Usai menukar
pakaian, Maya beredar ke meja komputer. Dihidupkannya komputer kemudian
membancuh semug nescaffe. “Patutlah kulit aku kering sangat,” katanya perlahan
apabila terintai kulit tangannya yang berkerisik. “Semua ni gara-gara awaklah,”
ujarnya menyalahkan minuman Nescaffenya. Tunaknya beralih apabila ternampak
Toyol terlenggang-lenggok sewaktu melintasinya. “Eh! Baru aku perasan. Macam
dah lama aku tak nampak awak, Toyol.” Mahu saja direngkuhnya Toyol namun kasadnya terpangkas
pabila ternampak monitor komputer sudah pun menyala. Tanpa bertangguh, Maya
segera mendaratkan punggung dan memulakan karangan. Kekusyukkannya
membuatkannya terlupa dia belum pun mengisi perut. “Baru aku teringat, aku
pernah terserempak dengan Zurhan sebelum ni.” Maya mengetuk dahi lantas
berhenti sekejap.
“Dia tu terhasil dari watak dalam manuskrip mistik ini
juga ke atau...” Ekor matanya beralih apabila tertangkap kelibat seseorang
melintas pantas depan pintu balkoni. Terasa bulu romanya menyangkak. Nafasnya
ditarik lalu pandangannya dihela arah perlantaian bilik. “Ke mana pula perginya
si Toyol ni?” Puas dia melilaukan mata namun tidak melihat batang tubuh kucing
itu.
“Kalau benar benda tadi tu adalah makhluk halus, mesti si
Toyol dah bising dah,” katanya perlahan dengan ekor mata masih tercari-cari.
Namun berselang beberapa minit, Maya kembali menumpukan perhatian pada skrin
monitor. Tika ini dalam kotak fikirnya ada suara sedang berbisik-bisik. Maya
menggelarnya sebagai tukang cerita. Jari-jemarinya pula sebagai pekerja.
Sesekali Maya berhenti sekejap untuk membasahkan
rengkungnya yang terasa kering kontang. Di samping merehatkan minda dan
jari-jemarinya. Apapun, tunaknya tetap tidak beralih dari skrin monitor.
Ayat-ayat yang terhimpun di situ dibacanya semula untuk mendapatkan kepuasan di
samping menjejak kesilapan ejaan. Almaklum, adakala apa yang ditaipnya itu
tersasar dan terpesong lantaran keasyikannya berkarya. Seringkali juga ayat
yang dibinanya itu tunggang-langgang.
Demikian juga penggunaan tanda baca. Semua itu disebabkan
oleh rasa terujanya sewaktu mencoret kata. Sungguh pun begitu,
kesalahan-kesalahan kecil ini jarang berlaku seandai dia berfikir dulu sebelum
memahat cerita. “Watak Zurhan,” sebutnya sambil memadamkan sebaris dua ayat
yang tidak sesuai. Kemudian menaip ayat baru. Ayat yang lebih bersinonim
terhadap cerita yang hendak disampaikannya.
Sejurus, Maya kembali kemaruk mengadun cerita. Menaip dan
terus saja menaip tanpa mengendahkan persekitarannya. Sasarannya ialah mahu
menuai cerita yang memenuhi bendang fikir untuk dihimpunkan dalam komputer.
Saat yang sama, kelihatan Toyol berjalan perlahan menuju ke ruang tamu lalu
menghilang. Entah kucing hitam itu dari arah mana tadi. Waktu ini, bayu sedang
berhembus lesu.
Suara para penghuni kawasan itu juga adakala mencurah
masuk ke dalam terowong telinga Maya. Namun selalunya, tiada apa yang berjaya membolos
ke dalam tempurung kepalanya sewaktu dia sedang leka menulis. Sekali pun bunyi
hingar-bingar bersipongang di luar rumah sewaannya. Fenomena ini berlaku kerana
keasyikan dan kekusyukkan Maya berlegar dalam dunianya sendiri. Hingga seringkali
terlupa akan kewujudan dunia nyata di mana dia berada.
“Kau tak
akan berjaya membongkar misteri ini Mayaaa....”
Maya terkejut apabila suara halus itu bergema dalam
terowong telinganya. Pandangannya spontan terbuntang arah pintu balkoni yang
ternganga luas. Dia menanti seketika sebelum mengambil keputusan untuk menutup
pintu tersebut. “Suara, tadi tu bukan suara engkau kan?” bisiknya perlahan. Pandangannya
masih terarah hala pintu balkoni. Maya tersentak apabila pintu balkoni
tiba-tiba didorong kuat dari luar.
Waktu yang sama, telefon bimbitnya berdering kuat. Maya
segera mengintai skrin telefon dan hanya tulisan no number tertera di situ. Maya tidak segera menjawab panggilan tersebut
sehinggalah suasana kembali seperti sediakala. Maya hanya menjawab panggilan
tersebut setelah ia berdering buat kali kedua. “Si... siapa ni?” suanya terus
saja bertanya.
“Zurhan,” jawab satu suara.
“Zurhan?” Maya seperti tidak percaya. Tika ini tunaknya
masih menekuri pintu balkoni. Air mukanya semacam risau jika daun pintu
tersebut kembali ditolak kasar sebagaimana tadi. “Macam mana kamu dapat nombor
aku, Zurhan?”
“Nantilah aku bagitau. Maya, awak ada masa tak untuk
berbual dengan aku malam ni?”
“Malam ni tak bolehlah. Awak ada kat mana ni Zurhan?”
“Kat luar rumah awak. Please
Maya. Kejap je... please..”
Perkataan please
tersebut mengingatkan Maya kepada suara halimunan. Seorang insan yang tidak
diketahuinya siapa. Namun cerita yang dicicirkan oleh suara tersebut membuatkan
Maya berasa terbangkit untuk menyelongkar misteri sebenar. “Hmm... oklah. Bagi
aku masa 2 minit.”
“Ok Maya. Terima kasih.” Talian diputuskan.
Maya
segera bersiap. Tidak banyak perkara yang dilakukannya. Dia cuma mematikan
komputer dan menyikat rambutnya. Setelah selesai, Maya pun bergegas keluar dan
dia terkejut pabila melihat sebuah kereta Honda berwarna merah metalik tersadai
depan rumahnya. Zurhan yang sedang menyandar pada kereta tersebut memandang
Maya lantas melambaikan tangan. Pemuda itu kelihatan sungguh gembira setelah
bersua dengan Maya. Dia segera membukakan pintu kereta dan Maya berasa kekok
pula pabila dilayan sedemikian rupa.
“Sorry kacau
Maya.” Zurhan tersengih. Dia tidak berganjak dari situ. Nampaknya dia semakin
mesra dengan Maya dan air mukanya seperti menyukai gadis itu pula.
“Hmm... ada hal penting ke?” Maya tiba-tiba berasa malu.
Pandangannya berciciran di bawah kaki. Termasuk di hujung kasut Zurhan. “Ada.
Aku nak ajak Maya dinner kat Noble
House.”
“Noble House?” Maya terkedu. Matanya kini terbuntang
seakan menuntut seambung kepastian. Namun akhirnya terseret arah lain seolah
tidak bersetuju pula. Walhal di hati dia lebih dari bersetuju. Namun kekurangan
diri ini membuatkannya berasa tidak yakin pula. Tiba-tiba dia teringatkan
sesuatu lantas mencubit kulit lengannya. Terasa sakit sebagaimana sebelum ini.
Ini bermakna dia tidak bermimpi mahupun berimaginasi. Maya tersenyum lantas
memandang Zurhan semula.
“Please,” rayu
Zurhan. Riak wajahnya semacam terdesak.
“Tapi aku tiada pakaian yang cantik untuk...”
“Tak mengapa. Yang penting Maya tak menolak permintaan
aku.” Zurhan benar-benar mengharapkan persetujuan gadis tersebut. Maya tampak
serba-salah. Diselaknya rambutnya yang hitam berkeluk dengan senyum buruk tersua
di bibir. “Maya...” Kedua bahunya dicengkam. Dengan senyuman manis, Zurhan
menyambung ayat tadi. “Maya janganlah berasa rendah diri. Kita semua ni sama
saja. Tak ada apa yang berbeza. Maya juga makhluk Allah sebagaimana aku.”
“Aku tahulah tapi muka aku ni macam muka kambinglah.”
Zurhan tergelak besar tatkala mendengarnya. “Kelakarlah
awak ni Maya. Masuklah dulu. Aku bawa Maya ke suatu tempat. Tempat ni istimewa
tau. Aku selalu melepak kat situ tiapkali malam menjelma.” Suara Zurhan
kedengaran sungguh mersik hingga membuatkan Maya semakin perasan. Tanpa banyak
songeh, Maya menyorongkan punggungnya diikuti tubuhnya yang tampak bulat saja.
Maya kelihatan begitu kerana memakai pakaian 2 hingga 3 lapis.
Namun Zurhan tidak kisah. Baginya, adalah amat penting Maya
berada di sampingnya ketika ini. Dia amat perlukan Maya. Dia harus mencurahkan
semua cerita sebelum ianya terpadam dari memori hidupnya. “Awak janganlah
memandu terlalu laju. Aku belum teringin nak jadi macam...”
Zurhan memandangnya dengan kedua kening bertaut. “Macam
siapa Maya?” tanyanya lantas mengurangkan kelajuan kereta.
“Macam siapa-siapa sajalah yang dah mampus.”
Zurhan menghela nafas. Riak mukanya seperti kesal dan
terkilan. “Kadangkala kematian ni bukanlah atas kerelaan.”
“Apa boleh buat ajal dah menjemput. Rela tak rela... kena
relakan juga,” jawab Maya selamba.
“Itulah masalahnya. Walaupun tak rela namun kena relakan
juga. Awak dah makan malam Maya?”
“Aku masih kenyang. Kita terus saja ke tempat kesukaan
awak tu.” Diliriknya Zurhan sebelum memandang ke luar tingkap semula. Dia
berharap benar agar hasrat pertama tadi tercicir dari benak Zurhan.
“Jangan ikut dia. Aku kenal lelaki ni. Dia ni buaya
darat.” Maya terperangah pabila tertangkap bunyi suara tersebut. Dia cukup kenal
dengan nada suara itu. “Dengar cakap aku, Maya. Dia ni bukannya orang baik,”
bisik suara itu lagi seperti mendesak pula.
“Sssyt...” Tak tertahan Maya menyuruhnya diam.
Zurhan menoleh. “Kenapa Maya? Ada yang tak kena ke?”
Maya terkejut. “Tak ada apa-apa.” Gadis itu tersengih
busuk. Semacam mahu menayangkan pendakap giginya pula. Bingkai cermin matanya
dirapikan. Dikerlingnya Zurhan. Niatnya sekadar mahu melihat reaksi pemuda
tersebut.
“Percayalah kat aku Maya. Dia ni bukannya boleh
dipercayai. Muka je kacak tapi hati busuk. Bukan sedikit perempuan yang telah
dipermainkannya.” Maya buat-buat tak dengar.
“Awak berasal dari mana Zurhan?” Kerana tidak mahu
mendengar bebelan suara itulah Maya sengaja mengajukan pertanyaan. Tambahan
pula saat-saat indah seperti ini jarang berlaku dalam cebisan hidupnya. Bahkan
tidak pernah terjadi dan termukim sebagai sejarah dalam riwayat hidupnya.
Inilah julung kali dan dia dikira bertuah kerana menjadi pilihan Zurhan sebagai
tempat menyandarkan segala masalah hati. Lagipun, hakikat sebenar bukan senang
mahu mendekati pemuda sekacak Zurhan.
Firasat Maya, tentu ramai gadis cantik berasa cemburu
padanya kerana berjaya berdampingan dengan Zurhan. “Dah sampai kat mana tu
Maya?” usik Zurhan sambil menggerak-gerakkan jarinya di depan Maya. Maya
terkejut lalu tersedar dari angan dan mimpinya.
“Dah sampai kat mimpi.” Demikian jawapan Maya lantas
ketawa terkekeh-kekeh. Lirih dan sumbang sungguh bunyinya. Zurhan tersenyum
senang.
“Kita dah sampai Maya,” beritahunya sambil melepaskan
tali pinggang keselamatan. “Biar aku tolong Maya lepaskan kepala tali pinggang
keselamatan ni.” Tawar Zurhan apabila melihat Maya terkial-kial. Maya
sebenarnya tidak tahu hendak menekan kat mana untuk memisahkannya.
“Jangan terpedaya Maya. Buaya darat ni memang pandai
mengambil hati perempuan.” Nada milik sang Suara kedengaran seperti sakit hati
pula.
“Awak ni sibuk sangatlah,” marah Maya tanpa sedar. Zurhan
tergamam lantas memandang Maya dengan kedua kening terangkat. Maya tersengih
pahit. Dalam hati, dia mengutuk kebodohannya. “Nyamuk ni sibuk sangat nak
gigit-gigit aku,” kata Maya sambil menggaru-garu lengannya dengan sengih masih
tersua.
“Nyamuk?”
Maya cepat-cepat mengangguk. “Dah buka ke? Alahai...
lamanya.” Dia pura-pura berasa rimas.
“Kejap. Ah... dah ok dah.” Zurhan tersenyum dan entah
mengapa dia suka pula melihat senyuman gadis itu. “Uniklah senyuman Maya ni,”
pujinya.
Mata Maya terbuka luas tatkala mendengarnya. “Apa dia?”
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Demikianlah kiranya Maya.
“Senyuman Maya cantik...”
“Cantik ke?” Maya terkeseng-keseng dengan muka malu-malu.
“Perasan betullah engkau ni Maya.” Maya terdorong sedikit
ke depan apabila belakangnya ditunjal sesuatu.
“Eh... apa tolak-tolak orang ni?” marah Maya sambil
menoleh ke belakang.
“Maya, awak ok ke?” Zurhan berasa pelik.
Maya cepat-cepat mengangguk. “Aku ok,” katanya lantas
bergegas turun dari kereta. “Awak ni suara penyibuk betullah. Kau cemburu ke
apa ni?” comelnya selepas terpacak di luar.
“Aku tak cemburulah. Cuma aku tak suka kau bersama dengan
buaya darat ni. Benci aku tengok dia.”
“Suka hati akulah apa aku nak buat. Lagipun awak tu
bukannya sesiapa dalam hidup aku. Jadi jangan banyak songeh dengan aku,”
titipnya menekan suara. Dia kemudiannya meninggalkan tempat itu apabila melihat
Zurhan memberikan isyarat tangan mengajaknya pergi.
“Mari
balik Maya. Aku risaulah melihat kau berdua-duaan dengan jantan gasang ni.
Nanti diapa-apakannya kau pula.” Ternyata suara itu masih berusaha. Maya
mengetap bibir. Dibiarkannya saja tangannya dipaut.
“Kau belum jawab pertanyaan aku tadi Zurhan.” Maya
seperti mengingatkan dan dia semakin tidak selesa apabila tangannya
ditarik-tarik oleh sang Suara.
“Oh ya maafkan aku.” Zurhan tersenyum seraya
menggeleng-gelengkan kepala. “Aku berasal dari kawasan bandaraya ni Maya.
Apapun, aku dibesarkan di kota London. Ayah aku bekerja dengan sebuah syarikat
Network lalu ditugaskan di tempat tu.”
Maya mengangguk. “Tentu seronok berada di negara orang
kan?” katanya sambil cuba membayangkan kota indah tersebut.
“Memang seronok tapi tanah leluhur kita lagi indah dan
hebat Maya. Kita kaya dengan kehijauan flora dan fauna. Bahkan negara kita juga
dihuni oleh pelbagai suku-kaum dengan keunikan budaya masing-masing. Semua ni
bagaikan satu khazanah yang sukar dicari gali di negara lain seumpama kota
London. Pendapat aku, kota itu hanya sesuai untuk dilawati tetapi bukan untuk
didiami. Tambahan pula, sedari bercambah sebagai sebenih nyawa, kita sudah
diasuh untuk hidup sebagai orang Asia,” hurai Zurhan panjang lebar. Cara dia
menuturkan ayat tersebut amat berhati-hati.
“Banyak cakaplah dia ni,” rungut suara itu sambil duduk
menyempit di sebelah kiri Maya. Tindakan suara itu membuatkan Maya tersorong
sedikit ke arah Zurhan. Maya menarik nafas. Hatinya semakin terik dan mahu saja
dilempangnya suara itu.
“Kau selalu ke melepak kat sini?” Maya membuang pandang
arah pantai. Gulungan ombak yang kelam menghempas perlahan di beting pasir.
Bunyinya kedengaran lesu semacam tidak bermaya.
Zurhan mengangguk. “Aku selalu menjelangi pantai Tanjung Lipat
ni untuk menenangkan fikiran.”
“Kenapa macam tu? Kau ada masalah ke?”
Pemuda itu mengguman lantas menarik nafas. Pandangannya
turut dihela arah pantai. “Aku pernah sayang kat seorang perempuan. Namanya
Dyanna. Dia campuran Melayu Turkish. Orangnya sangat cantik. Tapi sayangnya...
dia telah berubah hati setelah berkenalan dengan seseorang. Lelaki tu tak
sukakannya tapi Dyanna sanggup melakukan pekerjaan syirik hanya kerana mahu
mendapatkan lelaki kacak tu.”
“Kenapa? Awak belum cukup kacak lagi ke padanya?” Maya
berasa hairan.
Zurhan tersenyum. “Aku ni belum cukup tampan lagi Maya.
Demikianlah juga kekayaanku. Kereta Honda tu belum cukup syarat lagi untuk
mengikatnya. Almaklum, lelaki tu anak tunggal, bakal mewarisi setimbunan harta
kekayaan yang tidak terhitung jumlahnya.”
“Ha ah?”
Zurhan mengangguk. “Tapi silapnya Dyanna tidak sedar
bahawa kekayaan itu hanyalah bersifat sementara. Suatu hari nanti dia akan
menemui ajal dan akan disumbat ke dalam liang lahat sebagaimana manusia yang
lain. Harta kekayaan yang dibangga-banggakannya itu tak akan ke mana.”
“Tentu dia akan dilaknati Allah kerana melakukan
perbuatan syirik hingga menganiaya hidup orang lain.”
“Jangan percaya cakapnya. Dia berkata begitu kerana
cemburu dan sakit hati,” sampuk suara itu kurang senang. Maya tidak
mengendahkan. “Cuba kau tanya siapa Dyanna tu?” suruh suara itu dengan nada
sinis. Dia seperti tidak menyenangi luahan jiwa Zurhan. Maya tidak
mengendahkannya bahkan semakin menumpukan perhatian kepada cerita Zurhan.
“Aku berasa sungguh kecewa Maya. Sungguh tak kusangka di
sebalik kecantikan wanita itu tersembunyi sifat yang buruk. Dulu, mungkin aku
berasa sakit hati kerana dikecewakan, tetapi sekarang aku bersyukur kerana
tidak dijodohkan dengan wanita berhati busuk itu. Sekurang-kurangnya aku
terhindar dari terbabit dengan dosa-dosanya.” Maya angguk-angguk. Mereka berdua
membatu sejenak. Masing-masing meladeni isi fikiran dan hanya menyambung
perbualan sejurus kemudian.