Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
456
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

AHMAD RIZAKI berjalan di lorong yang dikelilingi pokok-pokok tinggi, untuk keluar dari pekan yang sibuk dan sarat dengan manusia itu. Ini merupakan salah satu laluan untuk menuju ke perkampungan terbaik di Melakar.

Dikatakan, penduduknya ramai yang berstatus tinggi dan mempunyai harta yang begitu banyak. Perkara ini mungkin tidak begitu menghairankan kerana purata penduduk di Melakar begitu gemar menjalankan aktiviti perniagaan.

Ahmad Rizaki terus berjalan merempuh laluan yang sunyi dan redup itu sehinggalah telinganya menangkap bunyi yang begitu mencurigakan. Lelaki itu berjalan tenang. Berbuat biasa seperti tiada apa, namun penuh kesiagaan.

Lebih kurang tiga orang yang cergas sedang mengekorinya dari belakang. Langkah kaki mereka begitu licik dan senyap, menandakan mereka tidak mahu kewujudan mereka diketahui oleh Ahmad Rizaki.

"Jika kamu mahu merompak, aku tiada banyak harta ketika ini. Wang yang tinggal cukup-cukup untuk makan tengah hari selama lima hari sahaja," kata Ahmad Rizaki selepas kakinya berhenti melangkah di tengah laluan itu.

Beberapa detik kemudian, keluar tiga orang lelaki yang mengikat kain semutar di kepala mereka dari arah belukar. Ketiga-tiga wajah mereka kelihatan begitu bengis. Senjata tajam tersemat pada genggaman tangan mereka. Itu sahaja sudah menjadi bukti kepada niat buruk yang bakal menjelma.

"Baguslah kamu sendiri yang muncul di depan aku, puak Zagi," kata Ahmad Rizaki dengan suara mendatar.

"Ahmad Rizaki?" aju salah seorang di antara mereka.

"Kalau kamu tahu nama aku, maka pasti kamu tahu apa yang sudah berlaku, bukan?"

Tersenyum sinis Ahmad Rizaki semasa membalas pertanyaan itu.

"Entah. Cuma kami tidak boleh biarkan kau bebas di Zamin Melakar ini. Kewujudan kau sudah dianggap begitu menyusahkan oleh pemimpin tertinggi kami."

Mereka menghunus senjata dan meleret kuda-kuda untuk memulakan serangan.Ahmad Rizaki terus tenang dan mengukirkan senyuman penuh makna.

"Pemimpin kalian patut nasihatkan supaya jangan mendekati aku. Bukan secara berani menentang aku di tempat terbuka, pada waktu siang seperti ini."

"Nasib malang untuk kau, Ahmad Rizaki."

Mereka bergerak serentak untuk menyerang Ahmad Rizaki.Lelaki itu tetap tidak berganjak. Merenung tajam setiap pergerakan mereka yang semakin menghampirinya. Tangkas, namun masih dianggap lambat oleh mata Ahmad Rizaki.

Apabila senjata tajam itu cuba menusuk ke arahnya, Ahmad Rizaki menggunakan sebelah tangannya untuk menepis pergelangan tangan penyerangnya lantas menendang pelipat lutut musuhnya sehingga jatuh tersungkur ke tanah. Satu tumbukan yang pantas diberikan tepat pada wajah dan membuatkan musuhnya itu pengsan dengan serta-merta. Dua orang rakannya terus berhenti dan memandangnya dengan riak terkejut.

"Semestinya kau bukan calang-calang pendekar."

"Dengar sini! Apa kata kau berikan saja kerjasama kepada aku? Beritahu di mana lokasi rahsia pangkalan kamu di Melakar supaya aku boleh pulang ke Wilayah Lumpur Nuaja secepat yang mungkin!" kata Ahmad Rizaki.

"Apa kau bodoh? Tidak semudah itu untuk kami mendedahkannya. Kami hanya akan beritahu, apabila tangan dan kaki kau dipotong oleh senjata ini!" balas lelaki itu.

"Oh, kau tidak mahu terus membunuh sebaliknya mahu menyeksa terlebih dahulu? Menarik ... memang menarik! Tunjukkan kepada aku apa yang boleh kau buat!"

Ahmad Rizaki ketawa penuh keterujaan sehingga mendatangkan kehairanan kepada mereka berdua.Tanpa membuang masa, mereka kembali meluru ke arah Ahmad Rizaki.

Dengan senyuman yang terlukis lebar, Ahmad Rizaki sentiasa bersedia untuk menyambut serangan walau dari arah mana sekalipun. Hanya untuk musuhnya mengerti, betapa mustahilnya untuk mereka menyentuh walau sebatang jari pada tubuh lelaki bernama Ahmad Rizaki itu.

***

TIGA orang pahlawan Zagi yang pengsan dibaringkan ke tepi jalan. Ahmad Rizaki memeriksa tubuh dan pakaian mereka sekiranya terdapat sesuatu yang boleh dijadikan petunjuk.

Setiap seorang daripada mereka mempunyai simbol segi tiga berwarna hitam pada tubuh mereka. Simbol itu merupakan pengenalan kepada ahli-ahli Zagi, dan bentuk asas ini merupakan pengenalan kepada pahlawan yang paling rendah tarafnya di dalam pertubuhan Zagi.

"Apa yang mereka fikirkan dengan menghantar orang bawahan yang lemah untuk menentang aku?" rungut Ahmad Rizaki.

"Astaghfirullah! Apa yang sedang awak buat ni?"

Ahmad Rizaki tersentak dan sebaik dia berpaling ke belakang, menambahkan lagi kejutannya. Orang yang sedang menegurnya itu, merupakan perempuan muda yang berdiri di sebelahnya semasa di pasar tadi.

Wardah juga dalam keadaan terkejut. Mungkin ketika itu fikirannya sedang ligat memainkan prasangka buruk terhadap dirinya semasa melihat situasi itu.

"Eh, dengar sini! Awak dah salah faham!"

"Penampilan awak bersih dan kelihatan seperti orang yang budiman. Tetapi siapa sangka, di sebalik pakaian itu rupa-rupanya awak merupakan seorang perompak! Tegarnya hati awak memeras daripada orang yang miskin seperti itu!" bentak Wardah dengan lantang.

"Merompak? Sekejap, sekejap! Saya dah kata, awak salah faham! Saya bukan merompak, tapi saya sedang menjalankan tugas!" Ahmad Rizaki mempertahankan dirinya.

"Jalankan tugas apa sehingga wajah mereka luka dan cedera seperti itu? Pada waktu yang cerah seperti ini pun awak berani melakukan perbuatan keji begitu? Awak memang sedang merendahkan sistem kehakiman dan keadilan Melayujiwa!" balas Wardah lagi.

Ahmad Rizaki tercengang mendengarnya. Namun kemudian tersenyum dan terletus tawa kecil. Amat tidak disangka, perempuan muda itu begitu berani. Tidak terpamer ketakutan sekalipun sedang berhadapan dengan situasi yang mungkin membahayakan nyawanya sendiri.

"Saya gembira kerana wujud orang seperti awak yang begitu lantang sekali bersuara di hadapan penjahat," puji Ahmad Rizaki.

"Sekarang dah mengaku diri awak sebagai penjahat? Serahkan kembali hak mereka yang telah awak ambil dan serah diri kepada penguat kuasa secara rela!" tegas Wardah.

"Bukan saya penjahat. Tapi, mereka bertiga ini. Saya adalah pendekar dari Wilayah Lumpur Nuaja yang hanya menjalankan tugas," beritahu Ahmad Rizaki sambil tersenyum.

"Pendekar dari Wilayah Lumpur Nuaja ... maksudnya, istana?" Tersentak Wardah selepas mengetahuinya.

"Ya, tepatnya saya datang dari Istana Melayujiwa yang terletak di dalam Wilayah Lumpur Nuaja," sambung Ahmad Rizaki dengan ramah.

"Tapi, apa yang mereka buat sehingga pendekar dari istana datang sendiri ke sini?" soal Wardah yang masih terkejut.

"Oh, itu ...."

Belum sempat Ahmad Rizaki hendak menjawab, pandangan matanya bertukar tajam berbinar. Kakinya pantas berlari dan mendakap tubuh Wardah lalu melonjak sejauh yang mungkin dalam keadaan Wardah yang bingung dan terpinga-pinga tanpa sempat untuk memberikan tindak balas hingga mereka jatuh berguling ke tanah.

Serentak itu, di tapak berdirinya Wardah tadi, berlaku letusan yang menghambur debu-debu tebal sehingga menyelubungi ruang udara. Di situ, kelihatan seseorang dengan pedang yang panjang dalam kedudukan sebelah tangannya menyentuh tanah seperti baru sahaja mendarat.

Wardah yang masih berada di dalam dakapan Ahmad Rizaki masih berasa terkejut kerana jarak mereka berdua yang terlalu rapat. Lebih daripada itu, sekiranya Ahmad Rizaki tidak bertindak menyelamatkannya, pasti pedang panjang itu sudah menembusi tubuhnya. Sekarang, apakah perkara yang baru sahaja dia terlibat ini?

"Ahmad Rizaki. Aku datang untuk bunuh kau!" kata lelaki itu, tersenyum sinis penuh makna.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.