Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
1,492
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Abad ke-19. 

Kecamatan Pabuaran, Kabupaten Subang, Jawa Barat

"LAILAHAILLALLAH.

Lailahaillallah. Lailahaillallah."

Ratih menggelupur. Tubuhnya pedih seperti dipalu cemeti. Darahnya membuak-buak panas. Wajahnya berurat kehitaman. Mengerekot di setiap inci wajah. Imam Aditya terpaksa  menghenyak belakang badan Ratih hingga rapat ke tanah.

Manakala Penghulu Darman dan Bagas, salah seorang anak muda yang merupakan orang kuat musala menekan bahagian tumit dan lutut. Bergelut dengan kekuatan Ratih yang tidak ubah seperti seekor seladang yang sedang mengamuk.

Saat itu, sebatang pokok bidara dipanah petir. Api menjilat dari batang hingga ke dahan. Julangan api membentuk satu wajah hodoh bertanduk di dahi. Terpegan Penghulu Darman dan Bagas. Kesempatan itu pantas diambil oleh Ratih. Dia bangkit mendadak hingga kedua-dua lelaki itu terpelanting ke belakang. Mujur cengkaman tangan Imam Aditya masih lekat di belakang lehernya. Dengan sekali henyakan, perempuan itu tersungkur semula.

"Semua itu hanya permainan syaitan. Teruskan berzikir," pesan Imam Aditya.

Masing-masing gopoh-gapah mendapatkan tubuh gadis itu semula. Kali ini, dipegang lebih kuat. Zikir dibaca tidak henti-henti.

Labu sayung yang berisi air bacaan surah yasin terletak tidak jauh dari situ didapatkannya.

"Celaka! Bangsat!" Ratih memaki hamun.

Rancangan untuk memerangkap Ratih telah lama dirancang oleh mereka bertiga sejak beberapa purnama. Mereka sudah tahu setiap hari lewat senja, Ratih akan melalui jalan itu pulang ke rumah. Hari ini, mereka nekad untuk melaksanakannya. 

Islam tiba di situ hasil usaha dakwah Imam Aditya yang berhijrah dari tanah asalnya, Batavia. Dia menuntut ilmu agama di Mekah. Pulang untuk menyebarkan ajaran Islam dan kemudian membuat keputusan untuk berdakwah di Jawa Barat. Usahanya berhasil. Cuma Ratih, seorang pengamal ilmu hitam menolak. Bahkan lebih teruk lagi beberapa orang penduduk kampung disihirnya sehingga ada yang menemui ajal.

Sudah berulang kali Imam Aditya menemui Ratih bagi menyampaikan firman ALLAH dan sabdaRasulullah. Kesemuanya ditolak mentah-mentah. Bahkan dia dicerca. Diugut akan dicelakakan kelak jika Imam Aditya masih memaksa.

Maka, perancangan sulit itu diatur oleh mereka bertiga. Ilmu hitam Ratih perlu diputihkan terlebih dahulu. Selagi mana iblis dan syaitan bersarang di jiwa, hatinya menjadi keras dan hitam. 

"Tiada musibah di kampung selama ini sebab aku yang jaga. Ini balasan kalian?" Ratih menjerkah. Suaranya bercampur baur atara suara garau dengan nyaring perempuan.

"Meminta tolong daripada syaitan itu adalah perbuatan syirik, Ratih. Kampung ini aman kerana ALLAH yang menjaganya," bidas Imam Aditya tegas.

Penghulu Darman dan Bagas tidak henti-henti mengucapkan zikir nafi isbat.

Ratih menghamburkan maki hamun semahu-mahu hatinya. Tiada yang termampu dilakukannya dengan tubuh terhenyak. Pipinya melekat ke tanah. Kalimah yang dilontarkan mereka bertiga membuatkan badannya lenyai.

"Kamu semua bangsat! Kalau aku terlepas, aku bunuh kamu semua. Celaka!"

"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa. ALLAH Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-NYA."

Imam Aditya membacakan maksud di sebalik surah al-Ikhlas. Kepala Ratih didongakkannya. Perempuan itu meronta-ronta. Meraung dan menggerung. Melawan dengan kudrat yang bersisa. Sekali gus memaksa Imam Aditya menggenggam rambut Ratih. Menariknya hingga terlenggak. Muncung labu sayung yang berisi air bacaan Yasin yang dibaca mereka bertiga ditekup ke mulutnya.

Air menderu laju memasuki mulut. Hanya sedikit berjaya diludahkannya. Selebihnya, direguk Ratih. Sehingga air tidak lagi bersisa, barulah gadis itu dilepaskan. Ratih terbaring tidak berdaya. Nafasnya termengah-mengah. Manakala Imam Aditya duduk berpangku lutut di depannya. 

Sekonyong-konyong, Ratih meringkuk. Menggeruh. Lehernya tenggelam timbul seperti sesuatu sedang menolak untuk keluar. Gabas Imam Aditya mendapatkannya. Sebaik muncung labu sayung didekatkan saja ke bibirnya, gadis itu muntah. Likat hitam. Berbau hanyir dan busuk.

Isi perutnya terasa seperti dipulas-pulas. Tubuhnya hangat membakar seperti disalai atas api. Azab yang tidak pernah dirasai seumur hidup. Terus-menerus dia muntah tanpa dapat ditahan. Ratih terkulai tidak bermaya. 

Imam Aditya mengatup labu sayung itu. Dimasukkan ke dalam lubang tanah yang digalinya terlebih dahulu sebelum memerangkap Ratih. Imam Aditya, Penghulu Darman dan Bagas menggenggam muncung labu sayung. Tapak tangan saling bertindan antara satu sama lain. Ayatul Kursi dibaca serentak. Tamat bacaan, labu sayung ditekan hingga terperosok ke dalam tanah.

"Allahuakbar!"

Tanah dikambus Imam Aditya. "Tanah ini menjadi pagarnya dengan izin ALLAH. Kekallah kau di situ hingga hari pembalasan," ucap Imam Aditya.

Imam Aditya menghadap Ratih. Duduk dengan kedua-dua belah lutut bercantum. Rapat ke tanah. Tapak tangan kanan ke dada.

"Kita mohon maaf atas kekasaran dan menyentuh dirimu. Demi ALLAH dan Rasulullah, niat kita hanya mahu bawa kau ke jalan yang benar. Jalan yang diredai ALLAH SWT, TUHAN sekalian alam. Kau adalah saudara kami. Jadi sebagai saudara, kita tidak mahu kau terus dalam kesesatan." Lembut dan penuh berhemah Imam Aditya menyampaikan pesan.

Ratih menolak tubuh. Susah payah merangkak mendapatkan tanah yang terkambus itu. Puas digali dengan kedua-dua telapak tangannya, labu sayung itu tidak ditemui. Akhirnya, dia terpunduk kepenatan. Menangis teresak-esak. Ilmu hitamnya sudah ditawarkan. Kekuatannya lumpuh sama sekali. 

"Ratih, mari kita hantar kamu pulang. Hari sudah terlalu malam," pelawa Imam Aditya.

Ratih bangun. Berdiri menghadap lelaki itu dengan hati yang bernanah kesumat. Penghulu Darman dan Bagas pantas membuka langkah silat. Bersiap siaga. Imam Aditya mengangkat telapak tangan. Sekali gus mereka mematikan langkah.

"Satu hari, kamu semua akan terima balasannya. Sesekali aku takkan terima ajaran yang kau bawa. Aku akan buktikan ajaran aku jauh lebih benar. Satu hari, kau akan melutut sembah kaki aku, Aditya. Kau akan minta bantuan aku. Kau akan sembah aku seperti kau sembah Tuhan kau sekarang. Itu sumpah aku pada kau, Aditya!" Naik turun nafas Ratih mengucapkannya. Gelegak barannya menjulang-julang.

"Dan, kita juga tidak akan sesekali berputus asa untuk seru kau ke jalan ALLAH. Ketahuilah, Ratih ... kasih sayang ALLAH itu jauh lebih luas daripada kemurkaannya. ALLAH menyayangi setiap hambanya termasuk diri kau. Kita tidak memaksa untuk kau terima agama ini. Untukmu, agamamu. Untukku, agamaku." Imam Aditya berkhutbah. Di akhir bicara memetik ayat daripada surah al-Kafirun.

"Perhitungan antara kita belum tamat, Aditya. Satu hari, tubuh kamu semua akan aku cincang. Supaya jadi peringatan bagi mereka yang ikut kau. Sesungguhnya, pembalasan aku tersangat kejam."

"Moga kamu diberikan hidayah al-taufiq. Ingat Ratih ... walau dosa kamu setinggi gunung sekalipun, jangan putus asa untuk memohon rahmat ALLAH. Sesungguhnya, DIA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang," ucap Imam Aditya.

Ratih enggan lagi berbalas hujah. Dia berlalu dari situ dengan hati yang mendongkol.

DENTUMAN guruh menyentak lamunan Ratih. Walaupun kejadian itu berlaku beberapa purnama yang lalu, dendam masih bernanah di hati. Sehinggakan tidur malamnya bermimpi membelah dada Imam Aditya dan meratah jantung lelaki itu hidup-hidup. Sebegitu sekalikesumatnya terhadap lelaki itu. 

Langit gelap menandakan hujan bakal turun bila-bila masa. Adiknya, Sukarti masih tidak pulang. Risaunya membuak-buak. Jika dahulu, dengan sekali suruhan makhluk peliharaannya akan mencari adiknya. Tidak sampai beberapa saat, keberadaan adiknya sudah diketahui.

Sudahnya, dia menuruni tangga. Sambil itu tergaru-garu gatal batang leher dan belakang badan. Bersisik debu seperti selumur ular yang baru bersalin setiap kali kuku menggerengau. Seluruh tubuh termasuk mukanya menggerutu hitam. Tidak ubah seperti katak puru. Semuanya selepas ilmu hitamnya ditawarkan. Tubuhnya juga lemah tidak sepadan dengan usianyayang baru menjangkau 30-an.

"Mana saja kau, Sukarti?" rungut Ratih.

"Apa saja kau buat di luar itu, Ratih? Masuk dalam. Tubuh kau bukan elok sangat. Angin malam sejuk nanti kau sakit-sakit," tegur suaminya Agus dari muka tingkap.

Agus, satu-satunya lelaki yang mahu mengahwininya biarpun keadaan diri sebegitu rupa. Ratih pula tidak menolak kerana dia memang perlukan seseorang untuk membantunya. Apatah lagi adik perempuannya itu akalnya senteng.

"Adik ipar kau sampai sekarang belum pulang. Kau masih tak terfikir untuk cari? Itu pun mahu aku yang suruh? Apa kau tunggu dia dimakan harimau baru mahu cari?" jerkah Ratih.

Agus kelam-kabut menuruni tangga. Menonong hingga ke jalan besar mencari Sukarti. Ratih yang melihat dari kejauhan hanya mampu menggeleng.

"Apalah nasib aku begini. Adik dan suami si dungu," rungut Ratih.

Tidak lama kemudian, Agus muncul diiringi Sukarti. Ratih sudah bercekak pinggang. Melotot memandang adiknya itu atas bawah.

"Dari mana kau, dari petang hingga ke malam baru pulang?" Melengking Ratih menyoal.

"Aku jumpanya di hutan buluh sana," jawab Agus.

Membulat mata Ratih merenung Agus. Suaminya tertunduk-tunduk ketakutan. 


"Aku ke musala tadi, mbak. Belajar agama dengan Imam Aditya. Dia cerita tentang Nabi Muhammad. Nabi Muhammad baik orangnya, mbak. Tidak pernah aku dengar lagi orang sebaik Nabi Muhammad." Sukarti beria-ria bercerita.

Kepala Ratih seperti mahu meletup mendengarnya. Dia masih bersabar. Merenung bungkusan dalam genggaman Sukarti.

"Apa dalam tangan kau, Sukarti?" tanya Ratih. 

Tanpa sempat adiknya menjawab, terlebih dahulu bungkusan itu direntap. Dibuka. Semerbak bau bunga telang mencucuk hidung.

"Di musala tadi beramai-ramai buat kuih. Imam Aditya bekalkan kepada aku untuk bawa balik," jawab Sukarti.

Mendengar nama itu, amarahnya menggelegak. Dilemparnya kuih itu ke tanah. Rambut Sukarti dicekak hingga terdongak.

"Ini kali terakhir kau pergi ke situ. Kalau tak, kaki kau kukerat," ugut Ratih.

Sukarti terketar-ketar ketakutan. Menangis teresak-esak, lalu berlari masuk ke dalam rumah. Ratih mengetap rahang. Imam Aditya sengaja mencari masalah dengannya. Dirinya tidak mahu terima, sekarang dia mempergunakan Sukarti pula.

"Kuih itu kita boleh buat makan malam. Beras di rumah sudah habis, Ratih," ujar Agus.

Baru dia mahu mengutip kuih itu, Ratih memijak-mijaknya sehingga lumat.

"Mati kelaparan sekalipun, makanan yang dimasak celaka-celaka itu takkan masuk ke dalam perut aku dan kamu semua. Ingat tu!" tempik Ratih.

Agus akur. Ratih naik turun nafas menghamburkan marah. Bukan dia tidak berusaha untuk kembalikan ilmu hitamnya. Berkali-kali dia berjumpa Mbah, dukun kampung sebelah.  Malangnya, langsung tidak berhasil. Ilmu yang diamalkan tidak menjadi. Bahkan polong yang diseru juga tidak mampir. Dirinya sudah diputihkan oleh Imam Aditya sehingga ilmu hitam tidak lut sama sekali.

"Celaka kau, Aditya!" maki Ratih.

Dia meludah makanan yang berpalit di atas tanah. Lalu, menyepak sisa makanan itu hingga berterabur. Sumpah, dia betul-betul berdendam dengan lelaki itu!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.