Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
468
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

MEERA menyiapkan kerja sekolah Matematik. Hanya berbaki tiga soalan lagi. Hari ini tiada kelas dijalankan. Semua pelajar akan dibawa ke Muzium Negara oleh Cikgu Saleha, guru Sejarah mereka.

Sementara menunggu bas tiba, semua pelajar diarahkan menunggu di dalam kelas. Kesempatan itu diambil Ameera menyiapkan kerja sekolah yang perlu dihantar esok.

"Hoi, rajin nampak!"

Ameera menoleh sekilas. Kembali menyambung kerja. Tidak mempedulikan Qisya di sebelahnya.

"Jangan ganggulah. Lagi sikit nak siap ni."

"Alah, relakslah. Copy aje homework aku. Aku dah siap semalam," ujar Qisya.

"Kalau asyik tiru kerja orang, sampai bila aku nak pandai. Sikit aje lagi ni."

"Itulah kau. Orang sibuk buat homework, kau sibuk bergayut dengan boyfriend," usik Fatin pula yang muncul menyertai mereka.

"Banyaklah! Bila masa aku ada boyfriend. Aku tidur awal semalam. Letih sangat. Sehari suntuk kat sekolah. Sampai asrama pun dah nak maghrib," bebel Ameera.

Selepas mendapat keputusan PMR yang memberangsangkan, dia ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh. Dia akui, kehidupan di sekolah biasa dan asrama cukup berbeza. Di sini, segala-galanya perlu ikut peraturan dan berdisiplin. Bermula dari celik mata hinggalah tidur. Aktiviti hariannya juga padat. Apatah lagi semalam, hari Rabu. Hari kokurikulum.

"Aku nak tanya ni. Cuti sekolah hujung tahun ni, kau jadi kan ikut aku balik kampung?" tanya Fatin untuk kepastian.

"Hari tu kan aku dah cakap jadi."

"Aku nak double confirm. Kau tu kan anak manja. Karang elok-elok cakap jadi, masa hari kejadian kau tak jadi pergi. Bukan kali pertama kau buat macam tu," sungut Fatin.

"Kali ni, mesti jadi punya. Mak ayah aku pergi Sabah urusan kerja waktu tu. Kalau aku balik pun, aku duduk sorang kat rumah. Tak nak aku."

"Semua dah ready ke?"

Mendengar sahaja suara Cikgu Saleha di muka pintu, para pelajar mula bersorak.  Bergerombolan mereka mendapatkan bas yang sudah menunggu didepan pagar sekolah.

PARA pelajar takjub melihat luaran muzium itu yang mengikut reka bentuk istana Melayu tradisional dan digabungkan dengan cita rasa moden. Sementara menanti Cikgu Saleha membeli tiket, Ameera merakam menggunakan handycam. Qisya dan Fatin tergelak-gelak apabila kamera dihalakan ke arah mereka.

"Tak payah rakamlah. Muka aku buruk ni. Dahlah pakai baju pun selekeh," omel Qisya.

"Bila masanya muka kau cantik," usik Fatin.

"Kurang ajar kau, eh! Sini kau!" Qisya mengejar Fatin yang tergelak-gelak melarikan diri.

Ameera turut ketawa melihat ulah dua rakannya itu. Leka dia merakam hinggalah terpandang sesuatu di skrin kameranya. Handycam diturunkan. Dia memerhati tangga laluan masuk utama ke muzium. Kosong. Keningnya berkerut. Sebentar tadi, dia terlihat satu susuk lelaki sedang terpacak sambil menggamit tangan memanggilnya.

"Takkan pula aku mengigau siang-siang hari ni," bisik Ameera. Lantas, dia memeriksa semula rakaman tadi.

"Kenapa Meera?" tegur Fatin setelah melihat rakannya itu sibuk membelek kamera.

"Tak. Tadi aku nampak macam ada lelaki hujung sana. Dia panggil aku. Lepas tu hilang pulak. Aku tengah tengok balik recording tadi. Nak pastikan betul dia panggil atau aku salah tengok," balas Ameera.

"Lelaki?" Qisya tertanya-tanya. Dia turut melihat arah dikatakan Ameera. Tidak pula terlihat sesiapa. 

Rakaman diundurkan sehinggalah saat yang dikatakan lelaki itu muncul. Ameera menggigit bibir. Benarlah dia tersalah lihat. Tiada sesiapa di situ.

"Kau rindu boyfriend sangat ni. Tu sampai angau."

"Kau jangan buat ceritalah, Fatin. Tu kalau bapa aku dengar, mampus aku kena belasah nanti," marah Ameera.

Dia sudah maklum dengan ketegasan bapanya. No couple and no love. Only study. Itu pesan bapanya berkali-kali. Bahkan setiap kali pulang dari asrama, telefon bimbitnya akan diperiksa.

"Semua pelajar beratur. Masuk ikut barisan. Jangan berpecah." Cikgu Saleha memberikan arahan.

Masing-masing akur. Qisya dan Fatin terlebih dahulu mengayun langkah. Ameera yang masih tidak berpuas hati melihat semula rakaman itu. Sejelalat, dahinya bertemu. Telinga didekatkan ke speaker. Mengamati betul-betul bunyian yang muncul. Sayup-sayup irama muzik gamelan berserta dentingan gong menusuk gegendang telinga.

Tidak semena-mena, bulu romanya tegak berdiri. Handycam lantas ditutup. Dia berlari-lari anakmendapatkan Qisya dan Fatin yang sudah melewati pintu masuk.

MUZIUM dipecahkan kepada empat galeri. Galeri Prasejarah, Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu, Galeri Era Kolonial dan juga Galeri Malaysia Kini. Persekitaran agak lengang. Hanya sesekali mereka berselisih dengan ibu bapa yang membawa anak-anak. Kurator bersemangat bercerita itu ini berkenaan artifak yang dipamerkan. Cikgu Saleha menokok tambah sedikit sebanyak.

Masing-masing meneliti pameran tarian. Bermula dari Mak Yong, Mek Mulung, Kuda Kepang hingga ke Wayang Kulit.

"Kau rasa patung ni dibuat dengan kulit apa, eh?" soal Fatin separuh berbisik, seraya merenung patung wayang kulit dalam kotak kaca pameran.

Ameera menjongket bahu. "Entah. Kulit lembu agaknya."

"Macam mana kalau dia pakai kulit manusia?"

"Kau jangan main-main. Kalau betul kulit manusia, mengigau kau karang."

"Mana tahu manusia tu dulu handsome. Hari-hari datang dalam mimpi pun tak apa."

"Shut up, Fatin! Gilalah kau ni." Ameera enggan melayan.

Fatin ketawa.

"Kalau bercakap tentang kesultanan di Malaysia, Perak sistem pertabalannya paling unik dan misteri," cerita Cikgu Saleha apabila melewati Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu.

"Apa yang misterinya, cikgu?" Qisya tertanya-tanya.

"Mereka ada istiadat yang dipanggil tabal jin," lanjut Cikgu Saleha.

Terpelangah pelajar mendengarnya.

"Istiadat ni dikatakan bermula apabila Sultan Muzaffar Syah ingin ditabalkan sebagai Sultan Perak. Baginda belayar dari Melaka dan kapal mereka terhenti di Beting Beras Basah sebab ribut kencang yang tak berhenti. Di situ, muncul jin yang minta baginda buang mahkota ke dalam laut. Bila Sultan Muzaffar Syah lakukannya, barulah kapal boleh berlayar. Sejak itu, setiap kali pertabalan diraja Sultan Perak akan datang ke Beting Beras Basah. Adat ni akan  disempurnakan oleh Pawang Diraja. Istiadat ni dihentikan oleh mufti Perak iaitu Tuan Haji Harussani Zakaria dan digantikan dengan Istiadat Tabal Pusaka," cerita Jameela secarapanjang lebar.

Ameera, Qisya dan Fatin terpegun mendengar sejarah yang pertama kali didengari mereka itu.

"Istiadat pertabalan tu agak lama. Kalau tak salah ambil masa tiga ke lima hari. Alatan yang wajib ada bagi istiadat pertabalan seperti Pontoh Ular Lidi iaitu sepasang gelang emas berbentuk kepala ular lidi yang dipakai di kedua-dua belah lengan Sultan Perak. Satu lagi, alat Geliga Embun. Kalau ada masa, kamu boleh Google untuk tengok macam mana rupanya," lanjut Cikgu Saleha lagi.

LEKA mereka melewati setiap inci muzium sehingga tidak sedar, waktu zuhur sudah hampir berlalu.

"Kita solat dulu di surau. Dah siap, semua berkumpul semula di sini. Kalau saya lambat, ketua kelas tolong check. Pastikan semua pelajar ada," pesan Cikgu Saleha.

Ameera selaku ketua kelas mengangguk. Para pelajar dan guru mula beransur ke surau. Dentingan gong dan muzik gamelan sayup-sayup menusuk gegendang telinga. Ameera menoleh. Laluan kirinya kelam. 

Di hujung laluan, terbias bayang-bayang seseorang seperti sedang mempersembahkan tarian tradisional. Seakan-akan dipukau, kaki gadis itu itu mula melangkah menyusuri laluan gelap itu.

Sehingga penghujung yang berselekoh, Ameera menjenguk sedikit. Tiga perempuan lengkap berpakaian Jawa kuno rancak menari tarian kuda kepang. Kuda kepang diselitkan di celah kangkang. Kaki berkali-kali dihentakkan ke lantai. Tubuh mereka seperti melayang ke sana ke mari mengikut rentak gamelan yang dimainkan oleh beberapa lelaki.

Ameera tidak berkejip mata melihat rentak tari itu. Cukup mengasyikkan. Tanpa sedar, dia sudah berdiri betul-betul di hadapan para penari kuda kepang. Perakam video dihidupkan. Merakam tarian yang pertama kali dilihatnya secara langsung.

Rentak tari yang mulanya lemah gemalai mula menjadi beringas. Para penari kuda kepang merengus nafas berkali-kali. Kaki dihentak kasar ke lantai hingga berdentam-dentum bunyinya. Kepala terteleng kiri dan kanan seperti naik syeikh. Ameera terundur setapak dua.

Mendadak, para penari itu berhenti. Pemain gamelan juga berhenti mengalunkan irama. Lambat-lambat mereka merenung Ameera dengan kepala terteleng. Bibir merekah dengan senyuman. 

Ameera mula tidak sedap hati. Bulu romanya tegak berdiri. Dia ingin beredar, malangnya kaki seakan-akan terpaku di situ. Salah seorang penari meletakkan kuda kepangnya ke lantai. Setapak demi setapak melangkah, lalu berhenti di depan Ameera.

Saat itu, barulah gadis itu perasan. Anak mata penari itu hitam pekat. Tubuhnya juga berbau pekung. Tidak ubah seperti telur tembelang. Pekat menjolok tekak hingga terasa mahu termuntah.

Ameera menunduk. Tidak berani bertentang mata. Saat itu, dia terlihat sesuatu yang  membuatkan jantungnya terasa mahu tercabut. Kaki penari perempuan itu tidak mencecah lantai! Pucat kebiruan seperti mayat. Tergantung di awang-awangan.

"Apa benda di tepi hutan. Entah hantu entah syaitan. Khadam makhluk dilaknat Tuhan. Jembalang merasuk si celaka badan."

Kulit kepala Ameera terasa tebal mendengar senandung perempuan itu. Meremang hingga kepalanya terasa mahu meletup. 

Perlahan-lahan dia mengangkat kepala. Tiada penari. Tiada pemain gamelan. Yang ada hanyalah ruang kosong yang gelap semata-mata.

"Kau buat apa kat sini?" Ameera terkejut. Dadanya diurut berkali-kali.

Sebaik menoleh, sekali lagi dia dihambat kejutan. Wajah Qisya pucat lebam. Matanya menangis air mata darah kehitaman. Terundur Ameera sehingga jatuh terduduk.

"Sorry, sorry, weh!" Qisya diburu rasa bersalah melihat Ameera yang terperanjat sebegitu sekali.

Dia membantu Ameera berdiri. Saat itu, wajahnya kelihatan normal. Tidak menyeramkan seperti tadi. 

"Dah dekat sejam kami tunggu, tapi kau tak muncul. Cikgu suruh cari. Mujur jumpa kau kat sini,"tokok Qisya lagi.

"Sejam?" Ameera tidak percaya. Rasanya baru lima minit dia di situ.

Dia bangun. Sara-bara berlalu dari situ. Meninggalkan Qisya yang terpinga-pinga melihatnya.

"Pelik-peliklah kawan aku sorang ni," bebel Qisya.

Selepas mereka beredar, suara perempuan bergurindam bergema. Sayu dan menyeramkan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.