Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
1,488
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog2

CANNING dan Watkin mewakili kerajaan British. Hendrik dan Reinhard pula mewakili kerajaan Belanda. Mereka diarahkan datang ke situ sebelum perjanjian termeterai. Arahan hadir daripada kuasa tertinggi. Maka, tiada sebarang bantahan. Walaupun mereka tidak berpuas hati, arahan itu harus dipatuh. Kapal meredah samudera berbulan-bulan lamanya sebelum tiba di situ. Puas melanggar ombak dan ribut yang kerap membadai laut.

Masing-masing lengkap berpakaian seperti golongan bangsawan lagaknya. Kemeja berkolar tegak dan disarungi redingote berwarna hitam kebiruan serta mengenakan topi tinggi. Muka sudah kemerahan dipanah mentari yang terik memancar.

Mereka diiringi oleh dua laki-laki lelaki tempatan hingga tiba di situ. Sengaja mempamerkan wajah angkuh setiap kali berselisih dengan penduduk yang mengangguk dan tersenyum kepada mereka. Taraf mereka jauh lebih tinggi dirasakan. Mereka seperti hidup di kayangan. Penduduk tempatan adalah hamba yang boleh disepak terajang.

"Ini tempatnya?" soal Canning. Bahasa Melayunya pekat loghat British.

Dua laki-laki itu mengangguk hampir serentak. Canning menggerakkan tangan sekali dua. Memberi isyarat supaya mereka beredar dari situ. Empat pasang mata merayapi rumah buruk lagi usang di depan mereka. Kemudian, masing-masing berpandangan.

"Is this a joke?" Wajah Canning semakin merah.

Hangat matahari dan bahang baran di dalam dada saling bergelumang. Terasa seperti  dipermainkan oleh pihak kerajaan.

"Berbulan-bulan naik kapal untuk datang ke rumah buruk begini?" Kali ini, Hendrik pula bersuara.

"This is rubbish!" Reinhard tergeleng-geleng.

Mereka sudah berkira-kira mahu pulang. Watkin pegun di situ. Merenung tajam rumah buruk itu.Kemudian, dia menarik lengan bajunya. Menunjuk bulu romanya yang meremang. 

"Ada sesuatu di dalamnya," beritahu Watkin.

Sekonyong-konyong, pintu rumah berkeriut terbuka. Muncul seorang perempuan Melayu. Wajah tegang. Lengkap mengenakan busana songket hitam. Rambut panjang tersanggul kemas. Berjalan setapak demi setapak. Berdiri di hadapan pegawai Inggeris dan Belanda.

"Just a women," ujar Canning sambil tergelak-gelak.

Disahut oleh kedua-dua pegawai Belanda. Hanya Watkin mengunci bicara. Tanpa disedari, tubuhnya menggeletar. Gementar ketakutan.

Mendadak langit bertukar gelap. Angin bertiup kencang. Galak membadai sehingga sebatang dua pokok sekah, lalu tumbang ke bumi. Guruh berdentum sehingga terasa menggegarkan tanah. Petir sabung-menyabung hingga menyilaukan mata.

Mereka tertunduk-tunduk cemas. Asap sulang hitam berjelaga menjalar di atas tanah seperti akar pokok. Muncul dari tubuh perempuan itu. Seraya membelit tubuh Canning. Lelaki Inggeris itu terbeliak ketakutan. Dia terawang berapungan. Belitan kuat hingga tulang rusuknya terasa seperti berselisih. Dia menyeringai kesakitan.

Tubuhnya didirikan di depan perempuan itu. Saat itu, barulah Canning perasan. Wajah perempuan itu mengerikan. Gigi tajam keruncingan. Mata merah bersinar.

"De ... devil." Suara Canning tersekat-sekat. Mukanya pucat kebiruan. Tidak mampu bernafas.

Perempuan itu mengangkat jari telunjuknya yang berkuku tajam. Ditekan di tengah-tengah dahi Canning. Lelaki itu terlopong. Mata hitamnya naik ke atas. Liurnya menjelejeh seperti terkena serangan sawan. Tubuhnya tersentak-sentak.

Lalu, Canning tercampak ke belakang. Terbatuk-batuk melegakan dada yang sempit. Mukanya pucat pasi.

"Aku nampak masa depan. Perang demi perang. Ramai yang mati. Dunia musnah. Semua ni takkan berakhir." Tubuhnya menggeletar. Suaranya terketar-ketar ketakutan.
Terkial-kial Canning bangkit lalu menyembah perempuan di depannya itu. Perlakuan itu diturutipegawai Inggeris dan Belanda yang lain. Salah seorang kemudiannya bangkit. Takut-takut mendekati. Menyerahkan beberapa keping kertas keras kepada perempuan itu. Jelas tertera di kepala kertas.

PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA 1824

Previous: Prolog1
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.