Home Novel Thriller/Aksi Khianat (Sudah Terbit)
Khianat (Sudah Terbit)
Meja Editor
8/5/2025 09:09:14
394
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Putrajaya - Biro Keselamatan Awam
9.30 pagi

SYIRA menyarung kot biru navy-nya menutupi kemeja putih di tubuh. Kemudian dia berdiri memandang cermin. Membetul-betulkan sut pejabatnya seraya mencari sebarang cacat cela. Rambutnya yang ikal mayang melebihi paras bahu dibiarkan lepas. Dia suka begitu.

Setelah berpuas hati dengan kekemasan diri, Syira segera keluar dari bilik pejabatnya dan melangkah terus ke bilik ketua seksyen. Dalam perjalanan, dia melewati beberapa kubikel petugas-petugas biro yang lain sebelum tiba di pintu bilik ketuanya. Pintu diketuk.

"Masuk!"

Sebaik sahaja Syira membuka pintu, terlihat Encik Seman sedang memeriksa telefonnya di tempat duduk. Lagaknya santai seperti tidak ada banyak sangat kerja yang hendak dilakukan. Dia melangkah masuk lalu menutup pintu.

"Duduk, Syira." Encik Seman memerintah tanpa memandang gadis umur 20-an itu.

Syira terus menarik kerusi di hadapan meja ketuanya itu dan melabuhkan punggung.

"Ya, Tuan Seman ... eh, Encik Seman. Encik Seman panggil saya?"

Syira terlupa ketuanya itu tidak suka dipanggil tuan, walaupun panggilan itu layak untuknya kerana lelaki itu memimpin salah satu bahagian di dalam Biro Keselamatan Awam.

Encik Seman meletakkan telefonnya di atas meja dan mula menghadap Syira. Lelaki awal 40-an itu kelihatan kemas dan bertenaga hari ini.

"Semangat kamu hari ni saya tengok."

Syira tersenyum. "Baru lepas cuti panjang dengan keluarga, Encik Seman. Dan dapat rehat lama sikit. Hati ni rasalah senang sikit."

Encik Seman mengangguk kecil.

"Good to hear that. Okay, welcome back to work. Begini, Syira. Kita baru saja dapat satu maklumat penting kira-kira dalam pukul 9.00 tadi. Seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia telah membelot terhadap negara petang semalam," beritahunya dengan pandangan yang tajam. Nampak tidak main-main.

"Belot?" tanya Syira.

"Yes. He gone rogue on a mission."

"Kat mana?"

"Di sempadan Malaysia-Thailand. Butir-butir lanjut masih belum dapat. Saya dah hubungi pihak ATM dan PDRM untuk bertanyakan hal ni, tapi mereka belum mengesahkan kesahihan maklumat itu. Saya tak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Mungkin atas sebab-sebab tertentu mereka tak mahu beritahu kita. Sekarang, pengarah nak tahu dengan jelas tentang perkara ni. Jadi, dia suruh kita siasat sendiri. Dia tak mahu tunggu maklumat PDRM atau ATM. Lambat katanya. Sekarang ni, saya nak kamu pergi siasat kes ni sama ada betul atau tidak. Kalau betul, kita kena tangkap atau bunuh dia secepat yang mungkin. Ingat kes Din Komando dulu?"

Syira mengangguk.

"Lambat-laun ATM dan PDRM kena kompromi dengan kita juga. Mereka tak boleh elak. Ini adalah soal keselamatan negara. Kita ada bidang kuasa dalam kes ni. Mana kita dapat maklumat ni?" soalnya.

"Daripada sel lapangan kita. Pasal komando yang rogue tu, sel kita di sana dah selidik latar belakang subjek dan ini dia," jawab Encik Seman sambil mengeluarkan satu fail dari lacinya lalu ditolak ke arah gadis itu.

Syira membuka dan membaca dokumen yang ada di dalam fail itu. Perkara pertama yang menangkap perhatiannya ialah gambar ukuran pasport subjek yang terlekat di helaian pertama dokumen. Dikepilkan di bucu kiri.

Wajah subjek dingin. Matanya sedikit sepet, tetapi tidak sesepet mata bangsa Cina. Tidak juga bulat seperti bangsa Melayu. Berambut pendek yang disikat ke belakang. Kulitnya agak cerah. Gambar ukuran pasport kedua adalah gambar subjek dalam keadaan botak dan kelihatan sedikit muda daripada gambar yang terkini.

"Segak," komen Syira.

Dia merenung lama wajah subjek. Mencari sesuatu. Walaupun dia berkata begitu, wajah subjek yang dilihatnya itu memberikan satu perasaan aneh. Segak raut wajah subjek tidak memberinya keselesaan.

Wajah segak itu menjalarkan rasa fasis dan diktator ke dalam diri Syira. Satu raut wajah segak yang begitu dingin dan mencengkam. Renungan wajah itu seolah-olah seperti satu tangan yang menggenggam jiwanya. Menghamburkan rasa kejam. Tampan yang menggerunkan.

Syira mula membaca sepintas lalu latar belakang anggota komando yang telah berpaling tadah itu.

"Saya bagi kamu kebebasan penuh untuk buat siasatan ni. Kalau kamu perlukan apa-apa aset biro, saya luluskan. Bagi saya dan pengarah, pengkhianatan terhadap negara adalah kes yang bahaya. Kita langsung tak akan berkompromi. Kita akan bertindak dalam bidang kuasa kita sendiri untuk menangani kes ini sekalipun jika PDRM dan ATM tak mahu beri kerjasama. Kita tak main-main!" tegas Encik Seman.

Syira mengangguk faham. Fail ditutup semula. Dia akan sambung baca selepas ini.

"Saya faham, Encik Seman. Untuk ini, saya perlukan seorang bodyguard untuk jaga keselamatan saya."

"Baik. Siapa kamu nak? Saya akan hubungi bahagian keselamatan."

"Nisrina. Dia rakan sebilik saya waktu saya jalani kursus latihan keselamatan biro dulu. Kalau Nisrina tak ada tugas, saya nak dia," pinta Syira.

Nisrina ialah salah seorang petugas Biro Keselamatan Awam bahagian keselamatan yang dia cukup senang. Dia sudah tahu cara Nisrina bekerja. Mereka pernah beberapa kali bekerjasama sebelum ini.

"Baik. Kenderaan? Nak guna kereta sendiri atau kereta biro?" tanya Encik Seman.

"Kereta sendirilah. Lebih selesa."

"Kereta biro kalis peluru."

"Hmm ... masih lagi saya rasa selesa dengan kereta sendiri."

"Terpulang. Lagi?"

"Hmm ... itu aje kut, Encik Seman."

"Jangan lupa claim duit minyak nanti. Awak boleh mula sekarang. Sebaik saja ada perkembangan terkini, terus lapor pada saya," arah Encik Seman.

"Baik, tuan. Eh, Encik Seman. Encik Seman, katakanlah saya dah jumpa dia ... maksud saya dia dah ada di depan muncung pistol saya, what is the ROE (Rules of Engagement)?"

"Tanya saya dulu waktu tu. Tapi kalau nyawa kamu betul-betul dalam bahaya ...." Encik Seman berhenti sekejap sebelum memandang tajam Syira.

"Bunuh dia!"

Putrajaya

10.04 pagi

"PETRA Azamudin bin Mohamad Ali. Asal Alor Setar, Kedah. Kalau diikutkan tarikh lahir, umur dia dah 30," ujar Nisrina sambil membaca latar belakang Petra pada dokumen yang diterimanya daripada Syira.

Syira pula sedang memandu kereta. Sebuah SUV Honda CRV berwarna perak.

"Kau nak mulakan siasatan dari mana ni?" tanya Nisrina.

"Kita mula dengan jumpa CO (Commanding Officer) dia dulu kat Alor Setar. Aku nak tahu cerita penuh. Lepas tu, aku nak soal individu-individu yang terlibat dalam kes ni."

"Kau tahu ke siapa CO dia?"

"Tak tahu, tapi sel kita akan aturkan pertemuan kita dengan dia."

"Kau rasa mereka nak beri kerjasama tak?" tanya Nisrina lagi.

"Tengoklah macam mana. Kita cuba aje dulu. Kalau tak jalan juga, kita fikir cara lain. Kalau pihak tentera atau polis dapat tangkap Petra lebih awal daripada kita, itu lagi bagus. Lagi aku suka. Cepat selesai tugas kita. Rogue commando is very dangerous. Aku tak nak berhadapan dengan orang macam tu," balas Syira.

Nisrina menyambung bacaannya lagi.

"Dua beradik. Dia anak bongsu. Hmm ... bujang lagi dia."

"Kenapa?" tanya Syira sambil menoleh sekejap ke sebelah sebelum memandang ke hadapan semula.

"Kenapa lelaki handsome macam ni tak kahwin-kahwin lagi? Tentera selalunya kalau umur cecah 30 ni dah kahwin dah," rungut Nisrina.

Dia menatap wajah dingin Petra dalam gambar itu. Riak wajah yang tidak berperasaan. Seram pula bila dia lihat lama-lama. Langsung tiada senyuman dan kemesraan pada wajah kacak lagi kejam itu.

"Aku rasa tu maklumat lama. Mungkin dia dah kahwin sekarang. Mengarutlah muka handsome macam tu tak ada perempuan nak," sangkal Syira.

"Tak juga. Handsome tapi nampak evil macam ni, aku sendiri pun fikir tujuh lapan kali nak dekat. Tambah-tambah lagi bila tengok laporan psikologi dia. Agak haru-biru juga orangnya."

"Aku tak baca lagi laporan psikologi dia. Kau bacakan sekejap kat aku," pinta Syira.

Nisrina membisu seketika.

"Hmm ... banyak kes disiplin. Antaranya adalah terlibat dalam beberapa siri pergaduhan sesama rakan sejawatan, ingkar arahan dan beberapa kali AWOL (Absent Without Leave). Banyak juga kes dia ni. Petra ditulis dalam laporan ni sebagai seseorang yang mempunyai mental yang tidak stabil. Huh! Kalau lelaki serabut macam ni, muka handsome pun takkan adalah perempuan yang berkenan," ujar Nisrina sambil mencebik.

Dia kurang berkenan dengan sikap Petra yang ditulis dalam laporan. Langsung tidak ada ciri-ciri lelaki idaman yang boleh dibuat teman hidup untuk gadis sepertinya.

"Kalau dah teruk sangat disiplin dia, kenapa tak dibuang aje daripada tentera?" tanya Syira kehairanan.

Tiba-tiba, telefon yang berada di dalam kot navy blue Syira yang tergantung di penyandar tempat duduknya berbunyi.

"Tolong, Rin."

Nisrina segera mengambil telefon Syira itu.

"Password?" soalnya.

"4415."

Setelah telefon itu dibuka, Nisrina segera memeriksa.

"Ada mesej."

"Encik Seman?"

"Ya."

"Baca kejap."

"Check e-mel. Saya dah hantar maklumat tambahan Petra. Ini yang terbaru. Yang saya bagi tadi maklumat lama. Dan saya bagi juga nombor telefon CO Petra. Dia kata, awak boleh hubunginya bila-bila masa saja. Mereka pun mahu Petra ditangkap secepat yang mungkin. Dikatakan Petra telah melarikan diri bersama seorang taikun besar penyeludupan dadah yang patut mereka tangkap tiga hari lepas di sempadan."

"Kejap! Aku nak berhenti kat mana-mana hentian sebelah dulu," kata Syira tiba-tiba.

Tidak lama untuk dia jumpa sebuah hentian sebelah lebuh raya. Segera dia melencong ke lorong kiri dari jalan utama. Kenderaan diperlahankan sebelum berhenti di kawasan parkir. Kemudian, Syira segera memeriksa maklumat yang dihantar oleh Encik Seman tadi. Satu fail PDF encrypted dimuat turun dengan aplikasi khusus Biro Keselamatan Awam.

"Ini maklumat baru. Datang dari Kolonel Amir Abdullah. Maklumat latar belakang yang baru ni masih sama dengan yang lama. Cuma ada sikit tambahan dan alamat lengkap rumah Petra."

"Lagi?" tanya Nisrina.

"Hmm ... kejap."

Nisrina membiarkan Syira dengan pembacaannya. Dia memandang ke luar, ke arah bangunan hentian sebelah PLUS. Terfikir juga dia untuk buang air kecil, tetapi tidak terasa pula.

"Kepakaran khusus Petra ialah menembak hendap."

"Sniper?" Nisrina tertarik dengan maklumat itu.

"Ya. Petra ialah seorang sniper. Dia banyak memenangi kejohanan menembak di dalam dan di luar kem. Dan ...." Syira menggantungkan ayatnya.

"Dan?" Nisrina sabar menunggu.

"Masih lagi bujang."

Nisrina mengerut kening. "Serius?"

"Serius. Masih bujang. Okey,tu aje. Sekarang, mari kita jumpa Kolonel Amir Abdullah."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.