Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
1,487
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

Tahun 2009

PEPERIKSAAN hujung tahun bakal menjelang. Para pelajar sibuk menelaah pelajaran di bilik belajar. Biasanya waktu prep bermula selepas solat isyak. Berakhir kira-kira pukul 10.30 minit malam. Ameera tekun mengulang kaji subjek Pendidikan Islam. Bab akidah diberi penekanan kerana dimaklumkan oleh Ustazah Rosmizah akan keluar dalam soalan peperiksaan.

"Antara contoh khurafat adalah mempercayai azimat, memohon hajat kepada kubur, mempercayai binatang boleh membawa tuah dan membuang ancak bagi menghalau hantu."

Perkataan terakhir itu mengundang remang di lehernya. Serentak bau busuk seperti telur tembelang memusut keras. Ameera menekup hidung. Isi perutnya terasa menjeluak. Pekungnya pekat terasa melekat di tekak.

"Meera ...."

Ameera terkesiap. Dadanya diurut-urut.

"Kau ni, Qisya. Lain kali bagilah salam dulu. Berapa kali dah aku pesan."

"Sorry, sorry. Tak sangka pula kau nak terkejut macam tu sekali." Qisya serba salah.

Ameera hanya mendiamkan diri. Dia tercari-cari punca bau busuk tadi. Tidak pula ditemuinya.

"Kau cari apa?" tegur Qisya.

"Tak. Tak ada apa-apa. Kau dah habis study ke?" Ameera mengalihkan topik perbualan.

"Siap dah. Aku nak ajak kau teman solat isyak kejap lagi. Tadi, aku terlena kat dorm. Mujur warden tak periksa."

Ameera menilik jam terikat di tangan. Hampir 10.30 minit malam.

"Boleh juga. Aku pun terlepas solat isyak tadi. Hari ni, nasib kita berdua baik kut. Selalunya, warden rajin meronda cari pelajar tak pergi surau," balas Ameera.

"Cantik! Aku balik bilik dulu. Nanti jumpa di surau." Selajur Qisya berlalu.

Ameera berteleku di meja belajar. Bau busuk tadi mengganggu fikirannya. Kata-kata Ustazah Rosmizah bermain di benak. Jika terbau busuk seperti najis tanpa punca, itu tandanya jin dan syaitan berdekatan dengan kita. Mengingatkan itu membuatkan Ameera meremang hingga hujung kaki. Buku dikatup. Cepat-cepat dia ke surau.

SAMPAI di surau, Ameera menjenguk sedikit ke dalam. Suram. Hanya cahaya rembulan penuh terbias masuk menerusi tingkap. Satu susuk gadis bertelekung hitam sedang berdiri menghadap kiblat. 

"Kata nak tunggu aku solat. Sekali, dia yang solat dulu. Hisy!" omel Ameera.

Dia mengambil wuduk dan muncul semula di ruangan solat. Tangan menggagau suis di dinding dan lampu dihidupkan. Qisya masih berdiri menghadap kiblat dengan tangan berkiam. Ameera menyentuh lembut bahu Qisya memberi isyarat dirinya menjadi makmum. Takbiratulihram diangkat. Solat mula didirikan.

Sembahyangnya lancar hinggalah pada rakaat ketiga, hati Ameera dirunjam rasa tidak enak. Dia perasan Qisya bersolat dengan tubuh menghadap kiblat, tetapi kepala berpaling 180 darjah menghadap ke arahnya! Nafasnya menderu. Peluh dingin membasahi dahi.

Pada ketika duduk di antara dua sujud, Ameera menggerakkan sedikit bebola matanya melihat hadapan. Nafas lega terhembus. Ternyata apa yang difikirkan itu salah. Mungkin yang dilihatnya tadi hanya khayalan semata-mata.

Selesai bangun dari sujud pada rakaat keempat, Ameera terpelangah. Qisya menghilang entah ke mana. Solatnya diteruskan hingga selesai. Dia tercari-cari rakannya itu.

Bunyi kertas terkoyak menusuk gegendang telinga. Perlahan-lahan dia berpaling. Satu susukgadis bertelekung hitam, duduk terbongkok membelakanginya. Tubuh bergoyang-goyang ke depan belakang seperti orang khusyuk berzikir. Bersungguh-sungguh dia mengoyak kertas.

Antara berani dan takut, dia menghampiri. Berdiri berselang satu lapisan saf. Leher dipanjangkan cuba mencuri lihat perbuatan gadis itu. Nanap mata Ameera apabila melihat gadis itu sedang mengoyak kitab suci al-Quran!

Sehelai demi sehelai lembaran dikoyak dan dicarik. Berterabur cebisan kertas atas karpet surau. Bangkit rasa radang Ameera melihat kalamullah diperlakukan sebegitu rupa.

"Awak buat apa ni?" Bahu gadis itu disentuh.

Mendadak dia berkalih. Jantung Ameera terasa terputus dari tangkai. Gadis bertelekung itu wajahnya mengerikan. Mukanya terkopek-kopek. Sebahagian kulitnya bergantungan. Matanya rompong mengalirkan darah kehitaman di kedua-dua belah pipi seperti tangisan.

Gadis itu terus menerkam. Tubuhnya kuat menggencet Ameera. Batang leher gadis itu dicekik dengan sepasang tangannya yang berkuku tajam. Ameera bergelut cuba melepaskan diri. Mulutnya ternganga-nganga menampakkan sebaris giginya yang runcing. Berkali-kali menghunjam cuba membaham muka gadis itu. Liurnya pekat menjelejeh jatuh mengenai muka Ameera. Bau hanyir tertelan hingga ke dasar perut.

"Kau harus mati!" Suaranya garau. 

"Allahuakbar!" jerit Ameera hingga ke puncak suara. Tubuh gadis itu ditolak hingga tergolek.

Dia bangkit. Terkencar-kencar berlari keluar dari ruangan solat. Pintu surau dibuka. Qisya berdiri di muka pintu. Ameera pantas memeluknya. Air mata lebat membasahi pipi.

"Aku takut, Qisya. Aku takut," ratib Ameera berulang kali.

Qisya yang kebingungan mengusap lembut belakang tubuh Ameera. Sambil itu matanya melilaumelihat pekarangan surau. Tiada apa-apa yang aneh. 

"Dah, dah. Kita balik bilik sekarang," pujuk Qisya.

Baru beberapa langkah menapak, tubuh rakannya melorot dan rebah ke lantai. Qisya berasa cemas.

Kedua-dua belah tangan dan leher Ameera calar-balar hingga menampakkan isi putih. Tidak ubah seperti dicakar-cakar. Qisya makin dihambat kerisauan.

QISYA masuk ke bilik menjinjing plastik berisi makanan. Diletakkan atas meja belajar. Kemudian, dia mendekati Ameera yang lena di atas katil. Badannya berselimut. Dahi rakannya disentuh. Alhamdulillah ... demamnya sudah kebah. Tidaklah panas seperti tadi.
Pagi tadi, Ameera dibawa guru bertugas mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. Dia berbohong mengatakan dirinya dicakar kucing liar. Doktor yang merawat memberikannya cuti sakit selama dua hari. Mujur juga Ameera pengsan sekejap sahaja semalam. Selepas pipinya ditampar berkali-kali, rakannya itu sedar. Dipapah masuk ke bilik.

Selimut diselak sedikit. Kesan calar berbekas di leher dan tangan rakannya itu. Mengingatkan semula cerita Ameera membuatkan bulu romanya meremang. Tidak pernah kejadian seumpama itu berlaku. Yang tahu cerita itu hanya dia dan Fatin. Berkali-kali Ameera pesan jangan beritahu mana-mana cikgu dan ibu bapanya. Dia tidak mahu keadaan menjadi kecoh.

"Demam Meera dah kebah ke?" tegur Fatin yang baru masuk ke bilik.

Dia menanggalkan tudung, lalu mencapai tuala untuk mengesat muka yang berpeluh. Dia baru sahaja selesai latihan bola baling.

"Makin elok dah aku rasa."

"Kau tak rasa pelik ke tiba-tiba Meera kena macam ni? Yang aku ingat, semua ni jadi lepas datuk dia meninggal," ujar Fatin. Suaranya direndahkan sedikit.

Tidak mahu Ameera terdengar dan terjaga daripada tidur.

"Maksud kau, mungkin apa berlaku ni ada kaitan dengan arwah datuk dia?"

"Ini andaian aku ajelah. Sebab aku ingat, Meera pernah cerita yang perangai datuk dia ni pelik sikit. Itu yang bapa dia tak nak balik kampung. Sampailah datuk dia meninggal dunia." 

Qisya termenung mendengarnya. "Takkan datuknya bela saka?"

Ameera terbatuk kecil lalu terjaga daripada tidur. Perbualan mereka bubar. Qisya membantu rakannya itu duduk.

"Aku tapau nasi dari kantin tadi. Aku suapkan kau makan, eh? Karang gastrik lagi susah," pujuk Qisya.

Setahunya, dari pagi lagi perut rakannya hanya berisi sekeping roti Gardenia. Lambat-lambat Ameera mengangguk. Fatin pula mengenakan tuala. Bersiap untuk mandi. Sesuap dua nasi dijamah, pintu bilik mereka diketuk. Salam suci turut dilontarkan. Masing-masing  berpandangan. Tertanya-tanya siapa yang datang. Fatin mampir dan membuka pintu.

"Eh, ada apa puan datang?" tegur Fatin.

Jarang warden datang ke asrama melainkan jika berlaku apa-apa masalah. Warden wanita itu menjenguk memandang Ameera.

"Bapa kamu datang nak jumpa. Dia tunggu di bawah."

Sebaik warden beredar, Ameera memandang dua rakannya itu silih berganti.

"Siapa yang bagi tahu ayah aku?"

Fatin serba salah. "Aku bagi tahu Cikgu Saleha sebab risau tengok keadaan kau. Minta maaflah, Meera. Aku buat ni pun untuk kebaikan kau juga."

Ameera mencapai tudung tersepuk di kepala katil. Melangkah malas keluar dari bilik mendapatkan bapanya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.