Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
81,251
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 2


Malam sudah larut. Bunyi katak kedengaran bersahut-sahutan di luar rumah. Sesekali nyanyian cengkerik mencelah menceriakan lagi konsert katak. Hujan makin lebat.

Aku masih belum dapat melelapkan mata. Macam-macam cara kucuba untuk datangkan rasa mengantuk termasuklah dengan cara menghantukkan kepala ke dinding tetapi gagal segagal-gagalnya. Kuzi di atas katil sudah lena tidur. Mungkin sudah sampai ke rumah Rihanna. Razin yang tidur di sebelahnya juga sama keadaannya. Apa motif mamat dua ekor ni tidur kat bilik aku pun tak tahu, padahal masing-masing ada bilik sendiri. Aku jugak yang kena tidur kat bawah atas toto. Suasana di bilik tidur sudah dikuasai oleh bunyi dengkuran mereka berdua, betul-betul macam bunyi kerbau tua kena sembelih. Aku mengiring menghadap katil. Kubalut seluruh tubuhku dengan selimut yang sudah dua bulan tak berbasuh.

Aku rasa hairan bila teringat kata-kata Razin yang tetamu akan datang ke rumah kami pada pukul 12.00 tengah malam. Razin telah menyuruh kami semua tidur. Dia kata dia akan menunggu tetamu itu. Tetapi apa yang terjadi sekarang, Razin sendiri sudah hanyut dibuai mimpi. Siapa yang akan menyambut tetamu itu?

Tetamu di tengah malam. Eiii, seramnya I...

Tiba-tiba kuterdengar bunyi katil berkeriut. Aku melihat dari celah selimut. Kelihatan Razin sedang menggeliat biawak. Dia duduk di birai katil buat seketika dan kemudiannya berjalan keluar dari billk.

Ke mana pulak si Razin ni? Aku bangun perlahan-lahan. Segala-galanya kulakukan dengan senyap. Aku menjengukkan mukaku dari balik pintu bilik. Kelihatan Razin sedang duduk di atas kerusi di ruang tamu. Dia kelihatan gellsah. Sekejap-sekejap dia memerhatikan pintu depan dan jam besar di dinding ruang tamu. Dia tidak menyedari aku sedang memerhatikannya.

“Ding dong ding dong ding dong ding dong ding dong ding dong!” tiba-tiba jam besar berbunyi menandakan waktu sudah pukul 12.00 malam. Hatiku terasa kecut. Mahu saja aku mengunci pintu bilik tetapi hatiku yang keras memaksa aku tunggu dan lihat apa yang akan terjadi.

“Tok! Tok! Tok!” kedengaran bunyi pintu dapur diketuk. Ketukannya lambat-lambat. Bunyi angin tiba-tiba menderu, berdesir membawa satu suara siulan yang halus dan panjang. Hantu?

Bulu romaku meremang. Aku lihat Razin bingkas bangun daripada kerusi dan berjalan pantas menuju ke pintu. Jangan buka, Razin, jangan! Jeritan itu cuba hendak kuluahkan tetapi ia cuma berkumandang dalam hatiku.

“Krekkkk!” perlahan-lahan pintu dibuka. Aku menanti dengan penuh debaran wajah yang bakal muncul di balik daun pintu itu. Hairan, tiada siapa pun yang masuk.

Razin menutup pintu. Kudengar dia bercakap-cakap. Apa kena dengan budak ni? Bercakap-cakap seorang diri? Aku mencari tempat yang ditujukan Razin akan percakapannya itu. Pelik, dia seolah-olah sedang berbual dengan kerusi di hadapannya. Gila ke apa kawan aku ni? Aku mula terasa senak perut menahan ketawa mengenangkan kedunguan Razin. Tetapi, rasa senak perut itu tiba-tiba hilang dan digantikan dengan kecut perut menahan takut.

Semuanya kerana kerusi itu.

Kerusi itu berasap.

Bulu roma aku berdiri.

Kepulan asap yang menyelubungi kerusi itu semakin lama semakin menipis. Perlahan-lahan aku melihat satu objek muncul di atasnya. Semakin lama semakin jelas. Mataku kini dapat menangkap suatu lembaga yang memakai jubah hitam dan bertutup mukanya. Aku berkhayal ke? Tidak! Aku tidak berkhayal atau bermimpi. Aku nampak jelas dan aku, aku dengar suaranya berbicara dengan Razin. Suara yang lembut merdu. Suara seorang perempuan!

“Bukalah tudung kepala tu,” aku terdengar Razin berkata.

“Tak apalah Nerau,” balas lembaga itu.

Nerau? Sejak bila Razin ni tukar nama kepada Nerau pulak?

“Jangan takut. Tak ada siapa kat sini kecuali aku dan kau. Budak-budak tu tengah tidur dalam bilik,” jelas sekali suara Razin memujuk lembaga itu.

Lembaga itu nampaknya akur kepada kata-kata Razin. Ditariknya kain selubung di kepalanya perlahan-lahan. Kain selubung itu diletakkannya di atas meja. Aku terpegun sejenak. Memang dia seorang perernpuan. Seorang perempuan yang cantik. Belum pernah aku berjumpa perempuan secantik ini. Sebijik macam muka Megan Fox.

Budak Razin ni memang cari penyakit. Adakah patut dibawanya perempuan secantik ini ke rumah? Dah tak betul agaknya. Nanti apa kata jiran-jiran? Tak boleh jadi. Aku mesti keluar dan menyuruh perempuan itu datang esok pagi. Adakah patut datang malam-malam buta begini. Aku mesti sekat mereka sebelum mereka membohjan dan membohsiakan diri mereka. Semangat Pegawai Pencegah Maksiat meresap dalam badan aku.

Belum pun sempat aku melangkah keluar dengan gagahnya daripada tempat persembunyianku, aku terdengar suara Razin, “Mari masuk ke bilik. Aku nak kenalkan kau kepada mereka yang akan tolong kita.”

Tolong? Tolong apa? Aku berundur perlahan-lahan ke bilik sebelum mereka menyedari pengintipanku. Aku mengubah fikiran. Bila terbayangkan kejadian ganjil tadi, rasa seram muncul kembali mengalahkan keberanianku. Perempuan itu bukan sebarang perempuan. Baik aku tunggu dan lihat apa yang mereka mahu. Dalam senyap tetapi pantas seperti Batman aku merangkak naik ke atas katil dan pura-pura tidur. Telinga kupasang.

“Masuklah. Mereka tengah nyenyak tidur nampaknya. Biar aku kejutkan mereka. Kuzi, bangun Kuzi.”

“Hang pi mana, hang pi mana, hang pi mana yeah!” Kuzi tiba-tiba menyanyi. Apa kena si Kuzi ni? Bodoh, mengigau la tu. Kedengaran Razin dan perempuan itu tertawa kecil. Aku semakin kecut perut mendengar tawa perempuan itu. Dia tertawa seperti kak ponti...

“Hoi, tak usah mengigau. Bangun, tetamu dah datang.”

“Uwargh... Siapa pulak yang kacau daun ni... La, engkau rupanya Razin. Ha, mana dia tetamu yang kau kata nak datang tu?” Kuzi bersuara dengan nada mengantuk.

“Ini dia sudah mari.”

“Hah!” Kuzi bertempik macam singa. Aku hampir-hampir terlompat daripada katil. Over acting betul budak ni.

“Kau jangan main-main Zin. Baik kau suruh dia balik. Nanti apa kata jiran sebelah menyebelah!”

“Kenapa pulak?”

“Adakah patut kau bawa Megan Fox masuk ke bilik kita.”

“Megan Fox? Hoi, ini lelakilah, bukannya perempuan.”

Aku tersentak mendengarkan kata-kata Razin itu. Tanpa berfikir panjang aku bingkas bangun lalu bertanya, “Lelaki?”

“Oh, kau tak tidur rupanya, Dil,” Razin merenung tajam kepadaku. “Bukan tadi kau tidur atas toto ke? Macam mana boleh ada atas katil pulak ni?”

Baru kusedar kesilapanku. Aku tersengih. Bangang betul.

“Ya, aku seorang lelaki,” tegas perempuan itu.

“Mana boleh!” bantahku. Jangan-jangan dia ni pondan tak? Auw. .. Mak tak rela, nyah!

“Boleh,” perlahan-lahan perempuan itu menarik kulit mukanya. Dia memakai topeng rupanya. Aku dan Kuzi amat terkejut melihat rupanya yang sebenar.

Wajah seorang lelaki yang amat hodoh dan menggerunkan. Pipinya menggerutu dan mulutnya terkoyak di tepi memperlihatkan sebahagian kecil giginya. Dan matanya itu, ih, menyeramkan!

“Bagaimana?” lelaki itu bertanya. Suaranya kini besar dan garau tetapi aku dapat merasakan kemesraan dalam tuturnya.

Aku dan Kuzi terpegun seketika. Kuzi menggeletar ketakutan. Aku lebih-lebih lagilah. Kulihat Razin tenang sahaja, seperti tiada apa yang menakutkannya.

“Apa encik mahu dari kami?” Kuzi gelabah.

“Biar aku terangkan,” Razin bercakap sebelum sempat lelaki itu membuka mulut. “Aku percayakan korang. Kita bertiga dah macam adik beradik. Korang tentu boleh tolong aku. Dia ni...” Razin menunjukkan kepada lelaki itu, “abang aku.”

“Abang? Setahu aku...”

“Nanti dulu,” Razin memotong kata-kata Kuzi. “Dengar dulu. Ya, aku tak pernah beritahu korang yang aku ada seorang abang. Tapi sekarang aku berterus terang. Ini abang aku. Kami berdua perlukan bantuan daripada korang berdua.”

“Bantuan?”

“Ya, bantuan. Macam ni, minggu lepas, ayah kami...” Razin terhenti. Dia memandang abangnya.

“Ayah kami telah diculik,” sambung abang Razin.

Aku dan Kuzi terperanjat besar.

“Dia diculik oleh perisik bangsa Gayat. Ayah kami merupakan ketua gugusan pulau Goma dan Auf. Bangsa Gayat yang datang dari Benua Timur telah menyerang hendap dan menakluki pulau Auf yang terletak di seberang laut. Penduduk pulau Auf yang tidak menyangka hal itu terus tertakluk kerana mereka tidak bersiap sedia.”

“Aaa...” aku cuba mencelah tetapi tidak jadi apabila Razin mengisyaratkan kami agar terus diam mendengar cerita abangnya.

“Pulau Goma dan pulau Auf terletak di tengah-tengah jalan perdagangan. Bangsa Gayat mahu menguasai perdagangan. Mereka bertujuan untuk meneruskan penjajahan ke atas pulau Goma pula. Mereka menghantar beberapa orang perisik ke pulau Goma dan menawan ayah kami. Tujuannya supaya keadaan menjadi kucar-kacir. Sekarang keadaan itu memang sudah jelas. Suasana dalam pulau Goma tidak terkawal lagi. Penduduk hilang pedoman dan mula berpuak-puak. Setiap puak mahu ketua mereka menjadi penghulu pulau. Pengkhianat di kalangan kami sendiri yang buta mata dengan tipu pedaya bangsa Gayat membuat angkara dengan mengatakan ayah kami telah ditawan dan dibunuh. Hanya abang saja yang mengetahui hal sebenarnya.”

Aku dan Kuzi hanya terlopong mendengarkan cerita abang Razin. Apa ni? Dongeng kartun Doraemonkah? Anehnya, kami seolah-olah dipukau untuk terus mendengar ceritanya yang begitu pelik dan tidak kami duga itu.

“Perisik itu bertujuan membunuh abang tetapi abang tidak mati. Suasana malam itu sangat gelap. Mereka tidak benamkan pedang mereka ke tubuh abang tetapi cuma mengoyak sebahagian besar muka abang. Abang berpura-pura mati. Abang tidak berdaya untuk menghalang mereka. Abang terdengar mereka berbisik kepada ayah, ‘Kau bernasib baik, Datuk Zeq. Ketua kami mahukan kau hidup-hidup dan tidak akan membunuh kau. Kau seorang yang pintar dan berani. Ketua kami mahukan kau untuk berkhidmat dengannya. Kau mesti mengikut perintahnya.’”

“Kenapa abang tak beritahu penduduk hal yang sebenarnya?” eh, betulkah aku yang bertanya tu? Hatiku penuh dengan tanda tanya.

“Mereka tidak akan percaya. Abang telah dituduh mereka-reka cerita. Ini semua angkara orang Kaya Jef dan kuncu-kuncunya. Mereka menuduh abang yang merancang semua ini untuk mendapatkan kuasa penuh ke atas pulau Goma! Sebahagian besar penduduk percaya. Mereka juga mula percaya yang bangsa Gayat hendak menolong membangunkan pulau. Masing-masing tidak sedar akan bahaya yang sedang menunggu saat untuk memeras tenaga mereka satu demi satu.”

Aku dan Kuzi terpegun.

Pulau Goma, pulau Auf, apa ni? Tak pernah kudengar nama-nama pulau begitu di Malaysia ni. Stail dia bercerita pun macam baca hikayat sejarah aje. Namun begitu, aku hanya pendamkan persoalan itu di hatiku. Baik aku dengar dulu cerita mereka.

“Hanya ada satu jalan saja untuk mententeramkan keadaan di pulau dan menyelamatkannya daripada cengkaman bangsa Gayat,” abang Razin semakin bersemangat bercerita.

“Macam mana?” apa la si Kuzi ni. Cerita macam tu pun nak percaya?

“Dengan cara membebaskan penduduk pulau Auf daripada belenggu bangsa Gayat.”

“Kenapa?” aik, aku pun sama macam Kuzi juga? Apa dah jadi dengan aku ni?

“Ayah kami dikurung bersama-sama sebahagian besar penduduk pulau Auf dan pulau Goma yang memberontak tidak mahu menurut kata-kata ketua bangsa Gayat. Tindakan mesti diambil dengan membebaskan mereka dan bekerjasama menghapuskan kekuatan bangsa Gayat di pulau Auf. Apabila ini berlaku, pulau Goma akan selamat daripada ancaman bangsa Gayat. Strategi akan diatur untuk menghadapi kemungkinan bangsa Gayat datang lagi ke pulau Auf. Kemudian ayah kami akan dibawa balik ke pulau Goma dan menyelesaikan perbalahan antara penduduk. Pengkhianat-pengkhianat yang bersubahat memecahbelahkan penduduk pulau Goma mesti dihukum!”

“Strategi yang baik,” komenku walaupun aku mula terasa yang Razin dan abangnya ini macam orang biul pula. “Tetapi apa kaitannya dengan kami?”

“Kami perlukan bantuan kalian untuk membebaskan penduduk pulau Auf.”

“Kenapa kami? Tak ada orang lain ke kat pulau Goma? Abang kan boleh juga minta bantuan dari pulau-pulau lain?”

“Penduduk pulau Goma tidak percayakan abang lagi. Mereka telah hanyut dalam hasutan pengkhianat. Yang menyokong abang pula semuanya orang-orang tua belaka. Abang perlukan pemuda-pemuda yang tangkas dan berani. Susah hendak mencari jalan keluar ke pulau lain kerana kawasan laut telah dikawal oleh peronda-peronda bangsa Gayat.”

“Lagipun,” sambung Razin. “Aku percayakan korang. Aku tak mahu meminta bantuan orang lain. Aku tak mahu pengkhianatan berlaku. Korang pun pandai bersilat.”

Aku dan Kuzi terdiam. Kerja ini merbahaya. Silap-silap boleh membawa maut. Tapi abang Razin dan Razin bersungguh-sungguh meminta pertolongan. Dia amat mengharapkan kerjasamaku dan Kuzi.

Eh, bodoh ke aku ni? Kan ke cerita ni semua dongeng belaka? Macam mana aku boleh terpengaruh dengan begitu teruk sekali? C’mon, be realistic, man!

“Begini, saya mahu juga menolong kalau tak ada lagi jalan lain. Tapi hamba musykil akan satu perkara,” aku menyusun ayat sebaik mungkin takut-takut nanti mereka tersinggung pula. Orang gila pun pandai sensitif jugak tu.

“Apa dia?”

“Betul ke awak ni abang Razin? Setahu kami Razin sebatang kara di dunia ni.”

“Lagi satu, kenapa abang menyebutkan nama-nama tempat yang pelik dan tak pernah kami dengar? Kenapa datang tengah-tengah malam dan bertopeng pulak?” Kuzi turut menyuarakan rasa hairannya.

Aku ingin menyatakan kehairananku ke atas kejadian di mana aku melihat abang Razin perlahan-lahan meresap ke dunia nyata tetapi aku pendamkan hasrat itu. Hero mesti sabar.

“Nanti akan aku terangkan. Aku hanya mahukan jawapan daripada korang. Kalau korang ikhlas menolong, terima kasih kuucapkan. Kalau korang tak mahu pun tak apalah. Biarlah kami dua beradik saja yang akan berganding bahu membasmi kezaliman. Kami rela mati untuk mempertahankan maruah kami,” tegas Razin.

Aku dan Kuzi berpandangan. Kata-kata Razin itu membuatkan aku termenung sekejap. Nak pergi tak pergi nak pergi tak pergi nak...

“Tidak apalah. Abang sudah tahu jawapan kamu berdua. Abang ucapkan terima kasih kerana sudi mendengar kisah kami. Kalau tak mahu pun abang tak marah. Abang tak ada hak untuk memaksa. Sekali lagi, abang ucapkan terima kasih. Mari, Nerau,” abang Razin mula berpaling ke arah pintu untuk keluar. “Tapi, jangan ceritakan kisah ini kepada orang lain.”

Kalau aku dan Kuzi ceritakan kisah ini, hanya orang yang bangang sebangang-bangangnya saja yang akan percaya. Tapi Razin dan abangnya nampak bersungguh-sungguh, seolah-olah cerita-cerita itu semuanya benar. Pelik aku.

“Nan... Nanti! Aku nak ikut. Aku tak akan biarkan korang dalam bahaya. Aku rela menolong,” tiba-tiba Kuzi bersuara lalu menuju ke almari. Barangkali untuk mengambil bajunya. Kenapa si Kuzi ini begitu mudah mempercayai cerita mereka?

“Tak perlu bawa baju. Di sana akan abang berikan pakaian tradisi kami.”

Aku masih dalam dilema. Aku sangsi akan kejujuran abang Razin. Aku sangsi akan kejujuran Razin sendiri. Tidak, aku tak boleh berfikiran begini. Razin sahabatku. Masalahnya masalahku juga. Perlahan-lahan satu keyakinan menapak kuat dalam hatiku.

Aku mesti menolong mereka. Manalah tahu mereka ni dah confirm gila, sekurang-kurangnya aku boleh tolong pastikan yang mereka selamat sampai ke Tampoi atau taman bahagia lain yang sewaktu dengannya.

“Er, Razin,” aku menegur mereka. Razin yang sudah keluar dari bilik tadi menjengukkan mukanya kembali.

“Aku nak ikut.”

Razin terkejut tetapi kemudiannya mulutnya menguntumkan senyuman.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman