Home Novel Thriller/Aksi Pemutus Nyawa
Pemutus Nyawa
Meja Editor
11/11/2024 11:51:28
453
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Zamin Melakar

LANGIT biru mendamaikan suasana. Awan bergumpal membentuk lukisan ketenangan jiwa. Burung juga menyanyi merdu. Disambut tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa.

Ahmad Rizaki berjalan melepasi pintu gerbang Melakar yang dikawal oleh tentera penjaga sempadan. Bibirnya tersenyum menyaksikan pemandangan di dalamnya, yang megah berdiri binaan-binaan daripada batu berkualiti tinggi. 

Penduduknya berpakaian tradisional berbaju Melayu. Tanjak beraneka warna turut tersarung di atas kepala lelakinya. Kebanyakan perempuan pula melindungi rambut dengan kain tudung yang cantik. Ada juga yang membiarkannya lepas dengan perhiasan kepala yang berkilauan dan pelbagai corak. 

Sepertimana mereka, Ahmad Rizaki juga begitu. Berbaju Melayu warna jingga, berkain samping bertenun corak abstrak kuning hitam dan memiliki tanjak penuh kemegahan yang dinamakan "Pancung Tiada Tanya" yang sepatutnya turut dipakai, namun disimpan disebabkan sudah dicemari oleh kesan darah semasa di Zamin Perak.

Bahkan tentera-tentera yang bertugas juga memakai tanjak yang diperbuat daripada gentian kaca dengan campuran bahan-bahan khas lain yang menjadikan tanjak itu keras, licin dan berkilat, pada masa yang sama ringan di atas kepala. Begitulah sebenarnya budaya pemakaian rakyat di Melayujiwa selepas beberapa tahun tamadun dibangunkan semula selepas bencana. 

Ahmad Rizaki berjalan memasuki kawasan pasar yang dikunjungi ramai orang. Pelbagai jenis barangan sedang dijual oleh penjaja dengan suara yang bingit. Kebanyakannya merupakan barangan hasil kerja tangan, tangkapan dan ternakan, perkebunan, makanan serta perkhidmatan. 

Selain menjalankan kegiatan perniagaan seperti ini, kebanyakan penduduk Melakar juga giat sebagai nelayan. Ia adalah salah satu usaha mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga. 

"Tuan yang kacak bergaya! Mari singgah di gerai hamba! Lihatlah, ada banyak seruling yang menarik di sini!" panggil seorang peniaga itu kepada Ahmad Rizaki. 

"Memang betul menarik. Aku tak sangka di sini pun ada menjual seruling berkualiti seperti ini," kata Ahmad Rizaki sambil membelek-belek seruling buluh itu. 

"Diukir oleh tangan yang mahir. Semestinya ia berkualiti tinggi. Hamba melihat amat padan sekali dengan tuan hamba. Bangsawan seperti tuan pasti tahu bermain dengan perkusi itu, bukan? Hamba yakin, tiupannya pasti memikat jiwa-jiwa gadis yang berada berhampiran dengan tuan hamba! Berpadanan dengan wajah tuan yang begitu kacak itu!" 

Bersemangat sekali peniaga itu cuba menarik pelanggannya agar membeli barang jualannya. 

"Berapa harganya ini?" tanya Ahmad Rizaki, kembang diri menerima pujian seperti itu. 

"Harga terbaik untuk tuan. Ringgit 80 sahaja!" jawab peniaga itu bersemangat. 

"Kau cuba menipuku? Kenapa harganya begitu mahal? Aku boleh dapat lebih murah di tempat lain." Berkerut dahi Ahmad Rizaki sebaik mengetahui harga seruling itu. 

"Tuan, tempat lain itu tak sama seperti tempat ini. Semestinya seruling lain itu tak sama seperti seruling ini. Baru saja tadi tuan beritahu seruling ini amat berkualiti tinggi. Lihatlah ukirannya, terdapat huruf 'ha' dan 'dza' yang membuktikan jenama aslinya. Tuan tahu maksudnya? Orang yang mengukir seruling ini merupakan orang yang amat terkenal dan hasil tangannya diperakui ramai sebagai yang terbaik. Tak mungkin bangsawan seperti tuan lebih rela memilih barang tiruan yang rendah mutunya, bukan?" balas peniaga itu tersenyum panjang. 

"Aku bergegas dari Zamin Perak ke sini tanpa membawa tambahan wang. Duit yang aku ada sekarang cukup-cukup untuk belanja makan selama seminggu di sini. Jika aku membeli ini, tentu aku perlu mencatu makanan sehari dan mungkin aku terpaksa memburu agar tidak kelaparan. Tapi aku terlalu sibuk untuk memasak hidangan sendiri," gumam Ahmad Rizaki sendiri. 

"Assalamualaikum, pak cik. Bagaimana perniagaan hari ini?" Seorang perempuan muda yang amat cantik parasnya menegur di situ. 

"Ah, Cik Wardah. Waalaikumussalam. Beginilah hamba seperti kebiasaannya, Cik Wardah. Tidak ramai yang rajin dan gemar membeli alat muzik setiap hari. Mujur pagi ini ada pelanggan baik hati yang singgah dan berminat dengan barang jualan hamba," kata peniaga itu dengan nada yang sebak, sambil matanya melirik ke arah Ahmad Rizaki. 

Serentak itu, gadis bernama Wardah itu memandang Ahmad Rizaki dengan senyuman manis. Ahmad Rizaki menelan liur. Kedua-duanya sedang memandangnya serentak. Hatinya amat berbelah bahagi. Dalam hati sempat dia membentak peniaga yang amat licik itu. 

"Ya, memang saya mahu membeli seruling ini. Syukur alhamdulillah, ada rezeki untuk pak cik pagi ini." 

Sambil tersenyum kelat, Ahmad Rizaki mengeluarkan wang berbentuk kepingan syiling dari uncang dan menyerahkannya kepada peniaga itu. 

"Pilihan yang tepat! Terima kasih, tuan. Hamba jual! Sila datang lagi nanti!" ucap peniaga itu dengan begitu riang. 

Ahmad Rizaki mahu sahaja mencebik di situ, tetapi apabila dia menoleh ke tepi, perempuan muda itu tidak lagi berdiri di sebelahnya. Nafasnya terhembus keluh. Terasa seperti satu pembaziran pula semata-mata kerana mahu memberi impresi kepada seorang perempuan, namun tersenyum apabila melihat peniaga itu begitu gembira kerana berjaya menjual satu barang. 

Tidak semena-mena, Ahmad Rizaki juga mengukirkan senyuman gembira. 

"Siapa perempuan cantik tadi? Dia seperti orang bangsawan yang berpengaruh di tempat ini," soal Ahmad Rizaki kepada peniaga itu. 

"Jika tuan tidak mengenalinya, maka sudah pasti tuan bukan orang sini. Tapi, jika tuan berminat kepadanya, hamba sarankan supaya batalkan sahaja niat tuan hamba. Askad Jura, iaitu anak kepada tokoh berpengaruh di kota Melakar menaruh hati kepadanya. Banyak khabar angin mengandaikan mereka mungkin akan berkahwin pada tahun ini. Mereka sama cantik, sama padan. Bagai pinang dibelah dua. Tuan tak mungkin mampu bersaing dengan Askad Jura yang terkenal dengan kekayaannya itu," beritahu peniaga itu. 

Ahmad Rizaki mengangguk faham. Pasti lelaki yang hampir mencecah pertengahan umur itu silap sangka akan pertanyaannya. Bukanlah bermaksud Ahmad Rizaki berminat kerana cinta atau tertawan dengannya. Hanya naluri kebiasaan bagi seorang manusia untuk mengetahui perihal seseorang yang dianggap berwibawa di kawasan itu sahaja.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.