Home Novel Cinta Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 13:57:44
718
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

ANGIN laut menyapa wajah. Terlihat seseorang duduk di atas pangkin di bawah pokok ketereh bersama pukat-pukatnya. Dia tidak menyapa. Hanya mengerling. Sesekali deras sang ombak menghempas pantai sayup-sayup kedengaran.

"Ini, Abang Jusoh." Saufi memperkenalkan si penjahit pukat yang leka menyiapkan kerja-kerjanya itu. 

Sekuntum senyuman sebagai salam perkenalan. Umair dan Jusoh saling bersalaman. Tangan kasar Jusoh menyentuh hati Umair. Tangan Jusoh yang begitu banyak memberi. Pastinya dengan sejuta kesukaran. 

"Jadi, awaklah orang kaya tu?" Lagak Jusoh acuh tak acuh.

Umair tersenyum. "Jangan panggil saya macam tu. Kita ni manusia biasa, sama saja." Dia merendah diri.

Jusoh mengerling lagi. Semua insan serupa di sisi yang Maha Esa. Cuma, berdiri tidak sama tinggi. Seperti langit dan bumi. Begitulah mereka diibaratkan. 

Umair memerhatikan suasana sekeliling. Dia terpandangkan seorang anak dara sunti sedang duduk di atas anak tangga. Terpaku dia seketika. Saufi tergesa-gesa mendapatkan Dini.

"Kita ada tetamu, Dini." Saufi dengan girang menghulurkan tangannya ke arah Dini.

Dini tersenyum riang sambil tercari-cari tangan Saufi. 

Hati Umair bagaikan disentap dengan sadisnya! Tidak pernah dia dilanda rasa separah ini. Hatinya meraung dalam diam.

"Tetamu?" soal Dini sepatah.

Saufi pantas mengangguk. "Ya. Orang jauh."

Tertelan liur simpati Pak Cik Farisi, Abang Reza dan Pak Cik Daud yang hilang kata-kata. Diam menyelubungi suasana.

Saufi memimpin Dini untuk ke laman.

"Orang jauh? Siapa?" Riang suara Dini dengan rasa ingin tahu.

Dini dan Saufi melangkah satu demi satu anak tangga dengan penuh hati-hati. Dini begitu teruja. Dia melangkah agak laju dan hampir terjatuh. 

Umair sempat menyambut Dini daripada jatuh ke tanah. Dini terkejut. Dia kaku di anak tangga penghabisan.

"Ini ...?" Soalan Dini putus di situ. Penuh keliru.

"Umair. Abang Umair," sambut Umair sambil melemparkan senyuman nipis.

Dini baru mengerti. Inilah tetamu yang Saufi katakan itu. Dini tersenyum penuh tulus.

"Jarang orang nak datang ke rumah kami."

Kata-kata itu membidik hati Umair lagi. Sungguh! Dia kelu sendiri. Kala ini bagaikan ombak Disember sedang membadai dinding penglihatan. Deras membahang. Ingin melimpah. Ingin pecah bagaikan bah!

"Dini bersekolah kat mana?" Suara Umair sebak.

Hampir tidak kedengaran.

Dini tersenyum lagi. "Tak. Dini dah tak sekolah."

Jawapan itu membuatkan Umair terdiam lagi. Tidak mengerti. Dia memandang ke arah Saufi seolah-olah meminta penjelasan.

"Dulu, Dini bersekolah kat kampung ni saja. Tapi, Dini asyik terjatuh, terlanggar itu ini. Luka di sana sini. Lama juga Dini tak bersekolah. Lepas tu, Dini bersekolah semula di bandar tempat Cikgu Dalila mengajar. Cikgu Dalila yang selalu jaga Dini," jelas Saufi tanpa teragak-agak.

Cerita Saufi terhenti di situ. Umair sabar menanti. Pak Cik Farisi, Abang Reza dan Pak Cik Daud tidak berani mencelah. Hanya tekun mendengar.

Tertanya-tanya dalam hati, apakah tragedi yang telah menimpa menyebabkan kaki Dini berbalut begini?

"Dini jatuh di tangga sekolah. Cedera sikit," sambung Saufi perlahan.

Wajah Saufi yang penuh kesal itu, Umair tatap lama. Ternyata dalam hati itu menyimpan begitu banyak rasa kecewa. Umair tertanya-tanya sendiri, pada si kecil inikah Saufi pernah berjanji? Jika benar, Saufi mesti menunaikan setiap janjinya itu.

"Abang Jusoh tak benarkan Dini bersekolah lagi. Keselamatan Dini lebih penting," kata Saufi sambil menjatuhkan renungannya di anak tangga kayu yang sudah usang itu.

Redup wajah Saufi menceritakan suasana hati yang ditutupi mendung gelap. Gelap yang sarat.

"Abang Umair tumpang simpati," kata Umair perlahan setelah memahami baris cerita yang masih panjang itu.

Saufi mengangkat wajah. Awan-awan hitam itu kini meluruh sayu. Rasa pedihnya bersembunyi dalam diam. Bimbang dirasai Dini. Bimbang Dini tahu betapa jiwanya dilanda sejuta kepedihan tatkala terkenangkan banyak perkara mengenai si adik yang belum ditunaikan.

Umair memaut mesra bahu Saufi dan dipeluk erat.

"Kami dah kehilangan abang dan ayah. Ibu pula hidup dalam dunianya sendiri."

Lirih suara Saufi itu kian memedihkan hati Umair. Sewaktu perkataan "abang" disebut, hati Umair bergetaran lagi. Pelukan dilepaskan perlahan. Direnung lama mata Saufi yang masih basah itu.

"Ada seorang lagi abang?" Umair benar-benar ingin tahu.

Saufi mengangguk. "Ya. Dia dah lama meninggal."

Kisah itu membuatkan Jusoh mengerling lagi. Tangannya yang leka menjahit pukat juga terhenti. Masihkah Saufi ingat semuanya? Masih begitu jelaskah gambaran memori itu dalam fikiran Saufi? Jusoh menghela nafas panjang. Semoga Saufi tidak tahu! Jusoh kembali menjahit pukat. Hatinya resah. Mudah-mudahan segalanya tertutup kemas dalam lipatan cerita lama.

Pintu rumah yang hampir uzur itu, Saufi buka dengan perlahan. Tiada perabot. Tiada televisyen atau radio di ruangan itu. Lantainya barangkali seusia dengan pintu yang hampir roboh itu. Umair mendongak. Atap rumah ditutupi oleh zink yang sudah bocor di sana sini. Sayu hati Umair melihatnya.

Pak Cik Farisi hanya diam di tepi jendela yang terbuka luas.

Saufi tersengih. "Abang Umair nampak macam nak tanya sesuatu?"

Umair melempar senyuman terpaksa.

"Cukuplah dengan jawapan yang Abang Umair dah dapat buat masa ni." Menungan Umair menjauh. "Indah tu sebab besarnya rasa bersyukur." 

Keluhan Umair memberat. Melalui hari-hari biasa sebagai suatu pengalaman seperti yang dia tempuhi hari ini, tentulah tidak sama dengan menjalani sebuah kelangsungan hidup. Dia ingin mengatakan sesuatu. Namun, dia memilih untuk diam.

Ketawa Saufi terdengar lucu apabila melihat wajah Umair yang murung. 

"Masih bingung, ya? Abang Umair boleh tanya lagi jika masih tak faham. Kehidupan kami taklah semisteri Abang Umair."

Terkekeh-kekeh Umair mendengar kata-kata Saufi. Saufi menghilang ke hujung rumah. Senyap. Desir daun-daun kelapa di luar rumah mendamaikan hati yang sedang berduka.

"Ibu, inilah orangnya." Saufi hadir bersama seorang perempuan yang sudah agak berumur.

Umair segera berpaling. 

Hati ibu seperti dicabut kasar. Darah mengalir di setiap sudut. Ingin ibu katakan sesuatu, namun hanya tertinggal di dalam hati.

Dalam hati Umair pula, ombak-ombak kecil mula berkejaran menjadi deras. Dinding hati yang retak mulai merekah. Dengan perlahan, dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Air matanya luruh satu demi satu. Dalam deraian yang kabur, fikirannya bagai disambar halilintar! Dia berasa amat tidak berdaya. Diseka air mata yang tumpah.

"Pak cik, mari kita balik." Umair berasa gusar. 

Pak Cik Farisi mulai bimbang. Umair nampak bercelaru. Dia terhuyung-hayang. Dia memegang erat bahu Pak Cik Farisi. Umair yang hampir rebah itu disambut pantas oleh Pak Cik Farisi.

"Abang Umair!" Saufi segera meluru ke sisi Umair. 

Air mata Saufi berlinangan. Dini terpinga-pinga. Apakah yang telah berlaku? Ibu terduduk lesu. Diam si ibu membilang air mata yang jatuh bagaikan hujan!

"Abang Umair! Abang Umair!" Saufi mengejutkan Umair yang kian lemah di pangkuan Pak Cik Farisi. 

Dalam kekalutan itu, Pak Cik Farisi mendakap Umair erat-erat. Air mata Pak Cik Farisi melimpah laju. Perkara yang paling dia bimbangkan telah terjadi! 

"Reza! Cepat!" panggil Pak Cik Farisi lantang penuh cemas.

Panggilan itu membuatkan Abang Reza masuk ke dalam rumah dengan tergesa-gesa. Pak Cik Daud juga menyusul dengan wajah yang tertanya-tanya. Mereka berdua menerpa ke arah Umair yang semakin lemah itu. Abang Reza segera membantu Pak Cik Farisi memapah Umair dan meninggalkan rumah ini.

Tetamu yang singgah berlalu pergi. Bot penumpang Pak Cik Bakar dipinta menggunakan kelajuan maksima menuju ke jeti Pokok Rhu.

Tragedi bertemu tragedi. Masihkah ada pengharapan?

DI MUKA pintu rumah, Dini tercari-cari suara yang baru dikenali sebentar tadi. Kian jauh dan jauh. Senyap. Dalam hati, dia tertanya-tanya akan bertemu lagikah mereka?

Jusoh mencebik. "Dasar orang kaya!" 

Saufi mengesat air mata. "Jangan tuduh Abang Umair macam tu. Dia baiklah!"

Muak rasanya apabila mendengar perkataan "baik" yang disusuli dengan sesuatu yang mencurigakan. Terlalu gah didengar kata-kata itu berbanding sikap dan perbuatan.

"Baik? Jika masuk ke rumah orang miskin macam kita, terus jatuh sakit?" bidas Jusoh dengan kasar. 

Saufi tidak membalas. Dia sudah tidak berdaya mahu bersoal jawab dengan Jusoh yang keras kepala itu. Jusoh yang suka meneka dan membuat andaian sendiri mengikut kata hati yang selalu beku itu.

"Nampak sangat sakit yang dibuat-buat!" sambung Jusoh tanpa beralas.

Hati Saufi tertikam tepat. Dia merenung lama wajah Jusoh yang kurang senang dengan kehadiran Umair sebentar tadi.

"Abang Umair tu banyak berahsia. Agaknya, dia menghidap penyakit bahaya."

Jusoh tersentak. Adakah itu satu pembelaan? Di manakah akal fikiran Saufi? 

"Masih nak bela dia?" sinis Jusoh.

"Ada parut di dahinya!" balas Saufi spontan.

Jusoh dan Saufi saling berpandangan tajam. Dini menutup kedua-dua telinganya sambil menangis. Saufi cuba menenangkan Dini yang dalam ketakutan itu. Saufi memaut bahu Dini rapat-rapat ke dadanya. Dini masih teresak-esak.

"Sesuatu pernah menimpa Abang Umair. Dia sedang pulihkan diri. Opie tetap percaya macam tu walaupun agak-agak saja." Saufi berharap dia salah dalam membuat telahan.

Jusoh berdengus sambil terus menjahit pukat di tangannya itu.

"Dia orang tu, kita tak kenal. Kita tak tahu pun asal usulnya!"

"Mungkin kita patut kenal dia dan ambil tahu asal usulnya!" Pantas Saufi membalas.

Tertimbus segala ayat dan perkataan. Jusoh tergamam. Terpaku dek renungan Saufi yang tajam. Setajam maksud yang cuba dia fahami. Umair bukan pengganti!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.