Langit gelap gelemat. Bulan tidak
kelihatan. Bintang-bintang bersembunyi. Karim memecut laju Mercedes Benz S320
membelah kepekatan malam menuju ke Cherok Tok Kun. Ramlan mahu berjumpanya
dengan segera.
Hujan mulai merintik ketika Karim
sampai di perkarangan rumah Ramlan. Ramlan sedang menantinya di atas beranda
rumah. Di bawah cahaya kuning lampu mentol kelihatan sepupunya itu sedang
menghisap rokok dengan rakus. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulutnya
selang beberapa saat sambil pandangan resahnya dilepaskan ke dada langit yang
gelap gelemat itu.
“Assalammualaikum, bang,” ucap
Karim sebaik tiba di anak tangga pertama.
Ramlan terkejut juga walaupun
memang menjangkakan kehadiran Karim itu. “Ha, naik, naik. Aku dah lama tunggu
hang ni,” balasnya.
Karim naik ke atas beranda rumah.
Duduk di kerusi berdekatan Ramlan. Seteko kopi O panas, dua biji cawan – sebiji
sudah berisi dan sebiji lagi masing kosong dan sepinggan biskut kering siap
sedia di dalam dulang di atas meja kopi di hadapan mereka.
“Awat minta aku datang
malam-malam buta begini bang?” tanya Karim.
“Hang isi kopi O panas tu dulu.
Lepas tu baru kita sembang,” balas Ramlan.
Karim mengisi cawan yang masih
kosong itu dengan kopi O panas. Mencicip kopi O panas itu selepas menuangnya.
“Awat bang?” tanya Karim lagi,
tidak sabar-sabar.
“Aku ada hal penting nak beritahu
hang,” jawab Ramlan sambil menenyeh putung rokok yang sudah kontot pada dasar
bekas abu. Dia menarik rokok Dunhill lain dari kotak, menyalakannya dan
menghisapnya.
“Penting sangat sampai tidak
boleh tunggu hingga esok?” tanya Karim. Dia baru sahaja bermimpi indah dihujani
duit sebelum isterinya menggerakkannya secara mengejut memberitahu Ramlan di
talian.
“Pentinglah. Soal hidup atau mati
aku dan hang tahu tak!” balas Ramlan.
“Awat bang?!” tanya
Karim, gelabah.
“Aku, Kak Maznah dan anak-anak
nak ke Kuala Lumpur esok. Lepas tu…”
“Bukan ke abang baru balik dari Kuala
lumpur?” potong Karim.
“Inilah aku nak bagitau hang. Dengar dulu apa
aku nak cakap. Ini bukan soal hidup mati aku seorang sahaja tapi hang juga,”
balas Ramlan.
Karim diam.
“Besok aku sekeluarga nak ke
Kuala Lumpur lagi. Lusa kami akan terbang ke New York,” sambung Ramlan.
“Jenguk Razak?” tanya Karim.
Ramlan menggeleng kepala. “Kami
mungkin menetap terus di sana.”
Karim kehairanan kerana sepupunya
itu mengambil keputusan sebegitu drastik. Dia tahu Ramlan hanya bekas guru
sekolah rendah. Pekerjaan apa yang menantinya di kota metropolitan mat salleh itu.
Dia tersenyum bila fikirannya terlintaskan sesuatu. Dia teringat kata-kata
Ramlan sebulan yang lalu.
“Syarikat kita nak kembangkan
sayap ke sana ke, bang? Kalau begitu memang abanglah yang paling layak menjadi
ketua di sana,” kata Karim.
Ramlan mengeluh panjang lalu
rakus menyedut asap rokok sehingga terbatuk-batuk kasar. Kemudian meneguk kopi O panas sehingga habis secawan
dengan sekali teguk.
“Biar sahajalah aku berterus
terang dengan hang, Karim. Begini, syarikat pelaburan Pak Lang tu sudah nak
gulung tikar. Semua orang atas sudah hendak cabut. Dividen untuk bulan ini
tetap akan dibayar. Tetapi tidak pada bulan berikut dan seterusnya. Ada khabar
angin yang kuat bahawa Pak Lang akan diheret semula ke mahkamah. Kali ini dia
tidak mungkin akan terlepas lagi,” terang Ramlan.
Karim terkejut dengan khabar
terbaru itu. Dia merenung muka Ramlan antara percaya dengan tidak. Bukankah
syarikat pelaburan mereka itu semakin maju sejak kes mahkamah tempoh hari.
Bukankah Bank Negara tidak ada kuasa untuk menghalang operasi syarikat pelaburan
mereka itu. Dia teringatkan pelaburan yang dibuatnya melalui Ramlan hampir setahun
yang lalu, sebulan sebelum dia nekad berhenti kerja sebagai guru matematik di
sekolah menengah untuk menjadi agen pelaburan sepenuh masa syarikat pelaburan
Pak Lang itu. Wang pelaburannya sebanyak seratus ribu ringgit hasil penjualan
tanah pusaka arwah ayahnya itu masih berbaki sebulan untuk pulang modal.
“Aku bayar balik pelaburan hang
tu. Aku sudah kira. Tinggal sebulan sahaja untuk balik modal,” kata Ramlan yang
seolah-olah tahu apa yang sedang difikirkan oleh Karim.
Ramlan mencapai beg bimbit James
Bond yang tersandar pada kaki kerusi rotan yang diduduknya itu. Dia mengeluarkan
sebuku duit nota 50 ringgit lalu meletakkannya di atas meja kopi. “Ini ada 10
ribu ringgit. Aku bayar pada hang untuk cukupkan modal pelaburan engkau tu.
Dividen untuk bulan ni anggap untung hanglah.”
Karim tidak tahu bagaimana mahu
bereaksi. Hujan yang merintik bertukar lebat.
“Aku tak buat macam ni pada orang
lain. Termasuklah dengan kawan-kawan baik aku. Aku bayar balik pada hang ni
sebab hang tu sepupu aku. Biasalah pelaburan apa pun tentulah ada risikonya.
Tak bolehlah hendak untung sahaja dan tak mahu fikir pasal rugi, kan?” kata
Ramlan.
Karim menelan air liur.
Mengangguk paksa sambil tersenyum payah. Dia pernah mengikut Ramlan berjumpa
beberapa orang pelabur berpotensi beberapa kali. Ramlan menggunakan pelbagai
cara sehingga pelabur-pelabur berpotensi itu melabur. Ini termasuklah dengan
menjanjikan pulangan yang konsisten sampai bila-bila selagi ada bulan dan
matahari. Soal kerugian tidak pernah sekali pun disebut. Segalanya untung dan
untung sahaja. Kaedah Ramlan itulah yang dicontohinya dan berjaya sampai
sekarang.
“Tapi bang, aku dah pakai duit
dividen yang syarikat bagi tu. Bayar deposit rumah dan kereta baru tu. Sebab
aku ingat akan terus dapat dividen setiap bulan selama-lamanya,” jawab Karim.
“Itu silap hanglah. Sepatutnya
hang belanja bila dapat untung. Jangan belanja apa-apa sebelum balik modal. Aku
dah pesan kat hang dulu kan?” balas Ramlan.
Karim tertunduk lemah. Memang Ramlan
ada berpesan begitu kepadanya dahulu.
“Aku dah tak ada hutang apa-apa
dengan hang. Simpan elok-elok duit sepuluh ribu ni. Klien hang tanggungjawab
hang. Pandai-pandailah hang nak buat macam mana nanti,” sambung Ramlan lagi.
“Apa aku nak jawab pada klien
nanti?” tanya Karim.
“Apa susah, hang katalah hang tak tahu
apa-apa. Letakkan kesalahan pada pihak pengurusan. Katalah tugas hang kutip
duit sahaja,” jawab Ramlan. Jawapan yang dia sendiri susah hendak katakan
kepada klien-kliennya. Sebab itulah dia nekad mahu melarikan diri ke luar
negara.
Ramlan berpura-pura menguap. Lantas
meminta diri dengan alasan mengantuk. Dia perlu bangun awal esok.
Penerbangannnya sekeluarga awal pagi esok.
Karim memandu pulang dalam
keadaan bimbang. Dia tidak tahu bagaimana hendak menguruskan masalah tersebut. Sedar bahawa dia tidak akan
mampu membayar balik semua pelaburan kliennya. Pelaburan yang dikutipnya sudah
mencecah angka berjuta ringgit. Hanya sebahagian kecil daripada mereka yang
sudah pulang modal. Sebahagian besarnya pula baru menerima tidak sampai separuh
daripada modal pelaburan masing-masing. Dia tahu dia perlu melarikan diri
seperti Ramlan. Tetapi dia tersenyum tidak semena-mena bila sesuatu terlintas
di fikirannya.
Lagu Cepat Kaya nyanyian Senario
yang sudah berputar sedikit dari sistem audio kereta mewahnya itu baru
kedengaran di telinganya.
“Dipikat diikat biar sampai
dapat. Nanti untung aku yang sebat. Ha, ha..” Dia menyanyi keriangan lalu
ketawa besar. Akhirnya menjerit seronok seperti orang baru kena loteri.
Kilat berdenyar galak dan guruh berdentum dentam
mengiringi hujan yang semakin lebat.
Hujan merintik, kilat sabung
menyabung dan guruh berdentum-dentam di sekitar daerah Klang, Selangor.
Termasuk dibasahi hujan ialah Taman Perumahan Sri Andalusia. Seorang wanita
dalam awal usia 40an, Habshah, sedang tidur di sisi suaminya di salah sebuah
rumah teres dua tingkat di taman perumahan itu.
Mukanya kelihatan tenang. Bibirnya
mengukir senyuman. Dia sedang diulit mimpi.
Habshah berada di pangkal jalan
masuk sebuah rumah. Dia terpegun melihat rumah kampung yang besar dan indah di
hadapannya itu. Berasa takjub dengan halaman rumah yang bersih dan dipenuhi
dengan pohon-pohon bunga raya, bunga puding
dan bunga kertas pelbagai warna dan jenis. Di atas beranda pula tergantung berbelas
pasu berisi pokok bunga teropong dan hati-hati pelbagai warna yang amat cantik.
Dia gembira lalu tersenyum melihat keindahan rumah tersebut.
Dia amat kenal rumah itu. Rumah
itu ialah rumah opahnya.
Dia berjalan ke arah rumah itu.
Berhenti seketika di atas titi. Melihat parit yang dipenuhi air. Sebuah sampan
sedang teroleng-oleng di atas permukaan parit. Sekumpulan ikan talapia hitam
berenang menentang arus. Beberapa ekor katak terjelepuk tenang di atas daun
teratai. Dan seekor ular hitam sebesar ibu jari menyusur di tengah parit menuju
ke arah titi.
Ular hitam itu menyusur melepasi
kelompok teratai. Tidak menghiraukan katak yang terjelepuk di atas daun teratai
itu. Berhenti menyusur bila sampai di kaki titi dan membiarkan badannya dibawa
arus dan tersangkut pada kelompok teratai.
Habshah terkejut bila berasa
bahunya disentuh seseorang. Dia lekas mengalihkan pandangan ke kiri. Opahnya
menyambut pandangannya dengan senyuman. Dia mengurut dada.“Opah ni buat
terkejut saya saja,” kata Habshah dengan suara manja.
Opahnya tersenyum.
Habshah membalas senyuman opahnya.
Kemudian melihat ke arah kelompok teratai. Ular hitam tadi sudah tiada di situ.
Mereka berdua berjalan ke tebing.
Opahnya menarik tali sampan yang diikat pada batang pokok asam paya. Sampan itu
merapat ke tebing. Opahnya mengarahkannya masuk ke dalam sampan itu.
“Kita nak ke beting ke opah?”
tanya Habshah melihat sepintas lalu sekumpulan talapia hitam yang berenang di
tepi sampan itu. Bila dia membuang pandangannya ke arah tebing dilihatnya
opahnya tiada lagi di situ. Dia kehairanan.
“Opah di sini.” Suara opahnya
menyapa telinganya.
Habshah terkejut melihat opahnya
sudah berada di dalam sampan sambil memegang dayung. Dia kehairanan tetapi
perasaan itu segera hilang bila teringatkan pertanyaannya tadi belum dijawab.
“Kita nak ke mana opah?” tanya
Habshah. Dia amat senang sekali dengan keadaan itu. Selama ini opahnya selalu
membawa kakaknya sahaja menaiki sampan. Mereka mudik ke hulu dan ke hilir parit
itu dan kadang-kadang hingga ke beting di muara untuk mengutip kepah.
“Ke beting. Engko nak sangat ke
sana kan?” jawab opahnya.
“Betul ke opah?!” balas Habshah,
terlalu gembira. Dia menoleh ke belakang sekali lagi.
Habshah terkejut dengan kemunculan seorang bayi
perempuan itu. Bayi perempuan itu sedang lena di dalam sebuah bakul emas.
Badannya dibaluti kain kuning. Habshah menatap muka bayi perempuan itu. Dia
jatuh hati pada paras rupa bayi perempuan yang amat comel itu. Wajah bayi perempuan
itu berseri-seri bagaikan bulan purnama. Bibirnya merah delima. Kulitnya pula
sungguh gebu.
“Engko suka dengan bayi perempuan
ini?” tanya opahnya sambil terus mendayung sampan.
Habshah mengangguk. “Tapi bayi
siapa ni opah?” tanyanya.
Opahnya tersenyum sebelum
menjawab, “Engko boleh jadikan dia milik engko.”
Habshah tersenyum panjang.
Gembiranya bukan kepalang. Dia memang teringinkan anak lagi. Tidak kira lelaki
atau perempuan. Bayi perempuan itu menangis. Sampan teroleng-oleng keras.
“Dia takut dipukul ombak,” kata
opahnya.
Habshah melihat ke hadapan.
Mereka baru sahaja memasuki muara. Ombak di nganga muara itu sedikit deras.
Langit yang biru bertukar kelam. Tetapi nun di sana kelihatan beting yang putih
berkilau-kilauan. Habshah merasa takjub dengan apa yang dilihatnya. Tetapi
perasaan itu singgah sekejap sahaja kerana telinganya disapa kembali oleh
tangisan bayi perempuan itu. Pandangannya kembali tertumpu pada bayi perempuan
itu. Tetapi kini dilihatnya opahnya itu sudah mendukung bayi perempuan tersebut.
Sementara sampan itu terus meluncur seperti tetap didayung menuju ke beting.
“Cuba engko yang ambik. Dia tak mahu dah dengan opah. Manalah tahu
dia diam bila diambil engko,” kata opahnya sambil mengunjukkan bayi perempuan
itu kepada Habshah.
Habshah mengambil bayi perempuan
itu. Segera mencium pipi bayi perempuan itu dan menggomol badannya kerana
terlalu suka. Kulit bayi perempuan yang amat gebu itu begitu menyenangkannya.
Tetapi bayi perempuan itu terus menangis. Habshah mendodoikan pula bayi
perempuan itu tetapi tangisnya semakin keras.
“Diamlah sayang…” pujuk Habshah.
“Mama ada di sini. Jangan takut,” sambungnya.
Bayi perempuan itu terus
menangis.
“Cuba engko bagi dia susu,” kata
opahnya.
Tanpa fikir panjang Habshah terus
membuka butang baju kebaya. Menarik baju dalam sebelah kiri sedikit ke atas dan
melekapkan bibir bayi perempuan itu ke puting. Bayi perempuan itu terus
menghisap putingnya dengan rakus.
“Dia lapar. Belum diberi makan,”
kata opahnya.
Habshah gembira kerana bayi perempuan itu kini
diam dan tenang.
Suara riuh rendah kanak-kanak
bergema di telinganya. Habshah menarik pandangannya dari bayi perempuan itu dan
mencari arah suara tersebut. Sekumpulan kanak-kanak sedang berlari-lari di atas
beting itu. Tenggelam timbul di sebalik rentangan kain-kain berwarna kuning,
hijau, merah, hitam dan sebagainya.
Habshah menoleh melihat opahnya.
Opahnya tersenyum. “Siapa mereka opah?”
Opahnya terus tersenyum dan
menjawab, “Jaga dia baik-baik.”
Habshah mengangguk dalam gembira.
Sejurus habis mengucapkan kata-kata itu tiba-tiba dia berasa putingnya sakit. Dia
melihat dadanya. Bayi perempuan itu sedang menggigit-gigit putingnya itu
sehingga berdarah. Habshah semakin sakit. Dia cuba menjauhkan mulut bayi itu
dari putingnya. Tetapi mulut bayi itu tidak mahu melepaskan putingnya. Habshah
menarik lagi dengan sekuat hati. Mulut bayi perempuan itu terlepas juga dari
putingnya. Darah memancut-mancut keluar dari putingnya. Dia melihat bayi
perempuan itu. Mulut bayi perempuan itu berlumuran darah. Tanpa diduga bayi
perempuan itu membuka mata. Matanya yang merah menyala menjegil Habshah.
Kemudian bayi perempuan itu membuka mulut luas-luas. Menampakkan susunan gigi
tajamnya yang rapat-rapat. Mukanya yang amat comel tadi berubah amat hodoh.
Kulitnya yang gebu dan putih bercahaya bertukar berkedut-kedut dan hitam legam.
Habshah berasa terkejut tetapi tidak sampai melepaskan bayi itu dari
pegangannya.
Habshah terbidas bangun dari
tidur. Seluruh badannya dikuyupi peluh. Dia meraba-raba dada. Tergopoh-gapah
menghidupkan lampu sisi. Memeriksa dadanya itu dengan sungguh-sungguh. Berasa
lega kerana putingnya tidak berdarah. Dia tercungap-cungap menahan ketakutan.
Suaminya terjaga dari tidur.
“Kenapa Sah?” tanya Johan,
suaminya itu.
“Saya mimpi budak perempuan,”
jawab Habshah.
“Kita nak dapat anak lagi ke,
Sah?” tanya Johan, menenyeh-nenyeh matanya lalu bersila mengadap Habshah.
“Bayi perempuan tu gigit puting
saya sampai berdarah,” beritahu Habshah.
“Mainan tidur sahaja tu. Tidurlah.
Esok awak ada mesyuarat penting kan?” tanya Johan, kembali merebahkan badan dan
menarik selimut.
Habshah ikut merebahkan badan dan
menarik selimut. Ketika suaminya lena dan berdengkur semula, dia pula tidak
dapat melelapkan mata sehinggalah hampir subuh. Dia bermimpikan bayi perempuan
itu sudah tiga kali termasuk yang kali ini. Dua mimpi yang pertama dia tidak
mengambilnya bila opah mengunjukkannya. Hanya melihatnya sahaja. Kali ini bukan
sahaja dia mengambilnya tetapi menyusukannya pula. Apa petandanya?