidup mereka di situ. Harlina turut kembali ke tempat mula-mula dia mengenal keluarga angkatnya apabila tidak berpeluang untuk mencari rezeki di ibu kota. Dia juga tinggal di rumah pusaka milik keluarga Sarjan Hussien. Anak perempuan tunggal Sarjan Hussien dan Cikgu Latifah tidak tinggal bersama mereka kerana bekerja sebagai wartawan di ibu kota.

Bercakap pasal kakak angkatnya itu, hati Harlina menjadi sedih. Harlina memandang telefon pintar di tangannya. Sudah lama dia tidak mendengar khabar kakaknya itu. Dua hari yang lepas dia ada menelefon Hartini tetapi kakaknya mematikan panggilannya. Masih marahkah lagi kau kat aku, kak... bisik hatinya.

Harlina tahu Hartini marah kepadanya apabila Sarjan Hussien mengeluarkan modal untuk dia memulakan perniagaan lima tahun lepas. Hartini tidak berpuas hati kerana dengan mudahnya Sarjan Hussien sanggup mengeluarkan wang untuknya sedangkan dia hanyalah anak angkat di dalam keluarga itu. Harlina sedar, Hartini tidak pernah suka dengannya semenjak dia masuk ke dalam keluarga itu. Dia sahaja yang menebalkan muka walaupun sudah tahu Hartini tidak pernah menyukainya.

Harlina mencuba sekali lagi menghubungi Hartini tetapi tidak bersambut. Dia mengeluh. Dia ingin memaklumkan bahawa tidak lama lagi genap dua tahun orang tua mereka menghadap ilahi oleh sebab itu dia ingin mengadakan majlis tahlil buat mereka. Kedua orang tuanya meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat maghrib. Sebuah kereta melanggar lari motor yang ditunggang oleh Sarjan Hussien ketika itu. Sarjan Hussien meninggal dunia di tempat kejadian manakala Cikgu Latifah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

Sedang Harlina melayan perasaan di kaunter, abang Ali yang merupakan pelanggan setia di kedai runcit Harlina masuk ke dalam kedai. Lelaki bertubuh sederhana dan berkumis nipis itu tersenyum lebar apabila melihat Harlina seperti tidak menyedari kehadirannya di situ. Muncul satu idea nakal di kepalanya. Dia mengambil topeng spiderman yang tergantung di situ lalu dipakai menutupi mukanya. Dia sempat mengambil pistol mainan yang turut dijual dikedai itu.
“Jangan bergerak! Ini satu rompakan!” Sergah abang Ali sambil mengacukan pistol mainan ke arah Harlina.

Bukan main terkejut Harlina dibuatnya apabila mendapati seorang lelaki yang memakai topeng spiderman mengacukan pistol ke arahnya. Dia tidak menduga yang kedainya dimasuki perompak. Kedai runcitnya itu bukannya banyak untung pun. Kalau nak merompak pergilah kat kedai uncle Ah Seng, sempat lagi dia mengomel di dalam hati.

“Bak sini handphone tu!” arah abang Ali lagi. Dia sengaja mengeraskan suaranya. Dibalik topeng dia ingin ketawa melihat wajah pucat Harlina. Dia terus merampas telefon pintar dari tangan Harlina.

“Keluarkan semua duit yang kau ada! Masukkan kat dalam beg. Cepat!” arahnya lagi. Dia terus mengacukan pistol lebih dekat ke arah Harlina.

Dengan takut-takut, Harlina terus membuka peti duit lalu dimasukan kesemua hasil jualannya hari ini di dalam sebuah beg. Dia lebih rela hilang duit daripada hilang nyawa. Aku sayang nyawa aku woo... bisiknya. Sewaktu Harlina sibuk memasukkan duit ke dalam beg, Halim yang baru sahaja pulang dari warung Pak Janggut untuk membeli makanan tengah hari yang dipesan oleh Harlina masuk ke dalam kedai.

“Abang Ali!” tegur Halim apabila melihat abang Ali sedang mengacu pistol mainan ke arah bosnya sambil memakai topeng spiderman.

Harlina dan abang Ali tercengang. Keduanya saling memandang Halim yang tercegat di tepi troli roti sambil memegang bungkusan makanan. Abang Ali mengacu pula pistol ke arah Halim. Remaja berusia 18 tahun itu tidak berkutik langsung dari tempatnya.

“Abang cakap tadi nak beli barang... ni main apa dengan kak Lynn? Police entry ke?” tanya Halim lagi dengan wajah blur.

Harlina berasa aneh dengan kata-kata pekerjanya itu. Abang Ali? Dia memandang ke arah ‘perompak’ itu. Baru dia perasan pistol di tangan ‘perompak’ itu merupakan pistol mainan. Harlina terus merentap topeng spiderman yang menutupi wajah ‘perompak’ itu. Abang Ali tersengih memandang Harlina. Harlina menjegilkan matanya tanda geram dengan lelaki itu kerana mempermainkannya.

“Abang Ali!!!” jeritnya sambil bercekak pinggang.

“Sori, dik. Abang gurau aje...hehehe...” abang Ali sempat menunjukkan piece kepada Harlina.

“Abang tahu tak... bukan main laju jantung saya berdegup tadi bila abang buat macam tu. Mati-mati saya ingat perompak betul,” marah Harlina sambil memasamkan muka.

Halim yang berada di situ hanya ketawa melihat wajah cemberut bosnya. Tidak sangka pula abang Ali pandai bergurau senda. Kalau dia tidak terserempak dengan abang Ali sewaktu di warung Pak Janggut tadi, dia juga mati-mati ingat kedai bosnya itu dimasuki perompak. Dia ingat baju yang dipakai oleh abang Ali sebab itu dia cam itu abang Ali walaupun lelaki itu sedang memakai topeng.

“Alah, abang gurau-gurau aje. Masa abang masuk kedai tadi tengok kau tengah berangan itu yang abang nak kacau sikit. Bahayalah kau ni, Lynn. Berangan masa kerja. Orang datang pun kau tak endah. Kalau betul-betul yang masuk tadi tu perompak... kan dah naya,” ujar abang Ali sambil menggelengkan kepala.

“Abang Ali janganlah doakan macam tu.” Jawab Harlina sambil memuncungkan bibir. Dia sedar silapnya.

Abang Ali ketawa besar melihat wajah cemberut Harlina. Bukannya dia tidak pernah menyakat Harlina di kedai sebelum ini, sudah banyak kali. Cuma Harlina sahaja yang lambat pick up.

“Abang Ali cakap tadi nak beli barang... nak beli apa?” tanya Harlina apabila keadaan menjadi reda.

“Abang nak roti sebungkus, susu pekat satu tin, nescafe 3in1 satu, biskut cap Ping Pong tu nak dua... hah, nak jem kaya satu,” terang abang Ali sambil memikirkan barang apa yang hendak dibeli.

“Halim, ambilkan barang yang abang Ali nak tu,” arah Harlina kepada pekerjanya.

Dengan pantas Halim mengambil barang yang dipinta abang Ali lalu diletakkan di atas kaunter. Abang Ali masih lagi memikirkan barang yang perlu dia beli. Menyesal pula sebab tak catat di kertas.

“Abang Ali ada nak tambah apa-apa lagi ke?” tanya Harlina sebelum mengira kesemua harga barang yang dipinta oleh lelaki di hadapannya itu.

“Kejap... kejap! Abang lupalah apa lagi yang dia suruh beli...” ujar abang Ali perlahan.

“Ada orang kirim barang ke, bang?” tanya Halim pula.

“Ha’ah. Tapi abang lupalah apa lagi yang kena beli.”

Harlina melihat barang-barang yang diletakkan oleh Halim di atas kaunter. Biskut, susu, roti, nescafe, jem kaya... Dia mengulang beberapa kali barang-barang itu di dalam kepalanya. Tiba-tiba matanya terpandang tarikh di kalender di tepinya. Sesuatu terlintas di kepalanya.  

“Barang-barang ni untuk orang yang tinggal kat rumah hutan tu ya, abang?” tanya Harlina untuk kepastian.

“Betul! Macam mana Lynn tahu?” tanya abang Ali pula.

“Kan setiap 15 hari bulan abang akan beli barang untuk orang yang duduk kat rumah hutan tu. Hari ni 15 hari bulan...” jawab Harlina sambil menunjuk tarikh di kalender.

“Lynn ingat pulak,” ujar abang Ali teruja.

“Mestilah. Dah abang beli barang yang sama pada tarikh yang sama setiap bulan. Dah dua tahun rasanya.” Terang Harlina lagi.


Abang Ali dan Halim hanya terangguk-angguk mendengarnya.

“Jadi... barang yang abang Ali terlupa tu... adalah ini!”

Harlina menunjukkan chewing gum perisa strawberry kepada abang Ali. Abang Ali menepuk dahi apabila Harlina menunjukkan barang terakhir yang dia terlupa.

“Nasib baik Lynn ingat. Kalau tidak habis abang kena marah nanti,” ujar abang Ali dengan berlapang dada.

“Abang selalu kena marah ke dengan orang yang duduk kat rumah hutan tu?” tanya Halim lagi.

“Tak adalah. Cuma tuan muda tu tak suka orang buat kerja sambil lewa. Kalau buat kerja tu... kena kerja betul-betul, baru setimpal dengan apa yang diperolehi,” ucap abang Ali.

“Betullah tu. Time kerja main-main lepas tu bila gaji sibuk nak gaji penuh. Mana boleh macam tu,” balas Harlina sambil memandang Halim yang sudah tersengih-sengih.

Halim cepat-cepat memasukkan barang yang dibeli oleh abang Ali ke dalam beg plastik. Harlina dan abang Ali hanya tersenyum melihat remaja yang sedang menunggu keputusan SPM itu bersungguh-sungguh melakukan pekerjaannya.
“Sebenarnya dah lama Lynn nak tanya kat abang,” ujar Harlina tiba-tiba sambil mengambil wang yang dihulurkan oleh abang Ali.

“Lynn nak tanya apa?”

“Dah lama ke abang kerja jaga rumah hutan tu?”

“Taklah lama sangat. Lepas abang berhenti jadi askar abang terus balik kampung. Adalah dalam tujuh ke lapan tahun macam tu. Kenapa Lynn tanya?”

“Tak adalah. Sebab pelik bila arwah abah beritahu yang kat dalam hutan tu ada rumah. Pelik juga macam mana orang boleh hidup kat dalam hutan?”

“Apa yang nak peliknya... orang asli pun ada yang duduk dalam hutan.” Sempat lagi abang Ali berjenaka.

“Rumah yang abang jaga tu rumah orang asli ke?” tanya Harlina, blur.

“Bukanlah. Rumah hutan tu rumah persinggahan aje. Pemiliknya tinggal kat KL. Dia sengaja buat rumah dalam hutan sebab nak release stress daripada hiruk pikuk kota. Kalau tak silap abang... seluruh kawasan hutan tu dibeli oleh pemilik rumah hutan tu.”

“Mesti orang tu orang kaya. Sebab tu boleh beli seluruh kawasan hutan tu!” sampuk Halim pula.

“Mestilah! Kalau tidak mana mampu nak beli hutan yang luas tu.” Balas abang Ali lagi.

Harlina hanya berdiam diri. Dia tidak pernah masuk ke dalam kawasan hutan di hujung kampung itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu takut hendak masuk ke dalam hutan itu. Hatta lalu di tepi hutan itu pun dia tidak berani. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang akan membahamnya bila-bila masa sahaja. Boleh jadi ada harimau. Naik merinding bulu romanya.

“Sekarang ni yang ambil alih rumah hutan tu anak pemilik asal. Dialah yang selalu suruh abang beli barang-barang ni,” ujar abang Ali lagi sekaligus mematikan lamunan Harlina.

“Dia tinggal kat situ ke?” Tanya Halim. Dia seperti berminat dengan pemilik rumah hutan itu.

“Hee... sibuk ajelah dia ni. Semua benda nak ditanya.” Tegur Harlina.

Halim tersengih manakala abang Ali hanya tersenyum melihat ulah bos dan pekerja kedai runcit itu.

“Jarang. Dia datang ke situ pun bila nak buat kerja kat bengkel.” Sambung abang Ali lagi.

“Ada bengkel ke kat situ? Bengkel apa?”

“Entah. Manalah abang tahu. Malas nak ambil port. Lagipun dia tak suka orang ambil tahu sangat hal dia. Apa yang abang tahu, kerja abang bersihkan semak samun kat sekeliling rumah dan betulkan mana yang rosak aje,” terang abang Ali lagi.

Halim terangguk-angguk. Harlina hanya tersenyum nipis melihat mulut remaja itu terlopong mendengar cerita abang Ali.

“Cuma apa yang abang tahu... diorang dari keluarga berdarah seni. Seni apa tu... jangan tanya sebab abang pun tak tahu,” jelas abang Ali sambil menjungkit bahu sekaligus menamatkan perbualan mereka tentang pemilik rumah hutan itu.

Harlina dan Halim terangguk-angguk seperti burung belatuk mendengar cerita dari abang Ali. Banyak misteri yang menyelubungi di balik hutan di hujung kampung mereka itu.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill