Home Novel Thriller/Aksi Hi, Encik Professor!
Hi, Encik Professor!
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
36,939
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2b

Tiba-tiba, pintu pejabatnya dikuak kasar disertai dengan istighfar panjang dari seorang lelaki separuh abad berkaca mata bingkai hitam. Pakaiannya juga kemas dengan berkot hitam dan menjinjit sebuah briefcase. Kedatangan mengejutnya ke pejabat anaknya yang terletak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur itu hanyalah rutinnya setiap 3 bulan untuk memastikan anak perempuannya itu tidak melakukan perkara yang bukan-bukan.

"Astaghfirullahalazim... kamu ni dah kenapa Awliya?" sergah Dato' Hisham dengan muka berkerut.

Aralyn yang sedang menjerit tadi tertahan jeritannya sehinggakan menimbulkan suara decitan. Sempat matanya mengerling kepada Mona, Jacky dan Riyad yang sedang ketawa terkekek-kekek di meja masing-masing.

"Kurang asam," dengusnya perlahan tapi mukanya sengaja dimaniskan apabila terpandangkan wajah serius papanya.

Aralyn bangun dari sofa lalu menyalami tangan papanya. Agak lama dah sebenarnya dia tidak balik ke rumah, sebab itu kot papa mencarinya di pejabat. Macam biasalah, bila banglo dijadikan pejabat memang tak la dia nak balik ke rumah yang jauh nun di Puncak Alam sana. Membazir minyak kereta je.

"Ada apa papa datang ke sini?" tanya Aralyn sambil tersengih-sengih.

Sempat matanya meliar ke serata arah biliknya. Mukanya yang  cemberut tadi bertukar menjadi serba salah apabila menyedari ruang tempatnya 'berguling' tadi kelihatan seperti tongkang pecah. Mukanya perlahan-lahan ditundukkan menekur lantai lalu hujung tudungnya digentel perlahan.

"Anak dara apa kamu ni hah Awliya? Bersepah sana sini. Ni kalau pelanggan datang mahunya diorang angkat kaki tak toleh kiri kanan dah," bebel Dato' Hisham dengan geram.

Panas pula hatinya hari ni. Dah la tadi dia terima arahan dari ketua pengarah universiti yang mahukan kes pembunuhan pelajar di universiti itu diselesaikan segera, lepas tu dia terima pula panggilan dari kawan lamanya yang memegang jawatan ketua polis negara yang mengatakan kes itu diserahkan kepada Aralyn Awliya. Terdengar je sebaris nama tu disebut, serta merta darahnya mencanak naik. Kenapa antara ramai-ramai profiler penjenayah, anaknya juga yang menjadi pilihan polis tua itu?

"Papa..." Aralyn menarik-narik hujung tali leher papanya dengan membuat muka comel dan matanya sengaja dikelip-kelip.

Dato' Hisham menarik nafas panjang lalu istighfar diulang lagi di dalam hati. Berurusan dengan anak daranya yang seorang ni memang memerlukan kesabaran yang tinggi setinggi Gunung Everest!

"Yelah, papa datang sini nak cakap dengan Awliya sikit," kata Dato' Hisham lalu meletakkan briefcasenya di atas meja kopi.

Kotnya juga ditanggalkan lalu dihamparkan ke sofa. Cermin matanya juga dicabut lalu dengan tangan kanan, dia mengurut pelipis. Aralyn yang melihat reaksi papanya yang berada agak tidak selesa segera memicit kepala lelaki itu.

"Hmm..." Dato' Hisham memejam sambil mata menikmati kelembutan urutan kepala dari anak daranya.

Kelembutan urutan itu memang sama rasanya dengan cara urutan arwah isterinya yang telah meninggal dunia 2 tahun lalu akibat lemas di pantai Port Dickson. Kini, pantai itu menjadi satu igauan ngeri yang sampai sekarang dia mengharamkn dirinya sendiri dari menjejakkan kaki ke situ.

"Papa datang sini sebenarnya... kenapa?" dengan berhati-hati, sekali lagi dia menanyakan tujuan sebenar papa datang menemuinya.

Dato' Hisham membuka mata lalu keluhan berat terbit dari bibirnya. Dengan perlahan, dia menarik tangan Aralyn lalu mengisyaratkan agar gadis itu duduk di depannya.

"Awliya... handle kes pembunuhan pelajar di universiti tempat papa mengajar kan?" tanya Dato' Hisham dengan serius.

"Ya papa..." jawab Aralyn.

"Papa tak setuju," kata Dato' Hisham dengan tegas.

"Kalau kes lain, ya tak apa papa boleh consider tapi untuk kes ni, serius Awliya, papa tak setuju kamu handle," sambungnya lagi dengan lebih jelas kerutan di dahinya.

Aralyn menjongketkan kening apabila melihatkan gerak laku papanya. Jarang papanya berlakuan sedemikian jika dia mengelola sesuatu kes berat.

"Kenapa papa?" tanya Aralyn sambil memandang papanya yang semakin lama kelihatan semakin gelisah dan keluhan kasar juga semakin banyak terluah dari mulutnya.

"Awliya tahu tak siapa pelajar yang kena bunuh tu?" tanya Dato' Hisham.

"Ya, Awliya tahu. Dia anak pengarah universiti tu kan? Sebab tu kes jenayah berprofil tinggilah CGP Karim minta Awliya selesaikan kes ni," balas Aralyn dengan selamba.

"Kalau Awliya dah tahu, kenapa Awliya terima? Awliya sepatutnya tahu yang kes berprofil tinggi macam ni macam-macam benda boleh jadi," marah Dato' Hisham.

Aralyn terdiam melihatkan aura kemarahan papanya yang kelihatan bila-bila masa sahaja akan meletup. Bukan dia yang mahu terima, tapi CGP Karim tu yang paksa dia terima kerja ni. Kata ketua polis negara tu lagi, Aralyn adalah profiler yang paling sesuai untuk handle kes berat macam ni memandangkan dia mempunyai team yang lengkap berbanding orang lain.

Team Aralyn mempunyai Mona, gadis peguam yang bertindak sebagai pemudahcara dan jurucakap profesional. Riyad, si jurnalis yang sangat pakar dalam mengorek maklumat dan mengumpul hasil kajian. Tidak ketinggalan Jacky, ahli forensik yang juga pakar kejuruteraan biologi dan kimia. Jadi, apa lagi yang tak cukup dengan team dia ni?

"Awliya..." Aralyn berjeda. Gerun melihatkan mata mencerlung papanya yang memandangnya bagai nak telan.

Dato' Hisham melepaskan keluhan berat sekali lagi lalu dia bangun dari sofa dan mencapai briefcasenya. Lambat-lambat, dia berjalan ke pintu lalu berpaling kepada Aralyn.

"Papa minta maaf marahkan Awliya tadi. Walau apa pun yang berlaku, Awliya kena ingat yang papa sentiasa ada untuk Awliya," kata Dato' Hisham dengan suara mendatar.

"Oh ya. Disebabkan Awliya akan menyiasat kes di universiti papa dan kes ini sangat bahaya, papa dah assign seorang partner untuk Awliya. CGP Karim pun dah setuju dengan keputusan papa, jadi harapnya Awliya berbaiklah dengan partner baru tu," katanya lagi sambil tersenyum tawar.

Dia memandang Aralyn yang nampak terkejut dengan keputusan memandai-mandainya tadi. Aralyn akan marah ke? Ah, lantaklah!

"Papa..." tekan Aralyn dengan geram.

Dia geram apabila ada orang suka masuk campur urusannya biarpun orang itu ialah papanya sendiri. Dia dah besarlah, takkan papa nak kongkong dirinya macam budak kecil?

"Dah, tak payah nak buat muka macam beruk tertelan lemon. Hodoh sangat tahu?" ujar Dato' Hisham lalu berlalu keluar dari bilik itu dan meninggalkan Aralyn yang wajahnya sudah bertukar menjadi kemerah-merahan akibat menahan geram!

"Ahhhhh!" jerit Aralyn sekuat hati lalu menyepak-nyepak sofa sekuat hatinya.

"Kamu ni dah kenapa?" Dato' Hisham menjengulkan kepalanya ke muka pintu lalu menyergah garang.

Erk!

Aralyn terkulat-kulat melihat figura papanya yang masih berada di muka pintu. Dalam malu, tangannya menggosok belakang tengkuk sambil bibirnya ditarik agar tersenyum walau nampak agak kekok dan tidak menjadi.

"Hehehe..." Aralyn ketawa serba salah dan termalu sendiri.

Malu siot papa melihat aksinya yang tak nampak macam perempuan sejati lagi ayu. Habis terbongkar rahsianya selama ni dan mengenangkan hal tu, Aralyn rasa mahu menghantukkan saja kepalanya di bucu dinding.

Dato' Hisham menggeleng kepala melihatkan ulah anak daranya yang tidak pernah nak elok kelakuannya. Umur saja dah 26 tahun tapi perangainya ya Rabbi... macam kanak-kanak tak cukup umur. Kalau macam ni lah perangainya, lelaki malang manalah yang lucky sangat akan memperisterikan Aralyn ni?

"Papa lupa nak cakap yang mulai esok, Awliya akan masuk mengajar pelajar kursus Psikologi," kata Dato' Hisham dengan tenang.

Aralyn yang mendengar kata-kata papanya terus terasa dirinya berada di awang-awangan tidak jejak tanah. Gelap masa depan!

"Aku? Pensyarah? Mati la aku..." Aralyn terhenyak ke sofa.

"Satu lagi, Awliya akan assist kelas Profesor Madya Dr. Qarizh Zahwan," kata Dato' Hisham lagi.

Aralyn yang bagai terlorot ke sofa bagai jeli lembik itu terus tertegak badannya apabila terdengar nama itu disebut oleh papanya.

"Profesor Madya Dr. Qarizh Zahwan?" tanyanya dengan teruja.

Dato' Hisham yang melihatkan reaksi energetic Aralyn terus mengerutkan dahi. Aralyn memang sejak dulu lagi tak nak jadi pensyarah seperti dirinya yang memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Undang-undang. Nama saja ada Master of Criminal Justicedari Universiti Malaya tapi sijil sarjana itu dia simpan buat pekasam. Gadis itu lebih suka bekerja sendiri dengan menubuhkan agensi penyiasatan persendirian dan menerima kes yang tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis.

Tetapi, apabila melihatkan kepada cara Aralyn yang tadi nampak macam aiskrim cair tapi sekarang bertukar menjadi macam heroin yang dah tak sabar-sabar ke medan perang, timbul kemusykilan di benaknya. Dah kenapa dengan Aralyn Awliya seorang ni?

"Okey, papa," jawab Aralyn sambil tersenyum manis lalu melambai kepada papanya yang beransur beredar dari pejabatnya.

Dengan senyuman sinis tersungging di bibir, Aralyn merenung meja lalu tersengih panjang.

"Profesor Madya Dr. Qarizh Zahwan ya? Aku akan buatkan kau jadi 'kawan' aku," bisik Aralyn lalu ketawa jahatnya bergema memenuhi ruang pejabat.




> bersambung



P/s:

- Karya ini juga boleh dibaca di Wattpad: ID: Angel_k20

- Jika ada salah silap mohon dikomen agar Angel dapat memperbaiki lagi mutu penulisan.

- Kata-kata semangat amatlah Angel alu-alukan.


Terima kasih.

Previous: Bab 2a
Next: Bab 3a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.