BAB 6
Ia
sebuah benua yang dihuni kesuraman dan kelam. Tiada sinar mentari mencarak di
sini. Hanya cahaya bulan menyuluh maya yang berbalam kaku. Tiada jua angin
bersepah sebagaimana yang dinikmati oleh Maya sebelum ini. Sesekali kedengaran
guruh mementung perlantaian langit. Bunyi berderak menyusul kemudian diikuti
pancaran kilat menghindik bumi. Tingkah-meningkah menambah gawat dan tenatnya
sanubari. Degub di dada sudah tidak terkira tika ini.
Sesayup mata memandang, kelihatan sebuah gubuk buruk
tersorok di tengah hamparan hutan belantara yang menebal. Ianya hampir roboh
dan dipagari oleh sejumlah pepohonan renek. Kelihatan pekarangannya diselimuti
semak-samun. Rimbun sungguh hingga hampir menenggelami gubuk buruk tersebut. Maya
cuba melangkah namun terkejut apabila menyedari dirinya terapung di udara.
Situasi tersebut membuatkannya berasa kecut dan gayat.
Dari jauh kedengaran bunyi bergemaung. Kuat sungguh
hingga membuatkan jemala Maya berdengung. Seolah ada sesuatu sedang mengasak
rongga kepalanya hingga terasa sakit berdenyut. Bunyi sekumpulan anjing
melolong hiba menyentakkan Maya lantas pandangannya dialihkan. Dia terkejut
apabila melihat seorang lelaki berpakaian compang-camping sedang memandang
tajam arahnya.
Lelaki itu memegang sebilah parang. Dari mata parang
tersebut kelihatan sesuatu menitik-nitik. Bunyi menitik tersebut amat kuat.
Sekuat degupan jantung milik Maya. “Awak siapa?” suanya namun suaranya seperti
tersangkut dalam batang leher. Ketakutannya meraja pabila lelaki gondok itu
melangkah setapak arahnya.
Tiba-tiba lelaki berwajah samar itu ketawa
berdekah-dekah. Keras sungguh dan sekonyong-konyong angin menyergah kasar.
Menolak sekujur jasad Maya yang masih terapung di udara. “Setelah sekian lama
menanti! Akhirnya awak muncul juga.” Lelaki itu ketawa seolah gembira namun ada
ketika nada suaranya kedengaran sinis dan pilu.
Entah apa benar yang meriangkan dan merusuhkan hatinya
hingga ketawa sedemikian rupa. “Perhitungan ini baru bermula. Setiap titisan
air mata akan dibayar dengan segeluk pengorbanan. Jiwamu akan menjadi cagaran
dan percaturan ini tak akan ada noktahnya.” Maya tersentak. Suara lirih yang
dipercayainya adalah milik lelaki misteri tersebut hanya bergema dalam lohong
telinga. Lelaki gondok itu kemudian lesap usai berbicara. Demikian juga kiranya
suasana yang membekam mereka berdua.
Kini
Maya berada dalam biliknya semula. Kembali berdua dengan lembaga hitam tadi.
Apapun, lembaga tersebut menjadi sekepul asap hitam semula lalu disedut oleh
pintu bilik yang masih ternganga. Daun pintu bilik terhempas lalu terkatup
sebagaimana sebelum ini. Pelik, babak yang menghempuknya tadi kembali seperti
sediakala mengikut urutan kejadian.
Kini ketenangan menghuni bilik usang tersebut seolah
tiada apa yang berlaku. Maya menarik nafas lalu melepaskannya serentak. Tika ini
dia masih dihantui kejadian yang baru berlaku tadi. Demikian juga ungkapan
keramat yang terlucut dari mulut lelaki bermuka kelam itu. Mengetuk benaknya
hingga perasaannya bercampur-baur.
Maya tersentak apabila telefon bimbitnya sekali lagi
berdering kuat. Saat yang sama, gambaran bilik usang yang menutupi suasana sebenar bilik tidurnya
beransur pergi lalu lenyap. “Huh, inilah padahnya menulis cerita mistik,”
rungut Maya memarahi dirinya sendiri. Dia bingkas dari tempat tidur dan terus
saja mendapatkan komputernya.
“Eh sejak bila pula aku tulis kejadian tadi?” Gadis itu
kehairanan apabila terbaca ayat-ayat yang kini menghiasi skrin monitor. Tunaknya
tersorot tajam dan terus membaca perenggan demi perenggan cerita tersebut.
Keluhannya terutus. Dia berfikir-fikir sejenak sebelum mengambil keputusan
untuk menyambung karangan tersebut.
Malam
ini diisinya dengan bermain fikiran. Tiada apa yang terarca dalam skrin
komputer sebagai persembahan ilham darinya. Dia benar-benar buntu selepas
mindanya ditumpulkan oleh selembar kejadian dalam bilik usang dan gubuk buruk
tersebut. Jua pertemuannya dengan lelaki gondok berpakaian compang-camping itu.
“Apa maksud lelaki itu?” suanya pada diri lantaran tergegau. “Jiwa siapa yang
dimaksudkannya? Jiwa aku ke?”
Ditepikannya semua selimut lalu terpisat-pisat ke birai
tilam. Kedua batang kakinya yang telanjang dihulur dan dia duduk berjuntai kaki
seketika. Melangut sejenak. Waktu ini, hari dah dijelangi pagi dan Maya ingin
sekali menikmatinya. Tanpa bertangguh, Maya mudik hala cermin pintu balkoni.
Kain langsir yang berumbaian mencecah lantai didorong ke tepi.
Sinar mentari menyimbah masuk lalu mendakap sekujur tubuh
milik Maya. Apapun, Maya hanya berasa segar selepas terpacak di tebing balkoni.
Sambil memejamkan kedua pelupuk mata, dia cuba menghirup udara segar yang
sedang beriringan ketika ini. Sedetik kemudian, Maya menguak kelopak mata dan
terkejut pabila tunaknya tersapa suasana sebenar.
Tanpa berlengah, Maya menyelinap masuk lantas menarik
kedua daun pintu balkoni hingga rapat. Demikian juga langsir yang ditepikannya
tadi. Maya kemudiannya berdiri diam-diam di situ dengan wajah bungkam. Ternyata
malam masih bersultan kala ini. “Huh!” keluh Maya lantas melangkah longlai arah
peraduan. Buat seketika, dia hanya duduk membatu di tebing tilam. Diintainya
sekilas jam yang berdetak-detik di dinding. Jarum pendek jam tersebut sedang
menuding angka 12 tengah malam dan situasi tersebut melahirkan keluhannya.
Keesokannya,
Maya menghabiskan waktu pagi dengan melakukan senaman ringan sekitar
kediamannya. Dia ingin mengeluarkan toksin dalam badan melalui pengaliran
keringat. Ia merupakan salah satu kaedah untuk mengurangkan tekanan perasaan
selain stress. Tepat jam 9 pagi, Maya berpatah semula dan meneruskan larian
arah kediamannya.
Namun dia terkejut apabila melihat rumah yang disewanya
itu tampak usang. Ia seperti sudah berusia seabad dengan persekitarannya dihuni
gumpalan semak-samun. Sementara pagar pula dilitupi tumbuhan menjalar. Maya
berulang-kali meraup muka semacam tidak percaya. Langkahnya pula tergencat di
situ dan hanya tunaknya menjengah rumah tersebut. Tiba-tiba langit berpusar dan
diselubungi gelita.
Demikian juga kiranya maya yang bersepah di sekitarnya.
Hitam bukat seperti disimbah kabus hitam. “Cik tak apa-apa?” Maya terperanjat
lantas menoleh. Pemuda yang terpacak di belakangnya itu menghadiahkan senyuman.
Maya tidak berkata apa-apa. Hanya tunaknya menyergah pemuda itu dengan
pandangan tersorot tajam. “Pagi yang indah,” bisik lelaki itu seraya meminta
diri. Maya masih memandang curiga.
Lelaki itu menoleh arahnya setelah berada di kejauhan
lantas melambaikan tangan dengan senyuman masih tersungging di bibir. Maya
tidak bereaksi sehinggalah lelaki tersebut lesap diratah selekoh jalan raya.
Sementara Maya kembali membuang pandang arah rumahnya. Nampaknya rumah kecil
yang disewanya itu sudah tidak seusang tadi. Dengan perasaan ragu-ragu, Maya
mengatur langkah. Tuala putih yang terselempang di bahu ditarik lalu dikesatkan
ke muka.
“Maya!”
Dia terkejut pabila nama miliknya itu bersipongang berhampiran tubir telinga. Melantun
di situ kemudian lesap diseret bayu pagi. “Huh!” keluhnya. “Pagi ni ada kelas
bahasa Inggeris,” katanya sekadar mahu mengingatkan diri. Fikirannya merayau
lagi lalu menjengah sekeping wajah milik Azhan. Entah apa yang sedang dilakukan
oleh Azhan ketika ini. Azhan adalah seorang pemuda yang diminatinya dalam diam.
Namun siapalah dia mahu meluahkan semua rentetan perasaan
ini. Nafasnya dihela panjang seraya beredar. “Masih ada setengah jam lagi.
Bagus aku menulis sekejap.” Dipandanginya komputer lantas menapak ke situ.
Sebagaimana selalu, Maya mengambil masa dua minit memikirkan ayat pembuka kata
sebelum memukadimahkan karangannya. Berselang tiga minit, gadis itu mula
mengetuk papan kekunci dengan fikiran terfokus pada jalan cerita karyanya.
Maya berhenti sekejap dan memandang mug yang tergeletak
sepi di tepi komputer. Haluan matanya kemudian beralih arah jam dinding. “Hmm,”
gumannya kini memandang arah dapur. Dia ingin membancuh semug nescaffe namun
takut tak sempat pula. “Ah, tak payahlah. Buang masa,” rengusnya perlahan
lantas menyambung karangannya semula.
Maya
segera menaiki sebuah bas yang lalu depan rumah sewanya untuk ke bandaraya Kota
Kinabalu. Namun begitu, hasratnya mahu menjelangi bandaraya terpangkas sewaktu
melintasi satu kawasan. Dilihatnya orang ramai berkerumun di situ termasuk
sejumlah pegawai polis. Kerana diasak rasa ingin tahulah dia bergegas turun
untuk melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku di situ. Dia cuba menyelit
sambil memanjangkan leher. Manusia yang berpusu-pusuan di situ menghalangnya
dari melihat perkara yang sedang berlaku ketika ini.
Kerana dihambat rasa ingin tahulah Maya melilaukan mata
arah lain. Dia mahu mencari tempat yang lebih tinggi untuk memudahkannya
melihat apa yang ada di sebalik orang ramai tersebut. Senyumnya terkuak pabila
terpandang satu tempat. Tanpa bertangguh dia mengatur langkah menuju ke arah
tersebut sambil memeluk erat buku teks Bahasa Inggeris. Gelagatnya seperti
takut buku teks tersebut dicuri orang.
Tiada sesiapa pun mengacuhkannya kerana tiada apa yang
menarik pada dirinya. Namun itu tidak penting bagi Maya. Selama ini pun dia
masih boleh menongkah hidup sekali pun tidak dihiraukan oleh segelintir
masyarakat. Bahkan hari-hari yang dilaluinya juga masih terasa indah meski pun
tidak memiliki teman lelaki. Maya faham. Keadaan dirinya yang pelik dan hodoh
adalah punca sebenar mengapa dia dipulaukan.
Maya terkial-kial sewaktu memanjat tempat tersebut. Waktu
yang sama, dua buah kereta tunda datang serentak dan berhenti berhampiran
dengan sebuah kereta mewah. Pemandu kedua-dua kereta tunda itu bergegas keluar
dan segera menghampiri pemilik kereta mewah tersebut. Kebetulan pemilik kereta
mewah itu berada berhampiran keretanya dan sedang sibuk dengan telefon bimbit.
Mereka bertiga berbual-bual sekejap sebelum mendapatkan
pegawai polis yang bertugas. Ketika ini hari tengah gerimis. Langit pula
kelihatan gelap dan sesekali kedengaran guruh bertempik. Namun hukum alam ini
bukanlah penghalang utama untuk Maya menyibukkan diri. Tika ini Maya sudah pun
berjaya mendaki tempat tersebut. Pandangannya kini menjengah arah sebuah parit.
Di mana sebuah kenderaan terperosok di situ.
“Pelik. Macam mana encik boleh terlanggar kereta Exora ni
hingga terbabas. Dan kereta tu pula kemek di depan seolah telah melanggar
sesuatu sebelum kereta encik merempuhnya dari belakang.” Pemandu kereta tunda
itu masih bingung. Jauh di dasar hati terbenam prasangka. Mungkin pemuda ini
terlibat namun sengaja tidak mendedahkan cerita seawal kejadian kerana takut
disyaki. Isqbal menghela nafas.
Sukar untuknya menjelaskan kejadian sebenar kerana ia tidak
masuk akal. Sedangkan pegawai polis itu pun kurang percaya apatah lagi pemandu
kereta tunda tersebut. “Semuanya berlaku tanpa disedari,” katanya dan cuba
mengintai reaksi pemandu kereta tunda itu.
Pemandu itu angguk-angguk dan agak serius. “Agaknya awak
terlalu banyak meneguk minuman alkohol semalam. Kalau tak, tak mungkin kejadian
langgar ni berlaku tanpa disedari. Atau pun mungkin awak berasa mengantuk
sewaktu memandu,” tuduhnya pula menjala prasangka. Sesekali dipandanginya
muncung kereta mewah milik Isqbal yang hanya terkemek sedikit. Sementara kereta
yang kena langgar pula rosak teruk. Seolah dihentam dari arah depan dan
belakang.
Isqbal terkejut pabila dituduh sedemikian. “Tak! Aku tak
mabuklah encik. Aku bukannya kaki botol. Malah aku tak sentuh pun air syaitan
tu,” jawab Isqbal agak marah. “Awak tanyalah pemandu kereta Proton Exora tu apa
yang ada depan mata kami. Kerana benda itulah aku hilang kawalan lalu melanggar
Exora tu dari arah belakang.”
“Benda apa yang awak nampak?” sampuk salah seorang
Pegawai Polis yang bertugas. Pandangannya mencerlung tajam seolah Isqbal adalah
seorang penjenayah.
“Benda... benda macam kereta..” beritahu Isqbal dengan
riak wajah ragu-ragu.
“Habis? Mana perginya kereta tu? Kereta itu jalan terus
ke?” Penarik kereta tunda itu mentertawakannya. Sementara Pegawai Polis yang
bertugas itu pula sedang memikirkan sesuatu.
“Kereta tu hilang begitu saja...”
“Agaknya yang awak nampak tu hantu kereta. Tiga bulan
yang lalu satu kejadian ngeri dan penuh tanda tanya pernah berlaku kat sini.
Rasanya awak semua pun tahu fasal nahas ngeri yang melibatkan tiga buah kereta.
Namun hanya dua mangsa yang dijumpai rentung dalam sebuah kereta. Sementara
yang seorang lagi dijumpai tercampak kat bahu jalan dan dalam keadaan
terikat." Dia berhenti sekejap dan
menyambung ayat tadi.
"Dipercayai mangsa culik dan yang menjadi persoalan...
ke manakah perginya pemandu dua buah kereta lagi? Hingga sekarang kes tersebut
masih dalam siasatan. Namun tiada fakta yang dapat membantu kerana mangsa yang
terselamat kini koma setelah mendapat kecederaan parah bahagian tengkorak kepala,”
kata Pegawai Polis itu panjang lebar.
Isqbal menggelengkan kepala dengan muka kaget. “Aku tak
tahu apa-apa fasal kemalangan tu.” Dia tiba-tiba terpandangkan Maya yang sedang
terjenguk-jenguk dari kawasan tanah tinggi. “Rasanya...” Kini perhatiannya
terpusat kepada Maya. Pemandu tersebut ikut memandang arah yang sama dengan
muka hairan. Demikian juga Pegawai Polis tersebut. “Sebentar.” Tanpa bertangguh
dia mencelah keluar dari situ.
Dia terus saja menuju arah Maya. Maya terkejut apabila
seorang pemuda berkaca mata hitam sedang memanjat naik di tempatnya tercancang.
Dia cepat-cepat berundur ke belakang sambil mengeratkan lagi pelukannya. Seperti
takut benar buku teks itu dirampas oleh Isqbal. Sinar matanya berubah terik dan
penuh curiga sewaktu Isqbal mendekatinya. “Heh! Awak! Awak kan perempuan yang
berada kat situ semasa kejadian tadi?” Dia terus saja menuduh.
“Eh! Tak! Aku tak tau apa-apa.” Maya terkejut. Sinar
matanya mendadak berubah seolah benci dan marah.
“Mata aku belum nanar lagi tau! Aku lebih dari pasti. Awaklah
perempuan yang berdiri kat situ tadi.” Telunjuknya ditudingkan. “Bahkan aku
lebih dari pasti awak memang nampak semua kejadian!” Isqbal berang pabila Maya
enggan memberikan kerjasama. Dia mahu Maya mengangguk dan mengatakan bahawa apa
yang didakwanya adalah benar belaka. Diamatinya lagi muka Maya dan dia semakin
yakin terhadap apa yang dikatakannya itu.
Pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ berpandangan.
Manakala penarik kereta tunda itu pula kelihatan sibuk mengarahkan anak-anak
buahnya menarik kereta Exora yang terbabas dalam parit. Terperosok di situ
dengan muncung kereta menyodok dasar parit besar tersebut. Sementara pemiliknya
pula sudah dilarikan oleh Ambulans ke hospital Queen Elizabeth kerana mengalami
kecederaan teruk.
“Bila masa pula? Eh! Awak jangan nak menuduh sembarangan!”
Maya hilang hormat apabila lelaki itu bersikap kurang ajar dengannya.
Isqbal semakin geram. Hatinya berdesir marah. “Awak tak
usah berdolak-dalih! Dua biji mata aku ni ternampak awak berdiri kat bahu jalan
tu dengan mata terbelalak arah kami. Agaknya awaklah yang menyebabkan
malapetaka ni!” Dia meninggikan suara. Tunaknya semakin tajam memanah muka Maya.
Hatinya terasa panas apabila Maya bersikap begitu.