Home Novel Thriller/Aksi Hi, Encik Professor!
Hi, Encik Professor!
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
36,811
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4b

Aralyn melemparkan sengihan lalu dengan muka tidak bersalah, dia bangun lalu mencapai beg galasnya lantas menapak ke pintu. Namun, belum sempat langkahnya dibuka luas, dia terasa dirinya melangkah setempat. Pintu yang ingin dituju terasa tidak dekat-dekat!

"Kau nak pergi mana, Cik Tunang Abang Sayang hah?" bisik Qarizh dengan senyuman jahat menghiasi bibir.

"Erk! Encik Tunang Abang Sayang?" Aralyn terasa tekaknya seperti tertelan batu.

Bulu romanya tiba-tiba terpacak dengan suara seksi Qarizh yang terasa begitu dekat dengan telinganya. Tekaknya yang sedia rasa tertelan batu itu tiba-tiba pula terasa payau ditambah pula dengan air liur tiba-tiba terasa terlekat di kerongkong. Dia ingin berpaling ke belakang tapi tidak boleh!

"Kita ada hutang yang belum diselesaikan. Jadi sayang, jom ikut Encik Tunang awak ni," bisik Qarizh lagi lalu menggenggam baju kot berserta beg yang tergalas di bahu Aralyn lantas menyeret gadis itu dari arah belakang agar mengikutinya berjalan.

Meronta pun tidak guna bila cengkaman jejaka tegap itu pada belakang baju kotnya itu sangat kejap. Jadi, mahu tidak mahu Aralyn terpaksa berjalan dengan mengundur ke belakang dengan redha. Itulah, siapa suruh cari pasal dengan bapa singa tu? Aralyn... terpaksa mencari jalan lain untuk mengenakan balik si Qarizh!

*******************

Kira-kira pukul 6 petang setelah Aralyn sampai di pejabat G.O.L, dia menerima panggilan cinta dari CGP Karim yang mahu dia menyiasat pula kes terbaru yang melibatkan perogol dan pembunuh bersiri. Sudahlah kes pembunuhan anak pengarah universiti tu pun tidak selesai lagi, kini tambah pula kes terbaru. Kaya betul Aralyn nanti bila dapat upah. Dia mahu menolak kes ini sebab sekarang ni pun kepalanya terasa mahu meletup gara-gara si bapa singa kutub utara selatan, tapi macam biasa dia terpaksa tunduk akur dengan permintaan ketua polis negara itu.

Sekarang, inilah hasilnya apabila panjang sedepa muncung Aralyn sepanjang perjalanan ke tempat kes pembunuhan yang baru diterimanya sebentar tadi. Jacky yang tenang memandu di sebelahnya dipandang penuh geram dan tidak puas hati. Jacky tidak bersalah tapi disebabkan Jacky juga dari spesies lelaki, maka nak tak nak Jacky kena bersalah juga!

'Apa? Encik Tunang Abang Sayang? Gila apa?' omel hatinya sambil pandangannya dibuang ke luar tingkap.

Hatinya mendongkol geram dengan lagak profesor muda yang bermuka penuh menjengkelkan itu. Sudahlah tadi dia terpaksa berjalan mengundur ke belakang dari dewan kuliah sampai ke pejabat profesor tu, lepas tu pula sepanjang perjalanan dia terpaksa hadap mata-mata nakal para pelajar yang memandangnya sambil tersenyum-senyum. Entah apa yang difikirkan oleh mereka, entah dia malas nak menebaknya.

Stret... kreak!

Bunyi perlahan decitan tayar disertai dengan hand brake diangkat menyedarkan Aralyn dari lamunannya yang penuh sadis lagi kejam. Profesor Madya Dr. Qarizh Zahwan benar-benar mencabar kesabarannya pada hari ini. Dia tidak dapat bersabar lagi! Dalam geram tanpa sedar, kakinya menyepak dashboard kereta sekuat hati.

Bam!

"Opocot Lin Long Lang Ling!" Jacky termelatah sambil terjoget opera Cina.

"Cik!" marah Jacky apabila dia tersedar dari melatahnya. Namun, marahnya itu sia-sia saja apabila dia menyedari Aralyn sudah tiada di dalam kereta. Entah bilalah gadis itu keluar dia pun tidak pasti. Jacky menyumpah di dalam hati.

"Cik Aralyn. Cik!" jerit Jacky sambil kakinya laju melangkah masuk ke dalam bangunan tinggal today siap itu. Dalam melangkah, hatinya mengomel geram. Dah la sekarang waktu menunjukkan pukul 4.30 pagi,  Aralyn ni pun seorang jenis awal-awal tak nak pergi ke lokasi kejadian. Katanya, awal-awal mana thrill! Buat kali kedua, Jacky menyumpah lagi dalam hati sambil kakinya tetap laju berjalan bagi mencari gadis degil itu.

Ktang!

Bunyi seakan orang tersepak besi disertai dengan jeritan kecil segera memacu debaran di hati Jacky. Tanpa berlengah lagi, dia terus berlari laju menaiki anak tangga untuk ke tingkat dua. Sesekali, langkahnya tersadung wayar dan batu bata yang berselerak di bangunan tinggal belum siap itu.

"Cik Aralyn!" jerit Jacky lagi dengan nafas termengah-mengah. Sejujurnya, dia hairan macam manalah gadis kecil molek itu sangat bertenaga dan aktif selepas jam 3 pagi. Mungkin, kesan dari gadis itu tidur awal seawal jam 9 malam selepas solat Isyak dan bangun awal pagi untuk bertahajjud. Lagipun, ada kajian yang mengatakan waktu itu adalah waktu tidur yang terbaik untuk 'mengecas' semula tenaga yang hilang setelah berhempas pulas bekerja di waktu siang.

"Jacky, kat sini!" laung Aralyn dari tingkat tiga.

Jacky mendengus di dalam hati tapi dalam masa yang sama bersyukur kerana Aralyn tidak apa-apa. Lantas, langkah kakinya diorak naik ke tingkat tiga dengan berbekalkan lampu suluh dan juga sebotol luminol.

Menurut maklumat yang diberi kepada Aralyn, pembunuhan itu bukan berlaku di kawasan bangunan tinggal ini tetapi kawasan perumahan. Namun, berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh Riyad, besar kemungkinan mangsa dibunuh di bangunan ini terlebih dahulu sebelum mayat mangsa disimen di dinding rumah di salah sebuah rumah di kawasan perumahan. Mayat  mangsa dijumpai oleh pihak polis apabila menerima aduan dari seorang suri rumah yang mengadu terdapat bau busuk di rumahnya yang baru seminggu diduduki.

"Bagi aku luminol tu," arah Aralyn kepada Jacky.

"Tak payah, biar aku je yang buat," balas Jacky sambil memakai sarung tangan getah lalu menyembur luminol di tempat yang ditunjukkan oleh Aralyn.

Sebaik sahaja luminol disembur oleh Jacky, maka muncullah cahaya biru di tempat yang disembur. Aralyn tersenyum kemenangan sambil tangannya laju memetik butang kamera untuk mengambil gambar cahaya biru yang muncul di permukaan simen dan dinding di tingkat tiga itu. Apapun, itu bukti yang jelas bahawa kawasan tersebut berkemungkinan besar adalah lokasi sebenar kejadian pembunuhan itu berlaku kerana luminol yang disembur pada permukaan yang mengandungi surihan darah memang akan menghasilkan partikel cahaya biru.

"See Jacky? Apa aku cakap tak pernah salah," kata Aralyn sambil tersenyum bangga.

"Yelah Cik. Tutup sikit kembang hidung tu nanti masuk nyamuk," balas Jacky sambil menjulingkan matanya ke atas. Aralyn dan bangga dirinya tu alahai... sebati dah dalam hidupnya.

Puk!

Aralyn menyepak perlahan betis Jacky sambil menjengilkan matanya. Antara Mona, Riyad dan Jacky, Jackylah staf yang paling berani bergurau dengannya. Nak buat macam mana, jejaka berketurunan Tiong Hua tu memang tak beli insuran mulut!

Jacky hanya mencebik lantas berjalan turun ke bawah. Lagipun, cahaya biru yang terhasil dari semburan luminol tadi pun dah hilang 100% kerana chemiluminescence atau cahaya biru itu hanya bertahan selama 30 saat sahaja.

"Weh tunggu la aku," jerit Aralyn sambil terkocoh-kocoh berlari mengejar langkah Jacky.

Wuk! Wuk! Wuk!

"Oh mak kau ekor tercabut!" Jacky terlatah buat kali kedua.

Bunyi salakan anjing terasa begitu dengan mereka berdua. Aralyn yang terkejut dengan bunyi salakan anjing ditambah pula dengan latahan Jacky terus memeluk tubuhnya dan mengusap lengannya yang terasa berdiri bulu roma. Takut-takut, dia mendekatkan dirinya kepada Jacky.

"Jacky, kau rasa tak apa aku rasa?" bisik Aralyn sambil matanya meliar ke serata arah. Suasana gelap sangat menyukarkannya melihat dengan jelas dan dia terasa bagai ada sesuatu yang memerhatikan mereka berdua serta benda itu tersangatlah dekat.

Grrr...

Pendengaran mereka berdua menangkap bunyi deraman dan masing-masing sudah mula kecut perut. Aralyn dan Jacky keduanya sudah terasa lemah lutut dan tidak mampu bergerak.

"Cik, bila aku kira sampai tiga, kita terus lari eh?" bisik Jacky dengan perlahan dan hampir tidak kedengaran suara. Melalui cahaya bulan purnama yang samar-samar menembusi tingkat bawah bangunan itu, jelas terpampang di depan matanya seekor anjing baka Rottweiler berwarna hitam berkilat  dengan air liur berjejeran sedang memandang mereka berdua dengan pandangan ganas dan menanti masa sahaja untuk menerkam.

"Satu..." kira Jacky.

"Dua..." kata Jacky lagi.

"Cik lari!" pekik Jacky lantas membuka langkah seribu meninggalkan Aralyn yang masih terpinga-pinga sendirian. Jacky tidak sedar yang dia tidak sebut kiraan nombor tiga!

"Aaaaa!" jerit Aralyn sekuat hati apabila menyedari anjing hitam itu mula menerkam ke arahnya dengan garang!

"Heh, cengeng!" laung satu suara disertai dengan bunyi tujahan angin yang terhasil dari bidikan anak panah.

Zup!

Sebatang anak panah berukuran 8 inci tiba-tiba terpacak kukuh di tengkuk anjing hitam lalu dengan perlahan-lahan, anjing itu tersungkur betul-betul di hadapan Aralyn. Aralyn yang matanya masih basah dengan air mata ketakutan terus meliar mencari arah bidikan anak panah dilepaskan.

Melalui biasan cahaya rembulan yang menerobos masuk ke tingkat dua, Aralyn dapat melihat satu figura lelaki berpakaian serba biru dan bertopeng merah dengan ukiran helang sedang memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Di tangan kiri lelaki yang berketinggian lebih kurang 182 cm itu, terpegang kukuh sebusur panah bersaiz mini dan di tangan kanannya pula terdapat sebilah anak panah berukuran lebih kurang 8 inci.

"Si.. siapa kau?" tanya Aralyn dengan takut-takut dengan matanya tetap bersiaga memandang lelaki itu. Manalah tahu kalau lelaki itu tiba-tiba memanahnya pula kan? Orang jahat zaman sekarang macam-macam diorang boleh buat.

"Aku... The King," jawab lelaki itu dengan dingin lalu menghilang di sebalik kegelapan malam.
Previous: Bab 4a
Next: Bab 5a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.