Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
591
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

Tahun 1993

ZAMAN meneliti papan siasatan yang tergantung di depannya. Mukanya tegang tanpa segarit senyuman. Dia merupakan pegawai polis berpangkat tinggi di Selangor yang ditugaskan mengetuai siasatan kes orang hilang di Lembah Klang. Hampir setahun kes berlalu tanpa petunjuk yang khusus. Mukanya licin tanpa tunggul-tunggul janggut diraup.

"Ini bukan yang pertama. Dan, aku pasti bukan yang terakhir."

Beberapa pin tersemat di papan siasatan. Benang merah berselirat merentang di antara satu sama lain. Menjalinkan satu perkaitan. Di atas meja bersusun fail mangsa-mangsa yang terlibat.

"Bermula kehilangan seorang pemuda di Lumut. Selepas tu, seorang gadis di Butterworth, Alor Gajah, Muar, Kulim dan Bentong pula jadi mangsa. Paling terbaru di Lembah Klang."

Otaknya berputar ligat cuba mencari jejak jenayah. Jika hendak dikatakan ini adalah jenayah bunuh dan rogol, sehingga hari ini mangsa tidak pernah ditemui. Motif penculikan juga jauh sekali. Tiada wang tebusan yang diminta. Setiap keluarga mangsa yang terlibat juga status sosial berbeza. Ada yang kaya. Ada yang hidup sederhana.

Bahkan hampir kesemua mangsa hidup aman tiada musuh. Paling membingungkan, kedua-dua jantina turut menjadi mangsa. Tiap lapisan umur juga terlibat. Satu perkaitan yang pasti, setiap mangsa hilang sebelum bulan Safar menjelang.

"Tempoh sebelum bulan Safar." Perkataan Safar ditulis lalu dilekatkan di tengah-tengah papan siasatan. 


Benang yang menghubungkan setiap imej mangsa dijalinkan ke perkataan itu.

"Apa motif dia? Apa kaitan mangsa-mangsa ni dengan dia?" Zaman bersoal jawab dengan dirinya sendiri.

"Setiap ahli keluarga mangsa tak kenal antara satu sama lain. Jadi, motif dendam lama tak wujud dalam kes ni," gumam Zaman lagi.

"Atau mungkin ada ritual bertuhankan syaitan sedang berlaku di negara ni?" Zaman termangu sejenak. Buku berjudul "Tata Rakyat" dicapainya. Dibaca seimbas lalu. Kemudian, dia  mengambil pula buku bertajuk "Kebudayaan Asli Melayu Tua". Bab khusus berkaitan bulan Safar ditelitinya.

"Bulan Safar dikatakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka. Terutama pada hari Rabu minggu terakhir. Jadi upacara 'Mandi Safar' atau 'Puja Pantai' akan dilakukan oleh orang Melayu untuk menolak sial. Orang ramai akan berkumpul di pantai dan berenang di laut. Mereka juga akan minum air rendaman kertas yang ditulis dengan ayat suci al-Quran atau dipanggil wafak. Kerbau juga akan disembelih untuk dijamu kepada roh laut agar urusan mencari rezeki di lautan dipermudahkan." Zaman merumuskan serba sedikit pembacaannya sebentar tadi.

Setahunya, amalan mandi Safar itu difatwakan haram oleh mufti dan kemudian sekitar tahun 1980-an, Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Pendidikan telah berusaha menghapuskan amalan mandi Safar dalam kalangan orang Melayu.

Tuk! Tuk! Tuk!

"Tuan ...."

"Masuk."

Pegawai bawahannya menjenguk sedikit. Zaman mengangguk mempelawanya masuk.

"Ada apa, sarjan?" tegur Zaman sambil berpeluk tubuh. Masih menghadap papan siasatan.

"Ini buku-buku yang tuan minta saya cari tempoh hari." Beberapa naskhah diunjukkan kepada Zaman.

Pegawai itu menyambutnya. Dua naskhah menjadi pilihan. Selebihnya diletakkan atas meja. Talib memerhati buku bertajuk "Freemason di Malaysia Dibela?" tulisan Yusuf Jalil dan juga "Satanic Ritual" tulisan Anton La Vey. "Berminat nampaknya tuan topik pemujaan syaitan ni?" tegur Talib.

"Cari maklumat lebih." Jari telunjuk menuding papan siasatan.

"Jadi, tuan cuba kaitkan kes orang hilang akhir-akhir ni dengan hal mistik?" duga Talib.

Zaman meletakkan kedua-dua buku di atas meja. 

"20 tahun aku jadi polis, belum pernah lagi aku jumpa kes bersiri yang langsung tak ada petunjuk dan motif. Pelaku sangat teliti. Langsung tak ada jejak. Satu-satunya yang berkait antara semua mangsa ni, mereka hilang sebelum bulan Safar menjelang. Jadi, aku tak boleh tengok dengan pandangan hitam putih saja."

"Tapi, setahu saya tuan tak percaya dengan hantu setan segala?"

"Prinsip boleh dilanggar asalkan tujuannya betul. Setan tak boleh culik manusia. Tapi, manusia setan boleh." Zaman mendengus.

"Apa yang kau tahu pasal bulan Safar?" tanya Zaman setelah sunyi melingkari sejenak.

"Yang saya tahu, tentang mandi Safar. Pernahlah saya amalkan dulu sampailah saya tahu amalan tu bidaah. Islam ni agama tauhid. Mandi Safar ni zahirnya fiqh dan berkait dengan akidah. Fiqhnya bidaah. Akidahnya pula syirik jika percaya bulan tertentu membawa sial. Saya taubat dan tinggalkan terus sampai hari ni."

Telefon pejabat berdering. Zaman terus mengangkat gagang.

"Abang balik cepat. Ada orang nak pecah masuk rumah kita."

Suara isterinya menggeletar ketakutan. Langsung panggilan terputus. Zaman diamuk cemas. Pistol dalam laci dicapainya. Diselit ke pinggang. Terkocoh-kocoh berlari keluar dari bilik. Meninggalkan Talib yang tercengang-cengang.


JANTUNG terasa mahu pecah melihat pintu rumahnya terpelahang. Kereta Saga berhenti mendadak. Tanpa mematikan enjin, dia berlari masuk ke dalam rumah. Pistol kemas dalam genggaman. Melilau mencari susuk isteri dan anaknya.

"Salmah! Ani!"

Tiada sahutan. Ruang tamu berselerak. Kerusi terbalik menyembam lantai. Meja kopi kaca pecah berkecai. Satu per satu ruang bawah diperiksa. Dalam masa sama, dia berwaspada dengan ancaman yang muncul mendadak.

Anak tangga didaki satu per satu menuju tingkat atas. Sebaik pintu bilik utama dibuka, kelihatan isterinya mengintai dari bawah katil. Melihat sahaja Zaman di muka pintu, kedua-dua beranak segera keluar. Memeluk erat Zaman.

"Ani takut, abah," rintih Haryani yang berumur 18 tahun.

Zaman berusaha menenangkan isteri dan anaknya. Belakang badan diusap lembut. Diajaknya mereka duduk di atas katil. Kemudian, bilik diperiksa. Laci yang memuatkan barangan kemas milik isterinya ditarik. Gelang dan rantai emas masih di situ. Sejumlah wang tunai juga tidak terusik. Beg tangan isterinya juga tergantung elok tidak bersentuh. Apabila diperiksa, tiada kehilangan wang.

'Dia datang bukan untuk merompak,' bisik hati kecil Zaman.

"Mah pasti yang datang cuma seorang?" soal Zaman.

Salmah mengangguk laju. Air mata yang meleleh di pipi dikesatnya. Takutnya masih bersisa. Zaman menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus. Dadanya terasa hangat dibakar rasa marah. Belum pernah kejadian begitu menimpa diri atau keluarganya.

Jika diikutkan penceritaan isteri dan anaknya, lelaki berpakaian serba hitam itu lompat masuk melalui pagar depan. Dia bersenjatakan pisau dan mengenakan kain hitam menutup sebahagian wajah.

Pintu yang berkunci ditendangnya sampai pecah. Kemudian, dia masuk dan mencari mereka berdua. Isteri dan anaknya menyorok di bawah katil sewaktu lelaki itu di dalam bilik. Zaman tiba selepas lima minit lelaki itu beredar.

"Maknanya, dia lari bila aku sampai. Pengecut!" Rahang diketap erat.

"Siapa orang tu, abah?" soal Haryani.

Zaman membelai rambut anaknya. Sungguh, dia sendiri tidak mempunyai jawapan. Yang pasti, lelaki itu memang nekad. Cukup berani untuk pecah masuk rumah seorang pegawai polis pada siang hari.

"Tak perlu takut. Abah ada," pujuk Zaman. Bahu anaknya diusap berkali-kali.

Zaman memerhati setiap inci biliknya. Hingga pandangan mati di dinding. Bingkai bersaiz 4R yang memuatkan gambar mereka sekeluarga hilang.

"Dia bukan seorang."

"Apa maksud abang?" soal Salmah.

Zaman mundar-mandir di dalam bilik. Tangannya dikepal-kepal.

"Gambar keluarga kita tak ada. Dia datang masa abang tak ada. Jadi, dia sasarkan Salmah atau Haryani. Gambar kita diambil sebagai rujukan. Mungkin yang datang nanti orang lain, tapi niat yang sama."

Berdengap jantung dua beranak itu mendengar rumusan Zaman. Bukan niat Zaman untuk menakut-nakutkan mereka. Otaknya kala itu berputar ligat seperti fikiran seorang penjenayah.

"Mah ingat, sekarang ni bulan Islam apa?" Soalan itu terpacul dari mulut Zaman.

Salmah bangkit mendapatkan kalendar yang tergantung di sebelah meja mekap. Dibeleknya sebentar.

"Sekarang bulan Muharam."

Liur mengental di kerongkong Zaman. Hatinya merusuh.

"Kenapa abang?" soal Salmah kerisauan.

Zaman menggeleng. Jika benar seperti difikirkannya, Salmah dan Haryani dalam bahaya. Salah seorang atau mungkin kedua-duanya sekali jadi sasaran penculik bangsat itu!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.