Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
38,903
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
KEHIDUPAN zaman remajanya tidak seindah seperti zaman remaja lain yang seusia dengannya. Seawal usia yang muda dia sudah dipaksa oleh ayahnya untuk mempelajari seni menghasilkan tembikar. Tanah liat merupakan permainannya setiap hari. Jika dia memberontak habis tubuh badannya menjadi mangsa. Sepak terajang ayahnya sudah menjadi makanannya setiap hari ketika itu.

    Jebat menjalani zaman kanak-kanaknya di dalam rumah hutan itu sehinggalah usianya meningkat remaja. Dia tidak dibenarkan berkawan dengan rakan sebaya dari kampung yang berdekatan. Kehidupannya di dalam rumah itu hanyalah bersama ibu dan ayahnya. Dia pernah mencuri keluar dari hutan itu menuju ke kampung yang terdekat. Jebat ingin melihat suasana di kampung yang tidak pernah dia ketahui namanya. Kali pertama dia masuk ke dalam kampung itu, dia terpukau dengan keindahan yang ada pada kampung itu. Apabila ayahnya mengetahui dia ke kampung itu, habis berbirat-birat tubuhnya dipukul. Ibunya tidak mampu berbuat apa-apa kerana jika ibunya membantu dia, ibunya juga akan turut dipukul. Malah lebih teruk daripadanya.

    Kampung yang tidak dia ketahui namanya itu sangat cantik. Ada bendang yang sangat luas. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung sibuk mengerjakan sawah padi. Dia sangat terkejut apabila pertama kali melihat ‘orang-orang’ di tengah sawah. ‘Orang-orang’ itu dipakaikan baju dan kain yang buruk. Ada topi yang menutupi kepalanya. Dia melihat beberapa orang budak bermain di sekeliling ‘orang-orang’ itu. Tahulah dia bahawa ‘orang-orang’ itu tidak membahayakan. Kali kedua dia ke kampung itu untuk bermain layang-layang di bendang dia disapa oleh seseorang.

    “Awak ni siapa?” tegur satu suara.

    Jebat menoleh ke arah suara itu. Seorang budak perempuan memandangnya dengan mata yang bulat. Dia mengundur ke belakang. Takut kalau-kalau budak perempuan itu tahu dia bukan penduduk kampung itu.

    “Awak orang kampung ni ke? Boleh tak awak tunjuk kat saya apa yang best kat kampung ni?” tanya budak perempuan itu ramah.

    Jebat berasa aneh. Budak perempuan itu bukan penduduk kampung sepertinya juga ke? Dia merenung pakaian budak perempuan itu. Berbaju kemeja dan memakai skirt kembang separa lutut. Budak perempuan itu memakai sandal yang sangat cantik. Rambut panjangnya diikat dengan reben. Dia melihat pakaian budak perempuan itu tidak seperti pakaian budak-budak yang sedang bermain di tengah bendang. Buruk dan lusuh. Jebat memandang pula pakaiannya. Ada kesan kotor tanah liat melekat di bajunya. Dia cuba membuang kesan kotoran itu tetapi tidak hilang.

    “Awak bukan orang kampung ni, ke?” soal Jebat pula dengan perlahan.

    Budak perempuan itu menggelengkan kepala. “Ini kampung atuk saya. Saya tak pernah datang ke sini. Ini kali pertama saya datang ke sini.” Petah budak perempuan itu berkata-kata.

    Jebat hanya mengangguk kepala. Tahulah dia yang budak perempuan itu bukan penduduk kampung itu. Lega hatinya kerana budak perempuan itu tidak tahu yang dia juga bukanlah penduduk kampung itu.

    “Hmm... saya pun tak tahu apa yang best kat kampung ni,” ujarnya perlahan.

    “Takkan awak tak tahu apa yang best kat sini? Inikan kampung awak. Saya bosanlah asyik duduk kat rumah aje sejak datang ke sini,” komen budak perempuan itu sambil memuncungkan bibir.

    Jebat ketawa kecil apabila melihat muncung budak perempuan itu. Sudah sama panjang seperti muncung itik.

    “Saya suka tengok bendang ni...”

    “Apa yang best kat bendang tu?”

    “Cuba awak tengok budak-budak yang tengah main kat tengah bendang tu. Diorang seronok aje bermain,” ujar Jebat sambil menunding jari ke arah budak-budak yang masih bermain di tengah bendang itu. Terdetik rasa cemburu dihatinya. Kalaulah dia dapat bermain bersama mereka...

    “Awak nak main layang-layang?”  

    Budak perempuan itu mengangguk laju.

    “Jom, teman saya main layang-layang!” ujar Jebat lagi. Matanya masih tidak lepas dari memandang sekumpulan budak-budak yang asyik bermain di bendang.

    “Kat dalam tu?” Budak perempuan itu menunjuk ke arah bendang.

    Jebat mengangguk laju.

    “Tak naklah! Nanti kasut saya kotor. Mesti emak saya marah kalau tahu saya main kat situ.” Budak perempuan itu mencebik.

    “Bukaklah kasut awak tu. Jomlah! Awak juga yang cakap... awak bosan asyik terperuk kat dalam rumah aje,?” ujar Jebat.

Jebat terus membuka sepatunya dan menggulung sedikit seluarnya hingga ke paras betis. Dia memasukkan kakinya ke dalam bendang. Terasa sejuk air menyentuh kakinya.

Dia melihat budak perempuan itu seperti teragak-agak hendak masuk ke dalam bendang. Dia tidak mempedulikan budak perempuan itu lagi. Dia hanya ingin menggunakan peluang ada untuk bermain di kampung itu. Jebat berasa sangat seronok kerana dapat berlari-lari di dalam bendang itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi seperti membawa pergi segala duka lara di hatinya. Dia jadi lupa dengan rumah hutan, tembikar, sepak terajang ayahnya dan tangisan ibunya. Dia menjerit sekuat hati sambil berlari-lari di situ.

“Bisinglah awak ni!”

Jebat menoleh. Budak perempuan itu berdiri di belakangnya. Wajahnya masam mencuka. Dia tersenyum melihat wajah masam itu. Nampak comel pula.

“Eh, awakkan muda dari saya... kenapa cara awak cakap macam kita ni sebaya?” tanya Jebat.

“Macam mana awak tahu saya ni muda dari awak?” tanya budak perempuan itu balik.

“Sebab awak pendek dari saya!”

“Tak semestinya yang pendek itu muda!” balas budak perempuan itu tidak berpuas hati.

Jebat hanya menjungkitkan bahu. Malas nak berbalah. Bukannya ada hasil pun.

“Tadi awak cakap nak main layang-layang. Kenapa tak main?”

“Hahaha... saya jadi lupa bila dah seronok berlari kat dalam ni.” Jebat tergelak sambil menggaru kepala. Dia terlupa akan tujuan asal dia datang ke kampung itu.

Jebat mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar. Dia mengenggam erat tangannya. Perlahan-lahan dia membuka tapak tangannya lalu ditunjukkan kepada budak perempuan itu isinya.

“Cuba awak tengok ni...”

“Wahhh... comelnya belalang ni! Saya nakkk!” ujar budak perempuan itu, teruja.

“Mana boleh! Ini saya punya!”

Budak perempuan itu memuncungkan bibirnya lagi sekali. Jebat tersengih melihat ulah budak perempuan itu.

“Jom, kita main layang-layang dulu. Lepas tu saya tolong carikan belalang untuk awak!” Jebat menarik tangan budak perempuan itu.

Budak perempuan itu membantu dia menaikkan layang-layang kertas yang dia buat sendiri. Mereka seronok bermain layang-layang di bendang itu. Beberapa orang budak di situ turut serta bermain dengan mereka. Setelah penat menerbangkan layang-layang mereka mencari pula belalang di celah-celah pokok padi. Jebat dapat menangkap seekor belalang kecil. Belalang itu dimasukan ke dalam kotak kecil yang dia bawa sewaktu ingin ke kampung itu. Dia memberikan belakang itu kepada budak perempuan itu. Bukan main kepalang seronoknya budak perempuan itu mendapat belalang. Mereka seronok bermain sehingga tidak sedar yang hari semakin meninggi. Tiba-tiba wajahnya menjadi pucat.

“Kenapa dengan muka awak tu? Awak sakit perut ke?” tanya budak perempuan itu apabila melihat wajah Jebat berubah.

“Saya kena balik. Saya dah terlalu lama kat sini,” ujar Jebat.

“Alah... saya tak puas lagi nak main. Kita mainlah lagi. Lepas tu baru kita balik,” rayu budak perempuan itu.

“Tak boleh! Nanti ayah saya marah. Saya nak balik sekarang juga!” bantah Jebat sambil berlari menuju ke jalan.

Budak perempuan itu turut mengejarnya dari belakang. Jebat terus menyarung kasut yang ditinggalkan di atas jalan. Dia perlu pulang segera. Dia khuatir ayahnya menyedari ketiadaannya di rumah hutan itu. Sewaktu dia keluar, ayahnya sedang sibuk melayan tetamu yang datang ke rumah mereka.

“Tunggu!” Budak perempuan itu menahan Jebat daripada pergi.

“Awak nak apa? Saya kena balik sekarang!” Marahnya.

“Kita boleh jumpa lagi tak? Saya nak main dengan awak lagi.” Kata budak perempuan itu dengan wajah yang polos.

Jebat terdiam. Dia tidak berani berjanji. Dia juga ingin bermain dengan budak perempuan itu lagi. Buat pertama kali dalam hidupnya dia dapat bermain dengan rakan sebaya.
“Saya tak boleh janji.” Ujar Jebat perlahan. Wajahnya muram.

Wajah budak perempuan itu turut berubah menjadi suram. Jebat berasa kasihan melihat wajah sedih budak perempuan itu. Dia memegang bahu budak perempuan itu.

“Lain kali kita jumpa lagi kat sini. Nah! Layang-layang ni saya bagi kat awak.” ujarnya.

Jebat menyerahkan layang-layang itu kepada budak perempuan itu. Lambat-lambat budak perempuan itu mengambilnya. Sesudah itu dia terus berlari meninggalkan budak perempuan itu sendirian di tepi bendang. Dia tidak tahu nasib yang bakal menantinya kelak.

Sebaik sahaja Jebat kembali ke rumah hutan, dia melihat kereta tetamu ayahnya sudah tiada. Perasaan takut menyelubungi tubuhnya ketika itu. Perlahan-lahan Jebat menyusup masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah kelihatan sunyi. Tiada langsung bayang ibu dan ayahnya. Dia menarik nafas panjang. Dengan berjingkit-jingkit dia berjalan menuju ke tangga untuk ke biliknya di tingkat atas.

“Kau dari mana?”

Berderau darahnya apabila suara garau ayahnya menegur dari belakang. Jebat memusingkan badannya perlahan-lahan. Tubuhnya sudah terketar-ketar. Baju yang basah dek bermain di bendang menambahkan lagi kedinginan pada tubuhnya. Sebaik sahaja dia menghadap ayahnya satu tumbukan hinggap ke rahang pipinya sehingga membuatkan dia jatuh tersembam di lantai.

“Ayah... Jebat minta maaf! Tolong jangan pukul Jebat...” rayunya sambil berlutut menghadap ayahnya.

“Kau keluar rumah tanpa kebenaran aku. Kau pergi ke kampung itu lagi? Kenapa kau pergi ke sana? Nak mengadu aku dera kau?” jerkah ayahnya bertalu-talu.

Jebat menggelengkan kepala. Matanya tiba-tiba tertacap pada ibunya yang sedang berdiri di balik pintu dapur. Dia melihat ibunya menutup mulut sambil mengalirkan air mata.

Matanya tertacap kesan lebam pada wajah ibunya. Tahulah dia yang ibunya baru sahaja dibelasah oleh ayahnya.

“Kenapa kau tak jawab soalan aku? Kau buat apa kat kampung tu?” jerkah ayah lagi.

“Je... Jebat tak buat apa-apa. Jebat cuma jalan-jalan aje kat sana...” jawabnya tersekat-sekat. Air matanya sudah mengalir deras. Tepi bibirnya ada kesan darah dek tumbukan tadi.

“Penipu!!! Aku cukup pantang orang menipu aku!” teriak ayah lagi hingga ke puncak suara.

Terketar-ketar badan Jebat apabila mendengar ayahnya menjerit. Terasa hendak terkencing pun ada di situ. Tiba-tiba ayahnya menarik tangannya lalu membawanya ke sebuah bilik. Jebat sudah dapat agak apa yang akan dilakukan oleh ayahnya jika membawanya masuk ke bilik itu. Di dalam bilik yang suram dan tiada tingkap itu, dia dicampak ke lantai seperti kain buruk. Dia mengadu kesakitan. Dia melihat ayahnya mengambil sebatang besi yang panjangnya hampir sedepa di atas meja. Wajahnya bertukar pucat. Dia mengensut ke belakang apabila ayahnya menghampirinya bersama besi di tangan.

“Ayah... Jebat minta maaf... Jebat janji tak buat lagi. Tolong Jebat... jangan pukul saya...” rayunya lagi bersama linangan air mata yang deras mengalir ke pipi.

Tanpa sebarang amaran, ayah terus melibas tubuhnya menggunakan besi. Sakitnya terasa hingga ke tulang hitam. Jebat menjerit kesakitan. Ayahnya tidak menghiraukan raungannya. Tubuh badannya dilibas berkali-kali tanpa rasa belas kasihan. Ayahnya seperti telah dirasuk hantu ketika itu. Tidak cukup dengan libasan besi, tubuhnya dipijak berkali-kali seperti kain buruk. Hampir separuh mati dia dikerjakan oleh ayahnya. Habis berbirat belakang badannya akibat libasan besi. Kulit badannya ada yang terkoyak sehingga menampakkan isi daging. Darah pekat mengalir membasahi lantai. Jebat terkulai layu di atas lantai. Ayahnya mengheret tubuhnya ke sebuah peti yang sangat besar di situ. Peti itu boleh memuatkan tubuh orang dewasa.

“Kau duduk dalam tu semalaman! Jangan sesekali cuba keluar dari situ. Kalau aku tahu kau keluar... mati kau aku kerjakan!” ugut ayah sebelum menutup pintu peti itu dari luar.
 
Jebat diam tidak berkutik langsung pun ketika itu. Badannya tidak berdaya untuk bergerak hatta seinci pun. Hanya air mata yang mengalir lesu menangisi nasibnya yang malang. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya. Dia tidak kisah jika nyawanya diambil ketika itu. Lebih baik dia mati daripada terus menjadi mangsa penderaan ayahnya sendiri.

Dia mencelikkan mata. Ada air mata mengalir di tepi mata. Jebat mengesatnya. Dia tidak sedar bila dia terlelap. Yang dia ingat selepas dia menyelesaikan kerjanya di bengkel dia terus masuk ke rumah. Dia melihat pakaiannya. Masih lagi baju yang sama dia pakai sewaktu bekerja di bengkel. Boleh jadi sebab keletihan itu yang membuatkan dia terlena. Dia bangkit dari pembaringan. Dia duduk sejenak di tepi katil. Kenangan masa kecil datang menjengah di dalam mimpinya. Kenangan yang cuba dia hapuskan tetapi tetap juga datang.

Dia menuju ke bilik air. Air diisi sehingga penuh di dalam tub mandi. Pakaian yang kotor dia tanggalkan sebelum merendamkan tubuhnya ke dalam tub mandi. Rasa lega menjalar ke segenap tubuh sebaik sahaja tubuhnya direndam ke dalam air hangat. Dia mendongakkan kepalanya ke atas. Fikirannya kosong ketika itu. Dia hanya ingin menikmati kehangatan air yang membasahi tubuhnya.

Setelah puas berendam Jebat keluar dari tub lalu menuju ke cermin besar di dalam bilik air itu. Dia merenung tubuhnya yang tiada seurat benang pun. Terdapat banyak kesan parut di tubuh kekarnya itu. Dia menyentuh satu persatu parut di tubuhnya. Parut yang kekal itu meninggalkan satu kesan yang amat dalam di hatinya. Setiap parut itu mempunyai kisahnya yang tersendiri. Dia menyentuh satu parut yang panjang melintang di tepi perutnya. Parut itu mempunyai satu kisah yang tidak dapat dia lupakan. Disebabkan parut itu, ibunya terkorban.

Jebat memejamkan matanya rapat-rapat. Bayangan ibunya meraung meminta tolong melintas di kepala. Dia menggelengkan kepala. Cuba menyingkirkan bayangan itu. Tiba-tiba muncul satu wajah menggantikan bayangan ibunya. Wajah itu tersenyum manis memandangnya. Dia turut membalas senyuman itu walaupun itu hanyalah bayangan di dalam kepalanya. Tiba-tiba wajah itu berubah kepada wajah bengis seorang lelaki. Dia terus membuka matanya. Kepalanya tiba-tiba sahaja rasa berpusing. Tekaknya terasa kembang meloya. Dengan tidak semena-mena dia memuntahkan segala isi di dalam perutnya di sinki.

Nafasnya laju turun naik. Seperti orang yang baru lepas berlari. Jebat berteleku seketika di sinki. Dia membasuh mukanya berkali-kali. Jantungnya berdetak dengan kencang. Dia terus mengambil tuala lalu membaluti tubuhnya sebelum keluar dari bilik air. Dia mengambil botol kecil berwarna putih dari laci meja di tepi katil. Dengan rakus dia mengeluarkan isi di dalam botol kecil lalu dimasukan ke dalam mulut. Dia berdiri kaku di tepi katil sambil memejamkan mata. Hampir sepuluh minit dia berkeadaan seperti itu. Perlahan-lahan dia membuka mata. Nafasnya juga kini sudah kembali teratur.

Dia membuka almari baju. Pakaiannya tersusun dengan kemas mengikut warna dan jenis di dalam almari kayu itu. Dia mempunyai satu tabiat yang pelik iaitu menyusun setiap barang mengikut jenisnya. Dia mengambil T-shirt berwarna hitam dan seluar jean lalu disarung ke tubuhnya. Pakaian kotor yang dipakainya tadi dia masukan ke dalam beg plastik berwarna hitam. Pakaian itu akan dia bakar. Satu lagi tabiat peliknya, setiap kali selepas selesai bekerja di bengkel dia akan membakar pakaian yang dipakainya. Dia berasa jijik untuk memakai baju itu lagi.

Jebat keluar dari bilik dan turun ke bawah bersama-sama plastik hitam itu. Dia menuju ke dapur. Perutnya tiba-tiba sahaja berbunyi keroncong. Di luar langit sudah lama gelap sekaligus menjadikan kawasan hutan itu diselubungi kegelapan. Di atas meja terdapat beberapa bungkusan berisi barangan makanan. Baru dia teringat yang dia ada menyuruh penjaga rumah hutan membelikan barang makanan dari kampung sebelah. Dia melihat isi di dalam plastik itu. Jebat mengangguk-angguk kepala apabila melihat barang yang dia mahukan semuanya lengkap. Tiba-tiba matanya terpandang pada coklat jenama cadbury yang turut berada di dalam plastik itu. Penjaga rumahnya memberitahu yang tauke kedai memberikan coklat itu kepadanya sebagai tanda berterima kasih kerana membeli barang di kedainya. Jebat tersenyum nipis sambil memegang coklat itu.

Malam itu Jebat hanya mengisi perut dengan mencicah biskut bersama air Nescafe panas. Memang itulah makanannya setiap kali dia ke rumah hutan itu. Dia tidak terasa hendak masak kerana dia bukanlah jenis yang kuat makan. Cukup ada roti atau biskut sudah mengenyangkan perutnya. Sedang dia menikmati juadah, tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Bunyi seperti benda diseret di atas lantai. Jebat berhenti mengunyah. Dia cuba menajamkan pendengarannya. Bunyi itu datangnya dari bilik bawah tanah. Dengan perlahan-lahan dia menghampiri satu pintu yang menghubungkan ke bilik bawah tanah. Dia memegang tombolnya. Tidak berkunci! Setahunya dia sudah mengunci pintu itu sebaik sahaja membersihkan bilik bawah tanah itu.

Dengan perlahan-lahan Jebat membuka pintu itu. Ada satu tangga mengunjur ke ruang bawah. Dihujung tangga itu ada satu lagi pintu. Dengan berhati-hati dia menuruni anak tangga. Cahaya di situ sangat gelap kerana tiada lampu di situ. Mujur dia ada lampu suluh pada tefonnya. Bunyi itu semakin kuat didengari. Dia yakin ada sesuatu di dalam bilik bawah tanah itu. Sebaik sahaja dia berada di hadapan pintu bilik bawah tanah, dia memulas tombol dengan perlahan. Pintu itu berbunyi kerana sudah lama. Tiba-tiba hidungnya terhidu satu bau yang hangit. Jebat membuka luas pintu itu. Kelihatan ada cahaya api dari dalam peti tempat dia selalu dikurung sewaktu kecil. Dia menghampiri peti itu.

Berderau darahnya apabila melihat bahan bakar di dalam peti itu.  Rupa-rupanya bau hangit dan tengik itu datangnya daripada bahan bakar itu. Dia terundur ke belakang beberapa langkah.

Matanya terpandang pada rak-rak kayu yang berada di dalam bilik itu. Terbeliak matanya apabila melihat banyak tembikar tersusun di rak itu mengikut labelnya. Tembikar-tembikar di dalam bilik itu sangat banyak sehingga ada yang disusun sehingga mencecah ke lelangit. Seingatnya, dia sudah mengosongkan rak-rak itu sebelum ini. Tembikar-tembikar itu sudah dia simpan di satu tempat yang tiada siapa ketahui. Bagaimana tembikar-tembikar itu boleh berada di tempatnya semula?

“Terkejut?” sapa satu suara.

Jebat menoleh ke arah suara itu. Seorang lelaki tua keluar dari balik salah satu rak di situ. Lelaki itu berjalan sambil menggunakan tongkat. Langkahnya sedikit pincang. Dia terundur ke belakang apabila lelaki tua itu menghampirinya setapak demi setapak.  

“Berani kau usik barang aku!” herdik lelaki tua itu sambil menghentak tongkatnya ke lantai.

Jebat diam tidak berkutik. Dia merenung tajam wajah lelaki itu. Ada satu perasaan benci di hatinya terhadap lelaki dihadapannya itu.

“Jebat ada hak nak buang atau tidak barang tu!” jawabnya dengan berani.

“Kan aku dah cakap... kau boleh miliki rumah ni tapi dengan syarat. Kau tak boleh sentuh barang aku!!!” teriak lelaki itu lagi. Wajah tua itu mulai membengis.

Lelaki itu cuba menghayunkan tongkat ke arahnya namun Jebat berjaya menepis. Sekali lagi lelaki itu mengahayunkan tongkatnya dengan sepenuh tenaga yang ada tetapi dapat ditahan oleh Jebat. Dia bukan lagi budak belasan tahun yang pernah dipukul satu masa dahulu. Dia sudah cukup matang untuk menepis setiap serangan lelaki itu. Jebat mengetap bibirnya. Matanya merenung tepat ke anak mata lelaki itu. Walaupun lelaki itu sudah memasuki usia emas namun masih lagi bertenaga. Wajah lelaki itu memerah apabila melihat Jebat berjaya menahan serangannya. Dengan sepenuh tenaga Jebat menolak tubuh tua itu sehingga membuatkan lelaki tua itu jatuh ke lantai.

Merah padam muka lelaki tua itu dibuatnya apabila Jebat mula menunjukkan tanda mahu melawannya. Dia terlupa yang Jebat bukan lagi anak kecil yang pernah dia jadikan alat melepaskan perasaan suatu ketika dahulu. Dia ketawa sinis.

“Keluar!” teriaknya kuat.

Jebat terpinga-pinga apabila mendengar lelaki itu menjerit. Dalam gelap muncul seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bertubuh tegap. Lelaki itu bersembunyi dibalik rak sedari tadi. Hanya menunggu arahan dari tuannya sahaja. Lelaki bertubuh tegap itu menangkap tubuhnya dari belakang. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri namun tidak berjaya. Pegangan lelaki itu sangat kuat.

“Kau nak lawan aku?” tanya lelaki itu dengan sinis. Dia berdiri sambil membuang debu pada pakaiannya. Tongkatnya yang terdampar tidak jauh darinya dicapai.

Riak wajah Jebat semakin membengis apabila mendengar sindiran lelaki itu. Semakin kuat rontaannya semakin ketat pegangan lelaki bertubuh tegap itu. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah kedua lelaki itu. Ada api amarah menyala di hatinya.

“Kau fikir bila kau dah dewasa... kau boleh lawan aku? Boleh ke kau jatuhkan aku?” soal lelaki itu lagi sambil tersenyum sinis memandang Jebat.

Pandangan mereka saling berlaga. Ada api amarah dalam pandangan masing-masing. Tanpa memberi amaran, lelaki itu menghentak perut Jebat menggunakan tongkat.

Walaupun dirinya sudah menjangkau usia emas namun pukulannya itu sangat padu. Jebat terduduk senak menahan rasa sakit di perut. Terbatuk-batuk dia dibuatnya. Dia dipaksa berdiri oleh lelaki bertubuh tegap itu. Lelaki itu menghayunkan sekali lagi tongkatnya sehingga mengena rusuknya. Muntah darah Jebat dibuatnya. Berkali-kali tubuhnya dipukul dengan tongkat secara membabi buta. Walaupun tubuhnya sakit-sakit dia tidak mengalirkan air mata sekalipun. Dia mengetap kuat bibirnya menahan kesakitan.

Kesakitan itu menambahkan luka yang amat dalam di hatinya yang sudah lama terluka.

“Hahaha... sakit? Nak lagi?” tanya lelaki itu lagi sambil ketawa sinis. Dia merentap rambut Jebat sehingga membuatkan dia mendongak tepat ke wajahnya.

“Kau memang patut kena pukul. Ada hati nak lawan aku. Kau tak akan dapat jatuhkan aku sampai bila-bila. Kau nak tahu kenapa aku tak bunuh kau awal-awal? Sebab aku nak kau pun jadi macam aku,” ujar lelaki itu sambil ketawa terbahak-bahak.

“Tapi kau tu bodoh! Tak berani guna apa yang aku dah ajar selama ni. Penakut! Pengecut! Bodoh!” bentaknya tiba-tiba.
 
Jebat merenung wajah lelaki itu demgan bengis. Walaupun ketika itu tubuhnya sangat lemah kerana dibantai teruk oleh lelaki itu, dia tetap bertahan. Dia bukannya pengecut seperti yang dikatakan oleh lelaki itu. Dia cuma tidak mahu mengikut cara keji lelaki itu. Dia tidak tergamak menjual maruahnya sebagai seorang manusia seperti yang dilakukan oleh lelaki itu untuk mendapatkan kemewahan. Jebat meludah ke muka lelaki itu. Dia tersenyum sinis memandang wajah tua itu. Sengaja membuatkan hati lelaki itu sakit dengan tindakannya.

Lelaki itu mengelap kesan ludah pada wajahnya. Merah padam mukanya ketika itu. Api amarah merasuk hatinya. Lelaki tua itu terus menghayunkan tongkat sehingga terkena kepala Jebat. Pegangan lelaki bertubuh tegap itu terlepas lalu membuatkan Jebat jatuh ke lantai. Tersembur-sembur darah keluar dari hidung dan mulutnya. Pandangan matanya berpinar-pinar. Telinganya rasa berdengung. Dia hanya melihat kaki lelaki itu berjalan di hadapannya. Dia tidak berdaya hendak melawan. Sekali lagi dia tewas di tangan lelaki itu.

“Bawa dia keluar!”

Jebat terdengar suara dingin lelaki itu memberi arahan kepada pembantunya. Lelaki bertubuh tegap itu mengheret tubuhnya keluar dari bilik itu. Dengan pandangan yang berbalam-balam dia melihat lelaki itu membuka pintu peti yang sudah terpadam apinya. Dia tahu apa yang ingin dilakukan oleh lelaki itu dengan bahan bakar itu tadi. Bahan bakar itulah ramuan rahsia yang digunakan oleh lelaki itu untuk menghasilkan tembikarnya. Perlahan-lahan matanya terpejam. Jebat terus tidak sedarkan diri.


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.