Home Novel Thriller/Aksi Dia... Aariz Iktizar
Dia... Aariz Iktizar
Angel_k20
21/10/2020 11:57:19
1,214
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 5

"Ya Allah, umi dah cakap kan... duduk jelah kat rumah umi. Ini tak, nak juga duduk jauh-jauh. Ni bila dah jadi begini, umi juga yang kena datang dari jauh untuk jenguk kamu. Haih kamu ni Amra..." Kedengaran suara seorang wanita dalam lingkungan separuh abad membebel.

Aariz mencelikkan mata. Agak kuat juga suara bebelan wanita tersebut sehingga kedengaran di telinganya lalu sedikit sebanyak membawanya ke alam sedar. Imej pertama yang terzahir di matanya ialah siling putih. Buntu, di manakah dia berada sekarang ini? Matanya diliarkan pula ke sekeliling lalu pandangannya tertancap pada rod besi yang menggantungkan sebotol botol IV drip. Tangannya kirinya yang bertampal branula diangkat separa muka lalu tanpa suara, keluhan kecil terbit daripada mulutnya. Confirm, hospital.

Nasal cannula yang dipasang pada hidungnya pula disentuh perlahan. Alat perubatan yang membekalkan oksigen kepadanya itu benar-benar mengembalikan nostalgia lama yang seboleh-bolehnya mahu dikuburkan mampat ke dasar memori. Sirih pulang ke gagang, itu peribahasa yang  paling tepat untuk menggambarkan keadaan dirinya yang kembali terlantar lemah di katil hospital.

Zret...

"Alhamdulillah, kau dah sedar Dark," ucap Light.

Jejaka tampan berkulit sawo matang itu menarik sedikit kain langsir yang memisahkan katil Aariz dengan katil sebelah lalu masuk ke ruangan tersebut sambil menjijit beg plastik. Senyuman kelegaan terukir di wajahnya yang ditumbuhi jambang halus dan dicukur rapi.

"Apa yang jadi?" tanya Aariz lalu perlahan-lahan bangun dari pembaringannya. Postur badan dibetulkan sedikit agar lebih selesa untuk bercakap. Nasal cannula yang agak membataskan pergerakan mulutnya juga dicabut perlahan. Dia sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen.

"Doktor cakap kau kena Phantom Pain. Entah, aku pun tak tahu sangat istilah medik ni. Tapi jangan risau, kau boleh terus discharge hari ni," jawab Light sambil membuka penutup botol air mineral.

"Nak air?" tanyanya lalu menyuakan botol air yang sudah dibuka penutupnya.

"Tak apa, kau minumlah," tolak Aariz dengan tenang. Beruntung dia mendapat partner yang baik macam Afiq Taqiuddin ini, sangat memahami orangnya.

"Kau betul-betul dah rasa okey? Ada rasa sesak nafas lagi tak? Ada rasa tak selesa?" soal Light lagi bertalu-talu. Lagaknya ini memang seperti mak-mak, sebiji dengan suara membebel di katil sebelah.

"Aku dah okey, jangan risau," balas Aariz sambil tersengih. Aduhai, Light!

Light dilihat menganggukkan berpuas hati dengan jawapannya. Huh, lega hatinya melihat jejaka itu diam juga akhirnya.

"Ehem. Apa ni Amra... kan abi dah pesan jangan duk teringatkan hal tu lagi." Kali ini, kedengaran pula suara garau milik seorang lelaki membebel pula kepada empunya diri di katil sebelah.

"Ala abi... Rara tak salahlah. Rara cuma jumpa client, lepas tu Rara nampak bodyguard client Rara tu, lepas tu bila Rara balik office, terus jadi begini. Rara pun tak tahu kenapa Rara sakit," balas satu suara kecil pula. Perempuan. Nadanya lebih kepada merengek membela diri daripada amarah bercampur geram orang yang dipanggil 'Abi'.

'Client? Bodyguard?' detik hati Aariz. Lantas, perbualan anak beranak di katil sebelah dicuri dengar.

Bukanlah niatnya mahu menjaga tepi kain orang, tetapi dua patah perkataan client dan bodyguard itu sangat memacu minatnya untuk mengetahui lebih lanjut isi perbualan. Lagipun, suara si gadis tu macam Cik Amra. Tapi, takkanlah? Entah...

"Umi tak kira. Hujung minggu ni Rara mesti balik rumah umi. Biar umi je yang jaga Rara." Kedengaran pula suara milik wanita pertengahan abad tadi meningkah. Penuh dengan kuasa veto saja nadanya, seram.

"Ala umi... abi... Rara..." rengek si gadis katil sebelah.

'Rara,' panggil hati Aariz.

Damai saja hatinya menyebut sepatah perkataan tersebut. Walaupun dia tidak pasti sama ada gadis di katil sebelah itu betul-betul si garang Cik Amra, namun bagai ada satu rasa halus yang menembusi sanubari lalu menyentuh lembut tangkai jantungnya. Dup dap. Senyuman nipis akhirnya terbit pada bibirnya yang sihat tidak pernah disentuh oleh puntung rokok. Nice nickname, Rara. Tapi, tak mungkinlah kau Cik Amra.

"Hoi, kau dah kenapa senyum sendiri ni?" tegur Light. Berkerut mukanya melihatkan kawannya ini tiba-tiba tersenyum sendiri.

"Tak ada apa, saja teringatkan perkara lucu," jawab Aariz sambil mengulum senyum.

Rara. Kau adalah aku. Itu janji sehidup semati antaranya dengan rakan sepermainannya di Darul Hikmah. Ketika itu, dia berusia 12 tahun dan Rara pula berusia 10 tahun. Ibu bapa Rara merupakan aktivis yang selalu menyalurkan bantuan kepada Darul Hikmah di samping mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik untuk anak-anak yatim di situ.

Sejujurnya, dia agak terkejut melihat apabila melihat pegawai pemasaran yang berurusan dengan Dato' Sani yang dipanggil Cik Amra. Rupa gadis garang itu memang ada iras Rara ketika kecil. Cantik dan comel saja tuannya. Tapi, Rara sudah menghilang sejak berbelas-belas tahun dahulu tanpa khabar berita. Betapa pilu hatinya menunggu kedatangan Rara sehari-hari, namun penantiannya bagaikan menunggu buah yang tidak gugur. Sia-sia.

Mengenangkan hal itu, senyuman ditarik lagi tetapi kali ini penuh dengan kepelikan melanda diri. Jika benar Cik Amra itu Rara, kenapa gadis itu baru muncul dalam hidupnya setelah sekian lama waktu berlalu? Apa sebenarnya yang berlaku kepada gadis itu? Ke manakah gadis itu menghilang selama ini? Dia buntu.

Pap.

Aariz merasakan dahinya tiba-tiba sejuk seperti ditekap dengan sesuatu. Terzahir di matanya figura Light yang memandang dirinya dengan raut wajah risau. Tangan jejaka yang dilekapkan pada dahinya, berasa agak sejuk.

"Kau macam tak okey, Dark!" kata Light lalu menjarakkan tangannya dari dahi Aariz. Aariz pada matanya seperti berada di awang-awangan, tenggelam dalam larut fikiran yang mendalam.

"Aku dah okeylah," balas Aariz.

"Okey apanya kalau mula-mula senyum bahagia lepas tu nampak senyum sedih pula. Aku takut kau mental..." jawab Light, selamba.

"Cabul la mulut kau ni, tak baik. Jaga lidah tu, sebab kata-kata adalah doa," pintas Aariz. Sempat tegahan berupa pesanan diselitkan sekali. Manusia kan, selalu lupa?

Light mendengus tidak berpuas hati. Tengok, dia takkan menang punya kalau berdebat dengan Dark yang seorang ini. Apalah nasibnya pada misi kali ini diregukan dengan Dark, tidak bolehlah dia mahu bermulut lepas. Haih, geng pak-pak ustaz betul si Aariz ni! Oh ya tak ya juga, arwah ayah Aariz ni seorang imam dahulu, pantas saja anaknya ini menurun perangai baiknya.

Walaupun begitu, Light tetap ingin menambah perencah rasa lagi dalam berhujah dengan Dark. Namun, belum sempat dia membuka mulut tiba-tiba langsir yang memisahkan dua katil yang menempatkan Aariz dan gadis itu diselak kasar. Berkerincing bunyi bebola besi yang disangkut langsir di rod, namun mata mereka semua lebih tertumpu kepada empunya diri penarik kain langsir.

Zret...

Seorang wanita bertudung warna krim cair dan berkaca mata petak serta berkot putih labuh berdiri tegak di pertengahan antara dua katil tersebut Aariz dan Khayra. Keadaan doktor wanita itu nampak teruk dengan riak wajah yang sememeh dibasahi air mata. Pipi dan hidungnya sembap merah, mungkin akibat terlalu lama menangis.

Kiri dan kanan. Doktor itu memandang Aariz dan si gadis di katil sebelah silih berganti bagai tidak mahu berhenti. Seorang jururawat yang agak berisi dilihat berjalan terkedek-kedek ke arah doktor tersebut dengan lagak semput, tercungap-cungap nafasnya dek mengejar langkah panjang si doktor.

"Kak Maria, adoilah cepatnya akak berlari," bebelnya lalu berhenti di belakang doktor itu. Semput, ya. Itulah pentingnya exercise agar badan kekal sihat.

"Er... doktor ni siapa?" tanya si gadis katil sebelah.

Oh, ya. Aariz hampir terlupa untuk melihat rupa paras gadis yang dipanggil oleh kedua-dua orang tuanya 'Rara'. Matanya yang terfokus kepada doktor yang tiba-tiba menerjah dihalakan pula kepada si empunya diri di katil sebelah. Namun, hasilnya sangat mengejutkan.

'Shoot. Kenapa Tuan Walid ada di sini?' Aariz terpempan.

"Dark!" tegur lelaki separuh abad, abi kepada Rara. Muka Tuan Walid juga berkerut hebat, pelik barangkali kenapa anak buahnya boleh terlantar di katil hospital. Aneh!

"Tuan," jawab Aariz perlahan. Segalanya pusing! Apa semua ini?

"Abi kenal this guy?" tanya Khayra kepada ayahnya. Pandangannya dihalakan kepada abi dan Aariz silih berganti.

"Ya, Dark ni anak buah abi," jawab Tuan Walid lalu mengusap perlahan kepala anak gadisnya.

Aariz menarik senyuman nipis, senipis hatinya dalam mendeduksi apa yang berlaku sebenarnya. Rara... memang betul aku tidak tersalah orang. Dunia ini kecil saja rupanya. Kau, memang Cik Amra. Kau, gadis garang yang pertama berani menumbuk hidung Dato' Sani. Ini bermakna, kau dalam bahaya Nur Amra Khayra!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.