SINOPSIS
Satu nahas ngeri
telah berlaku di Lebuhraya berhampiran Teluk Sepanggar. Kemalangan jiwa
tersebut telah mengakibatkan beberapa kematian. Beberapa mangsa lagi dilaporkan
hilang secara misteri. Hanya seorang mangsa terselamat dan disahkan koma akibat
kecederaan bahagian tengkorak.
Maya. Demikian
setual nama milik seorang gadis yang tinggal menyendiri berhampiran lokasi nahas.
Gadis tersebut hidup terpulau dan terpisah dari dunia luar. Dia tidak memiliki
sesiapa sebagai teman bicara selain watak-watak yang terpenjara dalam setiap nukilannya.
Ternyata karya
mistiknya telah membongkar jenayah di sebalik malapetaka tersebut. Kehadiran satu
suara halimunan milik mangsa yang terselamat dan kini terlantar koma menambah
beban misteri yang terpanggul di bahunya. Suara itu turut mendakwa dirinya
terperangkap dalam lembah suram ciptaan Maya. Ironinya, suara halimunan itu adalah
watak yang terhasil dari minda Maya. Dia mengimpikan udara segar dalam dunia nyata
dan hanya Maya mampu melepaskannya dari jebak mistik ini.
Persetujuan Maya
untuk merungkai misteri pembunuhan itu mengundang padah pabila satu kuasa jahat
mula menghantuinya. Campur tangan dari watak-watak karyanya sedikit pun tidak
membantu. Maya akhirnya kecundang tanpa sempat menoktahkan perhitungan tersebut.
Sejak itu Maya jadi
buruan watak ciptaannya sendiri. Watak-watak yang wujud sebagai entiti!
________________________________________________________________________________________
PROLOG
Hospital
Queen Elizabeth, Kota
Kinabalu, Sabah.
Beberapa
orang jururawat dan doktor menolak troli tersebut serentak menuju ke bilik ICU.
Selebihnya berkejaran di belakang sambil memegang peralatan perubatan. Wajah
mereka kelihatan bungkam dan tegang. Manakala pesakit yang terbaring atas troli
itu pula tersentak-sentak dengan keduamata terbelalak. Darah merah bukat keluar
membuak-buak dari celahan mulutnya. Sesekali kedengaran bunyi menggelegak dari
batang rengkungnya. Manakala kedua tangan dan kakinya pula terikat pada tali
keselamatan yang terdapat pada troli tersebut. Dia kelihatan sungguh terseksa
begitu. Pergerakannya tersekat dan sinar matanya menjelaskan sesuatu yang amat
mengerikan.