Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
38,907
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1
Masa kini

“SAYA mengadakan sidang media pada hari ini adalah bersempena dengan ulangtahun terbinanya galeri ini yang ke-20 tahun. Galeri ini dibuka sewaktu saya masih baru lagi dalam dunia penghasilan tembikar. Memang itu impian saya sejak kecil lagi memiliki galeri yang memaparkan hasil tangan saya sendiri.” ucap Tuan Jailani sambil mendepa tangan. Ada satu senyuman lebar terukir di wajahnya ketika itu.

    Ketika itu satu sidang media telah diadakan di Galeri Chempaka bersempena dengan ulang tahun penubuhan galeri tersebut yang ke-20 tahun. Ramai wartawan dari pelbagai syarikat akhbar dan majalah hadir bagi mewawancara pembuat tembikar yang tersohor di Malaysia. Turut hadir beberapa artis yang terkenal di tanah air bagi memeriahkan majlis pada hari itu. Selain itu, Tuan Jailani juga menjemput anak-anak dari rumah perlindungan yang ditubuhnya sejak lima tahun yang lalu bagi memeriahkan majlisnya. Rumah perlindungan Puteri Chempaka itu terdiri daripada anak-anak gelandangan.  

    Siapa yang tidak mengenali Tuan Jailani, seorang yang terkenal dengan sifat pemurah. Dia selalu membantu golongan gelandangan di ibu kota. Pembabitannya dalam dunia seni pembuatan tembikar hampir 30 tahun menambahkan lagi popularitinya. Setiap tembikar yang dihasilkannya itu mempunyai ukiran yang tersendiri. Tidak sama seperti pembuat tembikar yang lain, sentuhan dari Tuan Jailani sangat berbeza. Jika melihat pada kesemua tembikar yang dipaparkan di galerinya ketika itu pasti akan terpukau kerana tembikar-tembikar yang dihasilkannya itu mempunyai aura yang tersendiri. Seolah-olah bernyawa.

    Untuk memiliki karya Tuan Jailani itu bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini kerana, lelaki berusia awal 60-an itu hanya menghasilkan buah tangannya itu setahun sekali. Dan tidak semua orang mampu memilikinya. Hanya golongan tertentu sahaja yang mampu memiliki buah tangan lelaki itu. Selain berkarya, Tuan Jailani turut membuka sebuah bengkel mempelajari seni pembuatan tembikar. Dia salah seorang tenaga pengajar di bengkel itu.

    “Tuan, seperti yang semua tahu keluarga Tuan mempunyai perusahaan membuat tembikar di Perak. Kenapa Tuan memilih untuk bergerak secara solo dan tidak bersama-sama keluarga Tuan meneruskan perusahaan keluarga Tuan itu?” tanya seorang wartawan dari Majalah Kraftangan.

    Tuan Jailani memandang wajah wartawan itu sambil tersenyum. Dia hanya terangguk-angguk seketika sebelum membalas kenyataan itu.

    “Seperti yang saya katakan sebelum ini... ini adalah impian saya sejak kecil lagi. Memiliki sebuah galeri sendiri. Saya lebih suka memilih untuk bergerak sendiri kerana saya ada matlamat saya sendiri. Lagipun ahli keluarga saya yang lain boleh menguruskan perusahaan orang tua saya tu,” jelas Tuan Jailani dengan tenang.

    “Boleh say tahu apa matlamat Tuan itu?” tanya Hartini, wartawan dari Sinar Harian.

    “Hmm... saya nak bawa seni ini ke mata dunia seiring dengan kemajuan dunia moden yang kita berada sekarang ini. Saya mahu menjadikan negara kita antara penghasil tembikar yang lebih produktif.” Jelas Tuan Jailani lagi.

    “Maksud Tuan... Tuan mahu menghasilkan tembikar dengan menggunakan teknik moden disamping mengekalkan teknik tradisional?” soal Hartini lagi sambil menggawangkan tangannya ke udara.

    “Betul!” Tuan Jailani mengiyakan kata-kata Hartini itu.

    Seluruh ruang di bilik sidang media itu riuh dengan suara para wartawan apabila mendengar kenyataan yang baru sahaja disampaikan oleh Tuan Jailani. Ada yang mempertikaikan kenyataan lelaki itu kerana ia akan mengubah kesenian ukir tangan yang sepatutnya ada dalam pembuatan tembikar. Namun ada juga yang bersetuju dengan kenyataan itu. Kononnya ia dapat mengurangkan tenaga kerja apabila menggunakan teknologi moden dan kerja penghasilan tembikar akan menjadi lebih produktif.

    “Bertenang... bertenang!” tegur pengacara majlis.

    Keadaan menjadi terkawal semula apabila pengacara majlis itu mengambil tempat bagi mengawal keadaan di kalangan wartawan yang mula panas punggung.

    “Bertenang semua. Jangan marah-marah. Kejap lagi ada hidangan yang enak-enak menanti encik-encik semua di luar. Baiklah, ada sesiapa yang ingin menanyakan soalan kepada Tuan Jailani? Jika tiada soalan... saya akan terus tutup seisi temu bual ini,” ujar pengacara majlis itu dengan lembut.

    Hartini mengangkat tangan dengan laju. Semua mata di bilik itu memandang ke arahnya. Dia tetap membuat dono. Pengacara majlis itu pula berpaling kepada Tuan Jailani sambil mengatakan sesuatu. Tuan Jailani hanya menganggukkan kepala.

    “Baiklah cik Hartini... apakah soalan yang ingin cik Hartini sampaikan itu?” tanya pengacara majlis itu dengan tenang sambil memandang wajah bulat wartawan dari Sinar Harian itu.
    “Tuan, saya ada maklumat yang mengatakan bahawa sewaktu mula-mula Tuan membuka galeri ini... ada seorang lagi rakan Tuan yang menjadi rakan kongsi dalam menubuhkan galeri ini. Boleh saya tahu, di manakah rakan Tuan itu sekarang? Boleh saya menemubual beliau?”

    Wajah Tuan Jailani tiba-tiba sahaja berubah apabila mendengar soalan itu. Dia merenung wajah Hartini dengan satu pandangan yang sukar untuk diungkap. Hartini pula tidak menyerah kalah, dia membalas renungan lelaki itu. Bilik sidang media itu tiba-tiba menjadi senyap. Kesemua yang berada di situ ternanti-nanti jawapan dari pembuat tembikar tersohor tanah air itu.

    Ketika itu, Haris menyusup masuk ke dalam bilik itu melalui pintu belakang. Dia melihat ayahnya, Tuan Jailani berdiri kaku di hadapan puluhan wartawan yang masih lagi menanti jawapan dari Tuan Jailani. Haris berdiri di celah-celah jurukamera yang masih setia dengan kamera mereka dari awal temu bual lagi. Dia melihat wajah Tuan Jailani di skrin dengan lebih dekat lagi. Dia tersenyum sinis apabila dapat melihat wajah pucat lelaki tua itu.

    Tuan Jailani menarik nafas panjang. Matanya tiba-tiba tertacap pada Haris yang berada di belakang juru kamera. Dia perasan akan riak sinis yang terukir pada wajah anaknya ketika itu. Dia terasa anaknya itu seperti sedang mentertawakannya. Seolah-olah dia merupakan badut tua yang sedang membuat persembahan di atas pentas. Tuan Jailani memejamkan matanya sambil menarik nafas. Cuma mengawal perasaan yang bergelora di hati.

    “Betul... memang saya buka galeri ini bersama rakan karib saya. Kami sama-sama berkongsi impian untuk membina galeri ini. Tapi... nasib tidak menyebelahinya...” ujar Tuan Jailani penuh kesal.

    “Maksud, Tuan?” tanya Hartini lagi, inginkan kepastian.

    “15 tahun yang lepas, dia dan anaknya tiba-tiba sahaja hilang tanpa dikesan. Kereta yang mereka naiki... pihak polis jumpa di tepi jalan berdekatan dengan salah satu hutan di Pahang. Saya tak ingat nama hutan itu. Pihak polis cuba menjejaki jejak mereka tapi tak berhasil. Sampai sekarang saya tak tahu apa khabar kawan saya tu sekarang. Entah hidup, entah mati...” Suara Tuan Jailani kedengaran sedikit sebak ketika itu. Dia mengambil sapu tangan di dalam kocek lalu mengesat air mata yang bertakung di kelopak mata.

    Sekali lagi ruang bilik itu berdengung dengan suara-suara sumbang. Ada yang cuba membuat spekulasi yang bukan-bukan. Kononnya rakan Tuan Jailani itu telah mati kerana dibunuh oleh Ah Long si lintah darat. Ada juga yang mengatakan rakan Tuan Jailani itu telah menjadi mangsa pemerdagangan organ kerana hutang yang banyak.

    “Boleh saya tahu siapa nama rakan Tuan itu?” tanya Hartini lagi.

    “Minta maaf semua. Sampai di sini sahaja temu bual pada hari ini. Encik-encik semua boleh menikmati hidangan yang telah pihak kami sediakan di luar. Sekian sahaja temu bual pada hari ini. Terima kasih semua!” Sampuk pengacara majlis itu apabila Tuan Jailani tidak mahu lagi meneruskan temu bual itu.

    Tuan Jailani terus keluar dari bilik sidang media itu. Dia sempat melemparkan pandangan yang tajam kepada Haris yang berada di luar bilik. Haris pula tidak memberikan sebarang reaksi.

    “Tuan... Tuan Jailani! Tunggu sekejap, Tuan! Saya masih ada soalan lagi!” teriak Hartini sambil berlari ke arah lelaki tua itu.

    Beberapa orang pengawal menghalang Hartini daripada menghampiri Tuan Jailani. Wartawan muda itu cuba meloloskan diri tetapi tidak berjaya. Tubuh badan pengawal itu lebih besar daripadanya. Tuan Jailani pula semakin menjauh dari situ.

    “Lepaskan dia!”

    Hartini menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Haris sedang tersenyum sambil melambaikan tangan kepadanya. Hartini tidak membalas senyuman itu. Haris sempat memberi isyarat kepada pengawal yang memegang tangan Hartini supaya melepaskan tangan wartawan itu.

    “Haris!” Hartini memandang wajah lelaki itu tidak berkelip.

    “Hai!” balas Haris. Masih lagi senyuman menghiasi wajahnya.

    “Bila kau sampai?” tanya Hartini sambil memandang Haris dengan rasa tidak percaya.

    “Pagi tadi.” Balas Haris pendek.

    Hartini menumbuk bahu Haris berkali-kali. Dia sangat rindu dengan rakannya itu. Hampir lima tahun mereka tidak berjumpa. Kali terakhir mereka betemu sewaktu Haris ingin berlepas ke China untuk mempelajari lebih mendalam lagi tentang penghasilan tembikar di negara itu. Sepanjang lima tahun itu mereka terputus hubungan sehinggalah pada sebulan yang lepas Haris tiba-tiba menghantar kad jemputan kepadanya bersempena dengan majlis ulang tahun galeri Jailani yang ke-20 tahun.

    “Wahhh... hebat kau sekarang! Dah jadi wartawan yang sensasi,” puji Haris sambil menumbuk lembut bahu Hartini.

    “Banyaklah kau sensasi! Aku biasa-biasa ajelah!” ucap Hartini tersipu malu. Terasa segan pula bila dipuji.

    “Betullah! Tadi aku dengar kau soal ayah aku... bukan main lagi bermacam soalan kau terjah dia.”

    “Alahhh... biasalah tu. Kerja macam aku ni kena selalu dapatkan maklumat yang sahih. Barulah orang kat luar percaya dengan apa yang kita cuba sampaikan.”

    Haris tidak menyangkal lagi dengan skop kerja Hartini. Bekerja sebagai seorang wartawan perlulah mendapatkan berita yang betul-betul sahih sebelum disampaikan kepada orang awam. Jika berita yang disampaikan itu tidak tepat, ia akan menimbulkan pelbagai isu.

    “Eh, jomlah kita keluar. Kat luar ada macam-macam makanan. Kau pun mesti lapar,” ujar Haris lagi sambil menarik tangan Hartini menuju keluar galeri.

    Gadis berambut pendek itu terkesima apabila melihat Haris menarik tangannya. Dia tersenyum sendiri. Dia hanya mengikut sahaja langkah Haris apabila lelaki itu membawanya ke tempat jamuan makan berlangsung. Haris menyuruhnya duduk sementara dia mengambilkan makanan. Hartini hanya mengikut sahaja. Dia tersenyum apabila melihat Haris sibuk memilih pelbagai jenis makanan untuknya.

    Haris menghampiri Hartini dengan pinggan yang penuh berisi makanan. Terbeliak mata gadis itu apabila melihat pelbagai makanan terhidang di hadapannya.

    “Makanlah.” Pelawa Haris sambil duduk di hadapan Hartini.

    “Wahhh... banyaknya makanan! Kau nak suruh aku gemuk ke?”

    “Mana ada! Aku tahu kau tengah lapar sekarang ni,” ujar Haris sambil memuncungkan bibirnya ke arah perut Hartini yang kebetulan sedang berbunyi.

    “Ahahaha... apalah perut ni!” Hartini cuba ketawa sambil menutup perutnya yang sedang berbunyi.

    Hartini terus menikmati juadah dihadapannya. Tidak ada cover ayu kerana itu bukan stailnya. Haris hanya tersenyum melihat rakannya itu makan. Sesekali dia menghirup jus oren sambil memandang Tuan Jailani yang sedang berbual dengan salah seorang yang berpangkat Dato’ tidak jauh dari mejanya.

    “Apa pendapat kau tentang ayah aku?” tanya Haris tiba.tiba.

    Hartini berhenti mengunyah apabila Haris bertanyakan soalan kepadanya. Dia cuba menelan makanan yang penuh di dalam mulutnya. Haris tertawa melihat wajah comot Hartini. Dia mengelap kotoran yang ada di tepi bibir Hartini. Tindakan Haris itu membuatkan Hartini terkesima. Dengan tidak semena-mena dia tersedak. Berkali-kali dia mengetuk dadanya bagi menghilangkan rasa lega. Haris menghulurkan gelas berisi air jus kepadanya. Hartini terus meneguk laju air jus itu untuk melancarkan sisa makanan yang tersekat di kerongkongnya.
    “Macam budak-budak makannya,” usik Haris sambil tersengih.
 
    ‘Kau yang buat aku tersedak...’ omel hati Hartini sambil membuat muka kepada Haris.

    Dia menarik nafas panjang apabila berasa lega dan tiada lagi sisa makanan yang tersekat di kerongkong. Dia memandang ke arah Tuan Jailani yang masih lagi rancak berbual dengan tetamunya.

“Dia penuh dengan rahsia,” komen Hartini spontan.

“Maksud kau?” Tanya Haris sengaja ingin menduga Hartini.

    “Pandangan mata dia tu... seperti ada satu rahsia,” ujar Hartini lagi. Matanya masih lagi tidak melepaskan pandangan dari Tuan Jailani.

    “Rahsia apa?” duga Haris lagi.

    “Hey... manalah aku tahu! Kau kan anak dia, takkan kau tak tahu?” tempelak Hartini.

    Haris hanya ketawa kecil. Dia turut memandang ke arah ayahnya. Pandangan mereka tiba-tiba sahaja berlaga. Pandangan mata Tuan Jailani seperti berbau satu amaran. Haris hanya tersenyum sinis. Hartini yang melihat situasi itu berasa pelik dengan kedua beranak itu.

    “Kenapa kau tiba-tiba bagi aku invitation ni?” tanya Hartini tiba-tiba.

    “Saja,” balas Haris acuh tak acuh. Dia menghabiskan saki baki jus di gelasnya.

    “Saja? Kau ni biar betul? Aku ni dahlah sibuk dengan kes budak hilang yang tak selesai-selesai lagi. Kau yang dah lama tak bagi khabar berita tiba-tiba muncul bagi aku invitation ni. Lepas tu, bila aku tanya sebabnya... kau cakap ‘saja’?” bebel Hartini tidak berpuas hati.

    “Anggap ajelah ni sebagai skop berita kau yang baru,” ujar Haris lagi.

    “Skop berita? Hello, Encik Haris! Aku ni wartawan berita jenayah bukannya wartawan berita laman seni!” tempelak Hartini lagi.

    “Manalah tahu ini boleh jadi related dengan skop kerja kau sebagai wartawan jenayah!” balas Haris lagi acuh tak acuh.

    “Apa maksud kau...”

    Hartini tidak meneruskan kata-katanya apabila telefon pintarnya berdering. Dia tidak menghiraukan panggilan itu sebaliknya dia lebih fokus dengan apa yang dikatakan oleh Haris.
    “Handphone kau berbunyi dari tadi. Angkatlah!” ujar Haris apabila Hartini seperti tidak mahu mengangkat panggilan itu.

    Dengan wajah yang tiada mood Hartini mengambil telefon pintar di dalam beg sandangnya. Dia melihat nama si pemanggil yang tertera pada skrin. Wajahnya berubah. Dia terus menekan butang cancel sebelum membuang bateri telefon pintar itu dari soketnya sebelum dimasukan kembali ke dalam beg sandang. Haris hanya memerhatikan sahaja kelakuan rakannya itu.
 

    “Siapa yang call?” tanya Haris berbasi-basi.

    “Scammer!” balas Hartini, dingin. Dia kembali menghabiskan makanannya.

    “Really? I don’t think so!”

    Hartini menghembus keras nafasnya. Dia meletakkan kembali sudu. Seleranya tiba-tiba sahaja putus. Haris semakin pelik dengan kelakuan Hartini.

    “What wrong? Do you have problem with your boyfriend?” Haris cuba berjenaka.

    “Aku mana ada boyfriend!”

    “Habis tu mengeluh panjang nampak. Kalau bukan masalah boyfriend... your family?” duga Haris lagi.

    “Adik aku!”

    Haris terkejut. Dia tidak tahu pula Hartini mempunyai adik beradik. Setahunya Hartini merupakan anak tunggal. Sepanjang mereka berkawan, Hartini tidak pernah bercerita langsung tentang dia mempunyai adik beradik.

    “Kau ada adik? Bukan kau anak tunggal, ke?”

    “Memang pun aku anak tunggal!”

    “Habis yang kau katakan tadi tu?”

    “Yang call aku tadi tu... adik angkat aku. My parent ambil dia sebagai anak angkat sejak kecil lagi,” ujar Hartini perlahan.

    Haris terdiam.

    “Habis tu kenapa kau tak jawab call dia tadi?”

    “Malaslah! She’s  very annoying!”

    Sekali lagi Haris terdiam. Melihat pada wajah Hartini seperti tidak suka pada kakak angkatnya itu.

    “Eh, sudahlah! Tak payah cerita pasal adik aku tu. Macam mana live kau dekat China? Best, tak? Kau pergi kat red light district tu ke?” Hartini cuba mengalihkan topik.

    Haris tidak membantah. Dia juga bukanlah jenis yang suka masuk campur urusan keluarga orang lain. Keluarga dia sendiri sudah cukup sarat dengan pelbagai masalah. Mereka berdua rancak berbual tentang zaman mereka belajar dahulu sekaligus melupakan tentang isu Tuan Jailani dan kakak angkat Hartini.

    Tuan Jailani memandang dari jauh gelagat Haris dan Hartini yang sedang bergurau senda. Dia memandang keduanya dengan pandangan yang penuh makna. Sewaktu dia

menumpukan perhatiannya kepada Haris dan Hartini, tiba-tiba seorang budak perempuan yang sedang bermain kejar-kejar dengan rakannya telah melanggarnya. Habis tumpah jus air di atas kotnya. Budak perempuan itu sudah takut-takut. Khuatir akan dimarahi kerana telah merosakkan pakaian yang mahal itu. Seorang wanita yang merupakan pengetua bagi rumah perlindungan Puteri Chempaka berlari-lari anak menghampiri mereka.
 
    “Saya minta maaf, Tuan. Budak-budak ni tak sepatutnya bermain di sini. Saya minta maaf sangat-sangat!” rayu wanita itu berkali-kali.

    “Tidak mengapa! Budak-budak bukannya tahu apa-apa,” ujar Tuan Jailani sambil tersenyum nipis. Dia mengelap sisa kotoran itu menggunakan tisu.

    “Cepat minta maaf!” arah wanita berusia 40-an itu kepada budak perempuan itu.
 
    “Ssaya... minta maaf, ttuu... Tuan. Ssaya... tak sengaja...” kata budak perempuan itu tersekat-sekat. Air mata mula bertakung dikelopak mata. Dua lagi rakannya sudah terdiam kaku di situ.

    “Tak apa! Perkara kecil aje. Lain kali hati-hati bila bermain. Dah... jangan nangis! Atuk tak marah pun,” ujar Tuan Jailani lagi dengan lembut. Dia mengelap air mata yang mula mengalir di pipi budak perempuan itu.

    “Terima kasih, Tuan. Saya minta maaf sangat-sangat sebab leka mengawal budak-budak ni,” rayu wanita itu lagi dengan rasa bersalah.

    “Lain kali jangan leka. Faham! Awak boleh bawa budak-budak ni ke tempat mereka bermain.” Tuan Jailani sempat memberi nasihat.  

    Wanita itu mengangguk tanda faham. Dia terus membawa budak-budak itu ke tempat yang sepatutnya mereka berada. Tuan Jailani memanggil pembantunya dan meminta membungkuskan makanan untuk anak-anak rumah perlindungan Chempaka Sari bawa pulang. Tetamu yang berada di situ memuji sikap Tuan Jailani yang sangat berhemah dalam menangani situasi itu. Haris dan Hartini turut menyaksikan kejadian itu. Kedua-duanya mempunyai pandangan yang berbeza.

    “Seriously... aku tak faham dengan ayah kau. Sebelum ni pandangan mata dia macam... macam nak makan orang. Bengis! Tapi tadi tu... pandangan mata dia sangat berbeza bila budak tu terlanggar dia. Tak ada langsung rasa nak makan budak tu,” ujar Hartini perlahan.

    “Kau ingat ayah aku tu singa ke, sampai nak makan budak tu?” Haris cuba bercanda.

Hatinya digeletek rasa geli apabila Hartina berkata sedemikian. Dia memandang ke arah Tuan Jailani yang masih rancak berbual dengan kenalannya. Haris tersenyum sinis. Ini baru permulaan, bisiknya. Seperti ada satu rahsia diantara mereka. Rahsia yang membawa kepada satu kehancuran di dalam keluarga mereka.
Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill