Home Novel Kisah Hidup Aithusa (Sudah Terbit)
Aithusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:17:10
35
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 1

1: IMPIAN

SIKIT aje lagi!" Tangan Amalia berlari di atas papan kekunci. Dia memandang tiga skrin besar di hadapannya silih berganti. Baru pukul 3.00 pagi tadi, dia terjumpa kesalahan punca sistemnya gagal. 

Amalia baru membetulkan coding sistem semula. Butang enter ditekan untuk menguji keberkesanannya.

Sambil menunggu sistem diproses, Amalia sempat memberus gigi dan membasuh muka. Dia sudah terlewat bergerak ke universiti untuk mengambil kad kemasukan bagi Hackathon, Majlis Pengekodan dan Pertandingan Software Angine's Prodigy (S.A.P) yang hanya diadakan setiap dua tahun sekali.

Hackathon ialah pesta penting yang mengumpulkan jurutera perisian dari seluruh dunia untuk meningkatkan taraf perisian dan teknologi. Namun, tahun ini agak berbeza kerana ia diadakan di negara Lance oleh syarikat Software Angine atau S.A.

Jika perisian mereka menarik perhatian juri dan dilihat memiliki potensi, syarikat S.A akan menaja mereka dalam bentuk kewangan dan menyediakan pakar daripada S.A untuk membantu dalam pembuatan sehingga perisian itu berjaya dilancarkan. Mereka juga akan mendapat nasihat secara langsung daripada Tuan Ezra Rinamoto, salah seorang pengasas S.A.

Pakar perisian dari seluruh dunia akan berhimpun di Hackathon untuk membentangkan  perkembangan terkini dalam Teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Ini peluang besar bagi graduan IT untuk memajukan diri. Bekerjasama dengan syarikat S.A, bagai batu loncatan untuk semua graduan terbang lebih tinggi lagi. 

Amalia tidak sabar untuk menghadiri Hackathon yang akan diadakan dua hari sahaja lagi.

"Kak, ibu suruh makan."

Aniq, adik kembarnya bersandar di jenang pintu sambil menggigit buah epal. Muka Aniq nampak seperti tidak mandi. Barangkali dia tidak tidur semalaman kerana sibuk mencipta lirik untuk lagu terbaharunya. 

"Okey." Amalia mengangguk sambil memasukkan barang ke dalam beg galas. 

"Aku ada buat lagu baru tau. Nak dengar tak? Mengisahkan kakak yang suka terperap dalam bilik, buat coding." Aniq mencebik bila Amalia tidak mengendahkannya.

Sudah sebulan Amalia terperap dalam bilik demi menyiapkan ujian kemasukan untuk menyertai pertandingan Software Angine's Prodigy. Dia perlu mencipta perisian asas secara individu, membuat prototaip dan membentangkan ketika Hackathon nanti.

Pernah satu ketika, ada seorang graduan hanya menyiapkan perisian itu separuh jalan dan membentangkan UI sahaja, tetapi tetap diterima oleh syarikat S.A kerana Tuan Ezra berkenan dengan perisian itu. Jadi, bergantung pada jasa baik Tuan Ezra juga.

Di Lance, kepakaran sahaja tidak cukup. Perlu juga ada tuah, kabel dan duit. Jika tiada semua itu, sekurang-kurangnya usaha dan doa harus mengalahkan usaha orang lain.

"Aku dah lambat nak pergi universiti ini." Rimas Amalia dengan Aniq. Bukan mahu menolongnya mencari telefon pintar.

"Bukan kau dah habis peperiksaan akhir ke hari itu? Tinggal tunggu hari graduasi aje. Kenapa pergi universiti lagi?"

"Syarikat S.A bagi kad kemasukan Hackathon kat fakulti untuk memudahkan pelajar ambil," jawab Amalia laju.

Aniq tersengih di muka pintu. Dia terhibur melihat kakaknya.

"Aku banggalah dengan kau. Kakak aku yang dulu penakut sekarang dah berani kejar cita-cita dia." 

Amalia mencekak pinggang. "Kau apa tahu? Aku bukan penakut, aku cuma perlukan inspirasi daripada manusia yang berjaya."

"Aku kan inspirasi kau?" Aniq menarik kolar T-shirt ke tepi sehingga menampakkan bahu. Ada kesan parut tembakan yang berbekas, menampakkan daging berwarna merah jambu yang sudah kering.

"Lepas aku kena tembak sebab kejar impian, baru kau berani nak kejar impian. Kau tengok aku hidup, baru kau berani nak kejar impian. Akak tengok adik lompat, baru akak lompat. Aniq ini eksperimen yang berjaya, kan?"

"Aniq, kau kena tembak bukan sebab kejar cita-cita. Kau kena tembak sebab kebodohan kau, pergi keluar ke dataran masa tengah rusuhan. Nak kejar impian tak perlu sampai kena tembak. Kau boleh menyanyi tempat lain, nak juga menyanyi kat tempat banyak rusuhan. Lepas itu, sibuk tunjuk bekas parut mengejar impian suci!" Bengang Amalia dengan Aniq. Tidak habis-habis mengungkit kisah dia ditembak dan berbangga kerana selamat.

Aniq mencemik. Dia masuk ke dalam biliknya semula.

"Amalia, makan dulu! Apa bising sangat kat atas tu?" Ibu menjerit dari tingkat bawah.

Sistem Amalia telah selamat dimuat naik. Kerja-kerja yang lain dimasukkan ke dalam pemacu pena. Dia memasukkan laptop ke dalam beg. Sempat dia memandang keratan majalah yang terpapar wajah ceria Tuan Ezra Rinamoto yang ditampal di meja belajar sebagai pembakar semangat. Dia tersenyum melihat Tuan Ezra ketika muda. Tuan Ezra seorang lelaki yang sungguh berbakat dan berpengaruh.

"Satu hari nanti, kita akan bekerjasama dan kau akan bangga dengan aku!" Amalia berkata pada gambar Tuan Ezra.

"Amalia! Makan!"

Jeritan ibu itu mengembalikannya ke alam nyata.  Amalia berlari laju turun untuk bersarapan. Ibu dan ayah sudah berada di meja makan, menjamu pau kukus. 

"Amalia, makan dulu." Ibu meletakkan pinggan untuknya di atas meja.

"Tak sempat, ibu." Amalia mengambil epal di atas meja lalu dibaling ke udara. Dia mencium pipi ibu dan ayah sekilas sebelum menyambut epal yang dibaling tadi.

"Nice!" Dia tersengih nakal apabila epal itu selamat berada di tangan.

"Doakan Amalia, ibu, ayah."

"Anak ibu cemerlang, terbilang, gemilang dalam jagaan ALLAH selalu." Ibu melambaikan tangan, menghantar Amalia ke muka pintu.

"Aminnn!" Amalia turut membalas lambaian sebelum berlari ke arah perhentian bas.

"Nanti kita jumpa kat kedai," jerit ibunya.

AMALIA tersengih melihat nombor giliran pada kad kemasukan pertandingan S.A.P. Sepuluh orang peserta yang berjaya akan direkrut masuk ke dalam S.A sebagai prodigy dan dapat bekerja sambil belajar di syarikat S.A. Tidak sabar dia ingin berjumpa dengan idolanya, Tuan Ezra Rinamoto.

"Kau kat mana?" Amalia menghantar pesanan suara kepada Amer, kawan sekuliahnya.

"Depan bangunan kuliah kita." Amer membalas pesanan suara Amalia.

Sekarang ini, Amalia berada di tingkat dua bangunan Kulliyyah of ICT. Dari atas, dia dapat melihat sekumpulan pelajar sedang mengangkat sepanduk, melakukan demonstrasi di hadapan bangunan kuliah. Kebanyakan mereka adalah pelajar daripada kuliah perubatan dan juga sastera. Boleh tahan ramai yang datang demonstrasi hari ini.

Amalia berjalan mendapatkan Amer yang menayangkan muka toya di hadapan sekumpulan pelajar itu.

"Kenapa tu?" tanya Amalia dengan nada perlahan.

Amer menoleh memandang Amalia sambil menggeleng.

"Macam biasa. S.A buat hal, kita yang kena." Dia mengangkat bahu.

"Tahun lepas, S.A keluarkan AI yang boleh diagnosis penyakit dengan tepat. Bulan lepas, S.A keluarkan robot AI yang boleh buat pembedahan kepada pesakit, tapi dengan pengawasan doktor. Semalam, pembedahan pertama dijalankan oleh AI dan pembedahan itu berjaya. Pesakit hidup. Kebarangkalian pembedahan berjaya lebih daripada 50%. Risiko kematian dikurangkan.

Pakar negara Lance meramalkan, lima tahun akan datang kursus perubatan sudah tidak relevan dengan bantuan AI. Dalam kata lain, doktor dah tak relevan."

Amer tersenyum kelat.

"Maka, pelabur universiti kita memperuntukkan biasiswa hampir 60% pada kuliah kita. Kuliah perubatan mendapat peruntukan yang paling sedikit dalam universiti. Bukan universiti kita sahaja, universiti seluruh negara." 

"Kau tengoklah, kuliah kita paling baru bangunannya. Kuliah pelajar lain, berlumut! Memang patutlah pelajar lain marah." Ashraf Anwar, pelajar pertukaran dari Universiti VerseMedia menyampuk dari kanan. 

"Nampak sangat dianaktirikan," luah Ashraf Anwar sambil menggeleng.

"Oi Ashraf! Aku baru nak jumpa kau." Amalia tersengih. 

"Kau datang tak Hackathon kat S.A nanti? Ada pameran permainan hologram ciptaan baru S.A.

"Mestilah! Aku masuk program pertukaran pelajar di Universiti Lance pun sebab S.A pelabur utama universiti ini. 

Aku nak rasa pengalaman masuk S.A." Ashraf menjawab penuh semangat.

Amer menggeleng. "Nampak tak Kau masuk universiti ini pun sebab S.A. S.A syarikat gergasi. Setiap tindakan S.A mempengaruhi keputusan pelabur dalam dan luar negara. Gila tak gila?"

Serentak, mereka bertiga mengeluh melihat demonstrasi di hadapan mereka.

"Tapi bahagian perubatan yang paling penting untuk negara." Amalia berfikir sejenak.

"Doktor masih relevan. Semalam kan Profesor Adam Khai dah buat wawancara di media, mengatakan AI hanyalah alat dan tidak boleh sama sekali menggantikan doktor," sambung Amalia.

"Hmm ... Adam Khai." Amer mencemik. "Kau tak tahu ke, dia salah seorang yang menjayakan projek S.A?" 

Profesor Dr. Adam Khai ialah seorang pakar jantung yang paling berkemahiran di Lance. Dia juga merupakan pensyarah di kuliah perubatan, pemilik tujuh buah hospital besar di Lance dan juga salah seorang pemegang saham terbesar S.A. Tapi, kenyataan Adam Khai ketika diwawancara semalam bagai menyimbah minyak pada api yang marak. Kata-katanya membuatkan pelajar perubatan di Lance semakin marah.

"AI tidak akan sama sekali boleh menggantikan manusia. Tetapi hanya boleh menggantikan pekerjaan manusia yang bersifat repetisi. Sepatutnya, kita gembira beban kerja doktor dapat dikurangkan. Kalau ada manusia yang tercabar dengan AI, bermakna anda sememangnya tidak kompeten untuk jadi doktor."

Kenyataan Profesor Adam Khai yang seakan-akan mencabar kewibawaan pelajar kedoktoran itu, viral di media sosial sehingga mengundang kecaman. 

"S.A buat AI sebab negara kita kekurangan doktor pakar. S.A cuma buat penyelesaian berdasarkan tuntutan yang negara kita perlukan," jawab Amalia semula. 

"AI yang dibuat cuma untuk tampung kekurangan yang ada, bukan penyelesaian jangka panjang." Amalia menggeleng.

Dia tidak suka mereka bercakap buruk pasal Adam Khai kerana dia meminati Adam Khai sejak umurnya 10 tahun.

Adam Khai, Ezra Rinamoto, Ariell Ashton, Ryan Dylan dan Daniella Cortez, lima genius dalam kepakaran yang berbeza. Mereka bersatu mengasaskan S.A. Sudah tentu, S.A tidak setanding dengan syarikat teknologi lain. Mereka berlima adalah legenda yang membangunkan negara Lance.

"Semua orang tahu. Yang tak tahu cuma orang kapitalis yang mahukan pulangan cepat. Semua suka robot AI. AI cepat, murah, tak payah bagi gaji, tak perlu bagi pencen, tak sakit dan jimat kos. Kita bukan manusia dalam negara ini. Kita cuma graf turun dan naik dalam ekonomi. " Amer tersenyum kelat.

"Dahlah." Amalia mengeluh. "Bukan salah kita pun sebab ambil kursus ini."

Amer mengangguk. "Betul, bukan salah kita. Apa yang kita boleh buat, teruskan hidup berdampingan dengan AI. Itu realiti negara Lance sekarang."

Ya, benar. Inilah realiti negara yang Amalia diami. Negara Lance, negara kapitalis yang menjadikan teknologi tunjang negara. Pelajar ICT dan kejuruteraan merupakan penggerak utama negara. Mereka dimusuhi pelajar dari kuliah lain kerana diibaratkan sebagai mencabar disiplin ilmu dan etika peradaban manusia. Pelajar lain fikir mereka akan menggantikan semuanya kepada AI. 

Dan ini ... kisah Amalia. Kisah jatuh dan bangunnya dalam negara yang dipenuhi saingan sengit. Dia bukan sahaja perlu bersaing dengan sistem kapitalis; orang kaya, ada kabel dan berbakat. Dia juga perlu bersaing dengan AI yang manusia sendiri menciptanya. 

Persoalan, kenapa Amalia relevan dalam negara ini, sedangkan mereka boleh menggantikan Amalia dalam sekelip mata?

"Kau dapat nombor giliran berapa?" Amalia bertanya, melihat kad itu di tangan Amer.

"Aku dapat nombor 33." Amer mengangkat-angkat keningnya dengan wajah bangga.

"Bertuah tak nombor aku?" soal Amer. 

"Kau tak tengok lagi nombor aku, 100!" Amalia membesarkan mata dengan wajah kemenangan.

Hasil datang lambat untuk mengambil nombor giliran, maka dia dapat nombor akhir sekali. Nampaknya, dia peserta terakhir yang akan diuji.

"Dah siap sistem kau?" tanya Amer seraya duduk di bangku tepi tasik. Kaca matanya ditanggalkan, kemudian dilap kaca mata itu dengan sapu tangan.

Amalia hanya tersenyum melihat tindak-tanduk Amer. Wajah Amer ada karisma, badannya berotot sasa dan tinggi. Dia ada wibawa dan aura seorang lelaki bangsawan. Amalia juga tidak menyangka boleh berkawan dengan Amer selama ini. Amer begitu misteri. Dia perahsia. Sudah lima tahun mereka berkawan, dia tidak pernah tahu siapa ibu bapa Amer atau latar belakang keluarganya.

Pertemuan pertama Amalia dan Amer sangat tidak baik. Amer seorang yang sambil lewa tentang tugasan. Dia pandai, tapi malas. Kerap juga mereka bergaduh kerana sikap Amer itu.

"Tinggal betulkan sikit. Kod aku berjaya, tapi tak kemas." Amalia hanya mengangkat bahu.

"Boleh aje aku kemaskan dalam masa dua hari. Kau?"

"Dah." Amer mengangguk laju.

Amalia menekup mulut dengan muka berpura-pura terkejut.

"Pertama kali kau siap tugasan. Kalau tugasan individu bukan main kau siapkan. Kalau tugasan berkumpulan, seronok kau jadi free rider, kan?" 

"Aku buatlah, cuma lambat sikit." Amer mencebik tidak berpuas hati apabila Amalia mengungkit perangainya yang malas itu.

"Balik nanti makan kat restoran mak ayah aku, jom? Mak ayah aku tanya, kenapa dah lama tak bawa kau makan kat restoran dia," ajak Amalia.

"Restoran mak ayah kau tu ramai orang." Amer mengelap air tin dengan sapu tangan, kemudian membuka penutup tin itu. Air tin soda itu diberikan kepada Amalia. 

"Malas nak beratur lama. Orang dah lapar. Bukalah cawangan banyak. Restoran Mi Tarik itu popular sangat." 

Amalia menyambut baik air itu lalu meneguknya. "Terima kasih." Air soda itu diteguk lagi. Dia haus gara-gara berkejaran ke universiti tadi.

Amer mengeluh. "Hackathon lagi dua hari." Dia bermain-main dengan air tin di tangannya.

"Kita dah habis belajar, tinggal tunggu tarikh graduasi sahaja. Lepas ini, kita mungkin dah tak selalu jumpa. 

Mungkin kita berjaya masuk jadi prodigy dan mungkin tidak. Kalau kau tak berjaya jadi prodigy bawah S.A, macam mana?" luah Amer.

Amalia terdiam sambil melempar pandangan jauh ke tasik Universiti Lance. Universiti mereka betul-betul berada di tengah ibu kota Lionel. Di hadapan mereka tersergam bangunan pencakar langit milik S.A berdekatan dengan lereng bukit. Puncaknya hampir tidak kelihatan kerana ditutup dengan awan dan kabus yang tebal. Tidak cukup dengan itu, ada hologram yang terpancar di ruang angkasa mengiklankan video pembukaan sempena Hackathon yang akan berlangsung dua hari lagi. 

Teknik pemasaran S.A selalu berbeza daripada yang lain. Semalam, hologram robot setinggi bangunan 88 tingkat bergaduh di tengah bandar Lionel bagi menggembar-gemburkan pesta Hackathon. Itu sudah cukup buat rakyat Lance tercengang. Syarikat lain sibuk menyewa papan iklan di tepi lebuh raya, tapi iklan S.A akan terpancar di ruang angkasa. Langit itu seperti kanvas kepunyaan mereka untuk ditulis sesuka hati.

"Entah. Adik aku kata dalam hidup jangan ada 'kalau'. Kalau kita ada plan B, kita tak akan serius dengan plan A." Amalia tersenyum kecil dengan mata menyepet.

"Kalau kau takut, buat aje walau takut, gugup dan tak pasti. Yang paling penting, kau buat. Gagal ke, berjaya ke, tak kisah ... janji kau buat. Kita tak boleh betulkan kesalahan daripada kertas yang kosong." 

Amer tergelak. "Kau percaya sangat kata-kata adik kau itu."

Amalia turut tertawa. "Aniq memang nakal, tapi dia tempat aku bergantung. Kebanyakan apa yang dia cakap memang tak masuk akal, tapi akan jadi masuk akal bila kau hampir jatuh." Bahu diangkat.

"Bila kau perlukan sesuatu yang mustahil untuk teruskan perjuangan yang mustahil dalam dunia yang gila."

Berdekah Amer mendengarnya.

"Faham."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.