Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
805
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Tahun 2300 - Zamin Perak

PERTEMPURAN berlangsung dengan begitu sengit. Banyak rumah yang musnah dijilat api. Darah manusia terconteng ke merata arah. Gelimpangan mayat menjadi pemandangan yang begitu hiba untuk disaksikan. 

Di situ, peperangan telah tercetus sehingga mewujudkan bencana seperti ini. Jeritan kemarahan berkumandang. Kumpulan pengganas yang dikenali dengan puak Zagi itu menyerbu ke arah seorang pendekar yang sedang berhadapan dengan mereka. 

Tubuh dan pakaian pendekar itu juga dilumuri darah. Cecair pekat itu bukan miliknya, sebaliknya darah itu datang daripada musuh-musuh yang dipenggal sendiri oleh tangannya. 

Hanya berseorangan, pendekar itu telah membunuh 30 orang puak pengganas Zagi tanpa segaris luka pada tubuhnya sendiri. Hal ini mendatangkan tekanan dan kegerunan kepada musuh. 

Musuh yang menghampiri ditangkap pergelangan tangannya, lantas pendekar itu memulasnya sehingga kedengaran bunyi tulang yang patah.  Sikunya diangkat untuk menujah wajah lawan yang menyerang dari arah bertentangan. 

Dengan pantas, kakinya juga ligat bergerak sehingga gerakan kakinya itu mampu menjadi seperti pedang yang membelah tubuh lawannya menjadi dua bahagian. Darah bersimbahan menjadi lopak merah yang pekat. Pendekar itu ternyata tidak kisah dengan kekejaman yang dilakukannya. Wajahnya bersahaja tanda dia sudah terbiasa dengan adegan yang mengerikan seperti ini. 

"Siapa kau yang sebenarnya? Atas urusan apa kau datang ke sini?" tempik salah seorang pengganas Zagi itu. 

Pendekar itu mengukir senyuman sinis sehingga mendatangkan rasa gerun kepada mereka. Seolaholah senyuman itu membawa petanda maut yang tidak lama saja lagi akan datang menyapa mereka.

"Berani orang seperti kau bertanya soalan seperti itu? Selepas kalian menceroboh masuk ke dalam kerajaan ini dan membunuh rakyat kami sesuka hati?" 

"Jawab soalan aku! Adakah kau ini Panglima Pelenyap yang sering dicanangkan itu?" tempik pengganas Zagi itu dengan wajah yang pucat. 

Pendekar itu menghamburkan tawa. Matanya yang tajam, tanpa meninggalkan senyuman sinis itu merenung ke arahnya sehingga membuatkan pengganas itu berasa gementar. Ini kali pertama dia berhadapan dengan manusia yang menakutkan seperti pendekar itu.

"Adakah kau buta? Panglima Pelenyap sudah pun berusia 49 tahun ini. Adakah aku kelihatan seperti orang tua pada pandangan mata kau?" kata pendekar itu, melangkah setapak demi setapak sehingga pengganas itu pula yang terpaksa berundur. 

"Kemunculan kau semestinya menimbulkan tanda tanya. Semenjak tadi, hanya kau seorang yang beradu tenaga dengan kami. Wajarlah untuk kami tahu dengan siapa kami sedang berhadapan supaya dapat kami sampaikan kepada orang-orang kami yang lain. Kalau bukan Panglima Pelenyap, mungkinkah kau, Pemutus Nyawa?" balas pengganas itu berkerut dahi. 

"Kau yakin dapat tinggalkan tempat ini hidup-hidup untuk bertemu dengan rakan kau di luar sana?" aju pendekar itu tersenyum sinis.Lelaki itu terkedu mendengarnya. 

Peluhnya mengalir dengan begitu deras, membenci situasi yang mendebarkan seperti ini. 

"Tapi, bagus juga kau sudah tahu. Tak perlu susah-payah aku perkenalkan diri di hadapan sampah macam kalian!" 

Pendekar itu menundukkan badan dan lenyap daripada pandangan mata.Mereka tercengang dan semakin dihambat ketakutan, sehingga seorang demi seorang ditetak badan mereka tanpa sempat untuk mereka melakukan apa-apa. Pendekar itu muncul semula di hadapan pengganas itu dengan tangannya yang berlumuran darah, dan hanya berada seinci sahaja dari wajahnya.  

Lelaki itu hanya mampu tergamam akibat terlampau terkejut.Dengan senyuman, pendekar itu menggerakkan jarinya lalu menjentik dahi ketua pengganas itu. Lelaki itu terkaku dengan mulut yang terlopong. 

Sesaat berlalu, bahagian belakang tempurung kepala lelaki itu pecah dan bersemburan darahnya membasahi bumi. Tubuhnya terus jatuh tersembam disaksikan oleh pengikutnya yang lain dengan rasa ketakutan yang begitu mencengkam. 

"Dia ... dia bukan manusia! Baik kita lari!" 

"Terima padahnya, setelah kalian membunuh nyawa tak bersalah di kampung ini!" 

***

SUASANA kampung menjadi sunyi sepi. 100 orang pengganas Zagi telah diselesaikan sendirian oleh pendekar itu. Askar-askar Melayujiwa muncul selepas itu untuk menguruskan mayat-mayat yang kebanyakannya berada dalam keadaan mengerikan. 

Pendekar itu termenung ke arah langit. Wajahnya tidak lagi mengukirkan senyuman seperti tadi. Sebaliknya kali ini bagaikan terkandung amarah yang menanti masa untuk meledak dengan sepuasnya. 

"Tuan, tahniah kerana berjaya menyelamatkan kampung ini daripada ancaman pengganas. Sultan pasti gembira dengan perkhabaran ini," ucap Panglima Kusyairi yang memimpin barisan askar Melayujiwa itu. 

"Belum lagi," jawab pendekar itu. 

"Maksud tuan?"  

"Sebelum aku membunuh kesemua puak pengganas ini, aku mendapat tahu mereka sudah berpangkalan di Zamin Melakar. Tujuan mereka bukan sekadar kampung-kampung kecil seperti ini. Sebaliknya, mereka berhasrat untuk menakluki seluruh Melayujiwa. Dari sini, aku terpaksa berangkat ke Melakar untuk mencari dan menghapuskan mereka pula. Takut-takut, jika terlambat semakin besar pula gerakan mereka dan semakin ramai pula yang akan menjadi mangsa korban," terang pendekar itu. 

"Hamba faham. Sebelum itu, tuan bersihkanlah diri dahulu. Hamba akan minta orang untuk sediakan persalinan yang elok untuk tuan sebelum tuan berangkat ke Melakar. Cuma, tanjak Pancung Tiada Tanya tuan yang kotor dengan darah itu, mungkin susah sedikit kami mahu bersihkan atau karang yang baharu," kata Panglima Kusyairi. 

"Terima kasih. Aku juga sudah lapar. Mungkin beberapa hidangan boleh memuaskan perutku. Tanjak ini? Ah, sayangnya. Tapi memang tak boleh nak buat apa. Hanya tukang karang tanjak istana sahaja yang reti mengarang Tanjak Pancung Tiada Tanya ini. Aku akan simpan dan cuci sendiri apabila tiba ke Melakar nanti," ujarnya sebelum berjalan pergi dari situ. 

Panglima Kusyairi memerhatikan sekeliling kawasan yang dipenuhi darah dan serpihan daging manusia. Kemudian memandang pendekar itu dari belakang. Hatinya tertanya-tanya, bagaimana lelaki itu masih mempunyai selera untuk makan selepas bermandi dengan darah yang pekat dan hanyir ini? 

Hakikatnya, dia sendiri terasa seperti mahu muntah untuk berdiri di situ ketika ini.

"Maaf bertanya Panglima Kusyairi. Tapi, siapa sebenarnya pendekar itu? Bagaimana dia seorang diri boleh membunuh 100 orang musuh tanpa mendapat sedikit pun kecederaan? Walaupun dia telah berjuang untuk menyelamatkan kampung ini, tidakkah tuan rasa tindakannya amat kejam dan keterlaluan?" 

Seorang penduduk kampung bertanya kepada Panglima Kusyairi. Dia juga ngeri melihat badan manusia yang terputus dua dan berjuraian usus perutnya sedang diangkut oleh rakan-rakannya di hujung sana. 

Panglima Kusyairi terdiam dan terus memandang pendekar itu hingga bayangnya tidak lagi kelihatan. Orang muda itu masih menanti jawapan daripada pegawai tinggi kerajaan itu. 

"Itulah Ahmad Rizaki. Pendekar yang mempunyai banyak gelaran. Pendekar di Melayujiwa yang diberi kuasa oleh sultan untuk menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa yang dianggap bersalah, tanpa bicara kehakiman! Dialah Pemutus Nyawa yang sangat ditakuti oleh semua manusia!" beritahu Panglima Kusyairi dengan wajah yang tegang. 

Orang muda itu meneguk liurnya sendiri dalam keadaan romanya merinding tegak. 

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.