TUBUH Bayu sedang terbakar dari hujung kaki hingga ke hujung kepala. Dia tidak menjerit kesakitan, malah kulitnya yang sawo matang tidak sedikit pun terkesan dengan api yang memeluk diri. Sewaktu baju dan seluarnya terus dimakan api, dia duduk melutut dengan wajah berkerut tidak keruan.
Air mata yang mengalir terus mengewap, sedang bahu terenjut-enjut melayan duka. Tangisan yang tergantung bukanlah kerana dirinya. Tidak! Bayu sudah menelan kenyataan aneh tentang tubuhnya sejak kecil lagi.
Setiap kali dia berasa takut, cuak atau emosi terlalu kuat, tubuhnya mulai terbakar. Seperti cebisan kayu yang menangkap bara dan terus menyala. Sudah terlalu banyak cerita yang didengari tentang ibu dan bapa yang bergelut untuk menjaga dirinya sewaktu masih bayi lagi.
Bayangkan, sewaktu menangis mahukan susu, tubuhnya terbakar. Nak tidur pun boleh terbakar. Tak ada orang mahu dukung? Juga terbakar. Tetapi, perjalanan masa mengajar ibu dan bapanya untuk mengetahui tanda-tanda kebakaran. Andai saja badannya mulai berasa panas, mereka terus meletakkan dirinya ke dalam besen yang mengandungi air.
Sama saja seperti kebakaran yang biasa berlaku. Pasti ada punca dan mulanya. Jadi, jika dapat dicegah segera tiadalah yang menjadi makanan api. Bapa Bayu sering berseloroh, mengatakan diri anaknya seperti ubi kayu rebus. Panas apabila dipegang, lebih-lebih lagi apabila mula meragam. Namun, bapanya tahu isi hati Bayu lembut seperti isi ubi kayu rebus. Ibu pula akan ketawa walaupun sudah berkali-kali mendengar seloroh yang sama.
Semenjak Bayu sudah pandai berfikir sehinggalah berumur tujuh tahun sekarang, dia telah diajar dengan sebaik mungkin oleh ibu bapanya untuk mengawal emosi.
Berkat kesabaran ibu dan bapanya, dia membesar menjadi kanak-kanak yang sentiasa berfikir tentang perasaan orang lain dan menjaga hati sendiri. Apatah lagi, ibu dan ayahnya tidak pernah sekali pun menaikkan suara.
Entah mengapa, saat ini segala macam emosi sedang bertelingkah dalam tubuh kecil Bayu. Jiwanya hilang kawalan. Bara yang selama ini berjaya dipendam menyala dengan marak. Raganya menjadi kayu api untuk relau jiwa.
Bukan sahaja dirinya yang sedang terbakar, dinding bangunan di sekitar Bayu juga dibaham api. Lidah api yang membara menjilat siling rumah yang sudah sedia hitam legam disebabkan jelaga. Sedu sedan Bayu ditenggelamkan oleh gemeresik bangunan yang mulai hancur berkecai.
Tangisan Bayu juga tidak mampu menjinakkan api yang sudah mengganas dalam jiwa, apatah lagi api yang sedang perlahan-lahan menerkam ke arah Bayu.
"Ibu ... ayah ... Bayu takut. Apa Bayu nak buat sekarang?" soal Bayu kepada ruang udara yang dipenuhi bara api yang menari-nari seperti salji dari neraka.
Bayu mengecilkan tubuh sambil memeluk lutut. Sedari tadi, dia berlari dan terus berlari cuba mencari jalan keluar. Ibu dan bapanya terpaksa ditinggalkan di bilik tidur.
"Keluar, Bayu! Minta tolong!" pinta bapanya sebentar tadi sambil merangkul ibu yang sudah tidak sedarkan diri.
Sebelah kaki bapanya telah dihempap tiang rumah. Hanya Bayu yang berupaya untuk bergerak. Walaupun dirinya kalis api, namun asap sudah memenuhi ruang pernafasan. Kepalanya berpusing, pandangan menjadi kelabu seperti asap yang semakin hitam di sekelilingnya.
Sejak bila rumah mereka sebesar ini? Mengapa sewaktu dia berlari langsung tidak bertemu jalan keluar?
Sedikit ruang otak yang masih berfungsi memberikan jawapan. Bukan rumah mereka saja yang terbakar, tetapi seluruh perkampungan ini.
Bayu dapat mendengar sayup-sayup kekecohan di antara bunyi siren bomba. Tetapi, kudratnya semakin tipis. Dia tidak mampu untuk berlari lagi.
"Bayu minta ... maaf," ujarnya sendiri sambil memeluk lutut lebih rapat.
Baju dan seluarnya sudah habis terbakar. Tinggal seluar dalam kalis api yang sedang gigih bertahan melawan api daripada diri sendiri.
Hati Bayu kuat mengatakan yang semua ini berpunca daripada dirinya. Dia adalah bara yang menunggu masa saja untuk membakar semuanya. Akhirnya, tanpa diduga dia telah menghadirkan neraka di atas muka bumi ini.
Esakan Bayu semakin deras. Dia berasa begitu kecewa dan marah dengan diri sendiri. Apatah lagi memikirkan ibu dan bapanya yang terpaksa ditinggalkan. Ada baiknya dia tinggal sahaja bersama mereka. Sekurang-kurangnya, mereka akan pergi bersama.
Kini, Bayu sedar yang dia sendirian. Kalaulah dia boleh terus membakar diri dan membiarkan tubuhnya menjadi abu. Malangnya, tidak boleh. Api bagi Bayu seperti air. Hangatnya tidak terasa dan bahangnya tidak pernah menghadirkan lecur. Hanya asap yang mampu melemaskan Bayu.
Belenggu asap menyesakkan dada dan mencengkam kerongkong Bayu daripada membenarkan paru-paru mendapatkan udara. Dia terbatuk-batuk menelan asap. Dunianya semakin kabur. Bayu membiarkan sahaja dirinya ditarik ke dalam kegelapan. Tiada gunanya melawan lagi. Tidak semena-mena, dunianya terasa bergoncang.
"Dik! Bangun! Boleh dengar suara pak cik tak?"
Suara seorang lelaki dewasa mengetuk kasar gegendang telinga Bayu. Entah mengapa, suaranya kedengaran diredam. Mungkin kerana mindanya sendiri sedang meniti antara realiti dengan alam sebelah lagi.
Perlahan-lahan Bayu membuka mata. Kelihatan seorang ahli bomba duduk di sampingnya sambil membasahkan sehelai kain. Baru saja ahli bomba itu ingin menekup wajahnya dengan kain basah, mata lelaki di sebalik topeng pelindung muka itu terbeliak. Kain basah hampir saja terlepas daripada pegangan lelaki itu.
Bayu memaksa diri untuk duduk dan mencapai jaket oren ahli bomba itu dengan tangan yang terus terbakar. Dia mencengkam kuat jaket ahli bomba itu yang masih kelihatan tergamam.
"Pak cik ... tolong selamatkan mak dan ayah saya."Bayu merayu.
"Tapi ... kamu ...." Ahli bomba itu mati kata.
Matanya menangkap keadaan aneh tubuh Bayu. Diselubungi api, tetapi kulitnya sedikit pun tidak melecur. Hanya tinggal cebisan-cebisan baju dan seluar. Ahli bomba itu mengetuk topeng mukanya dan menarik diri keluar daripada kebingungan.
"Letak kain ni pada muka kamu. Kita keluar dulu dari sini," arah ahli bomba itu sambil menghulurkan kain basah.
"Tapi, mak dan ayah saya ...." Bayu masih mendesak dalam esakan.
Setelah Bayu menyambut kain basah itu, tanpa teragak-agak ahli bomba itu terus mendukung dirinya. Tangannya segera ditarik supaya menekap kain basah itu pada wajah. Ahli bomba itu langsung tidak mempedulikan bahang dan api yang masih menyala di tubuhnya.
Tidak pasti sama ada bahang pada tubuh Bayu tidak begitu dirasai ahli bomba itu kerana mereka sedang berada di tengah lautan api atau api dari tubuhnya tidaklah sepanas yang disangkakan.
Tatkala ahli bomba itu berlari menuju ke jalan keluar yang dikelilingi dinding-dinding api, ahli bomba itu berbicara tenang, menjawab permintaannya sedari tadi.
"Jangan risau. Ada pak cik lain akan selamatkan mak dan ayah kamu." Ahli bomba itu berhenti sebentar.
Kepalanya menoleh ke kiri dan kanan, mencari jalan.
"Yang penting, kamu kena selamat dulu, okey?"
Di dalam dukungan ahli bomba itu, Bayu mengangguk lemah. Api pada tubuhnya semakin reda. Dunianya juga semakin gelap. Ketika itulah siling bangunan jatuh, lalu menghempap tubuh mereka.