Home Novel Thriller/Aksi Hi, Encik Professor!
Hi, Encik Professor!
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
37,242
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5a

Aralyn memandang redup kipas siling yang berputar perlahan di siling pejabatnya. Pejabatnya itu bukanlah tiada aircond dan aircond itu sentiasa terbuka. Tetapi, entah kenapa pagi ini dia merasakan mahu bermelodi pula dengan bunyi kipas siling yang sudah agak lama tidak disapu dengan minyak gris.

Kreak.... Kreak.... Kreak....

Bunyi bingit pusingan kipas itu tidaklah mahu dihiraukannya sekarang. Apa yang dihiraukannya sekarang ialah siapa lelaki gentleman yang menyelamatkannya dari anjing hitam itu semalam? Sungguh ketika dia sudah lemah lutut dan tidak mampu bergerak, lelaki tegap itu muncul secara tiba-tiba lantas memanah pengsan anjing itu.

Lelaki itu... sangat maskulin dan super cool!

Aralyn sudah angau dek mabuk penangan lelaki berpakaian serba biru dengan topeng merah berukiran helang menutup separuh muka. Sesekali, bibirnya tanpa sedar tersengih dan tersenyum sendiri. Mengingatkan hal lelaki itu lagi, Aralyn menekup mukanya dengan bantal sofa lalu menggelepar kesukaan.

Benar, Aralyn Awliya dah gila.

"Cik, cik!" panggil Riyad dengan mata sengaja dijulingkan. Dia dah masak dengan perangai Aralyn yang kalau dah excited tu, macam ni la kelakuannya jika tidak ditegur. Panggilannya dua tiga kali itu tetap tidak disahut malah semakin kuat pula si Aralyn ni berangan. Tiada pilihan, Riyad terus berlalu dari situ sambil mencekak pinggang.

"Cik Aralyn Awliya!" jerit Riyad melalui pembesar suara yang sengaja diletakkan di tepi telinga Aralyn.

Gedebuk!

Aralyn yang terperanjat tiba-tiba terbangun lalu tanpa diduga, kakinya tersadung tangan sofa lalu dia jatuh tergolek ke lantai bagai nangka jatuh.

"Aduh..." Aralyn menggosok pinggangnya yang terasa ingin patah. Kuat juga efek jatuhnya sampaikan habis terasa sengal badannya sekarang ni. Dengan hati mendongkol marah, dia berpaling kepada Riyad yang memandangnya dengan muka tidak bersalah.

"Riyad..." tekan Aralyn sambil mengetap bibir.

Riyad hanya ketawa terkekek-kekek melihatkan muka cemberut Aralyn yang dikiranya sangat comel ketika marah. Namun, ketawanya itu tidak lama apabila terperasankan riak wajah Aralyn sekarang ni yang sudah macam beruang lapar bersedia menunggu masa untuk makan orang.

Dengan tangan terketar-ketar menahan geram, Aralyn menuding jari telunjuknya ke muka Riyad lalu tangannya dihalakan semula ke lehernya sendiri lantas dia membuat isyarat 'die' kepada Riyad. Riyad yang memahami isyarat Aralyn itu meneguk kelat air liur yang terasa berpasir melekat di kerongkong.

Tidak menunggu lama, Riyad kemudiannya terus berjalan mendekati Aralyn dengan muka seposen lalu tanpa disuruh, dia membuat ketuk ketampi sebanyak 50 kali. Itu adalah denda yang biasa Aralyn berikan kepada anak buahnya jika mereka tidak mahu dipotong gaji selama sebulan.

"Tambah lagi 50 kali," arah Aralyn sambil mengerling kepada Riyad yang hampir menyelesaikan 50 kali ketuk ketampi. Nasiblah Riyad cari pasal dengan dia hari ni, moodnya tidak baik kalau mengingatkan hal kerja. Kalau nak ingat hal jejaka cool but cold semalam, tak payah tunggu memang moodnya sentiasa okey. Aralyn ketawa jahat di dalam hati.

Riyad dilihat sudah tercungap-cungap dan ketar lutut dek denda ketuk ketampi dari bos tak matangnya. Itulah, nak berhenti kerja terasa sayang apabila gaji yang ditawarkan oleh Aralyn bukan kaleng-kaleng. RM 8000 sebulan, kau ada?

Kerana keberaniannya membuat liputan sekaligus membongkarkan kes pecah amanah Johnny dari Campbell Corporation 5 tahun lalu, dia dipecat oleh bos syarikat akhbar Nadi Kota atas kesalahan melanggar etika kerja. Alasan itu sangat tidak masuk dek akal tetapi dia merasakan bosnya juga ditekan oleh 'tangan ghaib' yang tidak nampak oleh mata kasar.

Setelah setahun dia menganggur dan membuka channel YouTubenya sendiri untuk melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan bandar itu, Aralyn akhirnya menghantar 'surat cinta' kepadanya meminta agar dia bekerja dengannya. Dengan gaji yang ditawarkan oleh gadis itu, dia tidak mampu menolak tawaran yang dirasakan sangat rare dan seperti bulan jatuh ke riba nasibnya.

Kerana mengenangkan ibu bapa dan adik-adiknya yang masih memerlukan belanja yang besar untuk menampung keperluan hidup itu jugalah, dia akhirnya menerima tawaran kerja itu. Bila ditanya kenapa Aralyn memilihnya sebagai staf, gadis itu hanya tersenyum manis lalu menghadiahkan penyepak free kepadanya. Riyad bengang dilayan seperti itu tetapi setelah sebulan lebih dia bekerja dengannya, dia memahami yang penyepak itu adalah tanda persahabatan antara Aralyn dengannya serta Mona dan Jacky. Sungguh, manusia bernama Aralyn Awliya ini memang sangat pelik!

"Dah, stop! Kesian aku tengok kau ni dah macam cimpanzi mabuk ketum. Pergi, pergi jangan kacau aku nak berangan ni," halau Aralyn kepada Riyad lalu dia kembali mengambil bantal sofa lantas merebahkan dirinya semula ke atas sofa empuknya. Seperti yang dikata, Aralyn kembali menyambung anganannya kepada hero cool and coldnya.

Jacky dan Mona yang memerhatikan drama sebabak itu dari tingkat atas hanya mampu menggeleng kepala lalu membuat isyarat 'padan muka' kepada Riyad. Riyad... hanya mampu tersengih lantas berlalu dari situ lalu menyambung kerjanya.

********************


Qarizh memberhentikan keretanya di ruang parkir di depan sebuah banglo usang yang nampak agak menyeramkan di pinggir bandar Kuala Lumpur ini. Berkali-kali dia memandang aplikasi Mapsnya, manalah tahu Mr. Goggle buat hal dengan memberinya lokasi yang salah.

Jika dilihatkan pada aplikasi Maps, rumah banglo dua tingkat ini betullah ibu pejabat Guardian of Life (G.O.L) milik Aralyn Awliya. Tapi jika dilihatkan pada persekitaran rumah... masyaAllah macam kawasan perkuburan lama pun ada!

Dedaun kering tidak disapu dan berterbangan di sekeliling apabila sesekali disapa bayu petang, suasana yang redup dan mendung, rumah pula sudah luntur warna catnya, dan terdapat juga beberapa keping cermin nako yang hampir tertanggal dari rangkanya. Keadaan bertambah menyeramkan lagi dengan bunyi burung gagak hitam bersahut-sahutan.

Qarizh memerhatikan pula tingkat dua banglo itu. Itupun satu hal juga dengan cermin sisip angin pun pecah tidak berganti. Jujurnya, betul ke ini pejabat G.O.L yang gah diagung-agungkan sangat oleh Pak Sunya itu? Tidak mahu terus melayan sangkaan buruk, Qarizh kemudian keluar dari keretanya lalu menapak ke pintu pagar. Belum pun sempat dia menyentuh pagar, tiba-tiba pintu pagar tercabut sendiri.

Bum! Kreak...

Rumah ahli sihir ke ni? Qarizh menggosok lengannya yang terasa meremang bulu roma. Dah kenapa tak ada ribut tak ada angin tiba-tiba pintu pagar yang memang dah usang tu tercabut sendiri. Hampir terloncat juga jantungnya mendengarkan bunyi pintu pagar yang tercabut secara tiba-tiba. Setelah memastikan tiada apa-apa lagi akan berlaku, dengan lafaz basmalah di dalam hati Qarizh melangkah masuk ke halaman banglo.

Setelah berjalan sepuluh langkah, kini dia berdiri betul-betul di hadapan pintu utama. Sekali lagi perkara seram berlaku padanya apabila belum sempat dia menekan loceng, pintu utama tiba-tiba terbuka lalu muncullah seorang wanita cantik dalam usia 35 tahun di muka pintu. Wanita itu nampak elegan dalam sepersalinan kebaya hijau dengan rambutnya bersanggul kemas tetapi sayangnya tiada secalit senyuman pun terukir di wajah ayu itu melainkan pandangan penuh curiga.

"Siapa kau?" soalnya dua patah.

Qarizh memandang atas bawah gerangan wanita ini. Tertera di tag nama wanita itu perkataan 'Mona'. Analisa pertama yang menyinggah di benak Qarizh pada masa itu ialah wanita bernama Mona ni cantik orangnya tapi sayang perangai pun pelik macam si Aralyn juga. Pada zaman ni, ada lagi ke perempuan pakai kebaya kalau bukan pada majlis rasmi atau musim perayaan?

"Assalamualaikum. Boleh saya jumpa Cik Aralyn?" tanya Qarizh dengan mendatar. Sebetulnya, dia tidak mahu bertemu dengan Aralyn tapi itulah, sudah terlanjur berjanji dengan Pak Su memang tak boleh nak tarik balik dah. CGP Karim tu sejenis manusia yang berpegang pada prinsip lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Nak mungkir janji? Tunggu la surat cinta datang berlari-lari dengan bahagianya kepada engkau. Memikirkan hal itu, Qarizh berasa seram sejuk!

"Sekejap..." balas Mona lantas berlalu masuk ke dalam rumah lalu meninggalkan Qarizh terkulat-kulat seorang diri di muka pintu.

"Prof..." Tiba-tiba, Qarizh terasa belakangnya dicucuk dengan sesuatu. Hampir saja dia mahu membanting penyucuk senyap di belakangnya jika tidak kerana pencucuk itu terlebih dahulu mengelak ke belakang dengan tangan disilang di muka.

"Amirul!" tekan Qarizh dengan garang.

"Prof sabar Prof," rayu Amirul sambil tersengih dalam takut. Takut pula dia melihat wajah menyinga profesor di depannya itu.

Qarizh mendengus kasar melihat Amirul yang tiba-tiba muncul di belakangnya. Halimunan ke apa budak ni bila tiba-tiba sahaja muncul tanpa amaran?

Bagai memahami kerutan di wajah Qarizh, Amirul menunjuk kepada basikalnya yang disandar elok di kereta Nissan Skyline GT-R 35 berwarna hitam milik Qarizh dengan muka tidak bersalah beserta dengan sengihan lebar sengaja ditayangkan buat profesor muda itu. Ya, dia tahu kereta itu ialah kereta kesayangan Qarizh tapi apakan daya basikalnya sekarang tercabut tongkat. Nak disandar pada pagar, risau pagar runtuh jadi tempat pilihan terbaik untuk menyandarkan basikalnya ialah kereta sport milik Qarizh la jawabnya.

Qarizh memandang Amirul kecil besar kecil besar je sekarang ni dan darahnya juga tiba-tiba terasa mendidih. Apakah dosaku ya Allah sehingga hidupnya asyik dipertemukan dengan manusia-manusia pelik je semenjak dua menjak ini? Qarizh meraup muka lalu cuba tersenyum walaupun tidak ikhlas bagi menutup rasa hatinya yang mahu saja menerajang budak Amirul di depannya ini yang asyik tersengih bagaikan kerang busuk.

"Ehem, maaf Cik Aralyn tidak available sekarang," kata Mona yang tiba-tiba muncul tanpa sebarang bunyi orang berjalan.

Qarizh mengangkat kening lalu memandang Mona dengan lama sehinggakan memaksa wanita itu menunduk memandang ke lantai.

"Perempuan tu pergi ke mana?" tanya Qarizh dengan dingin sambil hatinya cuba disabarkan. Lepas satu, satu masalah yang datang. Nasibnya hari ini memanglah malang bagai jatuh ditimpa tangga. Dek kerana kesabaran yang semakin menipis, tembok aisnya juga semakin mencair lalu panggilan Cik Aralyn ditukar kepada 'perempuan' sahaja.

"Err..." jawab Mona dengan serba salah.

Previous: Bab 4b
Next: Bab 5b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.