Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
451
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Prolog

MALAPETAKA melanda pada tahun 2100, mengakibatkan jutaan nyawa di seluruh dunia terkorban dalam peristiwa terdahsyat dan mengerikan itu. 

Kehancuran yang berlaku turut melenyapkan seluruh tamadun menjadi tanah yang rata tanpa bangunan pencakar langit lagi. Namun, sebahagian besar daripada populasi berjaya diselamatkan dengan bantuan teknologi kapal selam Savior yang mampu menampung kapasiti 50,000 orang penumpang dalam sebuah kapal. Daripada 100 buah kapal Savior itu, hanya 75 buah yang terselamat mengharungi segala malapetaka di seluruh dunia. 

 Berakhirnya bencana besar, para survivor kembali ke daratan dan meneruskan perjuangan untuk hidup. Waktu selepas itu begitu sukar, sehingga ada yang beranggapan mati itu lebih baik buat mereka. Wabak penyakit, cuaca yang tidak menentu serta kemunculan makhluk-makhluk buas menurunkan lagi angka survivor ke paras yang lebih rendah. 

Sikap manusia ketika itu memburukkan lagi keadaan. Ketamakan, dengki dan iri hati serta dendam menjadi rencah yang mencetuskan kepada lebih banyak peperangan yang mengorbankan hayat manusia. Lantaran itu, berdirilah puak-puak dan kerajaan yang bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh serta kuasa dalam era selepas kehancuran ini. 

Ratusan tahun berlalu, manusia hidup dalam sistem pemerintahan monarki yang diselubungi ketakutan dan kesedihan. Darah umpama corak seni yang memuaskan hati segelintir manusia yang ghairah menayang taring kekuatan. 

Di salah sebuah kerajaan yang tertubuh, ada yang bernama kerajaan Melayujiwa. Amalan kependekaran dipraktiskan demi menjadi sebahagian daripada badan kerajaan yang mengawal keamanan. Meski peperangan dan kematian tidak pernah berhenti untuk berehat dalam selubung dunia penuh kegelapan ini.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.