Home Novel Cinta Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:13:23
100
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Kampung Kubang Jawi, 2011

"SEPULUH tahun lagi, kau panggil aku Doktor Faeeq tau!" angan Faeeq sambil mengayuh laju basikal tuanya.

Selangkah kayuhannya menghampiri Nadyne Umairah, gadis itu menoleh ke arahnya, kemudian mencebik tanda menyampah. 

Semenjak di dalam kelas tadi, dia galak menyakat Nadyne Umairah atau lebih dikenali sebagai Umairah yang bercita-cita hendak menjadi seorang doktor apabila ditanya guru kelas baru mereka, Puan Mawaddah. Lalu, seharian dia menjadikan doktor sebagai modal untuk menyakat gadis cantik manis dalam kalangan rakan sekelasnya.

"Hei, perasan! Tak ingin aku!" balas Umairah, bengkak hati.

Faeeq bertambah galak lantas dengan sengaja menghimpit basikal Umairah, tetapi sekejap cuma. Apabila gadis itu terhuyung-hayang cuba mengimbangi badan dan basikalnya, cepat-cepat Faeeq meninggalkan Umairah di belakang. Kalau jatuh anak dara orang, haru!

"Kau ni memang menyakitkan hatilah, Faeeq!" jerit Umairah sambil menongkat basikal dengan sebelah kaki. 

Pandangan geram bergalur benci dihantar tepat kepada rakan sekelas yang jauh di hadapan. Kalau span, dah lama aku penyet! Rasa geram berbuku di hati.

Faeeq pula sangat seronok. Umpannya tadi mengena. Dia ingin melihat reaksi Umairah yang sakit hati lalu dia menoleh ke belakang. Benar! Reaksi itu melekat hingga ke dasar hati. Walaupun jarak mereka agak jauh, tetapi air muka bengis itu memikat.

"Gatainya!" Suara Mak Yah terngiang-ngiang di minda.

Terus Faeeq pandang ke depan, terasa tubuhnya diseret laju. Sedar tak sedar, dia dan basikalnya sudah menjunam ke dalam tali air. 

"Padan muka!" omel Umairah dengan mata kecilnya. 

Dia nampak tubuh Faeeq tercampak ke dalam tali air. Galak sangat menyakat orang, padah pada diri sendiri. Dia terus mengayuh dan hendak segera balik ke rumah, tetapi kayuhannya terhenti sebaik tiba di lokasi Faeeq terjatuh tadi.

"Nak tolong ke orang nakal macam Faeeq tu?" tanya Umairah sendirian.

Dia serba salah, sama ada hendak menolong atau tidak. Tetapi bagaimana jika Faeeq tidak pandai berenang lalu lemas? 

"Eh, mustahil! Hero Tamil macam dia tu takkan tak pandai berenang?" soalnya lagi.

Dia buat keputusan untuk terus mengayuh. Tidak cukup satu kayuhan, sebelah kakinya menongkat lagi di atas rumput. 

"Tapi, takkan lama sangat dia kat dalam air tu? Eh, jangan-jangan..." Umairah berasa sangsi.

Dia bergegas menongkat basikal lalu berlari menuju ke tebing tali air. Tayar basikal Faeeq kelihatan, namun kelibat rakan sekelasnya itu tidak pula kelihatan. 

"Lambatnya bantuan kecemasan tiba. Mana ambulans?" Suara Faeeq kedengaran dari jauh.

Umairah menoleh ke kiri, barulah dia nampak kelibat Faeeq yang sedang berenang ke sana ke mari. 

'Sakitnya hati!' marahnya di dalam hati.

"Kau ni bengong dan menyusahkan orang. Kau buat lagi macam ni, aku tampar muka kau sampai senget!" marah Umairah, tidak dapat menahan sabar lagi.

"Garangnya! Macam singa betina lapaq ayaq. Nak ayaq ka?"

"Kau sajalah yang minum air tu. Lagi bagus kalau air tu pakej minum air percuma cirit-birit, tak payahlah aku tengok muka kau seminggu kat kelas," sembur Umairah lagi, terbawa-bawa pula amarahnya.

Faeeq selamba, malah siap tersengih kerang pula. 

'Macam ni punya orang pun ada!' getus Umairah, meluat.

Dia melangkah meninggalkan tali air itu lalu kembali mengayuh basikal dengan perasaan sebal. Setiap hari, ada saja hal yang sengaja dicetus Faeeq untuk menyakitkan hatinya. Apa tujuannya?

Kata rakan sekelas yang lain, Faeeq menaruh hati padanya. Tetapi pada Umairah, itu bukan menaruh hati, tetapi menyakitkan hati! Kalau Faeeq betul-betul sukakannya, sudah lama dia meluahkan perasaan. Tetapi tak pernah pun Faeeq menunjukkan rasa suka. Yang dia selalu buat, menebalkan rasa loya dan muak Umairah. 

"Umai! Tunggulah!" Suara Faeeq kedengaran di belakang.

Tidak terlalu dekat dan tidak pula terlalu jauh. Umairah cepat-cepat mengayuh basikal. Laju dan laju hingga terasa tayar belakangnya berat dan tidak bergerak. 

Kain sekolahnya terasa tegang tiba-tiba. Dia sedar, kain sekolahnya sudah melekat di celah rantai basikal. Tetapi tidak sempat berbuat apa-apa. Basikalnya terhuyung-hayang, lalu dia pula yang terhumban masuk ke dalam tali air.

"UMAI! Umai! Bangun!" Sayup-sayup terdengar suara seorang lelaki memanggil namanya, cemas. 

Kelopak mata yang masih berpisat dikedip perlahan-lahan. Dahinya berkerut seribu, menahan panahan mentari yang tepat membakar wajahnya. Pada masa yang sama, pipinya terasa pijar bagai ditampar bertalu-talu. Perlahan-lahan, dia mencari titik persamaan pada wajah yang kabur itu.

"Kau!" jerit Umairah.

Perasaannya cepat terbakar apabila melihat Faeeq. Dia tergesa-gesa bangun hendak pulang ke rumah Wan Senah di hujung kampung. Biar telinga masih berdesing dan air bercucuran menitis daripada segenap pakaian yang basah, namun perjalanan tetap diteruskan. Tentu Wan Senah risaukan dirinya yang lewat tiba dari kebiasaan. Lewat lima minit pun bertalu-talu soalan yang perlu dijawab, inikan pula lewat setengah jam!

"Umai, tunggu dulu. Kain kau tu..." kalut Faeeq memanggil apabila melihat Umairah deras melangkah. Dia berlari ke arah basikal lalu cuba menyaingi Umairah yang sudah jauh meninggalkannya.

"Kau ni kenapa?" tanya Faeeq tidak puas hati.

Dia cuba membantu Umairah yang hampir kelemasan akibat terminum banyak air. Tetapi bagai pesalah yang sedang menunggu hukuman, bantuannya telah disalah erti.

Tentu Umairah ingat, dia cuba mengambil kesempatan. Sedangkan Umairah tidak tahu, nak mengheret tubuhnya ke atas bukannya senang. 

Umairah bukannya kurus! Remaja umur 17 tahun lebih kurang dengan wanita berusia 25 tahun. Penyudahnya, dia terkebil-kebil menghantar bayang Umairah nun jauh di sana.

Umairah yang sedang mengayuh basikal pula sibuk menyusun jawapan untuk dibentangkan kepada Wan Senah setibanya di rumah nanti. Tentu Wan Senah akan bertanya kenapa bajunya basah. Dan jika dijawab dia terjatuh ke dalam tali air, tentu Wan Senah hendak tahu sebab-musababnya pula.

"Aduh!" Umairah bertambah sakit kepala.

Penangan jatuh ke dalam tali air meninggalkan kesan sedikit sebanyak. Dengung dalam telinga masih terasa, begitu juga denyutan di kepala. Umairah rasa tidak sedap badan. Teringat pula kata-kata pahitnya kepada Faeeq ketika lelaki itu mempelawanya minum air parit.

"Kau sajalah yang minum air tu. Lagi bagus kalau air tu pakej minum air percuma cirit-birit, tak payahlah aku tengok muka kau seminggu kat kelas."

Menyesal pula dia mengeluarkan kata-kata begitu. Mudah-mudahan tidaklah sampai cirit-birit. Tak mahulah dia berulang ke jamban yang letaknya di luar rumah Wan Senah.

Dia terus mengayuh basikal membelok Lorong Haji Samad. Rumah Wan Senah dan Toki Rahim tidak sampai dua minit kayuhan. Dalam banyak-banyak jalan, lorong itulah yang paling mencabar setiap hari. 

Akar kayu berselirat menyebabkan lorong kecil itu berbonggol-bonggol. Badannya akan bergegar setiap kali melintasi lorong itu. 

Hari ini, cabarannya berganda. Dalam kedinginan kerana menyarung pakaian basah, dia berjaya juga melintasi lorong kecil berbonggol itu. Umairah menongkat basikal di pondok kecil yang disediakan Toki Rahim tempat basikal tuanya menumpang teduh.

"Sejuknya!" Umairah berlari anak ke arah dapur sambil kedua-dua tangannya memeluk tubuh yang dingin. 

Sebelum itu, sempat anak matanya menjeling ke arah beranda, kalau-kalau Wan Senah duduk berehat di situ sambil menanti kepulangannya yang lewat dari kebiasaan. 

Dia mengintai lagi, di kiri dan kanan dapur. Tiada sesiapa di situ. Inilah peluang terbaik untuk dirinya beraksi pantas. Dia berkira-kira hendak mencuri masuk ke dalam kamar tidurnya untuk mengambil tuala. Mudah-mudahan kelibatnya tak terlihat dek mata Wan Senah atau Toki Rahim. Doa Umairah dalam hati. 

Yakin dengan telahannya, dia berjengket perlahan-lahan ke dalam rumah.

"Berjengket tak berbunyi sekalipun, Wan tahu Maira dah balik." Suara Wan Senah kedengaran nyaring dari belakang.

Umairah terkejut, lalu deras mengurut dada. Tak jadi dia berjengket. Umairah berpusing menghadap Wan Senah dengan senyuman manis di wajah. 

"Maira pi mana, pasai apa basah lencun ni?" 

"Tak pi mana Wan," jawab Umairah, serba salah hendak memandang wajah Wan Senah.

"Tak pi mana?" ulang Wan Senah, hairan.

Dia tidak puas hati dengan jawapan cucunya itu. Masakan tidak ke mana tetapi basah kuyup pula? Hujan di tengah jalankah? Tetapi jarak sekolah ke rumah tidaklah jauh sangat. Kalau hujan di sekolah, tentu di rumah juga hujan. Cuaca di langit molek saja. Molek hingga ke sekolah yang letaknya nun jauh di depan kampung. Sekadar dibatasi lautan sawah padi yang luas terbentang sepanjang kampung, sekolah menengah yang sayup mata memandang itu masih boleh dilihat dari beranda rumah mereka. Sebab itu dia hairan dengan pakaian Umairah yang basah kuyup.

"Wan... sebenarnya basikal Maira terbalik masuk dalam tali air tadi." Umairah membuka cerita.

"Astaghfirullahalazim... patutlah basah kuyup. Lagu mana boleh terbalik? Ada budak tolak Maira ka?" soal Wan Senah seraya menarik pergelangan tangannya. 

Umairah tidak sempat bersedia. Tubuhnya ditolaktarik. Pakaian Umairah dibelek Wan Senah satu per satu, bermula dari atas hingga ke bawah, beralih ke kiri hingga ke kanan, hinggalah terasa hujung kainnya ditarik Wan Senah.

"Pasaipa kain ni boleh koyak, kena minyak hitam ka apa? Habaq dengan Wan betui-betui!" Bertalu-talu suara Wan Senah bertanya, langsung tak sempat dijawab Umairah.

"Wan... Maira sejuk. Boleh Maira mandi dulu? Lepas mandi dan solat, Maira ceritakan hal sebenar pada Wan, ya?" 

"Ceghita dulu, baru mandi!" tegas Wan Senah.

"Tak ada apalah, Wan. Hal kecik aje. Kain ni koyak sebab terlekat pada rantai basikal. Maira tak sempat nak berhentikan basikal, terus masuk tali air. Nasib baik ada..." cerita Umairah terhenti di situ.

Dia hampir menyebut nama Faeeq jika tak berhati-hati tadi. Wan Senah memang tak suka dengan Faeeq. Namanya saja tak dibenarkan disebut di dalam rumah itu.

Semuanya gara-gara sikap Faeeq yang nakal. Menurut cerita Wan Senah, Faeeq pernah menembak mercun buatan sendiri dan hampir mengenainya. 

Peristiwa itu berlaku enam tahun lepas sewaktu penduduk Kampung Kubang Jawi berpusu-pusu ke masjid untuk bertakbir pada malam Aidilfitri. Semenjak itu, Wan Senah tak menyukai Faeeq. Tetapi, dalam nakal-nakal Faeeq pun, dia masih sudi menyelamatkan Umairah yang hampir kelemasan tadi. Jika bukan kerana bantuan Faeeq, entah di mana Umairah sekarang. Hatinya sempat berdesis panjang.

"Ada sapa?"

"Ada orang kampung yang nampak, jadi dia yang tolong Maira."

"Sapa? Wan nak buat pulut kuning, nak bagi pada orang yang tolong Maira tu," cadang Wan Senah. 

Umairah mati akal. Kalau Wan Senah tahu tentang Faeeq, tentu dia marah. Faeeq sudah tolong, takkan dia tidak membantu Faeeq pula walaupun hal yang lepas lebih banyak menyakitkan hati Umairah. 

"Maira tak kenal, Wan. Maira kan tak sampai setahun kat kampung Wan ni. Kalau Maira membesar dari kecil di kampung ni, tentu Maira kenal," dalihnya, mengambus rahsia.

Wan Senah tidak lagi mendesak. Dia mengarahkan Umairah mandi dan bersiap untuk solat dan makan tengah hari.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.