Seawal kejadian....
“Lepaskan
aku dari sini Maya!” Suara itu bergema mengisi rongga kepala Maya. Maya
tersentak. Matanya terbuntang dengan mulut ternganga. Sesusuk tubuh yang entah
milik siapa kelihatan berbalam legam di depan. Maya mengecilkan mata. Berusaha
mengecam gerangannya manusia itu. Namun bayangan tersebut tampak kelam. Hanya
sesusuk tubuh yang bagaikan bayang tercancang kaku di situ. Maya mendengus
perlahan lantas mengocak benaknya.
“Awak siapa? Pandai-pandai awak nak mengarah aku ye!
Kenapa? Rupa paras aku ni macam muka orang gaji mak bapak awak ke?” marah Maya,
menceceh. Tika ini, juring matanya masih mengintai bayangan lembaga itu. Dia
sebenarnya tidak berpuas hati selagi tidak berjaya melihat dan mengecam muka
tetamu tersebut.
Suara itu mengguman. “Aku tersesat lalu terperangkap
dalam lembah ini Maya. Engkau tolonglah keluarkan aku,” pinta suara itu
perlahan dan semacam merayu pula. Nadanya kedengaran sayu dan seperti terdesak.
Kening Maya bertaut satu. Dalam benua fikirnya terhampar sebuah lembah.
Sebagaimana lembah tempatnya berpijak ketika ini. Beberapa imej lembah turut
berapungan dalam benaknya. Objek-objek tersebut kemudiannya bersepai dan
terpadam serentak. Minda Maya kembali malap, kosong dan hambar. Entah lembah
mana yang dimaksudkan oleh tetamu yang ternyata adalah seorang lelaki itu.
“Aku tak fahamlah. Lembah mana pula yang awak maksudkan
ni?” tanyanya lantas menggaru-garu kepala. Waktu ini pandangannya masih
terhunjam arah tetamu itu.
Suara itu mengeluh. “Lembah ciptaanmu Maya,” bisiknya.
Namun suaranya kedengaran seperti dalam lohong telinga Maya.
Maya ketawa sinis. Nadanya kedengaran sumbang sungguh.
“Aku manusia biasa. Aku tak punya kuasa seampuh Tuhan untuk mencipta sebuah
lembah. Awak ni dah bengong agaknya,”
tepis Maya seperti mahu berjenaka pula. “Bengong,”
ulangnya dengan suara lirih lantas ketawa terkikih-kikih. Rambutnya yang
panjang berkeluk ditolak ke belakang pabila terkirai ke depan.
Suara itu mengeluh. Desahan nafasnya menjelaskan runtunan
perasaannya. “Kenapa kau tak nak faham Maya?” ujarnya semacam hampa dan kecewa.
“Eh! Macam mana aku nak faham? Aku tak kenal awak pun.”
Maya meningkah. Mulutnya diherot seraya mengalih pandang. Dia terkejut apabila
satu benda melintas pantas depannya. Waktu yang sama, terasa angin melibas kuat
tubuhnya hingga terhuyung-hayang seperti orang mabuk gamaknya. “Anehnya tempat
ni,” getusnya terperanjat.
“Memang aneh dan semua ini adalah ciptaanmu Maya. Semua
ini terhasil dari mindamu,” kata suara itu. Maya mendengus. Dia berasa rimas
tatkala mendengar semua itu. “Aku akan terus mengekorimu selagi semua karma ini
belum ternoktah.” Suara itu menyambung.
“Eh! Awak ugut aku ke?” Maya berang. Dia menoleh ke
belakang. Tiada apa yang kelihatan di situ selain hutan belantara yang
dihampari kabus tebal berwarna kelam. Pelik. Tiada udara berhembusan dan
mengasak jasadnya ketika ini. Ia hanya berlaku sebelum ini dan terhasil dari
benda pelik yang melintas pantas depannya tadi. Benda yang kini menjadi
persoalan dalam kotak fikirnya.
Suara itu mengeluh lagi. “Aku tak mengugut awak, Maya.
Melainkan sekadar menjelaskan kasadku. Tak salah aku berkeliaran dalam setiap
mimpi-mimpimu. Aku dah terlanjur berada dalam lembah-lembah milikmu ini. Maka
apa salahnya aku menghantui dan membayangi hidupmu. Aku bagaikan bayang-bayang
hitam yang hidup terbiar dalam dunia ciptaanmu ini. Aku tak sengaja menjejakkan
kaki ke dalam lembah yang maha dahsyat ini melainkan awak yang sengaja
mengheretku ke sini.”
“Eh! Awak jangan nak menuduh pula!” cantas Maya kian
bengang. Pandangannya semakin tajam menghunjam lembaga hitam tersebut. Tubuh
lembaga itu pula kian lonjong diterjah cahaya suram dari arah belakang. Entah
cahaya mana yang terpercik kerana lembah sepi ini tidak disuluh sinar mentari
ataupun rembulan. “Hmm..” gumannya pabila lembaga itu semakin menipis dan
hilang perlahan dari pandangan.
“Aku akan terus memburumu Maya! Aku akan terus
memburumu!!” jerit suara itu sebelum sirna dan akhirnya lesap.
Maya
terjaga dari lena. Rupa-rupanya dia tertidur dengan muka tertelangkup atas meja
komputer. Sambil menggocoh kedua kelopak mata, Maya meraba cermin mata
berbingkai tebal miliknya. Semua objek yang dilihatnya tampak samar dan
berkabus. Matanya dikejip-kejipkan lagi dan dia terus saja meraba. Tiba-tiba
dia teraba benda melekit atas meja. Ia basah dan hangat sungguh. “Cis!”
gerutunya pabila menyedari benda itu adalah air liur miliknya yang tertumpah
dari mulut lalu bertompok di situ. Gadis itu beredar ke meja solek selepas
berjaya mendapatkan cermin matanya.
Dia berdiri lalu membongkok depan cermin dan mengenakan cermin
mata. Maya kurang selesa jika cermin mata itu tidak melekap di mukanya. Air
liur yang berkeruping di celahan bibirnya digaru-garu dengan hujung jari.
Sekadar mahu mengikisnya. Dia kemudiannya tersengih pabila menyedari rambutnya
kusut-masai. Pendakap gigi logam yang baru dipakainya sebulan lepas berkilat
disuluh cahaya matahari dari luar. Menambahkan lagi kehodohan mukanya yang
taklah secantik mana.
Gadis itu kemudiannya berjalan dengan langkah kecil menuju
ke meja komputer. “Huh!” Maya menyandarkan belakang sambil menanggalkan cermin
mata dan meletakkannya atas meja. Pandangannya yang masih melekat arah skrin
komputer dialihkan. Dia berasa silau sungguh. Almaklum, sudah sekerat hari ini
dia mengetuk papan kekunci komputer. Mencoretkan semua cerita sebagaimana yang
terjadi dalam mimpi dan ruang khayalannya.
Keluhannya terhembus lagi. Benda pertama yang terarca
dalam danau matanya ialah mug berisi nescaffe yang telah pun hangat. Diambilnya
mug berbentuk pot tersebut lalu meneguk sedikit isinya. Pahitnya terasa
menyusur ke dalam rengkung. Muka Maya berkerut sejenak semacam tertelan tulang
ikan. Kalaulah bukan kerana mahu menahan ngantuk, dia pun tak teringin
membasahkan tekaknya dengan minuman pahit tersebut. Maya kembali menatap skrin
komputer selepas mengenakan semula cermin mata berkanta tebal.
Dia meneliti karyanya yang terpahat di situ. “Hisy! Macam
mana nak mengarang cerita mistik ni? Sakit kepala aku dibuatnya,” keluh Maya
seraya bangkit. Dia terus saja terkocoh-kocoh ke dalam tandas untuk buang air
kecil. Tika ini setimbunan ayat sedang berlegar dalam benaknya. Matanya pula
terkebil-kebil memandang pintu tandas. Di mana beberapa babak terpentas di
situ. “Apa aku nak buat dengan watak yang tersesat tu ye?” suanya pada diri
lantas bingkas. Bunyi lantai berkeriut dipijak seseorang dari luar
menyentakkannya. Denyut nadinya spontan terhenti. Matanya terbuntang arah daun pintu.
Dia bersunyi-sunyi sejenak untuk mengenal pasti punca bunyi tersebut.
Sejurus, terdengar pula bunyi pintu dicakar dari luar. Dadanya
dipentung debaran. Dalam minda tertakik perkataan hantu. “Inilah padahnya
menulis cerita mistik,” bisiknya tanpa suara dan suara tersebut hanya bergema
dalam ruang lingkup mindanya. Maya menarik nafas kemudian menghembus lalu
menarik nafas lagi dan menghembuskannya. Dia cuba melahirkan keberanian dalam
diri. Lagipun sampai bila dia mahu berkurung dalam tandas yang berbau hancing
ni. Dalam gerak perlahan, daun pintu tandas ditolaknya dengan mata tak
berkedip-kedip. Gelagatnya semacam mahu mengintai seseorang. Bunyi engsel pintu
berkeriut menambahkan lagi runtunan dalam dadanya.
Debarannya kian memacu bagai rentak kompang dipalu.
Nafasnya pula seperti tersekat dalam rengkung dengan nadi semacam sudah
terhenti berdenyut. Maya terlompat ke belakang apabila satu benda hitam berbulu
lebat muncul di sebalik pintu. “Engkau rupanya! Buat aku terkejut je!” Maya
menekan suara dengan mata mencerun tajam. Mahu saja disepaknya kucing betina
berbulu hitam pekat itu. Kucing itu sekadar memandang bodoh. Raut wajahnya semacam
sedang tersengih sinis arah Maya. Maya mencebik.
“Hmmm,” gumannya geram sungguh. Sambil mengusap dada, dia
beredar dari situ tanpa mengendahkan kucing itu lagi. Sementara kucing itu pula
terlenggang-lenggok mengekorinya. “Tapi derit lantai tadi takkan milik si Toyol
juga.” Pandangannya kembali terarah hala kucing yang dipanggilnya Toyol itu.
Kucing itu berhenti lalu mendongak arahnya dengan mata terbeliak.
“Engkau jangan pandang-pandang aku pula! Aku masih
berbahang ni gara-gara perbuatan engkau tadi,” marahnya lantas mencebik bibir.
Tika ini benaknya masih ligat memikirkan misteri tadi. “Berat sangat ke kau ni
Toyol sampai lantai papan ni berkeriut dengan sekali lalu je?” Dia bertinggung
lalu mengangkat kucing tersebut.
“Tak berat pun. Patut-patut kucing liar macam engkau ni
gemuk gedempol sebab hari-hari makan percuma.” Dengusannya kedengaran. “Engkau
ni kurus sangatlah Toyol. Menyampah aku tengok engkau.” Maya
menggeleng-gelengkan kepala lantas menandu langkah hala meja komputer. Dia
terkejut pabila terbaca ayat yang terpapar pada skrin komputer.
“Maya berhenti menulis lalu melangkah ke
tandas. Waktu itulah dia terdengar bunyi berkeriut disusuli bunyi pintu dicakar
dari luar. Maya berasa takut namun cuba memberanikan diri untuk keluar dan
melihat sendiri keadaan sebenar. Rupa-rupanya ianya perbuatan Toyol iaitu
seekor kucing betina berbulu hitam milik Maya. Sungguh pun begitu Maya masih
berasa....”
Maya
tersentak apabila disergah bunyi daun pintu balkoni terhempas kuat ke dinding
rumah. Matanya terbuntang hala pintu balkoni yang terbuka luas. Tiada searus
pun angin datang menemuinya. Bahkan rambutnya yang hitam berlekuk semacam dawai
bengkok sedikit pun tidak bergerak. Sekali lagi mindanya memahat perkataan
hantu dan sepantas itu juga Maya bingkas lalu mengatup kedua daun pintu
balkoni. Dia kembali ke meja komputer lalu memandang semula skrin. Maya
terkejut apabila ayat-ayat tadi sudah tidak tertera pada permukaan skrin.
Ayat-ayat yang entah berasal dari mana dan siapa pencetusnya?
Cuma yang pastinya ayat-ayat tersebut bagaikan
kesinambungan terhadap karyanya. “Tolong sikit! Jangan pandai-pandai nak
sambung karya aku! Aku tak suka! Faham?” Sengaja Maya nak berlawak untuk
mengusir ketakutan yang meraja dalam dadanya. “Mungkin aku patut lupakan dulu
cerita mistik ni,” bisiknya lantas menekan butang keluar dan kemudiannya
membuka fail baru pula.
Manuskrip bertajuk Semangat Perawan menjadi pilihannya.
Manuskrip ini sudah hampir nak siap cuma Maya saja yang sengaja nak
berlengah-lengah. Selain tidak didatangi sekelumit ilham, Maya juga mahukan
penyudahan cerita yang menarik hingga berjaya meninggalkan kesan di hati
pembaca. Kerana perkara inilah Maya menepikan manuskrip Semangat Perawan. Maya
menghela nafas. Hatinya terasa gatal nak membuka fail mistik yang ditutupnya
tadi. Hajatnya hanya terlaksana beberapa ketika kemudian.
Tanpa berfikir panjang, Maya menyambung manuskrip
tersebut. Jemarinya lincah menari atas papan kekunci dengan pandangan
bertebaran arah skrin. Tika ini benaknya sedang dibesit bertambun perkataan.
Kejadian tadi membuatkannya diketuk ilham yang semacam tiada berkesudahan. Dia
hanya berhenti apabila menyedari mugnya sudah tidak berisi apa-apa. Tanpa
bertangguh Maya segera membancuh semug Nescaffe. Dia kemudiannya bergegas arah
balkoni.
Menolak pintu cermin ke tepi kemudian termenung di situ.
Kejadian tadi kembali berlayar dalam lautan fikirnya. Sesekali ia dilambung
ombak persoalan hingga Maya jadi bingung dibuatnya. Dia terfikir-fikir hantu
siapakah yang datang bertandang dan membuat onar? Ataupun mungkin kejadian tadi
hanyalah mainan perasaan. “Huh!” keluhannya bertabur. Pandangannya menjengah
arah meja tulis di mana sebiji komputer usang tersadai di situ.
Senyumnya terkuak. Komputer usang dan lusuh itu telah
lama berbakti kepadanya. Bahkan paling setia menemaninya siang dan malam. Tanpa
komputer tersebut namanya tidak akan segah sebagai penulis novel popular. Namun
itu cuma nama. Diri dan rupanya pula langsung tidak dikenali. Hanya Jiah dan
Munira saja yang mengetahui rahsia dirinya. Dia tidak pernah mengirimkan gambar
atau apa jua bahan media sebagai pengenalan dirinya ke tangan pihak Penerbit.
Dia cuma menyertakan biodata dan alamat rumah sewanya
sebagai alat perhubungan. Dia sebenarnya risau seandai mukanya yang hodoh ini
boleh menjahanamkan karya-karyanya. Dia tidak mahu manuskrip-manuskrip yang
dihasilkannya diketepikan dan diabaikan. Tambahan pula, bukan senang untuknya
menghasilkan karya-karya mistik dan thriller tanpa daya imaginasi yang tinggi.
Kerana alasan inilah dia enggan melihat hasil nukilannya ditolak. Maya
terlompat pabila satu benda basah dan melekit menjilat batang kakinya.
“Ehh! Geramnya aku kat engkau ni Toyol!” Dia mengetap
bibir dengan mata mencerun tajam. Penumbuknya diacuhkan arah kucing hitam yang
hanya memandang bodoh padanya. Dia kemudiannya mendecitkan hujung lidah dan
bergegas ke meja komputer.
“Maya,
apa fasal dengan kau ni?”
“Kenapa dengan aku?” tanyanya pula dengan mulut penuh
berisi makanan. Keluhan Jiah bertaburan.
“Sepi je. Kau masih hidup ke atau dah lama mampus ni?”
“Habis yang tengah bercakap ni takkan hantu pula.” Maya
ketawa lucu. Hampir berhamburan makanan yang bersesakan dalam mulutnya. Keluhan
Jiah berdetasan lagi.
“Kau tak pergi kelas bahasa Inggeris tu lagi ke?”
“Aku sibuk sekarang ni.”
“Yalah tu. Azhan pun macam rindu je kat awak tu,” acah
Jiah sengaja mahu mengusik Maya.
“Rindu ke benci?” Maya mencebir bibir. “Kirim salam
sajalah kat dia. Aku tengah sibuk sekarang ni.”
“Sibuk macam mana sekali pun janganlah sampai berdelusi macam
dulu pula. Awak ni silap haribulan boleh masuk wad sakit jiwa. Suka sangat
layan perasaan sendiri,” bebel Jiah pula semacam tidak bersetuju. Walau
sebenarnya dia cukup memahami karenah dan keperluan sahabat akrab yang baru
dikenalinya itu. Sahabat yang paling pelik dan ganjil. Namun baik hati
sebenarnya.
“Habis engkau ingat senang ke nak menulis dan
berimaginasi kalau tak layan perasaan sendiri dulu. Menulis ni perlukan penghayatan,
bodoh.” Maya ketawa terkikih-kikih. Entah apa benar yang mengusik kalbunya
hingga ketawa sedemikian rupa.
“Sahlah awak ni memang dah sewel. Bengong.” Jiah turut ketawa perlahan. “Munira pun rindu nak jumpa
awak. Ada masa, datanglah lepak-lepak
kat apartment kami.”
“Yalah. Tapi buat masa ni biarlah aku habiskan dulu karya
aku. Kirim salam je kat mana-mana yang sudi nak merindui aku tu.” Sejurus
perbualan pun dimatikan. Maya tersenyum seketika. “Azhan,” sebutnya dengan
senyuman semakin lebar hingga mencecah pangkal telinga. Entah mengapa indah
sungguh rasanya tatkala terkenangkan pemilik nama tersebut. Pemuda itu
dikenalinya dalam kelas bahasa Inggeris di Stamford College, Kota Kinabalu.
Pemuda yang hanya menganggapnya sebagai kawan dan rakan
sekelas. Cuma dia saja yang terlebih perasan. Tiba-tiba Maya teringatkan Toyol.
Entah ke mana perginya kucing yang tampak uzur itu. Kucing yang datang dan
pergi macamlah rumah sewanya ini satu persinggahan. Sesuka hati datang walaupun
tak dijemput. “Toyol!” panggilnya dengan ekor mata melilau ke serata ruang.
“Awak ni Toyol macam biskut chipsmore. Kejap ada kejap
lagi dah tak ada,” rungut Maya lantas masuk ke kamar mandi. Dia ingin membasuh
mukanya. Selesai membasahkan muka, Maya memandang arah cermin dan terkejut apabila
ternampak seraut wajah kelam serta berbalam terpantul di situ. Dengan nafas
seakan tersekat dalam rengkung dan mata terbeliak lantaran terkejut... Maya
menoleh ke belakang namun tiada apa yang berada di situ. Lalu dengan gerak
perlahan Maya memandang arah cermin semula.
Kerana terlalu terkejutlah Maya menjerit sekuat hati
sambil menutup mukanya dengan tangan. Wajah kelam tadi betul-betul berada depan
cermin dengan mulut menyeringai hodoh. Maya kemudiannya menghambur keluar
dengan muka pucat lesi. Buat seketika Maya hanya termenung di tubir meja
komputer. Sesekali pandangannya terhumban arah kamar mandi dengan muka curiga.
Dia cuba bertenang di samping memulihkan nafasnya yang
masih tersangkut-sangkut. Dia sebenarnya masih terkejut dengan kejadian tadi.
“Agaknya aku bermimpi,” katanya berbisik lantas mengetil kulit tangannya.
Sakit. Situasi tersebut membingungkan Maya. Dalam keadaan kurang faham, Maya
berganjak hala tingkap.